Isnin, 21 Jun 2021

Gajah 'curi sebungkus beras' pecahkan dinding dapur rumah penduduk


Sebuah keluarga dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah liar yang kelaparan dengan kepalanya menembusi dinding dapur rumah mereka dipercayai mencari makanan.


Gajah bernama Plai Bunchuay itu kemungkinan telah menghidu makanan dan menghancurkan struktur dinding rumah tersebut di wilayah Hua Hin, selatan Thailand, pada pagi Ahad lalu kira-kira jam 2 pagi.


Gambar gajah liar yang memecah dinding itu tular di laman Facebook apabila seorang wanita meluahkan perasaan sedih apabila rumahnya sering dikunjungi gajah liar mencari makan.


Rachadawan Phungprasopporn berkata, dia dan suaminya terbangun apabila terdengar bunyi seakan runtuhan dan bergegas ke dapur untuk melihat apa yang telah berlaku.


Mereka terkejut melihat seekor gajah dewasa menyondol dinding dapurnya sehingga berlubang. Gajah itu dilihat tengah leka menyelongkar almari dengan belalainya yang panjang lalu mengambil sebungkus beras kemudian dimasukkan ke mulutnya.



"Gajah ini terkenal di kawasan ini kerana menyebabkan banyak kerosakan. Gajah yang sama pernah datang depan rumah kami kira-kira dua bulan yang lalu, tetapi ketika itu dia tidak merosakkan apa-apa," katanya.


Susulan aduan itu yang menjadi tular di media sosial, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemeliharaan Tumbuhan dan agensi kerajaan lain di wilayah tersebut sedang mengadakan perbincangan mengenai pampasan pemilik rumah atas kerosakan yang berlaku.


"Sebagai permulaan, agensi kerajaan akan membaiki rumah mangsa secepat mungkin. Pegawai kami telah memberi kesedaran mengenai cara mencegah bahaya dari serangan gajah liar di daerah tersebut," kata jabatan itu.


Lubang yang terbentuk di dapur seorang pemilik rumah akibat disondol gajah liar. - Foto Viral Press.

Jabatan Hidupan Liar tempatan berjanji akan membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat. - Foto Viral Press.


EmoticonEmoticon