Ahad, 12 Jun 2022

Polis menahan 9 lelaki terlibat belasah 2 wanita di restoran


Polis di China menahan sembilan individu yang terlibat dalam serangan kejam ke atas sekumpulan wanita di sebuah restoran baru-baru ini, lapor laman berita Wion News pada 11 Jun 2022.


Rakaman kejadian yang tersebar di internet itu memaparkan seorang lelaki meletakkan tangannya di belakang badan seorang wanita, yang sedang makan bersama dua rakan di sebuah restoran berbeku di wilayah Hebei, utara China.


Lelaki itu bertindak menyerang apabila wanita berkenaan cuba menolaknya. Rakan-rakan suspek kemudian menarik mangsa ke bahagian luar restoran lalu memukulnya secara bertubi-tubi ketika dia terbaring di atas tanah.


Apabila rakan wanita itu cuba menghalang lelaki itu, dia juga dihempap ke lantai. Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai berkenaan isu gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita di China, di mana perbualan mengenai hak-hak wanita telah dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Susulan kejadian tersebut, dua wanita berkenaan dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan. Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan yang tidak membawa maut.


"Kes itu sedang disiasat dengan lebih lanjut," demikian menurut polis bandar Tangshan. Mereka telah menahan sembilan suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.


Dalam pada itu, netizen mendesak pihak berkuasa untuk membanteras keganasan terhadap wanita, serta menyelar tingkah laku suspek dan meminta hukuman berat dikenakan. - Sumber Wion News.


Tangkap layar memaparkan insiden dua wanita diserang oleh sekumpulan lelaki di sebuah restoran di China. - Foto Twitter.


EmoticonEmoticon