Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Ogos 2026

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa


Seorang budak lelaki berusia 14 tahun di Thailand, yang disifatkan sebagai 'bermasalah' dan 'dibuli' oleh rakan sekelas bertindak membunuh datuk dan neneknya sebelum menembak mati lima lagi mangsa di sebuah sekolah semalam, kata polis.


"Mula-mula dia menembak mati kedua-dua datuk dan neneknya, menggunakan pistol datuknya, kemudian dia pergi ke sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi, bersempadan dengan Bangkok dan membunuh lima kakitangan sekolah," kata polis Thai dalam satu kenyataan.


Suspek berumur 14 tahun itu juga maut, kata kenyataan itu, dengan seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa suspek mengambil nyawanya sendiri.


Berpuluh-puluh anggota polis dan penyelamat berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi yang dikepung, lapor wartawan AFP, manakala ibu bapa menunggu untuk menjemput anak-anak mereka serta kakitangan yang menangis sambil menenangkan antara satu sama lain.


"Saya takut saya akan mati dan saya takut saya tidak akan dapat mengejar impian saya," kata, pelajar tingkatan 5 (gred 12) yang berharap untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah perubatan, Pawarisa Maylissa.


"Saya mendengar bunyi tembakan dengan sangat kuat kerana nampaknya suspek berada di tingkat tepat di atas tingkat kami," tambahnya kepada AFP.


Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa "polis menyoal siasat sahabat karibnya yang mengatakan bahawa suspek berada di bawah tekanan berkaitan persekolahannya.


"Tindakannya juga menunjukkan bahawa dia telah merancang dengan teliti serangan ini," kata Anutin.


Menurutnya, lebih 30 orang cedera, dengan kira-kira sembilan dalam keadaan kritikal.


Timbalan Ketua Polis Negara Thailand merangkap jurucakap Polis Diraja Thailand Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata siasatan awal polis menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru tambahan di luar magazin.


Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Debsirin Nonthaburi melepaskan tembakan di sekolah itu kira-kira jam 10 pagi mengorbankan enam individu, tiga guru dan tiga pelajar.


Polis mengesahkan bahawa suspek turut ditemukan maut di sekolah berkenaan.


Orang ramai menenangkan isteri kepada seorang cikgu yang mati ditembak dalam insiden berdarah di sebuah sekolah di Thailand pada Jumaat. - Foto AFP.

Selasa, 4 Ogos 2026

Lagi warga Malaysia ditahan seludup dadah di lapangan terbang Indonesia

Lagi warga Malaysia ditahan seludup dadah di lapangan terbang Indonesia


Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang warga Malaysia berusia 22 tahun selepas didakwa menemui hampir satu kilogram (kg) methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo.


Jakarta Globe.ID melaporkan, suspek yang dikenal pasti dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, kata pihak berkuasa pada Isnin.


Menurut pihak berkuasa, pegawai menemui empat bungkusan yang mengandungi gabungan 990 gram methamphetamine dan empat bungkusan yang mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dibalut pada badannya.


DI didakwa memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia bersetuju bekerja sebagai penghantar untuk rangkaian dadah antarabangsa kerana dia sedang bergelut dengan masalah kewangan dan mempunyai hutang.


"Suspek cuba menyembunyikan narkotik itu di bawah korset yang dipakainya untuk mengelakkan pemeriksaan. Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan," kata Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan, pada sidang media pada Isnin.


Pihak berkuasa menganggarkan dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran sekitar Rp2.79 bilion (RM715,000). Mereka berkata, rampasan itu berpotensi menghalang dadah itu daripada sampai kepada kira-kira 6,584 pengguna.



DI dan narkotik yang dirampas itu diserahkan kepada penyiasat di polis perbandaran Sidoarjo untuk tindakan undang-undang selanjutnya dan membantu membongkar rangkaian lebih besar yang didakwa terbabit dalam perdagangan dadah antarabangsa.


Dia berdepan hukuman penjara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.


