Khamis, 29 Julai 2021

Warga emas 'rogol' kambing hingga mati direman tujuh hari

Warga emas 'rogol' kambing hingga mati direman tujuh hari


Seorang lelaki warga emas direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Serendah, kelmarin.


Perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dibenarkan oleh Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sabri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.


Dalam permohonan itu, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Ogos nanti untuk siasatan kes mengikut Seksyen 377 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.


Suspek yang memakai kemeja dan seluar berwarna coklat dibawa dengan trak diiringi dua anggota polis dari Balai Bukit Polis Sentosa memasuki perkarangan mahkmah jam 9.20 pagi tadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes terbabit untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.


Semalam, beberapa media melaporkan seorang warga emas ditahan dipercayai melakukan seks di luar tabii terhadap seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam kejadian di Serendah.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 petang apabila pemilik kambing berusia 45 tahun terdengar bunyi mengembek dari kandangnya yang terletak di belakang rumah sebelum mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan yang dikenali dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing.

Batu Nilam Terbesar Dunia Bernilai RM422 Juta Ditemui Ketika Mengali Perigi

Batu Nilam Terbesar Dunia Bernilai RM422 Juta Ditemui Ketika Mengali Perigi


Gugusan batu nilam terbesar di dunia bernilai £72 juta (RM422 juta) ditemui selepas beberapa orang pekerja melakukan kerja-kerja penggalian membina sebuah perigi di sebuah ladang persendirian di Sri Lanka.


Menurut lapor akhbar The Sun pada 28 Julai 2021, Batu seberat 510 kilogram itu telah dipindahkan di sebuah bank di Colombo dan dikawal oleh pengawal bersenjata mula menerima bidaan dari luar.


Memetik laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), pegawai rasmi mengesahkan batu itu ditemui secara tidak sengaja di kawasan Ratnapura. Pekerja sebuah ladang menggali tanah untuk membina sebuah perigi apabila terlihat batu berwarna biru pucat itu yang digelar 'Serendipity Sapphire'.


Batu permata itu ditemui pada tahun 2020 lalu, dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai penemuan itu secara rahsia. Pengisytiharan penemuan itu memakan masa berbulan-bulan untuk diselesaikan, lapor Nation LK.


Sebahagian dari proses tersebut melibatkan membersihkan batu dari lumpur dan kekotoran lain sehingga pakar permata dapat menganalisis kualitinya dan mengesahkannya.


"Individu (pekerjanya) yang menemui batu itu memaklumkan kepada kami tentang penemuan ini," kata pemilik kepada batu bertuah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Gamage.


Lembaga Permata dan Perhiasan Nasional Sri Lanka (NGJA) mengatakan bahawa mereka yang membida batu tersebut termasuklah kerabat diraja.


"Batu ini ditemui di Kahawatte di daerah Ratnapura dan kami tidak boleh mendedahkan maklumat lain berkenaan lokasi sebenarnya atas isu keselamatan," kata ketua pihak berkuasa, Tilak Weerasinghe.


Weerasinghe turut mengesahkan bahawa batu itu milik pemilik tanah Mr Gamage, kerana ia ditemui di ladangnya. Namun ia dipindahkan untuk disimpan di bawah keselamatan yang sangat ketat, ke peti besi di Bank of Ceylon.


"Sri Lanka terkenal sebagai 'pusat nilam dunia'. Batu nilam yang berwarna biru itu merupakan permata kebangsaan bagi Sri Lanka dan terkenal di mata dunia kerana warnanya yang unik, kejernihan dan kualitinya," kata NGJA.


Gugusan nilam yang ditemui di sebuah ladang persendirian di Ratnapura itu memiliki berat 510 kilogram. - Foto Gamage.

Batu nilam cukup terkenal kerana memiliki warna yang unik selain kualitinya yang bagus. - Foto Market square jewellers.

Lelaki Nikah Dua Serentak Apabila Wanita Lain Muncul Tawar Diri Jadi Madu

Lelaki Nikah Dua Serentak Apabila Wanita Lain Muncul Tawar Diri Jadi Madu


Sebuah video yang memaparkan majlis pernikahan seorang lelaki dengan dua wanita secara serentak menjadi tular di internet dengan ramai netizen meluahkan rasa kagum mereka terhadap lelaki tersebut, lapor laman berita Suara.com pada 28 Julai 2021.


Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang lengkap dengan persalinan pengantin sedang duduk sambil diapit oleh dua orang pengantin perempuan cantik. Turut berada di hadapan mereka ialah seorang lagi lelaki dipercayai jurunikah kelihatan bersiap sedia untuk menikahkan pasangan tersebut. 


Pengantin perempuan, Nur Khusnul Kotimah, 20, dari Dusun Batugulung, Desa Prabu, Lombok Tengah, menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir apabila suaminya meneruskan pernikahan dengan seorang lagi wanita.


Suaminya, Korik Akbar, 20, turut menikahi bekas kekasih, Yuanita Ruri, 21, dari Dusun Sade, Desa Rembitan, Lombok Tengah pada majlis sama. Majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana itu turut dihadiri oleh tetamu yang duduk di atas sebuah permaidani di hadapan pasangan pengantin.


Khusnul berkata, dia pasrah suaminya menikahi wanita lain kerana ketika Yuanita tahu mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan, dia tampil menemui Korik dan minta untuk dinikahi juga.


"Bekas kekasih suami saya (Yuanita) tahu mengenai rancangan kami untuk bernikah melalui media sosial kerana ramai rakan-rakan mengucapkan tahniah. Kerana itu, dia minta untuk dijadikan isteri juga," katanya.


Sementara itu, Korik mengaku sangat terkejut atas kedatangan bekas kekasihnya yang dikenali sejak 2016. Korik juga berasa sedikit susah hati kerana masih belum mendapat pekerjaan untuk menanggung dua isterinya nanti.


"Saya tidak menyangka dan sangat terkejut. Namun, selepas berbincang dengan keluarga, saya membuat keputusan untuk menikahi kedua-duanya. Mas kahwin untuk kedua-duanya juga sama iaitu 1.75 juta Rupiah (kira-kira RM510)," katanya.


Rata-rata pengguna media sosial mengagumi lelaki tersebut dengan meninggalkan komen yang meminta agar mereka turut diajar 'ilmu' kahwin dua secara serentak. "Ambil saya jadi muridmu," komen seorang netizen.


Lelaki tersebut sedang duduk sambil diapit oleh dua orang pengantin perempuan yang cantik. - Foto Instagram.

Rabu, 28 Julai 2021

Kilang diserbu lakukan penipuan 'sedut' 40 gram bagi setiap 5kg kampit beras

Kilang diserbu lakukan penipuan 'sedut' 40 gram bagi setiap 5kg kampit beras


Sebuah kilang beras diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana dipercayai cuba menipu timbangan beras di Jitra, Kubang Pasu, semalam.


Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati kilang itu melakukan penipuan dalam proses menimbang beras, bagi kampit beras lima kilogram (kg) yang tidak menepati timbangan tepat.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Daerah Kubang Pasu, K. Muniandy memberitahu, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat orang ramai terhadap kilang berkenaan yang menjalankan aktiviti pembungkusan beras dalam pelbagai kuantiti.


"Hasil siasatan mengesyaki kilang itu menipu dan setiap kampit beras seberat lima kg yang dibungkus tidak mencukupi berat yang ditetapkan timbangannya.


"Setiap kampit beras lima kg yang ditimbang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama pegawai daripada Metrology mendapati kampit itu seberat 4.96 kg iaitu kurang 40 gram bagi setiap kampit.


"Penguat kuasa kemudian merampas sebanyak 100 kampit beras yang dianggarkan bernilai RM1,200," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jelas beliau, ia merupakan satu unsur penipuan dalam kuantiti timbangan dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana representasi palsu mengenai kuantiti berat yang tidak tepat bagi setiap kampit beras itu.


Katanya, jika disabit dengan kesalahan syarikat itu boleh didenda sehingga RM100,000. Beliau turut menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi undang undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan KPDNHEP akan mengambil tindakan yang tegas jika ingkar mematuhi.

Vaksin Sinovac dikatakan menyebabkan antibodi menurun selepas enam bulan dos kedua

Vaksin Sinovac dikatakan menyebabkan antibodi menurun selepas enam bulan dos kedua


Keberkesanan antibodi daripada suntikan vaksin Sinovac merosot dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua bagi kebanyakan penerima tetapi suntikan ketiga boleh menggalakkan kekuatannya.


CNA memetik laporan Reuters melaporkan, suntikan ketiga vaksin itu boleh memberi kesan rangsangan yang kuat, menurut satu kajian makmal.


Penyelidik China melaporkan dapatan itu daripada kajian ke atas sampel-sampel darah orang dewasa yang sihat berusia antara 18 dengan 59 tahun dalam satu kertas yang diterbitkan baru-baru ini.


Bagi peserta yang menerima dua dos, dengan jarak dua atau empat minggu antara kedua-duanya, masing-masing hanya mempunyai tahap antibodi 16.9 peratus dan 35.2 peratus melebihi paras ambang enam bulan selepas dos kedua, menurut kertas kajian tersebut.


Bacaan tersebut berdasarkan data daripada dua kohort yang melibatkan lebih 50 peserta, sementara kajian itu memberikan dos ketiga kepada seramai 540 peserta.


Apabila peserta dalam beberapa kohort diberi dos ketiga, kira-kira enam bulan selepas suntikan kedua, sekali gus mempertahankan paras antibodi selepas lagi 28 hari meningkat tiga hingga lima kali ganda berbanding paras yang dilihat empat minggu selepas dos kedua, menurut kajian tersebut.


Kajian tersebut dijalankan pengkaji pihak berkuasa kawalan penyakit di wilayah Jiangsu, Sinovac dan institusi-institusi China lain.


Penyelidik mengingatkan bahawa kajian itu tidak menguji kesan antibodi terhadap varian yang lebih mudah berjangkit dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk menilai tempoh kesan antibodi selepas suntikan ketiga.

Selasa, 27 Julai 2021

Scam berstatus 'Datuk Seri' dihadapkan di Mahkamah tipu Datuk Fizz Fairuz

Scam berstatus 'Datuk Seri' dihadapkan di Mahkamah tipu Datuk Fizz Fairuz


Seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu pelakon Datuk Mohd Fairus Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz berjumlah RM18,100.


Khairul Khuzaini Zamsani, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul Khuzaini didakwa menipu Mohd Fairus Zainal Abidin, 42, sehingga mempercayai beliau memiliki projek pembersihan daripada DBKL berjumlah RM1,810,000.


Tindakan itu didakwa mendorong Fizz Fairuz memasukkan wang berjumlah RM18,100 ke dalam akaun bank milik tertuduh, di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya, di sini, jam 3.52 petang 6 Jun lalu.


Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.


Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, menerusi peguam Khairul Mukhtar memohon dibenarkan jaminan RM2,000 dengan alasan merupakan penanggung tunggal keluarga.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.


Sebelum ini media melaporkan, Fizz Fairuz menanggung kerugian RM18,000 selepas ditipu seorang individu berstatus Datuk Seri yang kononnya membuka tender kontrak pembersihan menggunakan nama DBKL.


Fizz Fairuz membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul pada 1.30 petang, 21 Julai lalu.

Isnin, 26 Julai 2021

Influencer Wanita Maut Terjatuh Kren Setinggi 160 Kaki Ketika Rakam Video

Influencer Wanita Maut Terjatuh Kren Setinggi 160 Kaki Ketika Rakam Video


Seorang wanita pengendali kren menara maut selepas terjatuh dari ketinggian 160 kaki ketika membuat rakaman video menggunakan telefon pintar di China.


Portal The Sun melaporkan, wanita itu, Xiaoqiumei, 23, yang juga selebriti media sosial mempunyai 100,000 pengikut ditemui masih memegang telefon bimbit ketika terjatuh.


