Sabtu, 30 Julai 2022

Pelombong jumpa berlian merah jambu terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu bernilai RM680 juta


Pelombong di Angola menemui sebutir berlian warna merah jambu yang dipercayai terbesar dalam tempoh 300 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail pada 28 Julai 2022.


Batu permata yang jarang dijumpai berukuran 170 karat itu, digelar Lulo Rose, ditemui di lombong Lulo di Angola, tapak yang dikendalikan oleh Australia di wilayah selatan Afrika Tengah.


Menurut syarikat perlombongan, Lucapa Diamond, dalam satu kenyataan kepada pelabur, ia adalah antara berlian merah jambu terbesar pernah ditemui, dan antara batu semula jadi yang ditemui dalam bentuk paling sempurna.


Menteri Sumber Mineral Angola, Diamantino Azevedo, berkata penemuan batu permata yang memecah rekod dan menakjubkan dari lombong di Lulo mengukuhkan kedudukan Angola sebagai pemain utama pasaran batu permata global.


Berlian berkenaan akan dijual menerusi tender antarabangsa dan dijangka mencatat harga yang luar biasa tinggi. Saiz sebenar Lulo Rose akan didedahkan selepas ia dipotong dan digilap.


Suatu proses di mana ia kadangkala boleh mengurangkan saiz berlian 50 peratus berat asal. Berlian merah jambu seumpamanya sebelum ini berjaya mencatat harga memecahkan rekod.


Pada 2017, Berlian Pink Star berukuran 59.6 karat dijual dalam lelongan di Hong Kong pada harga AS$71.2 juta (RM318 juta) dan kekal sehingga hari ini sebagai yang paling mahal pernah dijual.


Maxwell Stone, pakar berlian terkemuka Steven Stone, memberitahu Daily Mail pada Khamis lalu berkata, berlian itu mungkin bernilai sekitar £150 juta (RM680 juta).


"Berlian merah jambu sangat berharga kerana paling jarang ditemui. Sukar untuk menyatakan berapa nilai berlian itu sebelum ia dipotong.


"Berlian merah jambu nilainya akan 'meroket' apabila saiz dan keamatan warnanya meningkat, tetapi anggaran saya ialah £150 juta," katanya. - Sumber Daily Mail UK.


Lulo Rose, berlian warna merah jambu yang terbesar pernah ditemui sejak 300 tahun lalu. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon