Selasa, 8 Mac 2022

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968

NASA lelong 74 gambar langkah pertama manusia di Bulan semasa misi Apollo 1968


Sebanyak 74 gambar misi Apollo milik NASA yang mendokumentasikan penerokaan angkasa lepas akan dilelong. Ia termasuk gambar pertama earthrise yang disaksikan manusia dan gambar langkah pertama manusia di Bulan, lapor laman berita Wion News pada 7 Mac 2022.


Earthrise adalah gambar Bumi dan bahagian permukaan Bulan yang diambil oleh angkasawan William Anders pada 1968 semasa misi Apollo 8. Beberapa koleksi gambar itu adalah milik arkib NASA sendiri dan tidak diketahui umum.


Salinan terpilih adalah yang pernah muncul di muka depan majalah-majalah di Amerika Syarikat (AS) untuk memberitahu mengenai kejayaan negara itu dalam penerokaan di Bulan.


Lelongan koleksi peribadi milik seorang warga asing yang dirahsiakan identitinya itu dijadualkan berlangsung pada 9 Mac 2022, dan akan menyaksikan 74 gambar itu dilelong secara individu.


NASA memutuskan untuk melelong gambar-gambar itu sempena ulang tahun ke-60 ucapan terkenal bekas Presiden AS, John F. Kennedy mengenai Bulan pada tahun ini.


"Kata-katanya yang berinspirasi pada 1962 bukan hanya mengenai misi untuk meletakkan manusia di Bulan, malah untuk merangsang semangat di mana segala-galanya mampu dicapai oleh manusia dengan peredaran zaman," kata NASA.


Lelongan itu juga termasuk gambar lawatan terakhir Kennedy ke NASA di Cape Canaveral pada 16 November 1963, hanya enam hari sebelum kematiannya yang tragis.


Rumah lelong Denmark, Bruun Rasmussen yang bertanggungjawab untuk acara itu berkata, koleks itu itu dijangka dapat menjana perolehan lebih daripada AS$2 juta (RM8.36 juta).


Gambar yang dikeluarkan oleh NASA menunjukkan seorang angkasawan memberi hormat kepada bendera AS di permukaan Bulan semasa misi bulan Apollo 11 pada 20 Julai 1969. - Foto Space Center Houston.

Ahad, 6 Mac 2022

20 kucing ditemukan mati, disyaki perbuatan khianat

20 kucing ditemukan mati, disyaki perbuatan khianat


Seorang pengunjung sebak bercampur marah menyaksikan 20 bangkai kucing bergelimpangan disyaki diracun di kawasan Pantai Keluang, Besut, pada jam 9.30 pagi tadi.


Roshanafi Osman, 39, yang menetap di Alor Lintang berhampiran bersama isteri bersiar-siar di pesisir pantai itu, selepas selesai sarapan di sebuah gerai berhampiran sebelum dikejutkan dengan penemuan bangkai kucing tersebut.


Katanya, satu laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampung Raja jam 3.30 petang tadi. Tindakan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.


"Tujuh daripada jumlah keseluruhan kucing itu masih kecil. Bangkai dijumpai bersama beberapa ekor kucing peliharaan kerana mempunyai tali leher," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, seorang rakannya yang sering memberi makan kucing itu sejak sekian lama memberitahu sebelum ini semua haiwan berkenaan dalam keadaan sihat.


"Saya bersama keluarga serta rakan membantu mengutip bangkai kucing untuk ditanam dalam satu lubang.


"Petang ini pihak veterinar meminta saya menunjukkan lokasi bangkai ditanam dan menggali semula untuk bedah siasat punca kematian," katanya.


Katanya, kejadian itu juga turut mengundang simpati ramai pihak yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab.


Pihak veterinar melakukan siasatan awal di lokasi kucing ditemui mati bergelimpangan.
Saintis cuba rungkai misteri mumia ikan duyung berusia 300 tahun

Saintis cuba rungkai misteri mumia ikan duyung berusia 300 tahun


Sekumpulan saintis Jepun akan mengkaji satu mumia 'ikan duyung' yang ditemui sekitar tahun 1736 hingga 1741 di luar Pulau Shikoku, Lautan Pasifik, lapor akhbar New York Post pada 3 Mac 2022.


Mumia makhluk misteri yang mempunyai wajah menyerupai manusia dan ekor seperti ikan itu menyebabkan pakar-pakar keliru selama beberapa abad.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam.


Pasukan penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi mendedahkan misteri makhluk itu.


Menurut seorang penyelidik, Hiroshi Kinoshita, mumia yang kini disimpan di sebuah tokong di bandar Asakuchi itu dipercayai berkemungkinan mempunyai kepentingan dari sudut agama.


"Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian. Masyarakat percaya sekiranya seseorang itu makan daging ikan duyung, dia tidak akan mati.



"Beberapa legenda di Jepun menyatakan bahawa terdapat seorang wanita yang memakan daging ikan duyung, dan dia mampu hidup selama 800 tahun," kata Kinoshita.


Namun, tidak jelas bagaimana atau sejak bila mumia itu berada di kuil tersebut, tetapi ketua kuil, Kozen Kuida, berkata ia telah dipamerkan dalam bekas kaca kira-kira 40 tahun lalu dan kini disimpan dalam peti besi kalis api.


Sementara itu, mumia tersebut turut disimpan bersama sepucuk surat bertarikh tahun 1903 yang ditulis oleh pemilik terdahulu untuk memberitahu mengenai latar belakang penemuan makhluk tersebut.


"Seekor ikan duyung telah ditangkap menggunakan jala ikan di laut wilayah Kochi. Nelayan yang menangkapnya tidak mengetahui bahawa ia adalah seekor duyung bahkan membawanya ke Osaka untuk dijual sebagai ikan biasa.


Hiroshi Kinoshita bagaimanapun mengambil pandangan yang lebih pragmatik tentang makhluk itu. Dia percaya ia telah dihasilkan pada satu ketika semasa zaman Edo - era sejarah Jepun yang menjangkau dari 1603 hingga 1867.


"Sudah tentu, saya tidak fikir ia adalah ikan duyung sebenar. Saya rasa ini dibuat untuk eksport ke Eropah semasa zaman Edo.


"Lagenda ikan duyung kekal di Eropah, China dan Jepun serta seluruh dunia. Oleh itu, saya dapat membayangkan bahawa orang pada masa itu juga sangat berminat dengannya.


"Saya fikir ia diperbuat daripada haiwan hidup dan kami ingin mengenal pasti mereka melalui imbasan CT atau ujian DNA," katanya.


Mumia tersebut mungkin dihasilkan daripada badan dan kepala monyet yang dijahit pada bahagian belakang ikan. Para saintis yang memeriksa mumia itu akan menerbitkan penemuan mereka pada akhir tahun ini.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam. - Foto Hiroshi Kinoshita.

Sabtu, 5 Mac 2022

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam


Sebuah kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah dan terbakar lebih seminggu lalu akhirnya karam di tengah lautan Atlantik, lapor akhbar Daily Mail, semalam.


Menurut tentera laut Portugal, Felicity Ace yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal ketika ia ditunda.


Lapor Daily Mail, Pengurus Felicity Ace memaklumkan kapal sepanjang 198.12 meter itu berada pada kedudukan sisi kanan sebelum karam. Menurut Tentera Laut Portugal, kejadian itu berlaku di luar perairan negaranya.


Sebelum ini, sebuah helikopter milik Tentera Udara Portugal berjaya memindahkan 22 anak kapal ketika kebakaran berlaku yang menyebabkan kapal itu hanyut - ia terbakar sejak minggu lalu, di tengah Lautan Atlantik.



Bot tunda yang membawa peralatan pemadam api berusaha memadamkan kebakaran pada kapal tersebut, namun berdepan kesukaran susulan angin kencang dan laut bergelora.


Felicity Ace mampu membawa muatan kargo melebihi 17,000 metrik tan dan kebiasaannya digunakan untuk mengangkut ribuan kenderaan.


Bloomberg yang memetik sumber Volkswagen di AS melaporkan, kapal itu membawa sebanyak 3,965 kenderaan keluaran syarikat tersebut, selain Porsche, Audi dan Lamborghini.


Portal The Drive pula memaklumkan, Felicity Ace turut membawa 189 kenderaan keluaran Bentley yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126 juta). Kumpulan Volkswagen dalam satu kenyataan memberitahu, kapal tersebut dalam perjalanan ke AS.


