Isnin, 26 Julai 2021

Masalah Kotak 'Gear' Punca Kenderaan Dipandu Secara Mengundur


SANDAKAN - Kotak gear didakwa mengalami masalah menyebabkan seorang pemilik pacuan empat roda memandu secara mengundur di atas jalanraya sebelum video kejadian itu tular di media sosial pada Ahad.


Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 10 pagi Sabtu apabila seorang lelaki berusia 44 tahun yang memandu Toyota Land Cruiser dirakam ketika berada di Bandar Kim Fung.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bertindak pantas menyiasat kesahihan video berkenaan selepas kejadian itu tular.


Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Kim Fung. Polis berjaya mengesan kenderaan dan pemandu iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun.


"Pemandu terbabit memberi alasan kenderaan itu mengalami kerosakan teknikal pada bahagian kotak gear dan terpaksa dipandu secara mengundur.


"Bagaimanapun, tindakan sedemikian membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Tambah Mohd Azhar, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.


Tambahnya, pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan khidmat trak tunda untuk menunda kenderaan ke bengkel sekiranya mengalami situasi sedemikian, demi keselamatan bersama.


Kenderaan pacuan empat roda yang tular dipandu secara mengundur di Bandar Kim Fung, Sandakan.


EmoticonEmoticon