Ahad, 25 Julai 2021

Lelaki Pasang Tanduk, Membelah Lidah Dan Robek Mulut Supaya Memiliki 'Senyuman Syaitan'


Seorang penyanyi rap di Brazil melakukan pengubahsuaian ekstrem dengan merobek bahagian pipinya semata-mata untuk memiliki 'senyuman syaitan' lapor akhbar The Sun pada 23 Julai 2021 lalu.


Renato de Santa, 41, turut menjalani pembedahan memasukkan implan tanduk ke dalam pada dahi, mengubah warna anak mata menjadi hitam pekat, membelah lidah supaya bercabang dan mengukir angka syaitan '666' di kepala­nya.


Namun, transformasi paling ekstrem yang dilakukan lelaki itu adalah menjalani prosedur merobek kulit pipinya dari mulut hingga ke telinga dan kini dia memiliki 'mulut sobek' yang diinginkannya.


"Transformasi ini diinspirasikan daripada sebuah legenda Jepun mengenai Kuchisake-onna. Ia menceritakan kisah seorang wanita yang merobek bibirnya hingga ke telinga," kata de Santa.



Menurut legenda itu, Kuchisake-onna akan bertanya kepada mangsa mengenai kecantikan wajahnya. Dia akan membunuh sesiapa sahaja yang menjawab 'tidak' serta merobek kulit mereka yang menjawab 'ya' agar kelihatan sama seperti wajahnya.


Menurut de Santa, dia mene­rima pelbagai reaksi daripada masyarakat sekeliling berhubung penampilannya. Katanya, ada wanita yang meminati penampilannya, namun ada juga bersikap sebaliknya.


"Masih banyak prejudis meskipun dalam dunia tatu, di mana mereka yang mencacah tatu bercorak komersial ada kalanya takut melihat penampilan saya," ujarnya.


Menurut de Santa, meskipun pelbagai cacian diterima terhadap penampilannya, dia berasa bangga dengan keadaannya dan tidak lagi terkesan dengan sebarang kata-kata kejian.


"Saya berasa sangat kacak seperti iblis. Kanak-kanak sangat menyukainya dan melihat saya sebagai superhero. Mereka bertanya bagaimana implan dibuat dan juga mata saya," katanya.


Secara keseluruhan, de Santa menganggarkan kira-kira AS$10,000 (RM42,265) telah dibelanjakan untuk menukar penampilannya itu.


De Santa melakukan transformasi ekstrem untuk mendapatkan senyuman Kuchisake-Onna.


EmoticonEmoticon