Rabu, 20 Julai 2022

(Video) Nelayan Taiwan tangkap jerung zaman prasejarah, spesiesnya sudah hidup lebih 200 juta tahun dahulu


Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemukan dan merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung pada Ahad lalu.


Pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Channel News Asia, berkata jerung itu adalah spesis yang jarang ditemukan kerana ia hidup pada kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah paras laut.


"Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti spesies terdahulu," jelas Wu.


Menurut Wu, ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.


Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu dilelong semalam.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai 'hampir terancam' kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikannya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.


Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu. - Sumber BERNAMA.



Jerung ini merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur. - Foto CNA.


EmoticonEmoticon