Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Khamis, 23 Jun 2022

Demi sebatang pokok di laut pelancong sanggup bersesak untuk bergambar

Demi sebatang pokok di laut pelancong sanggup bersesak untuk bergambar


Demi sekeping gambar dan kandungan media sosial, pelancong sanggup bersesak untuk bergambar di depan sebatang pokok di Pulau Koh Khai Hua Roh di Thailand, lapor laman berita Oddity Central pada 16 Jun 2022.


Pulau kecil itu sebenarnya hanya mampu menampung lima orang pada satu masa, namun kini jumlah pengunjung meningkat mendadak sejak beberapa bulan lalu selepas gambar pokok di pulau itu, dirakam seorang pelancong dan tular di Facebook.


Kerajaan Thailand kini sedang berusaha menyelamatkan satu-satunya pokok di pulau berkenaan. Pihak berkuasa memaklumkan, pulau itu terletak di wilayah Trat hanya lebar beberapa meter dan ditampung sepenuhnya akar pokok berkenaan.


"Pokok Xylocarpus rumphii sudah rosak kerana ada pelancong yang memanjatnya untuk bergambar. Tindakan itu menyebabkan beberapa pohon sudah patah malah lebih parah akar pokok yang besar di atas batu dipijak berulang kali," katanya.



Pengarah Pusat Pemuliharaan Koh Mak Tambon, Letrob Saithongpu berkata, beberapa dahan pada pokok itu juga sudah bengkok sejak beberapa tahun lalu.


Bagi memastikan kejadian ini tidak berlarutan, kerajaan Thailand melaksanakan beberapa peraturan untuk mengelak pelancong memanjat pokok berkenaan.


Malah, jumlah pelancong juga akan dihadkan bagi mengelak kesesakan di atas pulau itu selain kunjungan hanya dibenarkan pada waktu tertentu saja.


Pulau itu diberi nama 'Koh Khai Hua Roh' kerana ia kelihatan serupa dengan pulau yang dipaparkan dalam lukisan adegan lucu, yang melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terperangkap di sebuah pulau dalam cerita komik popular Khai Hua Roh. - Sumber Oddity Central.


'Pokok paling sunyi' di Thailand, pokok bersendirian yang tumbuh di pulau kecil berbatu. - Foto The Nation Thailand.

Selasa, 14 Jun 2022

Pelanggan tidak lepaskan peluang jilat dinding restoran di Arizona

Pelanggan tidak lepaskan peluang jilat dinding restoran di Arizona


Sebuah restoran popular di Scottsdale, Arizona mendapat perhatian ramai kerana menawarkan pengunjung menjilat dinding restoran yang dibuat dari garam himalaya, lapor laman berita Oddity Central pada 9 Jun 2022.


Restoran The Mission yang menggalakkan pengunjung untuk benar-benar menjilat dinding tersebut sudah melaksanakan perkara itu sejak 17 tahun lalu.


Restoran yang terletak di Old Town Scottsdale itu dikenali dengan hidangan lazat, dan dinding garam berwarna merah muda yang dibina di sekeliling dapurnya.


Ketua chef yang bertanggungjawab membawa garam himalaya itu berkata, cara itu bagi menambah suasana keseluruhan tempat dan memberi pelanggan peluang baharu menikmati minuman tequila di restoran tersebut.



"Menghisap jeruk nipis, menjilat dinding dan menikmati minuman tequila adalah pilihan yang disediakan kepada pelanggan.


"Orang lain mungkin menilai cara tersebut sangat menjijikkan. Namun, garam Himalaya memiliki sifat membersihkan diri dan pekerja restoran juga mengelap dinding Himalaya itu setiap hari," katanya.


Garam Himalaya merupakan antara garam paling terbaik di dunia kerana memiliki kandungan nutrisi yang baik untuk kesihatan.


Nah, jika anda teringin mahu menjilat satu blok garam Himalaya dan anda berada di kawasan Scottsdale, anda tahu ke mana hendak pergi. - Sumber Oddity Central.


Seorang pelanggan menjilat dinding restoran yang dibuat daripada garam terbaik di dunia. - Foto Trip Advisor.

Isnin, 13 Jun 2022

Penduduk terkejut ikan mahal dalam kolam berharga ribuan ringgit 'dicuri' Memerang

Penduduk terkejut ikan mahal dalam kolam berharga ribuan ringgit 'dicuri' Memerang


Pemilik-pemilik rumah di sebuah kawasan kejiranan di Britain terkejut, apabila mendapati ikan peliharaan yang berharga beribu-ribu pound telah dicuri oleh kawanan Memerang yang memecah masuk ke kolam milik mereka, lapor akhbar Metro UK pada 11 Jun 2022.


