Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Scam. Papar semua catatan

Isnin, 9 November 2026

Menyamar anggota polis untuk peras ugut warga emas, pasangan suami isteri dicekup penduduk

Menyamar anggota polis untuk peras ugut warga emas, pasangan suami isteri dicekup penduduk

Gambar Hiasan

DUNGUN - Cubaan sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis bagi memperdaya dan memeras ugut seorang wanita warga emas akhirnya terbongkar apabila mereka dikepung penduduk kampung di Felda Rasau Kerteh 3, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.


Mangsa, Mariani Ismail, 64, sebelum ini diperdaya menerusi panggilan video oleh seorang suspek yang memakai pakaian seragam pasukan keselamatan dengan latar belakang menyerupai IPD Kuantan.


Akibat ugutan dan dakwaan palsu yang menyebabkan mangsa panik, wanita itu menyerahkan tiga utas barang kemas bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.


Bagaimanapun, pasangan terbabit kembali ke rumah mangsa semalam untuk menuntut wang tunai tambahan sebanyak RM50,000, tanpa menyedari keluarga dan penduduk kampung sudah bersiap sedia mengesan mereka.


Menyedari ditipu dalam insiden pertama, Mariani telah membuat laporan polis, sekali gus membolehkan ahli keluarga dan penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan pergerakan suspek.


Suami mangsa, Zakaria Ibrahim berkata, suspek enggan masuk ke rumah sebaliknya meminta wang berkenaan diletakkan di dalam peti surat di hadapan kediaman mereka.


Beliau kemudian mengumpan pasangan itu dengan meminta mereka mengambil sendiri wang berkenaan dari dalam kereta.


Tindakan itu berjaya apabila kedua-dua suspek dikepung penduduk kampung yang menunggu di sekitar rumah sebelum diserahkan kepada polis.


Menurut Zakaria, dua suspek warga asing itu dipercayai telah menggadaikan barang kemas isterinya di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur dengan nilai hampir RM13,000.


Kedua-duanya kemudian dibawa ke IPD Dungun untuk membantu siasatan dan dijangka direman di Mahkamah Majistret Dungun.

Khamis, 29 Oktober 2026

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki wang RM347,800 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan sembilan tahun lalu.


Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman terhadap Rosnani Shaikh Mahmud, 56, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh. Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta.


Mengikut pertuduhan, Rosnani didapati memiliki wang RM347,800 milik Lim Chwee Hoon, 61, yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank miliknya antara 24 hingga 31 Oktober 2017.


Kesalahan itu dilakukan selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai sumber wang berkenaan.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Siasatan mendapati mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki warga Korea menggunakan nama Kenny Wang menerusi Facebook sebelum berhubung melalui WhatsApp.


Lelaki terbabit mendakwa menghantar bungkusan mengandungi wang tunai AS$100,000, iPad, beg tangan dan cincin kepada mangsa. Bagaimanapun, seorang individu yang mengaku sebagai ejen penghantaran meminta mangsa membuat bayaran bagi melancarkan penghantaran bungkusan itu.


Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza, namun bungkusan yang dijanjikan tidak pernah diterima. Siasatan polis akhirnya mengesan RM347,800 daripada wang mangsa masuk ke akaun tertuduh.


Rosnani yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan berstatus ibu tunggal serta menghidap diabetes dan darah tinggi.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar memohon hukuman setimpal dengan menegaskan kepentingan awam perlu diutamakan, lebih-lebih lagi wang berkenaan masih belum dikembalikan kepada mangsa.

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000


KUCHING - Helah dua beradik menjalankan kegiatan penipuan menerusi promosi permainan judi dalam talian tidak wujud membawa padah apabila masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam.


Kedua-dua tertuduh berusia 26 dan 22 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah selepas dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.


Mengikut pertuduhan, mereka bersubahat memperdaya mangsa supaya menyerahkan wang bagi menyertai aktiviti perjudian dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kalien, Padawan, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 23 Oktober lalu.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda.


Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang disyaki menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi menjalankan penipuan promosi judi dalam talian.


Sindiket terbabit dipercayai menawarkan ganjaran lumayan menerusi laman web perjudian palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Filipina dan China.


