Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Ahad, 11 September 2022

Kaktus gergasi berusia 200 tahun tumbang akibat dibadai hujan lebat

Kaktus gergasi berusia 200 tahun tumbang akibat dibadai hujan lebat


Pokok kaktus padang pasir Saguaro gergasi yang hidup selama kira-kira 200 tahun telah tumbang dibadai hujan lebat yang melanda negeri Arizona barat daya Amerika Syarikat pada Ahad, 28 Ogos 2022 lalu. Taman Negara Arizona memaklumkan kehilangan Saguaro adalah kerugian besar.


"Musim hujan yang kuat dengan cepat boleh memberi kesan kepada landskap padang pasir. Kehilangan Saguaro adalah kerugian yang besar. Ia ikonik selama 200 tahun ini di denai Romero Ruins.


"Lokasi menarik yang menghadap Sutherland di Catalina State Park di Tucson, suatu pemandangan selama ini tidak dapat dinikmati pengunjung di taman lain," kata Taman Negeri Arizona menerusi kenyataan di media sosial.


Gambar yang dilampirkan dalam siaran di Facebook itu menunjukkan bahagian kaktus gergasi itu terdampar di tanah dengan batangnya hancur.


Kaktus Saguaro boleh mencapai ketinggian lebih daripada 10 meter dan berat lebih dua tan apabila penuh dengan air.



Tumbuhan itu yang tumbuh di Amerika Syarikat dan Mexico, menjadi simbol Amerika Barat dan khususnya landskap padang pasir Arizona.


"Namun, syukurlah gergasi ini telah jatuh di laluannya dan akan kekal di tempat ia mendarat, menyediakan habitat dan makanan untuk banyak makhluk ketika ia mereput," kata pihak Taman Negeri Arizona.


Ramai pelawat ke Catalina State Park mengimbas kembali lawatan mereka dalam komen siaran Facebook dan memasukkan gambar kaktus gergasi itu, menunjukkan skala penuh betapa tingginya ia telah berkembang selama dua abad.


Kaktus saguaro gergasi berdiri selama 200 tahun di Taman Negeri Catalina di Arizona telah tumbang dibadai hujan lebat. - Foto Taman Negeri Arizona.

Kini terhampar di atas tanah, kaktus saguaro akan mula reput tidak lama lagi. - Foto Taman Negeri Arizona/AFP.

Selasa, 6 September 2022

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan matahari gergasi terdampar di pantai

Pemancing terkejut jumpa bangkai ikan matahari gergasi terdampar di pantai


Siapa sangka akan menjumpai bangkai ikan matahari gergasi, spesies ikan yang sangat jarang ditemui kerana habitatnya di laut dalam dan terpencil. Namun itulah yang dikongsi oleh dua pemancing yang menjumpai ikan tersebut terdampar di pantai.


Steven Jones dan rakannya, Linette Grzelak menemui ikan itu di satu kawasan pantai Goolwa Pipico yang terletak kira-kira 25 kilometer dari River Murray, sebuah destinasi memancing serta pelancongan popular di Australia Selatan.


Memetik lapor Daily Mail, mereka terkejut dan hampir tidak percaya apabila menemui bangkai ikan itu yang dianggarkan sepanjang 2.5 meter, dengan berat mencecah beberapa ratus kilogram terdampar di pantai tersebut.


Grzelak yang memuat naik gambar ikan itu di Facebook berkata, dia pada mulanya menyangka ikan itu adalah kayu kerana ia terlalu besar.


"Pada mulanya saya menyangka ianya palsu. Jones menemuinya terdampar di pantai dan ia kelihatan seperti kayu yang besar," katanya.


Ikan matahari atau dikenali sebagai mola mola boleh membesar hingga mencecah tiga meter panjang dengan berat mencecah 2.5 tan.


Ikan ini biasanya hanya ditemui di perairan tropika di seluruh dunia dan nelayan sering dikelirukan yang menyangka ia adalah jerung kerana sirip mereka.


Pengurus pengumpulan ikan Ralph Foster, dari Muzium Australia Selatan, menjelaskan mengapa begitu banyak ikan matahari hanyut di pantai.


