Jumaat, 4 Mac 2022

Warga emas sayu lihat 10 biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir


Seorang wanita warga emas hanya mampu termenung memikirkan semua 10 ekor biri-biri ternakannya mati akibat ditenggelami banjir, yang melanda Kampung Gual Arang, Gual Sitok, Rantau Panjang, baru-baru ini.


Siti Fatimah Che Daud, 72, bagaikan hilang kata-kata selepas semua ternakannya ditemui mati tersadai, susulan kandang biri-biri itu dinaiki air separas 1.5 meter bermula Sabtu lalu.


Katanya, dia dan anak, Nor Hasliza Mat Jusoh, 52, cuba menyelamatkan ternakan itu dengan membina tempat lebih tinggi ketika air sedang mendadak naik, namun nasib tidak menyebelahinya apabila pondok itu turut ditenggelami banjir.


"Saya reda dengan apa yang terjadi, namun masih terkejut kerana sepanjang lebih 30 tahun mengembala kambing serta biri-biri, kali ini paling teruk menyebabkan saya kehilangan semua haiwan ternakan.


"Nilai kerugian biri-biri mati ini lebih RM5,000 dan saya tidak kisah dengan kerugian itu, sebaliknya sedih kerana kehilangan haiwan sudah lama dipelihara.


"Walaupun ia hanya biri-biri, kasih saya pada haiwan ini tetap ada memandangkan hampir setiap hari saya menghabiskan masa dengan memberi makan di kandang," katanya.


Siti Fatimah berkata, ketika banjir, dia dibawa anaknya berpindah ke tempat selamat dan hanya berdoa semoga haiwan ternakan tidak menjadi mangsa, namun banjir kali ini terlalu besar menyebabkan semuanya mati.


Menurutnya, dia hanya mengetahui nasib haiwan itu pada hari ketiga banjir apabila anak dan cucunya berusaha ke kandang menggunakan pelampung getah untuk melihat keadaan biri-biri terbabit.


"Sebaik dikhabarkan semua haiwan ternakan saya mati, saya hanya mampu memujuk diri agar tabah dan sabar kerana tidak mahu perkara ini mengganggu kesihatan.


"Selepas air surut sepenuhnya, semua haiwan berkenaan ditimbus bagi mengelak bau busuk. Kini, kandang saya kosong dan tiada lagi biri-biri perlu saya berikan makan dan minum," katanya yang juga ibu kepada 10 cahaya mata berusia 30 sehingga 56 tahun. - Sumber Harian Metro.


10 ekor biri-biri mati akibat ditenggelami banjir.


EmoticonEmoticon