Rampasan di Juanda itu menyusuli satu kes berasingan yang membabitkan seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.


Juruterbang itu, yang dikenal pasti dengan inisial MS, ditahan pada 28 Julai selepas pegawai kastam menandakan beg pakaiannya untuk diperiksa susulan imbasan sinar-X di terminal ketibaan antarabangsa.


Pemeriksaan itu dilaporkan menemukan 14 bungkusan yang mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan berat 25.19 kilogram. Pegawai turut menemukan 2.7 gram methamphetamine dalam sebuah beg galas hitam.


Pihak berkuasa berkata, MS memberitahu penyiasat bahawa seorang individu mengarahkannya untuk membawa dadah itu ke Jakarta dengan upah RM50,000. Dia didakwa dijangka menerima arahan lanjut daripada seorang kenalan di Malaysia sebelum menyerahkan dadah itu kepada seorang penerima di sebuah hotel di Jakarta.


Polis turut berkata, MS mendakwa sudah menjalankan dua operasi penyeludupan dadah sebelum ini, termasuk membawa methamphetamine ke Sabah dan kemudian membawa kira-kira 7 kilogram syabu ke Jakarta.

Sabtu, 25 Julai 2026

Emas 74kg, wang tunai RM77 juta dalam rumah bekas pendakwa raya dirampas

Emas 74kg, wang tunai RM77 juta dalam rumah bekas pendakwa raya dirampas


Pihak berkuasa Indonesia menahan bekas pendakwa raya anti rasuah selepas merampas wang tunai bernilai berjuta-juta dolar dan lebih 70 kilogram jongkong emas dari rumah dan hartanah miliknya, kata seorang pegawai.


Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sudah lama bergelut dengan gejala rasuah dan menahan ramai pegawai awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


"Febrie Adriansyah didakwa melakukan pengubahan wang haram semasa berkhidmat sebagai ketua pendakwa raya anti rasuah Indonesia," kata Penolong Peguam Negara bagi Pengawasan, Rudi Margono kepada pemberita semalam.


Febrie meletak jawatan pada 11 Julai lalu selepas memegang jawatan itu selama lebih empat tahun, berikutan serbuan ke atas hartanah, termasuk rumahnya di luar Jakarta.


Polis merampas wang tunai berjumlah AS$19 juta (RM77.7 juta) dalam pelbagai mata wang dan 74 kilogram jongkong emas bernilai jutaan dolar.


Selepas disoal siasat selama berjam-jam, Febrie menafikan sebarang salah laku lewat semalam dan mendakwa bahawa beliau adalah mangsa 'penjenayahan' dalam kenyataan kepada saluran televisyen tempatan.


Peguamnya, Febri Diansyah berkata, anak guamnya berharap agar proses undang-undang boleh berjalan dengan adil.


Siasatan terhadap Febrie dimulakan oleh polis dan diserahkan kepada pakar-pakar antirasuah di bekas pejabatnya.


Febrie diiring ke kenderaan polis selepas soal siasat di Pejabat Peguam Negara Indonesia pada 24 Julai 2026. - Foto AFP.

Febrie menafikan sebarang salah laku.

Selasa, 21 Julai 2026

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri

Kecewa Bekas Isteri Kahwin Semula, Lelaki Tergamak Bakar Bapa Sendiri


Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila tergamak membakar bapanya sendiri selepas didakwa sukar mengawal emosi berikutan bekas isterinya berkahwin semula dengan lelaki lain.


Dalam kejadian di Jalan Pinang Baris, Gang Wakaf II, Medan, Sumatera Utara pada Jumaat malam, mangsa yang dikenali sebagai YL, 66, berjaya diselamatkan sebelum api merebak ke seluruh tubuhnya.


Bagaimanapun, mangsa mengalami kecederaan akibat melecur pada bahagian tangan dan kaki susulan kejadian itu.


Suspek, EP, 39, dikatakan bertindak demikian selepas berdepan tekanan emosi akibat perpisahan dengan isterinya.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Medan Sunggal, Iptu Herman Sentosa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan itu.