"Salah satu bahaya besar akan dilanggar oleh bot besar di laut. Mereka juga sering makan beg plastik yang disangka ikan jeli, dan itu boleh membunuh mereka," katanya.


Menurut Foster, ikan matahari agak kerap terdampar di pantai Australia Selatan, dan beliau menerima beberapa laporan setiap tahun.


"Ia sebenarnya agak biasa di perairan Australia tetapi ia biasanya lebih jauh ke laut," katanya. - Sumber Daily Mail.


Ramai nelayan berpengalaman berkata mereka tidak pernah melihat ikan matahari di Australia sebelum ini. Foto Linette Grzelak.

Sunfish atau ikan matahari ini berukuran kira-kira 2.5 meter panjang dan berat beberapa ratus kilogram. Foto Linette Grzelak.

Steven Jones (kanan) bersama rakannya, Hunter bergambar bersama bangkai ikan matahari yang ditemui mereka. - Foto Linette Grzelak.

Ikan mola mola atau ikan matahari merupakan salah satu ikan purba yang masih hidup. Foto Getty Imeges.
Berlian putih 160 karat keenam terbesar ditemui di Angola

Berlian putih 160 karat keenam terbesar ditemui di Angola


Berlian putih 160 karat jenis Ila (iaitu berlian paling tulen secara kimia) ditemui di Angola, menurut Lucapa Diamond Company dalam satu kenyataan media pada Jumaat lepas.


Syarikat itu memaklumkan berlian 160 karat itu adalah berlian keenam terbesar ditemui setakat ini dan berlian ke-28 melebihi 100 karat yang pernah dijumpai di lombong aluvium Lulo di Angola, lapor Xinhua.


Lulo adalah konsesi seluas 3,000 kilometer persegi di kawasan perlombongan berlian Lunda Norte di Angola, kira-kira 630 kilometer dari timur Luanda.


Lucapa dan rakan kongsinya sejak beberapa dekad yang lalu berjaya membuktikan Lulo memiliki sumber berlian aluvium yang paling prolifik di dunia.


Syarikat itu turut menemui berlian merah jambu 170 karat yang jarang ditemui pada Julai lalu dan dipercayai yang terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu.


Lucapa mempunyai 40 peratus kepentingan dalam lombong Lulo. Selebihnya dipegang oleh syarikat berlian nasional Angola (Endiama) dan Rosas & Petalas, sebuah entiti swasta.


Ketua pegawai eksekutif Stephen Wetherall memberitahu perwakilan pada persidangan pada hari Jumaat bahawa syarikatnya sedang berusaha untuk mencari lombong batu berlian baharu di Angola.


Beliau juga berkata asas pasaran berlian adalah kukuh dan akan kekal begitu kerana bekalan terus berkurangan.


"177 juta karat dihasilkan pada 2005, berbanding hanya 116 juta tahun lepas. Ia disebabkan penutupan lombong berlian Rio Tinto’s iconic Argyle pada 2020, dan penutupan lombong Canada's Diavik and Ekati.


"Memandangkan tiada lombong baharu sedang dibangunkan untuk menebus kehilangan pengeluaran, 15 peratus daripada bekalan berlian global akan hilang dari pasaran menjelang 2030," kata Wetherall.


BACA: Pelombong jumpa berlian merah jambu terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu bernilai RM680 juta.


Berlian jenis IIa putih 160 karat. - Foto Lucapa Diamond.

Ahad, 21 Ogos 2022

Gali terowong untuk rompak bank, akhirnya tertimbus di bawah tanah akibat runtuhan

Gali terowong untuk rompak bank, akhirnya tertimbus di bawah tanah akibat runtuhan


Pihak berkuasa Rom di Itali menarik keluar seorang lelaki disyaki perompak dari runtuhan sebuah terowong berhampiran Vatican City, selepas kumpulannya dikatakan cuba menggali 20 kaki untuk sampai ke dalam sebuah bank, lapor Daily Mail pada 20 Ogos 2022.


