Isnin, 13 Jun 2022

Penduduk terkejut ikan mahal dalam kolam berharga ribuan ringgit 'dicuri' Memerang


Pemilik-pemilik rumah di sebuah kawasan kejiranan di Britain terkejut, apabila mendapati ikan peliharaan yang berharga beribu-ribu pound telah dicuri oleh kawanan Memerang yang memecah masuk ke kolam milik mereka, lapor akhbar Metro UK pada 11 Jun 2022.


Polis di Corsham, Wiltshire, percaya bahawa kawanan Memerang yang kelaparan menjadi punca kepada kejadian-kejadian tersebut selepas mendapatkan pandangan daripada pasukan kejiranan bandar itu.


Mereka kemudian mengeluarkan amaran yang meminta para pemilik rumah untuk 'mengurung' ikan peliharaan mereka, dan menasihati penduduk untuk memasang jaring yang dikimpal atau pagar berwayar bagi menjauhkan mamalia tersebut.


"Pagar dawai yang serupa dengan yang digunakan untuk lembu yang terdiri daripada wayar tunggal di sekeliling kolam yang disokong kira-kira 4 kaki dari tanah.


"Ini bukan bidang kuasa polis tetapi ikan tersebut berharga sangat mahal," kata polis Wiltshire dalam satu kenyataan.


Tambah polis, kedua-dua penyelesaian itu tidak berbahaya terhadap Memerang, namun dapat menghalangnya daripada memakan ikan di dalam kolam.


Dalam satu kejadian, penduduk bernama Leo Pocock mendapati beberapa ekor Memerang telah menyelinap masuk ke dalam taman di pekarangan rumahnya pada waktu malam, dan mencuri empat ekor ikan koi miliknya.


"Saya telah membela ikan selama 25 tahun dan tidak pernah diancam oleh Memerang sehingga kini. Ia mencuri ikan koi spesies 'siroutsuri' bersaiz 45.7 sentimeter, jenis karp hitam dan putih, bernilai ratusan pound.


"Saya kehilangan ikan dengan jumlah kerugian sebanyak £1,500 (RM8,132). Ia bukan mengenai wang, tetapi saya telah memelihara ikan-ikan itu sejak kecil dan memberi makan dua kali sehari seperti kucing," katanya. - Sumber Metro UK.


Kawanan Memerang yang kelaparan didapati mencuri ikan-ikan mahal dari kolam penduduk di Wiltshire, England. - Foto Wessex News Agency.


EmoticonEmoticon