Dalam serbuan itu, polis merampas tiga telefon pintar dan dua komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Hasil analisis peranti turut menemukan petunjuk kewujudan aktiviti pengehosan laman web penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa dari kedua-dua negara berkenaan.


Kes dikendalikan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama.

Rabu, 28 Oktober 2026

Kediaman mewah disyaki jadi sarang penipuan pelaburan, 20 warga asing dicekup

Kediaman mewah disyaki jadi sarang penipuan pelaburan, 20 warga asing dicekup


KUALA LUMPUR - Di sebalik kemewahan empat unit kediaman di kawasan Pudu, tersembunyi kegiatan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa di beberapa negara.


Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu kediaman berkenaan di sekitar Jalan San Peng, semalam, sebelum menahan 20 warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula kira-kira jam 11.45 pagi itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.


Menurutnya, individu yang ditahan terdiri daripada warga Taiwan, China, India dan Thailand yang dipercayai mengendalikan kegiatan penipuan mengikut kumpulan sasaran negara masing-masing, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun.


"Sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah bagi dijadikan pusat operasi untuk mengaburi pihak berkuasa.


"Siasatan mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan.


Sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu dengan waktu operasi antara jam 8 pagi hingga 8 malam.


Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa turut menemukan skrip penipuan dalam bahasa Thailand serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Antara yang dirampas ialah 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet, empat walkie-talkie, 11 pasport, kad akses dan wang tunai RM5,370.


Turut disita beberapa mata wang asing, termasuk 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.


Pemeriksaan di sebuah unit kediaman turut menemukan pelbagai jenis ubat yang dipercayai dibawa dari luar negara.


Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Zakaria menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Menyamar pegawai pengiring Raja Muda Selangor, lelaki tipu mangsa RM1.42 juta

Menyamar pegawai pengiring Raja Muda Selangor, lelaki tipu mangsa RM1.42 juta


SHAH ALAM - Tindakan licik seorang lelaki menyamar sebagai pegawai pengiring Raja Muda Selangor sejak 2023 bagi memperdaya orang ramai menggunakan nama dan imej institusi diraja akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis di Johor Bahru, Selasa lalu.


Lebih mengejutkan, kegiatan penipuan suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengakibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM1.42 juta melibatkan 26 laporan polis di seluruh negara.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditahan di sebuah kondominium dipercayai milik kenalannya di Johor Bahru kira-kira jam 5 petang selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober lalu.


Menurutnya, siasatan mendapati suspek menggunakan gambar Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa sebelum menawarkan urusan penjualan kenderaan dan hartanah pada harga tertentu.


"Sebanyak 26 laporan polis diterima di seluruh negara, termasuk 15 laporan di Selangor dengan jumlah kerugian RM960,020," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.


Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2023 dan turut melibatkan mangsa dari beberapa negeri lain.


Dalam perkembangan sama, polis turut menahan dua beradik yang dipercayai membantu menyembunyikan suspek utama.


Kedua-duanya terdiri daripada seorang wanita berusia 26 tahun dan abangnya berusia 27 tahun yang diberkas di lokasi berasingan, masing-masing di Shah Alam dan Johor Bahru.


"Hasil perkongsian maklumat orang ramai membantu polis mengesan serta menahan suspek utama dalam operasi yang dijalankan," katanya.


Menurut Shazeli, siasatan turut melibatkan beberapa kontinjen polis lain termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.


Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu disahkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kakitangan istana atau mana-mana institusi diraja Selangor.


Antara hartanah yang ditawarkan kepada mangsa termasuk rumah atas tanah dan kondominium, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi kegiatan berkenaan.


Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.


Pentadbiran Istana Selangor sebelum ini turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.


Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan nama atau imej kerabat diraja untuk menawarkan urusan jual beli, selain memastikan setiap transaksi kewangan dibuat selepas pengesahan menerusi saluran rasmi.

Terbabit kegiatan penipuan Love Scam, empat lelaki didenda RM3,000 setiap seorang

Terbabit kegiatan penipuan Love Scam, empat lelaki didenda RM3,000 setiap seorang


BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki tempatan masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berpakat melakukan penipuan dalam talian membabitkan sindiket Love Scam.


