Ahad, 31 Julai 2022

Remaja pukul lelaki selepas berang ditegur kencing tepi jalan ditahan polis

Gambar hiasan.

Seorang remaja lelaki ditahan disyaki memukul seorang lelaki selepas berang ditegur kencing di laluan keluar Flat Bayu Nyaman di Kampung Masjid, Bayan Lepas pada hari Jumaat (29 Julai 2022).


Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Barat Daya, suspek berusia 19 tahun telah memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.


Katanya, hasil soal siasat mendapati mangsa telah menegur suspek kerana membuang air kecil berhampiran kon yang diletakkan di kawasan jalan keluar flat.


"Mangsa yang melihat perkara itu telah meminta suspek menyiram semula kawasan yang terkena air kencingnya. Suspek kemudiannya beredar dari lokasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu.


Menurut kenyataan itu, beberapa minit selepas itu suspek datang semula dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu.


"Siasatan mendapati, mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu sepanjang 45.7 sentimeter (cm). Mangsa telah mengalami luka dan berdarah di bahagian kepala sebelah kiri," jelasnya.


Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Sumber Kosmo Online.


Suspek diberkas polis selepas disyaki memukul seorang lelaki di bawah flat Batu Nyaman, Bayan Lepas. - Foto FB IPD Barat Daya.


EmoticonEmoticon