Isnin, 21 Jun 2021

Misteri Penemuan Batu Disangka Berlian Rupanya Batu Kuarza

Misteri Penemuan Batu Disangka Berlian Rupanya Batu Kuarza


Harapan ribuan penduduk miskin lebur apabila kerajaan tempatan mengatakan, batu-batu misteri yang menyebabkan ribuan penduduk menggali tanah untuk mendapatkannya di sebuah kawasan lereng bukit di timur Afrika Selatan baru-baru ini bukannya berlian tetapi sebenarnya ialah batu kuarza kristal.


Kuarza ialah salah satu mineral yang paling banyak terdapat di kerak benua Bumi. Merupakan sejenis galian tidak berwarna yang terdiri daripada silika dioksida dan wujud dalam bentuk hablur serta lutsinar. 


Kerajaan tempatan dalam satu kenyataan pada Ahad telah mengesahkan bahawa batu itu bukan berlian, setelah satu pasukan pakar-pakar perlombongan dan sains geologi mengambil sampel-sampel batu itu untuk tujuan penyelidikan bagi memastikan batu-batu tersebut.


"Ujian yang dilakukan secara konklusif mendedahkan bahawa batu-batu yang ditemui di kawasan tersebut bukanlah berlian. Secara faktanya apa yang ditemui (dalam penyelidikan itu) hanyalah kuarza kristal," kata satu kenyataan kerajaan tempatan seperti dilaporkan oleh AFP.


Nilai batu kuarza itu di pasaran adalah lebih rendah berbanding dengan berlian. Hasil penyelidikan itu menjejaskan harapan ribuan penduduk miskin yang sanggup pergi ke kawasan lereng bukit tersebut di wilayah KwaZulu-Natal dua minggu lalu bagi menggali tanah untuk mencari batu-batu berkenaan yang disangka sebagai berlian.


Penemuan batu yang disangka berlian itu pertama kali ditemui oleh seorang penggembala kambing sebelum berita tersebut tersebar dengan cepat di Afrika Selatan.


Lokasi menggali kuarza itu terletak lebih 300 kilometer ke tenggara Johannesburg. Ia terletak berhampiran batuan gunung berapi dikenali sebagai dolerit dan bukannya berada di zon tanah yang mengandungi berlian.


Terdahulu: Tular Lelaki Jumpa Batu 'Berlian' Menyebabkan Beratus Orang Derduyun-duyun Ke Lokasi Itu Membawa Cangkul Dan Penyodok

Gajah 'curi sebungkus beras' pecahkan dinding dapur rumah penduduk

Gajah 'curi sebungkus beras' pecahkan dinding dapur rumah penduduk


Sebuah keluarga dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah liar yang kelaparan dengan kepalanya menembusi dinding dapur rumah mereka dipercayai mencari makanan.


Gajah bernama Plai Bunchuay itu kemungkinan telah menghidu makanan dan menghancurkan struktur dinding rumah tersebut di wilayah Hua Hin, selatan Thailand, pada pagi Ahad lalu kira-kira jam 2 pagi.


Gambar gajah liar yang memecah dinding itu tular di laman Facebook apabila seorang wanita meluahkan perasaan sedih apabila rumahnya sering dikunjungi gajah liar mencari makan.


Rachadawan Phungprasopporn berkata, dia dan suaminya terbangun apabila terdengar bunyi seakan runtuhan dan bergegas ke dapur untuk melihat apa yang telah berlaku.


Mereka terkejut melihat seekor gajah dewasa menyondol dinding dapurnya sehingga berlubang. Gajah itu dilihat tengah leka menyelongkar almari dengan belalainya yang panjang lalu mengambil sebungkus beras kemudian dimasukkan ke mulutnya.



"Gajah ini terkenal di kawasan ini kerana menyebabkan banyak kerosakan. Gajah yang sama pernah datang depan rumah kami kira-kira dua bulan yang lalu, tetapi ketika itu dia tidak merosakkan apa-apa," katanya.


Susulan aduan itu yang menjadi tular di media sosial, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemeliharaan Tumbuhan dan agensi kerajaan lain di wilayah tersebut sedang mengadakan perbincangan mengenai pampasan pemilik rumah atas kerosakan yang berlaku.


"Sebagai permulaan, agensi kerajaan akan membaiki rumah mangsa secepat mungkin. Pegawai kami telah memberi kesedaran mengenai cara mencegah bahaya dari serangan gajah liar di daerah tersebut," kata jabatan itu.


Lubang yang terbentuk di dapur seorang pemilik rumah akibat disondol gajah liar. - Foto Viral Press.

Jabatan Hidupan Liar tempatan berjanji akan membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat. - Foto Viral Press.
Seorang Kanak-Kanak Menemui Fosil Tapak Kaki Dinosaur Berusia 215 Juta Tahun

Seorang Kanak-Kanak Menemui Fosil Tapak Kaki Dinosaur Berusia 215 Juta Tahun


Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dari Wales menemui sebuah fosil tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun yang terperlihara dengan sempurna.  


Lily Wilder yang berasal dari Llandough, berhampiran Cardiff, menemui tapak kaki haiwan itu di sebuah pantai di Bendricks Bay berhampiran Barry, ketika keluar berjalan bersama ayahnya, Richard, 47.


"Kami hanya berjalan-jalan di pantai, benar-benar tidak menyangka sesuatu yang istimewa akan berlaku, dan kemudian Lily melihat fosil itu dan berkata, 'ayah, lihat ini,'" kata ayah Lily.


Ibu kanak-kanak itu, Sally, 38, berkata, pada mulanya mereka menyangka ukiran tapak kaki itu dilakukan oleh artis.


"Apabila Richard pulang ke rumah dan menunjukkan gambar tapak kaki itu, saya sangka ia diukir oleh artis. Namun, saya tahu sebelum ini tapak kaki dinosaur juga pernah ditemui di kawasan itu," katanya.   


Menurut Richard, mereka menemui jejak itu pada 23 Januari 2021, dan berkongsi gambar tersebut di media sosial Facebook untuk mengetahui adakah sesiapa yang dapat mengenal pasti ukir tersebut.


Tidak lama kemudian, mereka dihubungi oleh seorang pegawai muzium yang meminta menunjukkan lokasinya. Pasukan penyelidik kemudian megeluarkan batu itu dari pantai untuk kajian lebih lanjut dijalankan.



Ukiran itu disahkan fosil tapak dinosaur dan kini dipamerkan di National Museum Cardiff untuk para saintis dan pencinta dinosaur generasi akan datang untuk menghargai. Nama Lily Wilder turut tertera disamping batu itu sebagai orang yang menemui.


Pihak muzium berterima kasih kepada keluarga Richard terutamanya kepada Lily. Dinosaur pertama kali muncul di Bumi sekitar 230 juta tahun yang lalu, ini bermaksud penemuan jejak ini sangat penting.


"Ia mewakili titik awal yang sangat penting dalam evolusi mereka, ketika kumpulan dinosaurus yang berlainan mula-mula melakukan diversifikasi," kata pihak muzium.


Tapak kaki itu berukuran lebih 9.91 sentimeter (cm) panjang dan dipercayai milik dinasour berkaki dua yang spesiesnya masih belum diketahui lagi. Menurut pakar, haiwan yang menghasilkan tapak kaki itu mungkin setinggi 75cm dan panjangnya berukuran 2.5 meter.


Dalam pada itu, ahli arkeologi, Karl-James Langford menyifatkan penemuan tapak kaki dinasour berusia 215 juta tahun sebagai terbaik di Britain dalam tempoh sedekad. Katanya, penemuan itu sangat sempurna dan merupakan karya yang indah. Sumber: Jemma Carr/Daily Mail (03/2/2021).


Lily Wilder menemui tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun di sebuah pantai di Bendricks Bay. - Foto WALES NEWS SERVICE.

Lily Wilder menemui tapak kaki dinosaur berusia 215 juta tahun di sebuah pantai di Bendricks Bay. - Foto WALES NEWS SERVICE.

