Jumaat, 24 Oktober 2025

Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN dijamu nasi lemak


Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 yang berlangsung hari ini menghidangkan nasi lemak kepada para Menteri Ekonomi negara ASEAN.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nasi lemak itu disediakan oleh usahawan tempatan yang juga bekas staf MITI yang kini menjalankan perniagaan katering.


"Satu hari suntuk padat dengan pelbagai majlis, mesyuarat dan perbincangan. Jadi, untuk sesi pagi, saya belanja dan jamu semua Menteri Ekonomi ASEAN dengan nasi lemak.


"Ini bukan sebarang nasi lemak. Kita nak sokong usahawan tempatan. Nasi lemak laku keras pagi ini. Sambil mesyuarat pun kita boleh bantu usahawan tempatan," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.


Dalam hantaran berasingan, Tengku Zafrul berkata, kehadiran pemimpin utama dunia seperti Presiden Amerika Syarikat dan Premier China menyaksikan perhatian komuniti antarabangsa tertumpu ke Kuala Lumpur.


Menurut beliau, Kuala Lumpur turut menjadi perhatian dunia kerana kehadiran pemimpin ASEAN dan pemimpin-pemimpin rakan dialog ASEAN.


"Malaysia akan memastikan Mesyuarat AECC dan Sidang Kemuncak ASEAN ini membuahkan hasil yang signifikan demi kemakmuran serantau," katanya.


Tengku Zafrul menjamu Menteri Ekonomi negara-negara ASEAN dengan hidangan nasi lemak. - Foto Kosmo Online.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon