Khamis, 23 Jun 2022

Demi sebatang pokok di laut pelancong sanggup bersesak untuk bergambar


Demi sekeping gambar dan kandungan media sosial, pelancong sanggup bersesak untuk bergambar di depan sebatang pokok di Pulau Koh Khai Hua Roh di Thailand, lapor laman berita Oddity Central pada 16 Jun 2022.


Pulau kecil itu sebenarnya hanya mampu menampung lima orang pada satu masa, namun kini jumlah pengunjung meningkat mendadak sejak beberapa bulan lalu selepas gambar pokok di pulau itu, dirakam seorang pelancong dan tular di Facebook.


Kerajaan Thailand kini sedang berusaha menyelamatkan satu-satunya pokok di pulau berkenaan. Pihak berkuasa memaklumkan, pulau itu terletak di wilayah Trat hanya lebar beberapa meter dan ditampung sepenuhnya akar pokok berkenaan.


"Pokok Xylocarpus rumphii sudah rosak kerana ada pelancong yang memanjatnya untuk bergambar. Tindakan itu menyebabkan beberapa pohon sudah patah malah lebih parah akar pokok yang besar di atas batu dipijak berulang kali," katanya.



Pengarah Pusat Pemuliharaan Koh Mak Tambon, Letrob Saithongpu berkata, beberapa dahan pada pokok itu juga sudah bengkok sejak beberapa tahun lalu.


Bagi memastikan kejadian ini tidak berlarutan, kerajaan Thailand melaksanakan beberapa peraturan untuk mengelak pelancong memanjat pokok berkenaan.


Malah, jumlah pelancong juga akan dihadkan bagi mengelak kesesakan di atas pulau itu selain kunjungan hanya dibenarkan pada waktu tertentu saja.


Pulau itu diberi nama 'Koh Khai Hua Roh' kerana ia kelihatan serupa dengan pulau yang dipaparkan dalam lukisan adegan lucu, yang melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terperangkap di sebuah pulau dalam cerita komik popular Khai Hua Roh. - Sumber Oddity Central.


'Pokok paling sunyi' di Thailand, pokok bersendirian yang tumbuh di pulau kecil berbatu. - Foto The Nation Thailand.


EmoticonEmoticon