Polis di Corsham, Wiltshire, percaya bahawa kawanan Memerang yang kelaparan menjadi punca kepada kejadian-kejadian tersebut selepas mendapatkan pandangan daripada pasukan kejiranan bandar itu.


Mereka kemudian mengeluarkan amaran yang meminta para pemilik rumah untuk 'mengurung' ikan peliharaan mereka, dan menasihati penduduk untuk memasang jaring yang dikimpal atau pagar berwayar bagi menjauhkan mamalia tersebut.


"Pagar dawai yang serupa dengan yang digunakan untuk lembu yang terdiri daripada wayar tunggal di sekeliling kolam yang disokong kira-kira 4 kaki dari tanah.


"Ini bukan bidang kuasa polis tetapi ikan tersebut berharga sangat mahal," kata polis Wiltshire dalam satu kenyataan.


Tambah polis, kedua-dua penyelesaian itu tidak berbahaya terhadap Memerang, namun dapat menghalangnya daripada memakan ikan di dalam kolam.


Dalam satu kejadian, penduduk bernama Leo Pocock mendapati beberapa ekor Memerang telah menyelinap masuk ke dalam taman di pekarangan rumahnya pada waktu malam, dan mencuri empat ekor ikan koi miliknya.


"Saya telah membela ikan selama 25 tahun dan tidak pernah diancam oleh Memerang sehingga kini. Ia mencuri ikan koi spesies 'siroutsuri' bersaiz 45.7 sentimeter, jenis karp hitam dan putih, bernilai ratusan pound.


"Saya kehilangan ikan dengan jumlah kerugian sebanyak £1,500 (RM8,132). Ia bukan mengenai wang, tetapi saya telah memelihara ikan-ikan itu sejak kecil dan memberi makan dua kali sehari seperti kucing," katanya. - Sumber Metro UK.


Kawanan Memerang yang kelaparan didapati mencuri ikan-ikan mahal dari kolam penduduk di Wiltshire, England. - Foto Wessex News Agency.

Isnin, 6 Jun 2022

Kawasan tumbuhan terbesar dunia ditemukan di dasar lautan Australia berusia 4,500 tahun

Kawasan tumbuhan terbesar dunia ditemukan di dasar lautan Australia berusia 4,500 tahun


Sebuah kawasan yang dipenuhi dengan rumput laut di Australia diumumkan sebagai kawasan tumbuhan paling besar di dunia. Malah, rumput laut itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya setua zaman pembinaan piramid di Mesir.


Memetik laporan Daily Mail pada 2 Jun 2022, kawasan rumpai akuatik yang meliputi kawasan seluas 200 kilometer persegi itu ditemukan di Teluk Shark di Australia Barat.


Spesies tumbuhan dikenali sebagai Posidonia australis dianggarkan mula hidup 4,500 tahun lalu ketika penduduk Mesir purba membina piramid di Giza.


"Terdapat rumput laut dan tumbuhan darat yang lebih tua di tempat lain di dunia namun tiada satu pun dipercayai sebesar penemuan ini," jelas laporan itu yang telah diterbitkan pada 2 Jun 2022 dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B.


Ahli ekologi dari Universiti Flinders, Dr. Martin Breed mendedahkan kajian yang menerangkan jangka hayat rumput laut yang luar biasa.


"Apa yang kami perhatikan di Teluk Shark adalah kawasan rumput laut sangat besar yang terus membiak dan tumbuh merentasi kawasan luas. Beberapa bahagian rumput sudah mati namun masih terdapat banyak yang masih hidup," katanya.


Sementara itu, pengarang kanan kajian itu, ahli biologi evolusi University of Western Australia (UWA), Dr. Elizabeth Sinclair berkata, rumput laut itu berasal dari jenis poliploid.


"Ini bermakna ia mempunyai dua kali ganda lebih bilangan kromosom berbanding tumbuhan laut lain. Ini dapat menjelaskan jangka hayat tumbuhan itu," katanya.


Kumpulan penyelidik akan melakukan beberapa eksperimen secara terperinci di Teluk Shark bagi memahami bagaimana rumput laut itu mampu hidup di bawah keadaan berubah-ubah.



Dr Breed berkata, kawasan yang menyediakan habitat penting untuk ikan lumba-lumba, dugong dan ikan itu mendapat kesan besar pada 2010 dan 2011, apabila gelombang haba marin melanda, menyebabkan suhu air 39.2°F (4°C) melebihi purata.


Tetapi ia telah bangkit semula, dan itu adalah sebab untuk optimis dalam menghadapi peningkatan tekanan yang disebabkan oleh perubahan iklim.


"Ia seolah-olah mempunyai cara untuk bersembunyi dan mempunyai kit alat genetik untuk terus hidup, tidak kira apa keadaan yang telah dilemparkan setakat ini," katanya.


Menurut UWA, dari 2010 hingga 2011, Australia Barat mengalami gelombang haba marin yang menyaksikan suhu meningkat sehingga 41⁰F (5⁰C) di beberapa perairan pantai.


"Kejadian cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim malangnya mengancam rumput laut. Di teluk Shark, kira-kira 36 peratus daripada rumput laut telah rosak oleh gelombang haba ini.


"Melalui kemusnahannya, ia berkemungkinan mengeluarkan sebahagian daripada karbonnya yang 'terkunci', menjejaskan haiwan yang disokongnya seperti dugong, penyu dan ikan lumba-lumba serta ribuan spesies ikan," lapor UWA.


Pasukan penyelidik UWA telah bekerjasama dengan renjer pribumi teluk Shark, Malgana, untuk memikirkan cara terbaik untuk memulihkan rumput laut di kawasan yang paling terjejas.


Kawasan rumput laut seluas 200 kilometer persegi itu ditemukan di Teluk Shark di Australia Barat. - Foto AF.

Rabu, 18 Mei 2022

Berharga RM8,136 sepasang untuk kasut kotor, lusuh produk baharu Balenciaga

Berharga RM8,136 sepasang untuk kasut kotor, lusuh produk baharu Balenciaga


Jenama fesyen mewah, Balenciaga kembali mengundang kritikan apabila melancarkan koleksi kasut edisi terhad, yang mengetengahkan tema terlalu lusuh dan buruk, namun harganya mencecah ribuan ringgit sepasang.


Kasut yang paling mahal dalam koleksi itu berharga sehingga AS$1,850 (RM8,136.30), ia koyak di seluruh fabrik, juga mempunyai kesan calar dan tanda gelap yang mengotorkan tapak getah dan nama jenama yang ditulis dengan warna hitam.


Koleksi terbaharu itu datang dalam dua gaya berbeza iaitu 'mule' dan 'high cut'. Mule adalah gaya kasut yang tidak mempunyai bahagian belakang atau kekangan di sekeliling tumit kaki.


Kasut edisi terhad ini juga turut hadir dengan tawaran harga lebih rendah AS$625 (RM2,738) bagi 'high cut' dan AS$495 (RM2,168) untuk gaya 'mule'.


Disediakan dalam warna merah, putih dan hitam, kasut ini mempunyai semua kesan lusuh yang boleh ditemui pada sepasang kasut buruk yang sepatutnya dibuang, dengan logo Balenciaga di hujung tapak.



Menurut kenyataan akhbar Balenciaga, koleksi Paris Sneaker membawa terjamahan bahawa kasut keluaran jenama itu layak dipakai seumur hidup meskipun setelah bertukar lusuh.


Bagaimanapun, gambar promosi yang dikeluarkan gedung fesyen itu mencetuskan kontroversi di media sosial dengan ramai mempersoalkan harga berkenaan tidak padan untuk kasut yang sangat lusuh dan kotor.


Ia seolah-olah mereka menampal jenama berkenaan pada kasut yang lunyai dipakai berkali-kali selama setahun atau lebih.


"Jika kamu membeli kasut Balenciaga bernilai AS$1,850 yang kelihatan seperti ia dilenyek dengan mesin pemotong rumput, sila dapatkan bantuan dan hubungi saya juga kerana saya ingin memahami mana kamu letakkan fikiran kamu pada masa itu," ciap penulis Brendan Dunne dalam Twitter beliau.


Walaupun reaksi terhadap pengeluaran kasut pelik itu sangat negatif, namun ada tanggapan mengatakan pasukan pemasaran Balenciaga mencapai matlamat mereka kerana perkara itu kini menarik perhatian dan menjadi bualan ramai.


Difahamkan hanya 100 pasang kasut versi kotor dan lusuh disediakan untuk edisi kali ini. - Sumber Business Insider.


Koleksi edisi terhad ini membawa mesej kasut Balenciaga selayaknya dipakai pemilik sepanjang hayat. - Foto Balenciaga.