Felicity Ace karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal. - Foto tentera laut Portugal.
Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman

Gempar lelaki 'mengamuk' atas lori kontena, dipercayai kurang siuman


Suasana di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, Klang, gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk atas sebuah lori kontena hari ini (5 Mac 2022).


Kejadian tular di media sosial itu dipercayai berlaku pada 10.50 pagi, apabila seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memegang objek seperti kayu berada di atas kenderaan terbabit sambil menjerit.


Keadaan itu menimbulkan kegusaran orang awam yang berada berdekatan premis perniagaan di kawasan itu, dan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan lanjut.


Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.



Katanya, sepasukan 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikerah dalam operasi berkenaan.


"Setibanya di lokasi, anggota kita segera meletakkan jentera bomba bersebelahan lori kontena tersebut. Ia bagi membantu memudahkan polis untuk menahan lelaki yang dipercayai kurang siuman itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.29 pagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 10.58 pagi.


"Polis menerima maklumat mengatakan ada orang tidak siuman berada di atas sebuah lori kontena.


"Polis ke lokasi sebelum menangkap lelaki itu dengan bantuan bomba dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan," katanya.


Lelaki di atas lori kontena mencetuskan suasana gempar di Persiaran Hamzah Alang, Taman Meru 4, di Klang, Selangor.
Lelaki gembira kahwini pasangan kembar tiga serentak

Lelaki gembira kahwini pasangan kembar tiga serentak


Seorang lelaki di Republik Demokratik Congo bertindak mengahwini pasangan adik-beradik kembar tiga secara serentak selepas mengakui jatuh cinta kepada mereka, lapor akhbar Daily Star pada 3 Mac 2022.


Menurut Luwizo, 32, dia membuat keputusan sukar itu selepas 'dilamar' oleh ketiga-tiga wanita berkenaan untuk mengahwini mereka pada hari yang sama.


"Saya menuruti permintaan itu kerana mereka merupakan kembar tiga. Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana sehingga sekarang, ibu bapa saya masih tidak memahami apa yang saya lakukan ini," katanya.


Tambah Luwizo, dia pada mulanya telah jatuh cinta dengan salah seorang daripada kembar seiras tersebut, Natalie selepas berkenalan di media sosial.


"Saya tidak dapat menolak kecantikannya. Kami bertemu, berpelukan dan akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin," katanya ketika bercakap dengan Afrimax English pada hari perkahwinannya.



Sementara itu, menurut salah seorang daripada kembar bernama Natasha, Natalie dan Nadege itu, Luwizo terkejut apabila diminta mengahwini ketiga-tiga mereka selepas menjalinkan hubungan cinta dengan Natalie.


"Namun, disebabkan dia telah jatuh cinta kepada kami bertiga, tiada yang mampu menghalang perkahwinan ini kerana kami juga mencintainya.


"Walaupun orang menganggap mustahil untuk tiga wanita berkongsi seorang suami, bagi kami, berkongsi segala-galanya adalah kehidupan kami sejak kecil," katanya.


Mereka berempat telah berkahwin pada Isnin (28 Februari) dengan ketiga-tiga beradik perempuan itu semuanya memakai pakaian putih tradisional, dan menerima cincin emas yang agak besar. - Sumber Daily Star.


Kembar tiga ini menegaskan mereka gembira untuk berkongsi seorang lelaki. - Foto Newsflash.

Jumaat, 4 Mac 2022

Warga emas sayu lihat 10 biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir

Warga emas sayu lihat 10 biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir


Seorang wanita warga emas hanya mampu termenung memikirkan semua 10 ekor biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir, yang melanda Kampung Gual Arang, Gual Sitok, Rantau Panjang, baru-baru ini.


Siti Fatimah Che Daud, 72, bagaikan hilang kata-kata selepas semua ternakannya ditemui mati tersadai, susulan kandang biri-biri itu dinaiki air separas 1.5 meter bermula Sabtu lalu.


Katanya, dia dan anak, Nor Hasliza Mat Jusoh, 52, cuba menyelamatkan ternakan itu dengan membina tempat lebih tinggi ketika air sedang mendadak naik, namun nasib tidak menyebelahinya apabila pondok itu turut ditenggelami banjir.


"Saya reda dengan apa yang terjadi, namun masih terkejut kerana sepanjang lebih 30 tahun mengembala kambing serta biri-biri, kali ini paling teruk menyebabkan saya kehilangan semua haiwan ternakan.


"Nilai kerugian biri-biri mati ini lebih RM5,000 dan saya tidak kisah dengan kerugian itu, sebaliknya sedih kerana kehilangan haiwan sudah lama dipelihara.


"Walaupun ia hanya biri-biri, kasih saya pada haiwan ini tetap ada memandangkan hampir setiap hari saya menghabiskan masa dengan memberi makan di kandang," katanya.


Siti Fatimah berkata, ketika banjir, dia dibawa anaknya berpindah ke tempat selamat dan hanya berdoa semoga haiwan ternakan tidak menjadi mangsa, namun banjir kali ini terlalu besar menyebabkan semuanya mati.


Menurutnya, dia hanya mengetahui nasib haiwan itu pada hari ketiga banjir apabila anak dan cucunya berusaha ke kandang menggunakan pelampung getah untuk melihat keadaan biri-biri terbabit.


"Sebaik dikhabarkan semua haiwan ternakan saya mati, saya hanya mampu memujuk diri agar tabah dan sabar kerana tidak mahu perkara ini mengganggu kesihatan.


"Selepas air surut sepenuhnya, semua haiwan berkenaan ditimbus bagi mengelak bau busuk. Kini, kandang saya kosong dan tiada lagi biri-biri perlu saya berikan makan dan minum," katanya yang juga ibu kepada 10 cahaya mata berusia 30 sehingga 56 tahun. - Sumber Harian Metro.


10 ekor biri-biri mati akibat ditenggelami banjir.
Parkir di laluan pejalan kaki, pemilik kenderaan dikecam warganet

Parkir di laluan pejalan kaki, pemilik kenderaan dikecam warganet


Tindakan seorang pemandu yang meletakkan sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton sehingga menghalang laluan pejalan kaki mengundang kecaman hebat daripada orang ramai.


Menerusi perkongsian gambar yang dimuat naik oleh pengguna Twitter, memperlihatkan kenderaan tersebut sedang parkir di kawasan larangan sehingga menghalang seorang orang kelainan upaya (OKU) yang ingin melalui laluan berkenaan.


"Macam mana la OKU nak lalu, kalau nak parkir berbumbung beli la rumah bawah yang mahal-mahal," ciapnya, semalam.


Kemudian, selepas dua jam perkongsiannya menjadi tular di media sosial dan difahamkan ada pihak telah membuat aduan mengenai perkara tersebut, dia sekali lagi memuat naik ciapan terbaharu memaklumkan bahawa pihak penguat kuasa telah datang bagi mengambil tindakan kepada pemilik kenderaan itu.


"Nah mendapat penguat kuasa dah datang buat kerja, mantap," katanya.



Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna lain turut memeriksa nombor pendaftaran kenderaan tersebut bagi mengetahui pemilik sebenarnya. Hasil pemeriksaan warganet, trak pikap tersebut dipercayai mempunyai lebih kurang 10 saman berjumlah RM2,400.


"Terdapat 10 saman berjumlah RM2,400 sehingga 4 Mac 2022.


"Siapa kenal pemilik Triton ini pesan pada dia selesaikan saman tertunggak dan pesan juga untuk jumpa mak cik berkerusi roda itu dan minta maaf sebab parkir kereta macam itu," kata netizen tersebut.


Selain itu, seorang pengguna lain turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan individu tersebut yang dianggap tidak berakal.


"Apa jenis manusia la, siapa ajar parkir kenderaan di laluan pejalan kaki, ini belajar kelas memandu atau tidak," komennya.


Rata-rata warganet turut mengecam tindakan pemandu tersebut yang dikatakan mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang ramai.


Gambar yang dikongsikan oleh pengguna Twitter menunjukkan keadaan sebuah trak pikap yang parkir di laluan pejalan kaki.

Rabu, 2 Mac 2022

Lori membawa muatan telur terbalik 'dirempuh' Perodua Myvi

Lori membawa muatan telur terbalik 'dirempuh' Perodua Myvi


TAPAH - Seorang wanita mengalami kecederaan parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori yang sarat membawa muatan telur ayam di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi, selepas lori telur dipandu lelaki berusia 36 tahun dilanggar dari arah bertentangan oleh sebuah kereta Perodua Myvi.


