Selasa, 11 April 2023

Penyamun tukar kod QR bank masjid ke akaun peribadi


Satu klip video yang tular di media sosial Twitter ketika ini menyaksikan seorang pemuda secara sengaja telah menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada kod QR bank peribadinya.


Klip video yang dikongsi itu menunjukkan seorang pemuda yang memakai baju kemeja biru gelap berlegar di kawasan masjid lalu menampal satu kertas kod QR pada tabung masjid yang disediakan.


Difahamkan kejadian ini berlaku di sebuah masjid yang terletak di Jakarta Pusat, Indonesia. Pihak berkuasa Indonesia juga sudah berjaya menahan suspek yang juga seorang pegawai bank.


"Kod QR kotak amal masjid pun jadi sasaran, diganti dengan kod QR peribadi. Semakin canggih cara pencuri beraksi. Syukur kejadian terakam dengan kamera," tulis seorang netizen.


Didakwa pencuri tersebut juga telah melakukan perkara sama di beberapa buah masjid sebelum ini. Insiden ini dapat dikesan selepas salah satu masjid terbabit mempunyai CCTV lalu berjaya merakam perbuatan lelaki ini.


Orang ramai yang menyaksikan klip video tersebut turut terkejut dengan cara yang dilakukan oleh pencuri itu dan menyifatkan cara yang dilakukannya amat bahaya dan tidak disedari orang ramai.


"Kalau kita nak derma kita terus 'scan' sahaja, memang la akan keluar butiran akaun penerima tetapi kita tidak tahu itu penerima sebenar atau tidak, risau benda ini akan berlaku di Malaysia nanti," kata seorang lagi netizen.


"Memang ramai tak terfikir lagi cara mencuri ini, kalau di masjid memang ramai orang akan menderma dengan cara 'scan' kod QR, makin canggih pencuri zaman sekarang," tulis netizen lain.


Tangkap layar seorang pemuda yang menukar kod QR bank amal sebuah masjid kepada akaun peribadinya. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon