Sabtu, 19 Jun 2021

Fosil badak gergasi yang lebih tinggi dari zirafah dengan berat empat kali gajah Afrika ditemui di China


Spesies baharu badak gergasi purba telah ditemui di bahagian barat laut China. Badak gergasi ini mungkin mamalia terbesar yang pernah tinggal di darat, dan merupakan salah satu yang terbesar dari jenisnya, kata para penyelidik.


Diberi nama Paraceratherium Linxiaense, badak ini dipercayai hidup kira-kira 26.5 juta tahun lalu dan seberat 21 tan atau setara dengan empat gajah Afrika. Haiwan tanpa tanduk ini mencapai ketinggian hingga tujuh meter, menjadikannya lebih tinggi dari zirafah.


Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Communication Biology pada khamis lalu, para penyelidik mengatakan bahawa analisis fosil yang ditemui di wilayah Wangjiachuan pada tahun 2015, menunjukkan bahawa itu adalah fosil spesies baharu.


Menurut penyelidikan yang diketuai oleh Dr Deng Tao dari Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoanthropologi di Beijing, mengatakan bahawa fosil itu ditemui dalam keadaan baik dan berbeza dari spesies badak lain.



"Fosil itu berbeza dari spesies badak gergasi yang telah diketahui sebelumnya. Tengkorak dan tulang rahang yang dijumpai dalam keadaan baik, menunjukkan bahawa haiwan itu memiliki tengkorak langsing, serta batang hidung yang serupa dengan tapir moden," katanya.


Menurutnya, pasukan penyelidik juga mendapati bahawa spesies baharu itu berkait rapat dengan badak gergasi yang pernah hidup di Pakistan. Ini sekaligus menunjukkan bahawa badak gergasi ini telah melakukan perjalanan melintasi Asia Tengah.


Sekiranya badak itu dapat berkeliaran bebas di antara barat laut China dan benua India-Pakistan, ini menunjukkan bahawa dataran tinggi Tibet kemungkinan memiliki beberapa kawasan rendah pada waktu itu.


"Keadaan tropis memungkinkan badak gergasi untuk kembali ke utara ke Asia Tengah, menyiratkan bahawa wilayah Tibet ketika itu mungkin terdapat kawasan rendah dan lama kelamaan berubah menjadi dataran tinggi seperti sekarang," kata Prof Deng dalam satu kenyataan.


Holotaip (HMV 2006) Paraceratherium Linxiaense yang terdiri daripada bahan tengkorak dan rahang. - Foto The Chinese Academy of Sciences.

Penyelidik menunjukkan salah satu bahagian rangka badak gergasi itu. - Foto Tao, D. Communications Biology.


EmoticonEmoticon