Katanya, kejadian itu turut menyebabkan kereta Proton Saga BLM yang dipandu seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), yang berada di belakang lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan berat tersebut.


"Nahas berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 tahun yang datang dari arah bertentangan masuk laluan lori tersebut sebelum melanggarnya.


"Sebuah kereta Proton Saga BLM yang tidak sempat mengelak kemudiannya terlanggar bahagian belakang lori tersebut dan pemandu Perodua Myvi berusia 21 tahun cedera di pinggang dan kepala," katanya.


Menurut beliau, pemandu lori dan Proton Saga BLM tidak cedera manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.


Menurut Wan Azharuddin, akibat kemalangan itu Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala lori berkenaan juga mengalami kerosakan pada bahagian sama termasuk muatan yang turut rosak.


Kereta Proton Saga tersebut turut mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan bonet sebelah kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki mangsa rosak teruk pada bahagian hadapan dalam kejadian kemalangan KM62 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.


Keadaan lori muatan telur ayam yang terbalik setelah terlibat kemalangan di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, Perak, hari ini.
Teleskop Pengimejan NASA Menangkap Imej Supernova Cantik Pertama

Teleskop Pengimejan NASA Menangkap Imej Supernova Cantik Pertama


Teleskop Polarimetri baharu NASA, yang dikenali sebagai Pengimejan X-Ray Polarimetry Explorer (IXPE) telah menghantar imej pertamanya kembali ke Bumi pada hari Isnin, 14 Februari 2022. IXPE menangkap imej supernova Cassiopeia A yang cantik.


Memetik lapor akhbar Daily Mail pada 16 Februari 2022, imej pertama yang dibentangkan oleh NASA menunjukkan pelepasan sinar-X pelbagai keamatan IXPE yang dipetakan merentasi supernova pada pertengahan Januari. Ia adalah sisa terang bintang gergasi 11,000 tahun cahaya jauhnya dari Bumi yang meletup di angkasa pada abad ke-17.


Balai cerap berasaskan angkasa lepas itu dilancarkan pada 9 Disember 2021 dari Cape Canaveral, Florida dengan roket SpaceX Falcon 9 ke orbit Bumi rendah. IXPE menyertai teleskop sinar-X Chandra, salah satu pemerhati angkasa lepas NASA, yang dilancarkan pada tahun 1999, untuk mengkaji pelbagai aspek spektrum sinar-X.


"Imej polarisasi masa depan IXPE sepatutnya mendedahkan mekanisme di tengah-tengah pemecut kosmik terkenal ini. Untuk mengisi beberapa butiran tersebut, kami telah membangunkan satu cara untuk menjadikan pengukuran IXPE lebih tepat menggunakan teknik pembelajaran mesin," kata Roger Romani, seorang Penyelidik IXPE.



IXPE telah dilancarkan oleh NASA untuk mengkaji polarisasi sinar-XX, atau cahaya sinar-X yang getarannya diselaraskan dalam satu arah, untuk membantu menerangkan dengan tepat dari mana datangnya cahaya X-ray daripada peristiwa angkasa.


Imej kedua menunjukkan supernova Cassiopeia A dalam warna magenta terang dan biru. Imej menggunakan data gabungan yang dikumpul daripada IXPE (wilayah magenta) dan Balai Cerap X-Ray Chandra (wilayah biru).


Cassiopeia A ialah yang pertama daripada kira-kira 40 objek yang dikatakan NASA akan dikaji semasa tahun pertama IXPE dilancarkan. Selain meneroka supernova, misi itu boleh menjawab soalan tentang objek seperti lohong hitam.


Termasuk cara ia berputar dan sama ada lohong hitam di tengah Bima Sakti kita pernah memakan 'objek' di sekelilingnya. Memandangkan peristiwa angkasa lepas tidak boleh dijana semula dalam makmal, IXPE boleh menjadi alat untuk menjawab soalan utama, tentang fenomena fizikal dalam persekitaran yang melampau.


Teleskop IXPE menangkap imej supernova Cassiopeia A yang cantik - sisa terang bintang yang meletup di angkasa pada abad ke-17. - Foto NASA.