Ahad, 20 Jun 2021

Pencuri tong sampah jenis besi diberkas polis

Pencuri tong sampah jenis besi diberkas polis


Seorang lelaki dipercayai mencuri tong sampah dicekup polis dalam serbuan di kawasan Bayan Baru, kelmarin. Tong sampah jenis besi itu dicuri menggunakan lori pada Rabu di kawasan Kepala Batas.


Suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.50 petang selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan tong sampah itu hadapan kedai di Kepala Batas Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penahanan suspek dibuat selepas polis menerima laporan daripada pemilik sebuah kedai aluminium yang memaklumkan kehilangan tong sampah jenis besi di hadapan premisnya.


Katanya, mangsa kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis sebelum mendapati sebuah lori tidak dikenali telah menarik tong sampah itu dan terus beredar, sekitar 6.30 pagi Rabu lalu.


"Mangsa membuat laporan keesokannya dan siasatan polis mendapati, sejak dua tahun lalu tong sampah itu diletakkan di kawasan tidak berpagar di hadapan kedai.


"Polis menyemak rakaman CCTV untuk mencari petunjuk sebelum berjaya menjejaki keberadaan suspek dan membuat tangkapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, suspek mengaku mencuri tong sampah itu menggunakan lori miliknya dan semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.


Menurutnya, polis merampas sebuah lori jengkaut yang digunakan suspek dalam kegiatan itu, sebuah tong sampah bertutup kain kanvas yang berada di atas lori dan serangkai anak kunci untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Gagal kawal emosi lihat rumah terbakar, lelaki tumbuk anggota bomba direman empat hari

Gagal kawal emosi lihat rumah terbakar, lelaki tumbuk anggota bomba direman empat hari


Seorang anggota bomba cedera selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati, dan mendakwa bomba tiba lewat di lokasi kejadian di Kampung Belipat, Jalan Punang di Lawas, Sarawak pada Sabtu.


Menerusi satu rakaman video berdurasi 54 saat, lelaki tersebut dilihat berlari ke arah anggota bomba yang sedang terlibat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran sebelum menumbuknya, menyebabkan anggota berkenaan terjatuh di atas tanah.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, ia kejadian pertama serangan terhadap anggota bomba ketika sedang menjalankan tugas berlaku di Sarawak.



Pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas. Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba yang sedang menjalankan tugas memadam kebakaran sebuah rumah pada jam 3.18 petang, mendakwa gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar.


"Anggota bomba terbabit juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam pada hari yang sama.


"Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya," katanya.


Menurut Khirudin, dalam isu itu, JBPM menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi.


Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, polis meneruskan siasatan walaupun mangsa menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap suspek berusia 30 tahun itu, malam tadi.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba itu ditahan reman empat hari mulai hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam.


Anggota bomba sedang menjalankan tugas memadam kebakaran rumah di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam.

Seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.

Sabtu, 19 Jun 2021

Disembunyikan Bertahun Lamanya Kerana Disangka Bongkah Emas, Rupanya Benda itu Lebih Berharga

Disembunyikan Bertahun Lamanya Kerana Disangka Bongkah Emas, Rupanya Benda itu Lebih Berharga


Berbekal alat pengesan logam, David Hole mencari simpanan mineral di Maryborough Regional Park dekat Melbourne, Australia, pada tahun 2015 lalu. Dia menjumpai ketulan batu yang kelihatan aneh, batu yang sangat tebal dan kemerahan tertanam dalam tanah liat.


David kemudian membawa batu itu ke rumah dan berusaha sedaya upaya untuk memecahkannya. Dia mencuba dengan gergaji batu, penggiling sudut batu, gerudi, bahkan memasukkan objek itu ke dalam asid tetapi tidak berjaya.


Percaya bahawa batu itu berisi emas, dia kemudian menyimpannya. Setelah bertahun-tahun berlalu, David Hole mula mengsyaki bahawa batu itu mungkin meteorit yang jatuh dari angkasa. Dia kemudian memutuskan untuk membawa batu itu ke Melbourne Museum untuk diperiksa.


"Ia memiliki bentuk unik seperti diukir dan berliku. Ini terbentuk ketika meteoroid melalui atmosfera bumi apabila berlaku geseran yang membakar bahagian luarnya," kata ahli geologi muzium Dermot Henry kepada The Sydney Morning Herald, yang mengsahkan bahawa objek misteri itu adalah meteorit.



Henry berkata, setiap hari ada orang menghantar batu yang dianggap meteorit untuk diperiksa. Selama 37 tahun bekerja di muzium dan memeriksa ribuan batu, Henry mengatakan hanya dua batu adalah meteorit sebenar, salah satunya adalah batu milik David.


Meteorit yang dijumpai David itu diterbitkan dalam sebuah rencana atau makalah ilmiah yang menggambarkan meteorit berusia 4.6 bilion tahun. Diberi nama Maryborough, diambil dari bandar berhampiran tempat meteorit itu dijumpai.


Meteorit seberat 17 kilogram itu dipotong menggunakan alat pemotong berlian, mereka mendapati komposisinya mempunyai peratusan besi yang tinggi, menjadikannya konduktor H5 biasa. Setelah dibuka, dapat dilihat kilauan kecil mineral kristal di dalamnya yang disebut chondrules.


Penyelidik berpendapat meteorit Maryborough jauh lebih jarang daripada emas. Ini adalah salah satu daripada hanya 17 meteorit yang pernah direkodkan di negara Victoria, Australia. Ia juga adalah jisim chondritic kedua terbesar selepas spesimen 55 kilogram yang ditemui pada tahun 2003.


Batu besar yang disangka emas rupanya batu meteorit. - Foto Melbourne Museum.
Fosil badak gergasi yang lebih tinggi dari zirafah dengan berat empat kali gajah Afrika ditemui di China

Fosil badak gergasi yang lebih tinggi dari zirafah dengan berat empat kali gajah Afrika ditemui di China


Spesies baharu badak gergasi purba telah ditemui di bahagian barat laut China. Badak gergasi ini mungkin mamalia terbesar yang pernah tinggal di darat, dan merupakan salah satu yang terbesar dari jenisnya, kata para penyelidik.


Diberi nama Paraceratherium Linxiaense, badak ini dipercayai hidup kira-kira 26.5 juta tahun lalu dan seberat 21 tan atau setara dengan empat gajah Afrika. Haiwan tanpa tanduk ini mencapai ketinggian hingga tujuh meter, menjadikannya lebih tinggi dari zirafah.


Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Communication Biology pada khamis lalu, para penyelidik mengatakan bahawa analisis fosil yang ditemui di wilayah Wangjiachuan pada tahun 2015, menunjukkan bahawa itu adalah fosil spesies baharu.


Menurut penyelidikan yang diketuai oleh Dr Deng Tao dari Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoanthropologi di Beijing, mengatakan bahawa fosil itu ditemui dalam keadaan baik dan berbeza dari spesies badak lain.



"Fosil itu berbeza dari spesies badak gergasi yang telah diketahui sebelumnya. Tengkorak dan tulang rahang yang dijumpai dalam keadaan baik, menunjukkan bahawa haiwan itu memiliki tengkorak langsing, serta batang hidung yang serupa dengan tapir moden," katanya.


Menurutnya, pasukan penyelidik juga mendapati bahawa spesies baharu itu berkait rapat dengan badak gergasi yang pernah hidup di Pakistan. Ini sekaligus menunjukkan bahawa badak gergasi ini telah melakukan perjalanan melintasi Asia Tengah.


Sekiranya badak itu dapat berkeliaran bebas di antara barat laut China dan benua India-Pakistan, ini menunjukkan bahawa dataran tinggi Tibet kemungkinan memiliki beberapa kawasan rendah pada waktu itu.


"Keadaan tropis memungkinkan badak gergasi untuk kembali ke utara ke Asia Tengah, menyiratkan bahawa wilayah Tibet ketika itu mungkin terdapat kawasan rendah dan lama kelamaan berubah menjadi dataran tinggi seperti sekarang," kata Prof Deng dalam satu kenyataan.


