Rabu, 28 Julai 2021

Kilang diserbu lakukan penipuan 'sedut' 40 gram bagi setiap 5kg kampit beras


Sebuah kilang beras diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana dipercayai cuba menipu timbangan beras di Jitra, Kubang Pasu, semalam.


Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati kilang itu melakukan penipuan dalam proses menimbang beras, bagi kampit beras lima kilogram (kg) yang tidak menepati timbangan tepat.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Daerah Kubang Pasu, K. Muniandy memberitahu, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat orang ramai terhadap kilang berkenaan yang menjalankan aktiviti pembungkusan beras dalam pelbagai kuantiti.


"Hasil siasatan mengesyaki kilang itu menipu dan setiap kampit beras seberat lima kg yang dibungkus tidak mencukupi berat yang ditetapkan timbangannya.


"Setiap kampit beras lima kg yang ditimbang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama pegawai daripada Metrology mendapati kampit itu seberat 4.96 kg iaitu kurang 40 gram bagi setiap kampit.


"Penguat kuasa kemudian merampas sebanyak 100 kampit beras yang dianggarkan bernilai RM1,200," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jelas beliau, ia merupakan satu unsur penipuan dalam kuantiti timbangan dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana representasi palsu mengenai kuantiti berat yang tidak tepat bagi setiap kampit beras itu.


Katanya, jika disabit dengan kesalahan syarikat itu boleh didenda sehingga RM100,000. Beliau turut menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi undang undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan KPDNHEP akan mengambil tindakan yang tegas jika ingkar mematuhi.


EmoticonEmoticon