Tertuduh, Ho Kui Ming, 33; Edmund Yii Kan Xi, 26; Choo Xin Thuan, 33; dan Tiong Weng Chiong, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di sebuah premis di Taman Alma Indah, Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 11.15 malam pada 19 Oktober lalu.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.


Dalam rayuan, peguam yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guam mereka mengaku bersalah pada peringkat awal, sekali gus menjimatkan masa dan kos perbicaraan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

Jumaat, 16 Oktober 2026

Tujuh warga China didakwa menipu pelaburan mata wang kripto di Forest City

Tujuh warga China didakwa menipu pelaburan mata wang kripto di Forest City


Tujuh lelaki warga China termasuk tiga pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di Forest City, awal bulan ini.


Hong Wei Xian, 25; Zhou Fu, 22; Chen Lu, 23; Yuan Shuping, 29; Li Yi, 30; Wang Tengfei, 30 dan Chen Xiaojia, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.


Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain bagi melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang, iaitu dengan membuat penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua unit kediaman di Forest City, Johor Bahru, kira-kira jam 12 tengah hari, 1 Oktober lalu.


Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh.


Peguam Lim Tyng Chieh yang mewakili Yuan, Li, Wang dan Chen memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan semua anak guamnya ialah kontraktor bebas dan mempunyai alamat tetap di Forest City.


Pang Yong Tong yang mewakili Hong, Zhou dan Chen turut memohon jaminan yang rendah memandangkan ketiga-tiga anak guamnya masih berstatus pelajar serta menetap di Forest City.


Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin dengan RM7,000 serta dua penjamin tempatan. Tarikh 11 November ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.


Sementara itu, di mahkamah sama, Hong sebagai seorang bukan warganegara Malaysia turut tidak mengaku salah atas tuduhan tidak memiliki apa-apa pas sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.


Dia didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, pindaan 2002 (Akta 155), dan melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.


Tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin.


Di Mahkamah Majistret berasingan, Zhou dan Chen turut dihadapkan atas pertuduhan sama mengikut Akta Imigresen itu.


Majistret A Shaarmini menetapkan 2 November ini bagi permohonan semula jaminan sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh daripada pihak pendakwaan.

Isnin, 12 Oktober 2026

Majistret keluarkan waran tangkap ke atas 34 warga China terbabit kes tipu

Majistret keluarkan waran tangkap ke atas 34 warga China terbabit kes tipu


Mahkamah Majistret Tawau, hari ini mengeluarkan 34 waran tangkap terhadap warga China yang berdepan pertuduhan pakatan jenayah berhubung kes penipuan insurans dalam talian membabitkan penyamaran sebagai polis negara berkenaan.


Perintah itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas 34 daripada 41 tertuduh yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan, gagal menghadirkan diri pada hari pertama perbicaraan penuh kes berkenaan.


Hanya tujuh tertuduh yang dijamin hadir di mahkamah hari ini. Sementara itu, dua lagi tertuduh kini ditahan di Penjara Tawau selepas gagal menjelaskan wang jaminan sebelum ini.


Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka dibawa ke mahkamah hari ini, manakala seorang lagi tertuduh, Wang Kun, tidak dapat hadir berikutan isu perintah mengemukakan tahanan (OTP).


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin memohon persetujuan pihak pembelaan untuk meneruskan prosiding tanpa kehadiran Wang Kun.


Namun, peguam Jhesseny P Kang yang mewakili Wang Kun dan Luo Wong Hong membantah permohonan itu.


Beliau berhujah anak guamnya wajar hadir untuk mendengar keterangan saksi pertama pendakwaan, iaitu pegawai serbuan kerana saksi berkenaan terbabit secara langsung dalam proses tangkapan.


Ekoran isu OTP berkenaan, prosiding perbicaraan hari ini tidak dapat diteruskan dan keterangan saksi pertama tidak sempat dimulakan.


Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan disambung semula jam 2 petang, esok.


Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama beberapa individu lain yang masih bebas didakwa menjadi pihak kepada pakatan jahat jenayah di sebuah resort di daerah ini pada 7 April lalu, jam 9.25 pagi.