"Maklumat awal mendapati suspek mengalami tekanan selepas bekas isterinya berkahwin semula.


"Keadaan itu menyebabkan dia mudah hilang kawalan sehingga bapanya menjadi sasaran," katanya seperti dipetik media tempatan pada Sabtu.


Menurut Herman, suspek kini ditahan di Balai Polis Medan Sunggal bagi membantu siasatan lanjut.


Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan belum menetapkan status suspek sebagai tahanan reman kerana belum menerima laporan rasmi daripada mangsa atau ahli keluarga.


"Suspek masih ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, belum ada laporan polis dibuat oleh mangsa atau ahli keluarga," katanya.


Sebelum kejadian itu, suspek dilaporkan sempat ditahan penduduk setempat selepas kejadian berlaku dan hampir menjadi sasaran amukan orang ramai.


Kes berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk tindakan suspek yang menyebabkan bapanya mengalami kecederaan.


Tangkap layar kejadian seorang anak membakar bapanya di Medan. - Foto Tribun Medan/Istimewa.

Jumaat, 17 Julai 2026

Berang ditegur memakai solekan di rumah, isteri jerut leher suami guna kain hingga maut

Berang ditegur memakai solekan di rumah, isteri jerut leher suami guna kain hingga maut


Seorang wanita di Medan, Indonesia didakwa membunuh suaminya selepas berlaku pertengkaran berpunca daripada teguran mengenai penggunaan solekan.


Yuyun Kristina Sirait, 25, berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa menyebabkan kematian suaminya, Irfansyah Hutagalung. Hukuman itu dibacakan pihak pendakwaan di Mahkamah Negeri Medan pada Isnin.


Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di Jalan Flamboyan Raya Gang Sejati, Kecamatan Medan Tuntungan.


Kes itu dikatakan bermula apabila mangsa pulang dari kerja dan melihat isterinya sedang memakai solekan di rumah.


Teguran mangsa kemudian mencetuskan pertengkaran antara mereka sebelum kedua-duanya masuk ke bilik untuk meneruskan perbincangan.


Ketika pertengkaran berlaku, mangsa didakwa sempat memeluk isterinya di atas katil, namun Yuyun dikatakan melawan sehingga berjaya mengubah kedudukan tubuh suaminya.


Wanita itu kemudian didakwa mencekik leher mangsa menggunakan kedua-dua tangannya, kemudian mengambil kain sarung dari bilik lain, mengikatnya pada jeriji tingkap sebelum melilitkan kain berkenaan pada leher mangsa hingga dia mati.


Pendakwa Raya berkata, perbuatan tertuduh terbukti melanggar peruntukan undang-undang jenayah Indonesia berkaitan kesalahan menyebabkan kematian seseorang.


Menurut pendakwaan, faktor memberatkan hukuman ialah perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa yang juga suaminya kehilangan nyawa.


Bagaimanapun, pihak pendakwa mengambil kira beberapa faktor meringankan termasuk tertuduh tidak pernah mempunyai rekod jenayah, bersikap baik sepanjang perbicaraan serta menyesali perbuatannya.


Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding ke minggu hadapan bagi mendengar pembelaan pihak tertuduh.


Prosiding perbicaraan kes berkenaan berlangsung di Mahkamah Daerah Medan, Sumatera Utara. - Foto Tribun Medan.

Selasa, 14 Julai 2026

13 maut pikap bawa rombongan majlis perkahwinan dirempuh dua lori

13 maut pikap bawa rombongan majlis perkahwinan dirempuh dua lori


Seramai 13 orang maut manakala lima lagi cedera apabila sebuah trak pikap yang membawa rombongan tetamu majlis perkahwinan dirempuh dua lori di daerah Indramayu, wilayah Jawa Barat, Indonesia.


Ketua Polis Trafik tempatan, Undang Syarif Hidayat berkata, kemalangan maut itu berlaku di laluan pantai utara berhampiran Kampung Kiajaran Kulon ketika kumpulan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Parean.


Mangsa dilaporkan menaiki sebuah trak pikap terbuka apabila kenderaan itu memperlahankan kelajuan sebelum berhenti berhampiran pembukaan pembahagi jalan untuk membuat pusingan U.


Bagaimanapun, sebuah lori jenis wing-box yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang trak pikap berkenaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terdorong masuk ke laluan bertentangan.


Sebuah lagi lori yang datang dari arah hadapan kemudian merempuh trak pikap tersebut, menyebabkan lebih 12 penumpang tercampak ke atas jalan raya.


Syarif Hidayat berkata, sebahagian besar mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.


Lima mangsa yang terselamat kini menerima rawatan di hospital berhampiran manakala pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan.


Kemalangan maut sering berlaku di Indonesia dan lazimnya dikaitkan dengan kenderaan membawa muatan berlebihan, tahap keselamatan jalan raya yang tidak mencukupi serta kegagalan mematuhi peraturan lalu lintas.

Isnin, 13 Julai 2026

Sekurang-kurangnya 27 maut dalam kebakaran pusat hiburan terkenal di Bangkok

Sekurang-kurangnya 27 maut dalam kebakaran pusat hiburan terkenal di Bangkok


Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan maut dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan sebuah pusat hiburan terkenal di Bangkok, pada tengah malam tadi.


Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengesahkan angka korban itu ketika berada di lokasi kejadian dan memaklumkan, beberapa lagi mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.


Menurut pihak berkuasa, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan sejurus selepas tengah malam sebelum bergegas ke premis berkenaan yang ketika itu sedang dijilat api.


Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan api marak keluar dari bahagian hadapan bangunan ketika pengunjung bertempiaran melarikan diri melalui pintu utama.


Pusat hiburan yang dikenali sebagai Rong Beer Na Lat Phrao itu terletak di Daerah Chatuchak dan merupakan antara lokasi hiburan serta restoran yang popular di kawasan berkenaan.



Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian, namun keadaan dalam premis itu didapati musnah teruk.


Gambar selepas kebakaran menunjukkan keseluruhan ruang dalaman hangus, dengan siling bangunan turut runtuh akibat suhu yang tinggi.


Media tempatan melaporkan, beberapa individu masih belum dapat dikesan, sekali gus menimbulkan kebimbangan angka korban mungkin meningkat.


Menurut laporan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sutthisan tiba di lokasi pada jam 12.02 tengah malam waktu tempatan.


Seorang pemandu yang melalui kawasan itu mendakwa terlihat api mula marak sekitar jam 11.30 malam sebelum bertindak memecahkan tingkap premis untuk membantu dua individu menyelamatkan diri.


Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerajaan Thailand belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung insiden tersebut.


Pihak berkuasa turut bimbang sebahagian mangsa yang terkorban gagal melarikan diri selepas bekalan elektrik terputus ketika kebakaran berlaku.


Ahad, 5 Julai 2026

Polis Thailand laksana operasi besar-besaran, 11 individu ditahan palsukan dokumen migran Rohingya

Polis Thailand laksana operasi besar-besaran, 11 individu ditahan palsukan dokumen migran Rohingya


Seramai 11 individu ditahan manakala beberapa lagi masih diburu dalam operasi besar-besaran bagi menumpaskan rangkaian yang didakwa memperdaya dan mendapatkan dokumen pendaftaran Thailand secara penipuan untuk migran Rohingya dari Myanmar, kata pihak berkuasa semalam.


Antara yang ditahan termasuk bekas pegawai kanan daerah di Surat Thani, lokasi sebahagian besar kesalahan itu berlaku yang kini berkhidmat sebagai timbalan ketua daerah Khanom di Nakhon Si Thammarat.


Polis, pegawai imigresen, pegawai Jabatan Pentadbiran Wilayah serta agensi berkaitan menjalankan operasi bersepadu semalam.


Berbekalkan 17 waran tangkap, mereka melakukan serbuan serentak di 13 lokasi di Surat Thani termasuk Koh Samui dan Koh Phangan serta di wilayah Nakhon Si Thammarat, Ranong, Krabi, Songkhla dan Buri Ram.


Memetik laporan Bangkok Post, waran tangkap itu menamakan bekas timbalan ketua daerah Don Sak di Surat Thani, seorang bekas kakitangan daerah, tiga pemilik rumah yang didakwa mengesahkan pendaftaran dan 12 migran Rohingya yang dituduh memperoleh kad berkenaan secara tidak sah dengan enam daripadanya masih bebas.


Siasatan menyasarkan sindiket penipuan yang membabitkan pengeluaran "kad pengenalan bermula nombor sifar" iaitu nombor ID 13 digit yang bermula angka 0 dan dikhas kepada bukan warganegara, individu tanpa kerakyatan atau etnik minoriti berstatus sah bagi mendapatkan akses kemudahan asas kerajaan.


Suspek berdepan pertuduhan berkaitan salah laku jawatan, pemalsuan dokumen rasmi, pengesahan maklumat palsu serta memudahkan kemasukan individu secara tidak sah ke dalam rekod pendaftaran rumah dan dokumen pendaftaran awam lain.


Timbalan Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Polis Samran Nualma yang mengetuai operasi itu berkata, siasatan berpunca daripada aduan yang difailkan awal tahun ini yang mendakwa migran Rohingya memperoleh kad pengenalan secara tidak sah melalui pejabat daerah Don Sak di Surat Thani.


Hasil siasatan lanjut mendapati bekas timbalan daerah Don Sak bernama Phairat bekerjasama dengan individu lain untuk memproses rekod pendaftaran dan mengeluarkan kad pengenalan status sifar kepada kira-kira 240 individu antara 2021 hingga 2023.


Katanya, penipuan pendaftaran di Thailand dikesan berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kecurian identiti membabitkan pendaftar tidak aktif, pendaftaran kelahiran palsu, perkahwinan palsu dan penyalahgunaan hak pendidikan. Namun, kes Don Sak ini disifatkan amat serius kerana memberi implikasi besar kepada keselamatan negara.


Kebanyakan migran yang terbabit dipercayai berasal dari Wilayah Rakhine di Myanmar dan memasuki Thailand sama ada melalui operasi pemerdagangan manusia atau lintasan sempadan secara haram sebelum memohon status pendaftaran bagi membolehkan mereka kekal berada di negara itu.


Berdasarkan siasatan, rangkaian itu terdiri daripada ejen yang merekrut pemilik rumah dengan bayaran antara 1,000 hingga 2,000 baht (kira-kira RM130 hingga RM260) seorang manakala migran Rohingya pula dikenakan caj sehingga 50,000 baht (kira-kira RM6,450) seorang dengan sekurang-kurangnya 15 juta baht (kira-kira RM1.93 juta) dipercayai bertukar tangan selain membabitkan pakatan sulit bersama pegawai awam yang korup.


Samran berkata, sebaik sahaja migran memperoleh kad status sifar, polis tidak lagi boleh mendakwa mereka atas kesalahan memasuki negara secara haram kerana dokumen itu mengiktiraf pemegangnya sebagai individu yang sedang menunggu pengesahan kewarganegaraan, sekali gus membolehkan mereka menubuhkan komuniti secara bebas.


Penyiasat turut melaporkan kes ugutan, pemerasan dan tuntutan wang tebusan termasuk insiden membabitkan penggunaan senjata api dalam kalangan komuniti Rohingya manakala pihak berkuasa wilayah turut mengarahkan pemecatan serta-merta pegawai terbabit serta pembatalan sistemik kad yang diperoleh secara haram daripada pangkalan data negara.

Rabu, 17 Jun 2026

Wanita ditemui maut dalam bilik sewa, dibunuh suami gara-gara sering dimaki hamun

Wanita ditemui maut dalam bilik sewa, dibunuh suami gara-gara sering dimaki hamun


Polis Indonesia menahan seorang lelaki selepas dipercayai menikam isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kecamatan Tamalate, Kota Makassar, Sulawesi Selatan.


