Sabtu, 19 Jun 2021

Harimau Serang Tuannya Mengigit Leher Hingga Patah Serta Membunuh Harimau Lain


Seorang penjaga zoo Afrika Selatan maut dibaham seekor harimau Siberia selepas pagar elektrik di taman haiwan Seaview Predator Park di bandar Port Elizabeth dimatikan.


Lapor akhbar The Sun pada khamis (17 Jun 2021), David Solomon, 52, digigit beberapa kali, manakala lehernya patah selepas diserang harimau itu dalam satu insiden yang berlaku dengan pantas.


Jasper yang merupakan seekor harimau Siberia yang ganas memanjat pagar elektrik setinggi 12 kaki itu, lalu menyerang Solomon ketika arus elektrik dimatikan kerana kerja pembaikan sedang dilakukan.


Solomon yang sedar haiwan pemangsa seberat 306 kilogram itu sedang mengejarnya, cuba untuk memanjat sebuah pagar lain namun tidak berjaya selepas tubuhnya diseret ke bawah.


Selepas membaham penjaganya itu, Jasper melompat ke arah pagar lain dan membunuh seekor harimau jantan bernama Judah. Jasper kemudian berusaha mengawan dengan harimau betina bernama Amber.


Seorang doktor haiwan menembak Jasper dan Amber dengan ubat pelali untuk membolehkan kakitangan mengambil jenazah rakan mereka dan mayat Judah dari kandang.



"Jasper merupakan harimau besar dan anda perlu berhati-hati dengannya. Namun, Solomon telah menjaga ia semenjak kecil dan amat sayangkan Jasper," kata seorang bekas pekerja zoo itu.


Seorang jurucakap Seaview Predator Park berkata, semua staf di situ sedih dan juga trauma ekoran insiden tersebut.


"Kami merupakan sebuah keluarga besar dan pemergian Solomon menyebabkan kami bersedih hati dan trauma terutamanya pekerja dan sukarelawan yang ada di situ semasa kejadian," katanya.


Pekerja zoo menambah, kejadian itu dipercayai berlaku akibat 'dorongan hormon' dan haiwan tersebut kini sedang berada dalam keadaan tenang. Setakat ini, tiada perancangan untuk 'menghapuskan' Jasper dan pasukan polis Afrika Selatan sedang menyiasat kejadian itu.


Pekerja zoo mengangkat harimau Siberia yang telah ditenangkan dengan ubat pelali. - Foto Seaview Predator Park.

Harimau bernama Judah dan  Amber yang turut diserang. - Foto Seaview Predator Park.


EmoticonEmoticon