Masing-masing didakwa bersetuju melakukan perbuatan salah di sisi undang-undang dengan memperdaya mangsa menerusi penipuan insurans menggunakan panggilan telefon dan video, serta menyamar sebagai polis negara China.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Seramai enam saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari hingga Jumaat ini.


Dalam prosiding itu, tertuduh Li Qiang dan Ma Lei diwakili peguam Siti Mahsuri Dicky, manakala Luo Wong Hong dan Wang Kun masing-masing diwakili Jhesseny P Kang dan Chen Wen Jye. Lima lagi tertuduh bagaimanapun belum melantik peguam.

Jumaat, 2 Oktober 2026

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri

Penganggur didenda RM24,000, alih RM1.1 juta milik pesara masuk akaun sendiri


Seorang penganggur wanita dijatuhi hukuman denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengalihkan wang RM1.1 juta milik seorang pesara ke dalam akaun bank miliknya, lapan tahun lalu.


Hakim Muhammad Ilmami Ahmad juga memerintahkan Chin Chew Woon, 43, menjalani hukuman penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu.


Chew Woon didakwa mengalihkan wang RM500,000 dan RM600,000 milik lelaki berusia 66 tahun ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Brickfields pada 26 dan 27 Disember 2018.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.


Mangsa diarahkan untuk memindahkan wang simpanan berjumlah RM500,000 dan RM600,000 ke dalam akaun Chew Woon kononnya bagi tujuan siasatan.


Bagaimanapun, mangsa gagal menghubungi individu itu untuk mendapatkan kembali wang tersebut.


Siasatan mendapati Chew Woon ialah pemilik akaun yang menerima wang tersebut dan dia juga gagal memberikan penjelasan memuaskan berhubung transaksi itu.


Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan, mengambil kira faktor mangsa mengalami kerugian besar dan kekerapan kes penipuan di Malaysia.


"Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberikan keinsafan kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya.


Chew Woon yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung dua anak, ibu serta ibu mentua yang sakit.


Sabtu, 26 September 2026

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih


Mahkamah Tinggi Singapura memerintahkan seorang guru tuisyen juga pekerja kafe membayar balik S$321,116.40 (RM1,024,027.88) kepada bekas teman wanitanya selepas mendapati wang itu adalah pinjaman, bukannya hadiah atas dasar kasih sayang.


Hakim Alex Wong membuat keputusan itu pada Khamis lalu selepas mendapati Chee Wei Jun memang berniat membayar semula wang berkenaan, selain sengaja menggambarkan dirinya sebagai individu berstatus lebih tinggi bagi menarik perhatian wanita itu.


Mahkamah mendapati Teow Seok Phen, seorang pengurus kewangan, terpedaya dengan gambaran berkenaan dan perkara itu antara faktor mendorongnya meminjamkan wang kepada Chee.


Pasangan itu berkenalan menerusi platform janji temu dalam talian Coffee Meets Bagel pada Jun 2023 sebelum menjalin hubungan tidak lama kemudian.


Sepanjang hubungan itu, Teow memindahkan wang menerusi PayNow, memberikan wang tunai serta membenarkan Chee menggunakan kad kreditnya.


Teow mendakwa dia menyerahkan hampir semua wang simpanannya, selain membuat pendahuluan tunai dan pemindahan baki kad kredit untuk membantu Chee yang mendakwa akaun banknya dibekukan selepas mengklik pautan penipuan.


Chee mendakwa wang itu diberikan atas dasar kasih sayang kerana Teow memahami masalah kewangannya. Dia turut menafikan menggunakan kad kredit wanita itu kecuali sekali.


Bagaimanapun, mahkamah mendapati Chee beberapa kali berjanji membayar semula wang berkenaan, termasuk menerusi mesej WhatsApp. Dalam mesej pada Ogos 2023, dia berjanji membayar balik sepenuhnya setiap bantuan diterimanya.


Hakim Wong turut mendapati Teow menyimpan rekod jumlah wang yang dipinjamkan, sekali gus menyokong keterangannya bahawa wang itu bukan hadiah.


Mahkamah juga mendapati Chee cuba menggambarkan dirinya sebagai individu lebih berada, termasuk mendakwa bekerja dalam bidang penerbangan dan merujuk dirinya sebagai orang kenamaan (VIP) di hotel serta premis lain.


Menurut hakim, kenyataan itu bertujuan menarik perhatian Teow dan menampilkan Chee sebagai individu lebih penting daripada kedudukannya sebenar sebagai guru tuisyen dan pekerja kafe.


Chee turut mendakwa dia menandatangani dokumen pengakuan hutang di bawah paksaan, selain mendakwa keluarga Teow mengugutnya. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyokong pembelaan itu.


Mahkamah menerima bahawa Chee menerima S$268,794 (RM857,142.42) menerusi pindahan wang dan tunai, manakala perbelanjaan kad kredit termasuk faedah ditetapkan sebanyak S$87,322.40 (RM278,469.27).


Selepas mengambil kira bayaran balik S$35,000 (RM111,614.25) yang dibuat Chee pada Mac 2024, mahkamah memutuskan dia masih berhutang S$321,116.40 (RM1,024,048.51) kepada Teow.

Jumaat, 11 September 2026

30 rakyat Malaysia ditahan, disyaki terbabit aktiviti penipuan di Pontianak, Indonesia

30 rakyat Malaysia ditahan, disyaki terbabit aktiviti penipuan di Pontianak, Indonesia


Pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat.


Ketua Pejabat Imigresen Pontianak, Sam Fernando berkata rakyat Malaysia berkenaan yang terdiri 22 lelaki dan lapan wanita, serta seorang lelaki warga Taiwan itu dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk disoal siasat.


"Sasaran kemungkinan besar warga Malaysia. Mereka didakwa cuba menipu warga Malaysia.


"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, tiada warga Indonesia dalam kalangan sasaran," katanya pada sidang media pada Khamis, menurut video yang dimuat naik dalam talian.


Sam berkata pejabatnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan dalam meneruskan siasatan.


Beliau berkata 31 warga asing itu ditahan menerusi operasi bersama Polis Bandar Raya Pontianak di sebuah hotel kira-kira jam 11.15 pagi Selasa susulan risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.


Menurut Sam, beberapa barangan dikaitkan dengan aktiviti yang disyaki turut dirampas.


Pihak berkuasa imigresen menjalankan pemeriksaan ke atas identiti mereka, dokumen perjalanan, permit tinggal dan sama ada aktiviti mereka konsisten dengan permit yang dikeluarkan.


"Tiga warga Malaysia didapati tinggal lebih masa, manakala terdapat juga penyalahgunaan permit tinggal untuk aktiviti yang tidak mengikut tujuan mereka diberikan," katanya.


Sam berkata kumpulan itu telah menggunakan 14 bilik di tingkat tiga sebuah hotel untuk mengendalikan aktiviti mereka dan pihak berkuasa turut mengambil kenyataan daripada pekerja hotel.


Katanya, warga asing itu tidak tiba bersama, dengan ada yang masuk melalui lapangan terbang Pontianak, lintasan sempadan darat Entikong dan Jakarta menggunakan pelbagai jenis permit imigresen.


"Tempoh masa mereka berada di sini berbeza-beza. Ada yang berada di sini selama dua bulan, manakala yang lain selama tiga minggu. Mengenai kerugian, kami tidak dapat memberikan butiran buat masa ini kerana siasatan dan soal siasat masih diteruskan," katanya.

Ahad, 6 September 2026

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan

Nenek jadi mangsa hendak 'bank in' RM10,000 kepada scammer, nasib baik pemandu e-hailing sempat tahan


Rasa curiga pemandu e-hailing terhadap seorang pelanggan warga emas yang mahu ke sebuah bank berjaya menyelamatkan wanita itu memindahkan wang RM10,000 kepada individu yang disyaki love scam pada Khamis lalu.


Kata Noraini Othman, 61, selepas menghantar wanita itu ke sebuah bank, dia berada terlalu lama dalam premis itu membuatkan dia curiga dan mencarinya dalam premis itu sebelum dia sempat memindahkan sejumlah wang.


"Saya ambil dia dari rumah pukul 4.30 petang dia ada cakap hendak buat pemindahan wang, jadi saya tunggu di luar bank tetapi pelik kenapa lama sangat,” jelasnya.


Kata Noraini, ketika jumpa warga emas itu dalam bank, ada orang lain yang cuba membantunya memindahkan sejumlah wang berkenaan dan perkara itu sempat dihalangnya.


"Individu itu juga pelik warga emas itu mahu pindahkan sejumlah wang kepada akaun lain, jadi saya terus panggil polis dekat bank itu. Rupa-rupanya warga emas itu cakap ada peguam tampan (scammer) suruh dia masukkan wang berkenaan," jelasnya.


Tambahnya, warga emas itu mendakwa mengenali individu yang didakwa tampan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, tetapi tidak pernah berjumpa dengannya secara bersemuka.


"Dia tidak kenal orang itu pun. Tiba-tiba terima WhatsApp. Gambar profilnya pakai baju kot segak macam peguam," ujarnya.


Jelasnya, rupanya mangsa sudah pun mengeluarkan wang simpanannya dalam Tabung Haji terlebih dahulu untuk dipindahkan kepada individu menyamar peguam segak berkenaan.


Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika wanita Melayu berusia 71 tahun itu dihantar oleh pemandu e-hailing ke Bank Simpanan Nasional di Rembau.


"Pemandu wanita itu mengesyaki transaksi tersebut ada kaitan dengan love scam yang kemudian menghubungi Balai Polis Rembau," katanya.


Ooi Ming berkata, susulan maklumat itu, Timbalan Ketua Polis Balai Rembau bersama beberapa anggota polis bergegas ke bank berkenaan untuk pemeriksaan.


"Setibanya di lokasi, mangsa sedang cuba memasukkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun berkenaan. Transaksi tersebut berjaya dihentikan dan wang RM10,000 itu dimasukkan semula ke dalam akaun BSN milik mangsa," jelasnya.

Wang simpanan RM1.9 juta lesap akibat jawab satu panggilan telefon individu tidak dikenali

Wang simpanan RM1.9 juta lesap akibat jawab satu panggilan telefon individu tidak dikenali


Seorang lelaki warga emas kerugian RM1.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, dalam kejadian, Jumaat lalu.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 78 tahun telah dihubungi individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis memaklumkan kononnya terlibat dalam satu kesalahan jenayah.


Menurutnya, suspek menggunakan taktik menakut-nakutkan mangsa menyebabkan mangsa panik dan telah mengikut arahan diberikan suspek.


"Mangsa kemudian mengikuti arahan agar wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1.9 juta.


"Menyedari dirinya diperdaya, mangsa telah tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati kes berkenaan menggunakan modus operandi ‘phone scam’ iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa bagi meyakinkan mangsa sebelum memperdayakan mereka.


Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Alwi menegaskan bahawa pihak polis tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil agensi penguatkuasaan.


"Orang ramai dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan mencurigakan dan tidak mendedahkan maklumat perbankan seperti nombor TAC, OTP, kata laluan atau maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali," katanya.


Tambahnya, PDRM Perak turut meminta warga emas, pesara serta ahli keluarga mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan berkenaan.


"Ahli keluarga disaran sentiasa mengingatkan ibu bapa dan warga emas agar tidak membuat sebarang transaksi kewangan berdasarkan arahan melalui telefon tanpa pengesahan terlebih dahulu," katanya.

Khamis, 3 September 2026

Bekas pengurus perhubungan bank dihukum penjara tujuh tahun dan 16 sebatan, denda RM40 juta

Bekas pengurus perhubungan bank dihukum penjara tujuh tahun dan 16 sebatan, denda RM40 juta


Mahkamah Sesyen Kuching, pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, 16 sebatan dan denda RM40 juta terhadap seorang pengurus perhubungan sebuah bank antarabangsa yang mengaku bersalah atas 16 pertuduhan penipuan serta lapan pertuduhan pengubahan wang haram.


Kho Yung Kang, 39, didakwa menipu lapan warga emas berusia lingkungan 60 hingga 75 tahun membabitkan RM1.58 juta menerusi skim pelaburan bon tidak wujud dan melakukan pengubahan wang haram di bank tempat dia bekerja antara September 2022 dan Februari 2024.


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).