Lelaki itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan kritikal, tetapi tidak mengancam nyawa ketika anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 8 jam untuk mengeluarkannya dari runtuhan.


Dipercayai lelaki itu bersama empat rakannya sedang bersiap sedia untuk merompak bilik kebal bank berhampiran dan menggali terowong yang bermula berhampiran sebuah kedai kosong untuk sampai ke situ.


Salah seorang daripada empat rakan subahatnya, yang berjaya melarikan diri dari terowong yang runtuh, menghubungi perkhidmatan kecemasan dan anggota bomba meminta bantuan.


Sekurang-kurangnya dua daripada suspek lain telah ditahan polis ketika cuba melarikan diri dari kawasan itu. Polis dilaporkan telah mendakwa dua lelaki berkenaan kerana mengelak daripada diberkas dan merosakkan harta benda awam.


Penyelamat menggunakan penggali mekanikal kemudian menggali lubang selari untuk membebaskan lelaki itu. Dia diberi makanan cecair dan silinder oksigen untuk membantunya bernafas, akhirnya ditarik keluar hidup-hidup, sementara orang ramai bersorak.


Menurut laporan media, mereka merancang melakukan rompakan semasa cuti umum Ferragosto di Itali apabila bank itu akan ditutup.


Jurucakap polis memberitahu media tempatan berkata lelaki itu sebelum ini pernah disabitkan kesalahan merompak, bersama-sama dengan empat anggota kumpulan yang lain. - Sumber Daily Mail.


Terowong yang digali perompak. Ia bermula di bawah sebuah kedai kosong yang ditutup dan dikatakan telah disewa baru-baru ini. - Foto AFP.

Walaupun polis tidak mengesahkan lelaki itu menggali untuk rompakan, media Itali telah melaporkan bahawa berkemungkinan lelaki itu melakukan rompakan. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Sekumpulan besar perkhidmatan kecemasan berkumpul untuk membantu usaha menyelamat. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Selain polis dan penggali, orang ramai turut berkumpul mengikuti penyelamatan itu sehingga ia selesai. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Penduduk melihat kerja penyelamatan. Seorang penduduk berkata bahawa mereka tidak mengesyaki sesiapa sedang menggali lubang dan tiada bunyi bising. - Foto Grzegorz Galazka/SIPA/Shutterstock.

Pasukan bomba Itali mengeluarkan seorang lelaki yang disyaki perompak yang tertimbus dalam runtuhan di Rom pada 11 Ogos lalu. - Foto AFP.

Sabtu, 20 Ogos 2022

Dua juruterbang tertidur ketika mendaratkan pesawat pada ketinggian 37,000 kaki

Dua juruterbang tertidur ketika mendaratkan pesawat pada ketinggian 37,000 kaki

Gambar hiasan.

Dua juruterbang yang tertidur semasa dalam penerbangan pada ketinggian 37,000 kaki, dan gagal dihubungi oleh Kawalan Trafik Udara berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kemalangan berlaku.


Menurut laporan Daily Mail pada 19 Ogos 2022, insiden ajaib itu melibatkan pesawat ET343 milik Ethiopian Airlines yang melakukan penerbangan dari Khartoum ke Addis Ababa pada 15 Ogos lalu.


Juruterbang itu sepatutnya memulakan perjalanan turun ke Lapangan Terbang Addis Ababa Bole, namun mereka gagal berbuat demikian.


Menurut Aviation Herald, Kawalan Trafik Udara cuba menghubungi juruterbang tersebut, namun tidak berjaya.


"Dua juruterbang itu hanya terjaga daripada tidur selepas autopilot pesawat terputus sehingga membunyikan penggera amaran.


"Mereka kemudiannya berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat dan kekal di landasan selama dua jam setengah, sebelum berlepas untuk penerbangan seterusnya," katanya.


Biarpun pesawat tersebut mendarat melebihi landasan, dua juruterbang itu berjaya mengawal keadaan. Insiden itu menyebabkan ramai terkejut dan menyifatkan tindakan juruterbang tersebut tidak profesional dan berbahaya.