Isnin, 18 April 2022

Tembikai berharga RM25,000 sebiji, hanya dijual dalam acara lelongan kepada pembida tertinggi

Tembikai berharga RM25,000 sebiji, hanya dijual dalam acara lelongan kepada pembida tertinggi


RM25,000 bagi sebiji tembikai. Itu harga buah tembikai dalam kategori 'rare' atau jarang didapati di dunia yang hanya ditanam di Jepun, dan penghasilannya tidak melebihi 100 biji setahun.


Menerusi laman Berita Oddity Central pada 15 April 2022 melaporkan, tembikai jenis Densuke adalah yang paling terkenal dan mahal berbanding lebih 1,200 tembikai jenis lain di seluruh dunia.


Untuk rekod, Densuke hanya ditanam di Pulau Hokkaido, utara Jepun dalam kuantiti kecil dan dikategorikan sebagai buah paling jarang di dunia. Malah, Densuke juga bukanlah buah yang boleh ditemukan di pasar atau kedai runcit.


Sebaliknya, tembikai itu dilelong kepada pembida tertinggi dalam acara yang dinanti-nantikan pada harga beratus-ratus malah beribu-ribu ringgit.


Buah tembikai Densuke paling mahal pernah dijual pada harga 750,000 yen (RM25,121) sebiji pada 2019. Bagaimanapun, harganya turun sejak dua tahun lalu disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi masih kekal sebagai tembikai termahal di dunia setakat ini.


Portal berita itu turut melaporkan, Densuke terkenal dengan kulitnya yang hitam dan berkilat. Buahnya dikatakan rangup dan mempunyai tahap kemanisan paling tinggi berbanding tembikai jenis lain serta kurang biji.


Menurut majalah The Gardener, tidak dijelaskan mengapa tembikai Densuke tidak ditanam secara meluas di luar Jepun, tetapi benihnya dilaporkan tersedia secara komersial di Eropah dan Amerika Utara.


Harganya yang mahal ditetapkan berikutan faktor masa dan dedikasi diperlukan dalam penanamannya. - Sumber Oddity Central.


Buah tembikai Densuke paling mahal dilelong dalam sejarah adalah pada 2019 dengan harga RM25,121.

Ahad, 17 April 2022

Misteri 'manusia halimunan' muncul di Google Maps jadi tanda tanya

Misteri 'manusia halimunan' muncul di Google Maps jadi tanda tanya


Pengguna aplikasi peta, Google Maps dilaporkan melihat imej aneh yang kelihatan seperti seorang manusia memakai sut perlindungan diri, tetapi semua anggota badannya termasuk kepala tidak kelihatan ataupun halimunan.


Menerusi lapor akhbar Daily Star pada 14 April 2022, imej aneh digelar manusia halimuman itu mula dikesan beberapa pengguna aplikasi peta berkenaan.


Portal berita itu melaporkan, gambar itu dirakam pada Mei 2021, namun baru sahaja dikesan pengguna Google Maps. Manusia tanpa kepala itu dirakamkan seperti seronok menari dan bermain di sekitar kawasan itu.


Imej manusia halimunan itu turut dilihat berdiri di tengah jalan dan dikesan menggunakan aplikasi tersebut di kawasan Limbungan Tentera Laut Brooklyn, di bandar raya New York.



Jika anda cuba mengesan manusia halimunan tersebut di jalan yang sama melalui Google Maps. Anda akan melihat bahawa 'orang' itu seperti mengekori kita dengan membawa nota bertulis. Paling misteri, hanya di lorong tersebut sahaja 'manusia tanpa kepala' ini berjaya ditemui.


Bukan itu sahaja, jika anda cuba untuk mencari identiti tersebut, anda akan berdepan dengan situasi yang menyeramkan di mana 'orang tanpa kepala' itu seperti membawa kapak dan nota tertulis 'Rare Earth'.


Setakat ini, tiada petunjuk mengenai bagaimana perkara itu boleh berlaku atau identiti individu misteri terbabit. Imej-imej itu dimuat naik di laman perkongsian Reddit dengan netizen menggelarnya sebagai watak Hollow Man versi Covid-19.


Beberapa imej lain memaparkan dia sedang bersandar pada pokok walaupun tangan dan kakinya tidak kelihatan turut dirakam aplikasi pemetaan itu.


Imej manusia halimunan itu turut dikesan di Google Maps bersama beberapa nota. - Foto Google Maps.

Imej manusia halimunan yang kelihatan seperti membawa kapak. - Foto Google Maps.

Imej manusia halimunan dirakam di Google Maps. - Fata Google Maps.

Dia digelar oleh netizen Hollow Man edisi Covid-19. - Foto Google Maps.