Ahad, 25 Julai 2021

Kebimbangan Perang Dunia Ketiga Mungkin Meletus Lebih Awal

Kapal induk China, Liaoning.

Kebimbangan Perang Dunia Ketiga mungkin meletus lebih awal semakin meningkat. Ia susulan kenyataan pakar ketenteraan Beijing bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menghalang China daripada menceroboh Taiwan, lapor akhbar The Sun pada 24 Julai 2021, semalam.


Du Wentong yang merupakan pakar dari Persatuan Budaya Tentera China berkata, usaha AS untuk menghalang penaklukan pulau tersebut akan berakhir dengan kegagalan.


Ketika ditanya sama ada kemungkinan serangan tentera China ke atas Taiwan akan digagalkan AS, Wenlong berkata, tentera Beijing akan tiba di Taiwan 'dalam tempoh amat singkat' sehinggakan tentera AS tidak sempat untuk campur tangan dalam konflik China-Taiwan.


Amaran itu muncul selepas ketegangan meningkat di laut sekitar China di mana AS dan Jepun dilaporkan mengadakan latihan ketenteraan bersama. AS juga baru-baru ini menandatangani perjanjian penjualan senjata bernilai AS$2.2 bilion (RM9.3 bilion) dengan Taiwan untuk meningkatkan pertahanan Taipei.


Kapal induk dan rombongan kapal perang Amerika Syarikat. - Foto US Navy.

Penjualan senjata itu menimbulkan kemarahan Beijing. Washington juga berjanji untuk meneruskan pelayaran kebebasan navigasi di Laut China Selatan. Sebagai tindak balas, China mengadakan latihan perang besar-besaran selama enam hari di lokasi sekitar 250 kilometer ke utara Taiwan.


China menyatakan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan berulang kali mengugut untuk menawan pulau itu dengan menggunakan kekerasan sekiranya perlu. Wentong memberitahu stesen penyiaran tempatan, CCTV bahawa sebelum tentera AS tiba, tentera China 'sudah menyelesaikan semua pertempuran' sekiranya berlaku pencerobohan ke atas Taiwan.


Kata Wentong, latihan itu merupakan 'amaran serius' kepada Taiwan supaya menghentikan hubungan kententeraannya dengan AS. Presiden China, Xi Jinping berjanji untuk membuat 'penyatuan semula sepenuhnya' dengan Taiwan ketika menyampaikan ucapan sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Parti Komunis China.


Kapal induk Amerika Serikat USS Nimitz telah bergerak menuju Laut China Selatan. - Foto US Navy.

China Menuntut Laut China Selatan Adalah Miliknya


China juga menuntut sebahagian besar perairan di Laut China Selatan yang dipanggil Nine Dash Line atau Sembilan Garis Putus, yang turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.


Kebanyakan negara terlibat mematuhi ketetapan undang-undang antarabangsa bahawa kawasan lautan sejauh 200 batu nautika dari kawasan perairan setiap negara dianggap sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masing-masing.


Bagaimanapun, China pula menggunakan tuntutan sejarah melalui apa yang dipanggil Garisan Putus Sembilan untuk mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya.


Tuntutan itu tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat yang memang memantau rapat pergerakan China di perairan tersebut sehingga menggelar perbuatan republik itu sebagai penjajahan haram.


Laut China Selatan yang dianggap lubuk emas, lantaran ia menjadi laluan perkapalan utama global dan kaya dengan minyak serta gas asli. Menurut Bank Dunia, perdagangan lebih daripada AS$6 trilion (RM25 trilion) nilai barangan melalui kawasan perairan di Laut China Selatan setiap tahun.


Amerika Syarikat dan sekutunya menghantar pesawat dan kapal perang secara berkala ke kawasan yang dituntut China. - Foto fail.

Kapal induk China, Liaoning. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon