Ahad, 24 Julai 2022

Nelayan tangkap makhluk laut ganjil, cetus kepercayaan petanda gempa bumi dahsyat bakal menyusul


Sekumpulan nelayan di Chile berjaya menangkap seekor makhluk laut yang kelihatan ganjil sepanjang 4.8 meter (16 kaki), mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat apabila mereka percaya kemunculan ikan gergasi itu mungkin petanda bencana dahsyat akan berlaku.


Ini berikutan kepercayaan tahyul masyarakat tempatan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu yang dikenali sebagai ikan Oarfish, lapor akhbar Daily Star UK pada 13 Julai 2022 lalu.


Ikan itu yang juga digelar 'King of the Herrings' ditangkap di luar pantai Chile, dan orang awam yang tinggal di bandar Arica berpusu-pusu ke jeti untuk melihat haiwan ganjil tersebut.


Rakaman yang dikongsi di laman TikTok menunjukkan ikan yang panjang dan bertulang itu dicangkuk di kepala ketika pekerja-pekerja memindahkannya ke darat.



Rakaman video itu mendapat 10 juta tanda suka. Namun ia turut menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang khuatir penemuannya adalah petanda gempa bumi dahsyat akan berlaku.


"Isunya sekarang ke mana kita akan melarikan diri jika bencana ini berlaku," komen seorang pengguna media sosial.


"Oarfish hidup di laut dalam. Dikatakan bahawa apabila mereka kembali ke permukaan ia adalah kerana plat tektonik sedang bergerak," komen seorang lagi pengguna.


Sesetengah orang juga percaya bahawa sesiapa yang menemui ikan tersebut akan disumpah, manakala kemunculannya di dunia manusia adalah petanda buruk.


Ikan Oarfish hidup di laut dalam dan hanya kembali ke permukaan apabila sakit, hampir mati atau mahu membiak. - Sumber Daily Star.


Ikan spesies Oar diangkat dari laut ke darat oleh sekumpulan nelayan di bandar Arica, Chile. - Foto Jam Press.


EmoticonEmoticon