Isnin, 6 Jun 2022

Kawasan tumbuhan terbesar dunia ditemukan di dasar lautan Australia berusia 4,500 tahun


Sebuah kawasan yang dipenuhi dengan rumput laut di Australia diumumkan sebagai kawasan tumbuhan paling besar di dunia. Malah, rumput laut itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya setua zaman pembinaan piramid di Mesir.


Memetik laporan Daily Mail pada 2 Jun 2022, kawasan rumpai akuatik yang meliputi kawasan seluas 200 kilometer persegi itu ditemukan di Teluk Shark di Australia Barat.


Spesies tumbuhan dikenali sebagai Posidonia australis dianggarkan mula hidup 4,500 tahun lalu ketika penduduk Mesir purba membina piramid di Giza.


"Terdapat rumput laut dan tumbuhan darat yang lebih tua di tempat lain di dunia namun tiada satu pun dipercayai sebesar penemuan ini," jelas laporan itu yang telah diterbitkan pada 2 Jun 2022 dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B.


Ahli ekologi dari Universiti Flinders, Dr. Martin Breed mendedahkan kajian yang menerangkan jangka hayat rumput laut yang luar biasa.


"Apa yang kami perhatikan di Teluk Shark adalah kawasan rumput laut sangat besar yang terus membiak dan tumbuh merentasi kawasan luas. Beberapa bahagian rumput sudah mati namun masih terdapat banyak yang masih hidup," katanya.


Sementara itu, pengarang kanan kajian itu, ahli biologi evolusi University of Western Australia (UWA), Dr. Elizabeth Sinclair berkata, rumput laut itu berasal dari jenis poliploid.


"Ini bermakna ia mempunyai dua kali ganda lebih bilangan kromosom berbanding tumbuhan laut lain. Ini dapat menjelaskan jangka hayat tumbuhan itu," katanya.


Kumpulan penyelidik akan melakukan beberapa eksperimen secara terperinci di Teluk Shark bagi memahami bagaimana rumput laut itu mampu hidup di bawah keadaan berubah-ubah.



Dr Breed berkata, kawasan yang menyediakan habitat penting untuk ikan lumba-lumba, dugong dan ikan itu mendapat kesan besar pada 2010 dan 2011, apabila gelombang haba marin melanda, menyebabkan suhu air 39.2°F (4°C) melebihi purata.


Tetapi ia telah bangkit semula, dan itu adalah sebab untuk optimis dalam menghadapi peningkatan tekanan yang disebabkan oleh perubahan iklim.


"Ia seolah-olah mempunyai cara untuk bersembunyi dan mempunyai kit alat genetik untuk terus hidup, tidak kira apa keadaan yang telah dilemparkan setakat ini," katanya.


Menurut UWA, dari 2010 hingga 2011, Australia Barat mengalami gelombang haba marin yang menyaksikan suhu meningkat sehingga 41⁰F (5⁰C) di beberapa perairan pantai.


"Kejadian cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim malangnya mengancam rumput laut. Di teluk Shark, kira-kira 36 peratus daripada rumput laut telah rosak oleh gelombang haba ini.


"Melalui kemusnahannya, ia berkemungkinan mengeluarkan sebahagian daripada karbonnya yang 'terkunci', menjejaskan haiwan yang disokongnya seperti dugong, penyu dan ikan lumba-lumba serta ribuan spesies ikan," lapor UWA.


Pasukan penyelidik UWA telah bekerjasama dengan renjer pribumi teluk Shark, Malgana, untuk memikirkan cara terbaik untuk memulihkan rumput laut di kawasan yang paling terjejas.


Kawasan rumput laut seluas 200 kilometer persegi itu ditemukan di Teluk Shark di Australia Barat. - Foto AF.


EmoticonEmoticon