"Semoga kedua-dua juruterbang dipecat dan pihak berkuasa penerbangan memulakan siasatan mengenai jadual bertugas anak kapal dan syarikat penerbangan lain," tulis pengguna media sosial.


Tetapi tidak semua orang bersetuju bahawa juruterbang harus dipecat, ada yang berhujah bahawa mereka mungkin terlalu banyak bekerja dan syarikat itu 'menyelindunginya.' 


Insiden yang berasingan pernah berlaku pada April lalu di mana dua juruterbang didakwa tertidur. Mereka dalam penerbangan dari New York City ke Rom dengan membawa 250 penumpang di dalamnya, lapor ABC 7 Eyewitness News.


Menurut siasatan ke atas kejadian itu, kedua-dua juruterbang penerbangan ITA Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada April sedang tidur semasa dalam perjalanan.


Mereka tidur sebentar ketika Airbus 330 terbang melintasi Perancis, pada ketinggian 38,000 kaki. Penyiasat mendapati bahawa salah seorang juruterbang sedang tidur semasa rehatnya tetapi kapten juga telah tertidur.


Menurut pasukan penyiasat, pengawal trafik udara memberitahu mereka bahawa mereka terputus hubungan dengan pesawat selama kira-kira 10 minit.


Ketika kebimbangan semakin meningkat tentang kemungkinan kejadian keganasan, kawalan trafik udara telah mula menyediakan jet pejuang untuk memintas pesawat itu. Bagaimanapun, juruterbang akhirnya bertindak balas terhadap kawalan trafik udara.


Bercakap kepada ABC News, John Nance, seorang penganalisis penerbangan, menyifatkan situasi itu sebagai amat berbahaya. - Sumber Daily Mail UK.


Gambar laluan penerbangan. Juruterbang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat dan ia kekal di atas landasan selama kira-kira dua setengah jam sebelum berlepas untuk penerbangan seterusnya. - Foto Daily Mail.

Ahad, 24 Julai 2022

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul


Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor makhluk laut yang kelihatan ganjil sepanjang 4.8 meter (16 kaki), mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat apabila mereka percaya kemunculan ikan gergasi itu mungkin petanda bencana dahsyat akan berlaku.


Ini berikutan kepercayaan tahyul masyarakat tempatan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu yang dikenali sebagai ikan Oarfish, lapor akhbar Daily Star UK pada 13 Julai 2022 lalu.


Ikan itu yang juga digelar 'King of the Herrings' ditangkap di luar pantai Chile, dan orang awam yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat haiwan ganjil tersebut.


Rakaman yang dikongsi di laman TikTok menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika pekerja-pekerja memindahkannya ke darat.



Rakaman video itu mendapat 10 juta tanda suka. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda gempa bumi dahsyat akan berlaku.


"Isunya sekarang ke mana kita akan melarikan diri jika bencana ini berlaku," komen seorang pengguna media sosial.


"Oarfish hidup di laut dalam. Dikatakan bahawa apabila mereka kembali ke permukaan ia adalah kerana plat tektonik sedang bergerak," komen seorang lagi pengguna.


Sesetengah orang juga percaya bahawa sesiapa yang menemui ikan tersebut akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah petanda buruk.


Ikan Oarfish hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak. - Sumber Daily Star.


Ikan spesies Oar diangkat dari laut ke darat oleh sekumpulan nelayan di bandar Arica, Chile. - Foto Jam Press.

Rabu, 20 Julai 2022

(Video) Nelayan Taiwan tangkap jerung zaman prasejarah, spesiesnya sudah hidup lebih 200 juta tahun dahulu

(Video) Nelayan Taiwan tangkap jerung zaman prasejarah, spesiesnya sudah hidup lebih 200 juta tahun dahulu


Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemukan dan merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung pada Ahad lalu.


Pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Channel News Asia, berkata jerung itu adalah spesis yang jarang ditemukan kerana ia hidup pada kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah paras laut.


"Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti spesies terdahulu," jelas Wu.


Menurut Wu, ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.


Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu dilelong semalam.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai 'hampir terancam' kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikannya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.


Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu. - Sumber BERNAMA.



Jerung ini merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur. - Foto CNA.