Hakim Iris Awen Jon memerintahkan Kho dihukum penjara antara tiga dan empat tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan menipu manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia dihukum penjara tiga tahun, denda RM5 juta atau empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2025. 


Menurut fakta kes, Kho bertanggungjawab membantu pelanggan dalam urusan pelaburan termasuk amanah saham, bon dan akaun tetap selain urusan kiriman wang tempatan atau asing.


Modus operandi tertuduh ialah menawarkan suatu pelaburan baharu yang kononnya menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelanggan bank tempat dia bekerja.


Kho kemudian memperoleh tandatangan dan pengesahan biometrik pelanggan ketika membuat representasi namun wang berkenaan tidak digunakan untuk tujuan pelaburan. 


Sebaliknya, wang itu dipindahkan daripada akaun pelanggan ke akaun pihak ketiga melalui DuitNow, pindahan antara bank atau Perintah Juruwang tanpa pengetahuan atau persetujuan pelanggan untuk kegunaan peribadi tertuduh.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Maryam Jamielah Ab Manaff manakala Kho tidak diwakili peguam.

Jumaat, 28 Ogos 2026

Pemandu p-hailing didakwa jadi keldai akaun, 2 mangsa rugi hampir RM600,000

Pemandu p-hailing didakwa jadi keldai akaun, 2 mangsa rugi hampir RM600,000


Seorang pemandu p-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat, semalam atas 14 pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan dua individu termasuk seorang doktor gigi kerugian hampir RM600,000.


Pee Wei Onn, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.


Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh yang masih bujang didakwa secara langsung dan tanpa maksud yang sah terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM29,900 ke dalam akaun sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Mutiara Perdana, Batu Pahat, antara jam 10.26 pagi hingga 3.49 petang pada 17, 18 dan 24 Mac tahun lalu.


Bagi pertuduhan kelima hingga ke-14, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan kemasukan wang berjumlah RM560,000 ke dalam akaun berkenaan di sebuah rumah di Taman Bukit Perdana 2 antara 29 Mei hingga 26 Jun tahun lalu.


Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000 jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan polis, dua mangsa terdiri daripada seorang doktor wanita berusia 33 tahun dan seorang pesara lelaki berusia 67 tahun yang masing-masing membuat laporan selepas mendakwa ditipu sindiket yang menawarkan pelaburan saham dan mata wang.


Kedua-dua mangsa mendakwa terpedaya selepas melihat tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 990 peratus.


Terpedaya dengan tawaran berkenaan, kedua-dua mangsa melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama tertuduh, sebelum mendapati pelaburan berkenaan sebenarnya tidak wujud.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM70,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan selain memohon mahkamah mengenakan beberapa syarat tambahan.


Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan, tidak mengganggu saksi atau mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jumlah ikat jamin berkenaan sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.


Mahkamah menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam untuk tertuduh.



Selasa, 18 Ogos 2026

Isteri anggota polis menangis rayu hukuman ringan lepas guna akaun anak OKU tipu rumah sewa

Isteri anggota polis menangis rayu hukuman ringan lepas guna akaun anak OKU tipu rumah sewa


Seorang ibu menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini ketika merayu hukuman ringan selepas mengaku bersalah menggunakan akaun bank milik anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bagi transaksi penipuan sewa rumah.


Noor Fazira Sinen, 31, yang juga isteri kepada seorang anggota polis, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.


Dalam rayuannya, suri rumah berkenaan memaklumkan dia kini hamil anak keenam selain perlu menjaga ibunya yang sudah berusia.


Selepas mendengar rayuan tertuduh, Hafizah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Noor Fazira didakwa menggunakan akaun bank milik anak kandungnya untuk menipu Anis Amera Zaini sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM1,500.


Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Anggerik 2/12, Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, antara 30 April hingga 22 Mei lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Berdasarkan fakta kes, pada 30 April lalu, mangsa terpedaya dengan iklan rumah sewa tidak wujud yang ditawarkan menerusi laman sosial Facebook (FB).


Mangsa kemudian membuat transaksi sebanyak RM1,500 ke dalam akaun bank milik anak kandung tertuduh.


Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima kunci rumah seperti yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis di Bandar Tenggara.


Noor Fazira ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini. - Foto Kosmo Online.