Difahamkan, ketika rakaman video dibuat mangsa tersilap langkah sebelum terjatuh. Mangsa meninggal dunia ketika mengendalikan operasi kren berhampiran rumahnya di wilayah Quzhou, Zhejiang.


Ibu anak dua itu kerap berkongsi video kehidupan dan pekerjaannya sebagai pengendali kren menara. Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa lalu (20 Julai 2021) ketika ramai pekerja sudah pulang.



Video yang dirakam wanita itu tular di media sosial, bagaimanapun keluarganya menafikan wanita itu terjatuh kerana mahu merakam video.


Keluarga mangsa memaklumkan dia seorang profesional di tempat kerja dan menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg ketika bekerja. Mangsa difahamkan terlajak satu langkah sebelum jatuh.


Saksi kejadian yang melihatnya jatuh ke bawah mengatakan tangan mangsa masih memegang telefon bimbit ketika tragedi itu berlaku pada jam 5.40 petang.


Difahamkan, Xiao merupakan wanita indivdu kedua di China yang maut dipercayai ketika merakamkan video untuk content media sosial.


Pada 10 Julai lalu, Sofia Cheung, influencer media sosial di Hong Kong dilaporkan maut semasa mengambil swafoto di kawasan air terjun.


Kren yang dikatakan dikendali Xiao.
Masalah Kotak 'Gear' Punca Kenderaan Dipandu Secara Mengundur

Masalah Kotak 'Gear' Punca Kenderaan Dipandu Secara Mengundur


SANDAKAN - Kotak gear didakwa mengalami masalah menyebabkan seorang pemilik pacuan empat roda memandu secara mengundur di atas jalanraya sebelum video kejadian itu tular di media sosial pada Ahad.


Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 10 pagi Sabtu apabila seorang lelaki berusia 44 tahun yang memandu Toyota Land Cruiser dirakam ketika berada di Bandar Kim Fung.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bertindak pantas menyiasat kesahihan video berkenaan selepas kejadian itu tular.


Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Kim Fung. Polis berjaya mengesan kenderaan dan pemandu iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun.


"Pemandu terbabit memberi alasan kenderaan itu mengalami kerosakan teknikal pada bahagian kotak gear dan terpaksa dipandu secara mengundur.


"Bagaimanapun, tindakan sedemikian membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Tambah Mohd Azhar, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.


Tambahnya, pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan khidmat trak tunda untuk menunda kenderaan ke bengkel sekiranya mengalami situasi sedemikian, demi keselamatan bersama.


Kenderaan pacuan empat roda yang tular dipandu secara mengundur di Bandar Kim Fung, Sandakan.
Harimau Bintang Salji Positif Covid-19 Di Zoo San Diego

Harimau Bintang Salji Positif Covid-19 Di Zoo San Diego


Haiwan juga tidak terlepas daripada ancaman Covid-19, dan tebaru seekor harimau bintang salji menjadi mangsa jangkitan virus itu di Zoo San Diego, California selepas disahkan positif Covid-19.


Harimau yang diberi nama Ramil berusia 9 tahun itu disahkan mengidap wabak pandemik itu selepas penjaganya menyedari ia batuk dan selsema pada Khamis.


Najis haiwan itu diuji oleh kakitangan zoo dan di makmal. Kedua-dua ujian itu mengesahkan kehadiran virus itu, kata zoo itu melalui kenyataannya pada Jumaat.


Ramli hanya mempunyai sebelah mata. - Foto Agensi.

Ramil tidak menunjukkan sebarang simptom lain bagaimanapun ia mempunyai kontak rapat dengan harimau bintang salji betina dan dua lagi harimau Siberia. Kakitangan zoo merasakan kesemua binatang itu sudah terdedah dan mereka dikuarantin.


Tidak jelas bagaimana Ramil dijangkiti. Pada Januari, lapan gorila di Taman Tema Safari Zoo San Diego juga dijangkiti Covid-19 bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang simptom.


Pada awal tahun ini, zoo itu menerima vaksin ujian bagi digunakan untuk melindungi haiwan di situ dari jangkitan Covid-19 bagaimanapun Ramil belum disuntik.


Gorila di Zoo San Diego dijangkiti Covid-19 pada Januari 2021 lalu. - Foto fail EPA.

Ahad, 25 Julai 2021

Kebimbangan Perang Dunia Ketiga Mungkin Meletus Lebih Awal

Kebimbangan Perang Dunia Ketiga Mungkin Meletus Lebih Awal

Kapal induk China, Liaoning.

Kebimbangan Perang Dunia Ketiga mungkin meletus lebih awal semakin meningkat. Ia susulan kenyataan pakar ketenteraan Beijing bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menghalang China daripada menceroboh Taiwan, lapor akhbar The Sun pada 24 Julai 2021, semalam.


Du Wentong yang merupakan pakar dari Persatuan Budaya Tentera China berkata, usaha AS untuk menghalang penaklukan pulau tersebut akan berakhir dengan kegagalan.


Ketika ditanya sama ada kemungkinan serangan tentera China ke atas Taiwan akan digagalkan AS, Wenlong berkata, tentera Beijing akan tiba di Taiwan 'dalam tempoh amat singkat' sehinggakan tentera AS tidak sempat untuk campur tangan dalam konflik China-Taiwan.


Amaran itu muncul selepas ketegangan meningkat di laut sekitar China di mana AS dan Jepun dilaporkan mengadakan latihan ketenteraan bersama. AS juga baru-baru ini menandatangani perjanjian penjualan senjata bernilai AS$2.2 bilion (RM9.3 bilion) dengan Taiwan untuk meningkatkan pertahanan Taipei.


Kapal induk dan rombongan kapal perang Amerika Syarikat. - Foto US Navy.

Penjualan senjata itu menimbulkan kemarahan Beijing. Washington juga berjanji untuk meneruskan pelayaran kebebasan navigasi di Laut China Selatan. Sebagai tindak balas, China mengadakan latihan perang besar-besaran selama enam hari di lokasi sekitar 250 kilometer ke utara Taiwan.


China menyatakan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan berulang kali mengugut untuk menawan pulau itu dengan menggunakan kekerasan sekiranya perlu. Wentong memberitahu stesen penyiaran tempatan, CCTV bahawa sebelum tentera AS tiba, tentera China 'sudah menyelesaikan semua pertempuran' sekiranya berlaku pencerobohan ke atas Taiwan.


Kata Wentong, latihan itu merupakan 'amaran serius' kepada Taiwan supaya menghentikan hubungan kententeraannya dengan AS. Presiden China, Xi Jinping berjanji untuk membuat 'penyatuan semula sepenuhnya' dengan Taiwan ketika menyampaikan ucapan sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Parti Komunis China.


Kapal induk Amerika Serikat USS Nimitz telah bergerak menuju Laut China Selatan. - Foto US Navy.

China Menuntut Laut China Selatan Adalah Miliknya


China juga menuntut sebahagian besar perairan di Laut China Selatan yang dipanggil Nine Dash Line atau Sembilan Garis Putus, yang turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.


Kebanyakan negara terlibat mematuhi ketetapan undang-undang antarabangsa bahawa kawasan lautan sejauh 200 batu nautika dari kawasan perairan setiap negara dianggap sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masing-masing.


Bagaimanapun, China pula menggunakan tuntutan sejarah melalui apa yang dipanggil Garisan Putus Sembilan untuk mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya.


Tuntutan itu tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat yang memang memantau rapat pergerakan China di perairan tersebut sehingga menggelar perbuatan republik itu sebagai penjajahan haram.


Laut China Selatan yang dianggap lubuk emas, lantaran ia menjadi laluan perkapalan utama global dan kaya dengan minyak serta gas asli. Menurut Bank Dunia, perdagangan lebih daripada AS$6 trilion (RM25 trilion) nilai barangan melalui kawasan perairan di Laut China Selatan setiap tahun.


Amerika Syarikat dan sekutunya menghantar pesawat dan kapal perang secara berkala ke kawasan yang dituntut China. - Foto fail.

Kapal induk China, Liaoning. - Foto The Sun.