Holotaip (HMV 2006) Paraceratherium Linxiaense yang terdiri daripada bahan tengkorak dan rahang. - Foto The Chinese Academy of Sciences.

Penyelidik menunjukkan salah satu bahagian rangka badak gergasi itu. - Foto Tao, D. Communications Biology.
Harimau Serang Tuannya Mengigit Leher Hingga Patah Serta Membunuh Harimau Lain

Harimau Serang Tuannya Mengigit Leher Hingga Patah Serta Membunuh Harimau Lain


Seorang penjaga zoo Afrika Selatan maut dibaham seekor harimau Siberia selepas pagar elektrik di taman haiwan Seaview Predator Park di bandar Port Elizabeth dimatikan.


Lapor akhbar The Sun pada khamis (17 Jun 2021), David Solomon, 52, digigit beberapa kali, manakala lehernya patah selepas diserang harimau itu dalam satu insiden yang berlaku dengan pantas.


Jasper yang merupakan seekor harimau Siberia yang ganas memanjat pagar elektrik setinggi 12 kaki itu, lalu menyerang Solomon ketika arus elektrik dimatikan kerana kerja pembaikan sedang dilakukan.


Solomon yang sedar haiwan pemangsa seberat 306 kilogram itu sedang mengejarnya, cuba untuk memanjat sebuah pagar lain namun tidak berjaya selepas tubuhnya diseret ke bawah.


Selepas membaham penjaganya itu, Jasper melompat ke arah pagar lain dan membunuh seekor harimau jantan bernama Judah. Jasper kemudian berusaha mengawan dengan harimau betina bernama Amber.


Seorang doktor haiwan menembak Jasper dan Amber dengan ubat pelali untuk membolehkan kakitangan mengambil jenazah rakan mereka dan mayat Judah dari kandang.



"Jasper merupakan harimau besar dan anda perlu berhati-hati dengannya. Namun, Solomon telah menjaga ia semenjak kecil dan amat sayangkan Jasper," kata seorang bekas pekerja zoo itu.


Seorang jurucakap Seaview Predator Park berkata, semua staf di situ sedih dan juga trauma ekoran insiden tersebut.


"Kami merupakan sebuah keluarga besar dan pemergian Solomon menyebabkan kami bersedih hati dan trauma terutamanya pekerja dan sukarelawan yang ada di situ semasa kejadian," katanya.


Pekerja zoo menambah, kejadian itu dipercayai berlaku akibat 'dorongan hormon' dan haiwan tersebut kini sedang berada dalam keadaan tenang. Setakat ini, tiada perancangan untuk 'menghapuskan' Jasper dan pasukan polis Afrika Selatan sedang menyiasat kejadian itu.


Pekerja zoo mengangkat harimau Siberia yang telah ditenangkan dengan ubat pelali. - Foto Seaview Predator Park.

Harimau bernama Judah dan  Amber yang turut diserang. - Foto Seaview Predator Park.

Jumaat, 18 Jun 2021

Lelaki didakwa mencuri 58 pakaian 'dalam' wanita mengaku tidak bersalah

Lelaki didakwa mencuri 58 pakaian 'dalam' wanita mengaku tidak bersalah


Lelaki yang mencuri 58 helai pakaian 'dalam' wanita pelbagai jenama milik jirannya, dan menyembunyikan di dalam bilik tidur di rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, hari ini.


Tertuduh, Ong Kok Thye, 23, seorang pelayan restoran dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana gagal memberi keterangan memiliki 58 pakaian itu. Bagaimanpun, suspek mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Barath Manian.


Mengikut pertuduhan, Kok Thye didapati miliki 58 helai pakaian wanita iaitu seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana tertuduh tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana barang tersebut diperoleh.



Kok Thye didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Jun lalu kira-kira 12.15 tengah hari di Condo Ridzuan, Jalan PJS10/24, Dataran Mentari. Dia dituduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.


Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Zafirah Syed Mustapa manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan juga penjamin.


Zafirah menawarkan wang jaminan RM1,000 kepada tertuduh. Majistret membenarkan jaminan RM1,000 kepada tertuduh dan menetapkan 9 September ini tarikh sebutan semula kes. Tertuduh tidak membuat sebarang rayuan berhubung jumlah jaminan itu.


Media semalam melaporkan, seorang lelaki mencuri 58 helai pakaian wanita pelbagai jenama milik jirannya dipercayai untuk memuaskan nafsu. Perkara itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun pada pukul 1.50 petang, Selasa lalu.


Menurut polis, mangsa ternampak suspek berlegar-legar dalam lif pada pukul 10.30 pagi, hari yang sama. Wanita itu yang mengesyaki suspek terlibat dalam kes kehilangan pakaian miliknya sebelum ini, lalu memaklumkan kepada suaminya dan pihak pengurusan kondominium.


Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Way memberkas suspek pada pukul 12.15 tengah hari di lokasi sama. Suspek mengaku dia mencuri pakaian mangsa dan menunjukkan penyimpanan pakaian tersebut di rumahnya.


Menurut polis, pihaknya merampas 58 pakaian dalam wanita pelbagai jenama dan sebatang kayu yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk mengait pakaian tersebut.


Antara pakaian dalam wanita yang dicuri seorang lelaki berusia 23 tahun semasa penahanan di rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway. - Foto PDRM

Antara pakaian dalam wanita yang dicuri seorang lelaki berusia 23 tahun semasa penahanan di rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway. - Foto PDRM

Antara pakaian dalam wanita yang dicuri seorang lelaki berusia 23 tahun semasa penahanan di rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway. - Foto PDRM
Saintis berjaya menghidupkan semula haiwan yang dibekukan 30 tahun

Saintis berjaya menghidupkan semula haiwan yang dibekukan 30 tahun


Institut Penyelidikan Kutub Nasional Jepun mengatakan bahawa para saintis telah berjaya menghidupkan semula makhluk tardigrade yang ditemui di Antartika. Makhluk bercirikan badan yang kecil seni itu telah dibekukan selama 30 tahun.


Tardigrade juga dikenal sebagai beruang air atau babi lumut, adalah makhluk sangat kecil berkaki lapan yang dapat hidup dalam keadaan persekitaran yang melampau baik dari segi suhu, tekanan serta kandungan udara dan air, yang biasanya boleh membunuh banyak hidupan lain.


Mikroorganisma ini tinggal di dalam air yang berukuran kurang dari 1 mm dan hidup dalam keadaan ekstrem. Tardigrade mampu melambatkan atau menghentikan aktiviti metabolisme untuk jangka masa yang panjang. Malah, ia didapati mampu bertahan kepada radiasi sehingga selamat dari pendedahan dalam persekitaran angkasa lepas.


Menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam majalah Cryobiology, tardigrades ditemui di antara lumut di Antartika pada tahun 1983. Mikroorganisma itu dipindahkan dan disimpan pada suhu minus 20 darjah Celsius, kemudian dicairkan pada bulan Mei 2014.


Makhluk itu akhirnya berjaya dihidupkan semula baru-baru ini. Tardigrade terakhir mula bergerak dan memakan makanan setelah dua minggu ia dicairkan. Makhluk itu juga bertelur sebanyak 19 telur, 14 daripadanya berjaya menetas.


Sebelum ini, tardigrade lain berjaya dihidupkan semula setelah sembilan tahun dibekukan, tetapi ini dianggap sebagai kejadian kebangkitan pertama yang berjaya menghidupkan semula makhluk itu setelah 30 tahun dibekukan.


"Kajian ini memperluas kelangsungan hidup spesies tardigrade jangka panjang dengan ketara. Kajian lebih terperinci dan lebih lanjut menggunakan analisis kuantitatif dengan replikasi yang lebih besar.


"Dalam pelbagai keadaan terkawal akan meningkatkan pemahaman tentang mekanisme dan keadaan yang mendasari pemeliharaan dan kelangsungan hidup jangka panjang haiwan," tulis para penyelidik dalam laporan itu. Sumber: Siobhan Fenton/Independent (16/6/2021).