Suspek dikenali sebagai SH, 21, ditahan dan didakwa membunuh isterinya, AN, 24, yang ditemukan tidak bernyawa di bilik sewa pasangan itu pada malam Ahad.


Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kanit Reskrim) Balai Polis Tamalate, Iptu Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak kerana menyimpan perasaan sakit hati selepas mendakwa sering menerima kata-kata kesat daripada mangsa.


Menurutnya, pertelingkahan rumah tangga pasangan berkenaan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan apabila mangsa dikatakan kerap mendesak suaminya mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi.


"Motif pembunuhan ini adalah sakit hati. Menurut keterangan suspek, dia sering dimarahi dan dimaki oleh isterinya.


"Punca awalnya berkaitan masalah ekonomi kerana mangsa sering menuntut suaminya mencari pekerjaan dengan gaji lebih tinggi," katanya kepada wartawan pada Selasa.


Abdul Latif berkata, hubungan pasangan itu juga dilaporkan sering bergolak, termasuk akibat rasa cemburu mangsa selepas mendapati terdapat kesan seperti ciuman pada leher suspek yang menimbulkan syak wasangka berlaku kecurangan.


Insiden pembunuhan itu dipercayai berlaku ketika kedua-duanya bertengkar di dalam bilik sewa mereka sebelum suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah senjata tajam jenis badik (senjata tradisional masyarakat Bugis-Makassar).


"Suspek tidak dapat menerima kata-kata kesat yang dilemparkan isterinya sebelum bertindak menikam mangsa. Setakat ini, kecederaan yang dikenal pasti pada mangsa ialah di bahagian leher," katanya.


Polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut sebagai barang bukti. Ketika ditahan, suspek pada awalnya mendakwa berlaku pergelutan dan kejadian tikam-menikam antara mereka.


Bagaimanapun, selepas disoal siasat secara mendalam, dia mengaku kecederaan pada dirinya dilakukan sendiri bagi mengelirukan siasatan.


Berdasarkan siasatan awal, polis menetapkan SH sebagai suspek utama kes berkenaan dan mendakwanya mengikut Pasal 458 ayat (2) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.


Sebelum ini, penduduk setempat digemparkan dengan penemuan mayat AN di dalam bilik sewa pasangan itu sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.


"Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian yang disyaki pembunuhan dan mendapati mangsa sudah terbaring di atas lantai dengan kecederaan pada leher," kata Abdul Latif.


Ketika mangsa ditemukan, suaminya tidak berada di lokasi, sekali gus mendorong polis melancarkan siasatan yang akhirnya membawa kepada penahanan suspek.


Mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya dengan kesan kecederaan pada bahagian leher. - Foto TribunMakassar.

Selasa, 9 Jun 2026

Suami isteri tidur dalam kereta maut, ketika ditemukan enjin kereta masih dalam keadaan berfungsi

Suami isteri tidur dalam kereta maut, ketika ditemukan enjin kereta masih dalam keadaan berfungsi


Sepasang suami isteri di Indonesia, Suharlin dan Dame Lamria Pakpahan, 47, penduduk Sei Mencirim, Sunggal, ditemui mati dalam sebuah kereta sedan Chevrolet hitam pada Jumaat lalu (5 Jun 2026) kira-kira jam 2:30 petang WIB.


"Kedua-dua mangsa, pasangan suami isteri, ditemui mati di hadapan rumah ibu bapa mereka di Jalan Harapan Pasti, Daerah Medan Denai," jelas Ketua Polis Kawasan Medan, AKP M Ainul Yaqin, di tempat kejadian.


Beliau berkata kematian mangsa disedari selepas menerima maklumat daripada ketua kejiranan tempatan. AKP M Ainul Yaqin, bersama-sama anggota pasukan Inafis Polis Medan, segera tiba di tempat kejadian.


Menurut saksi Guntur Simatupang, pasangan itu tiba di kediaman ibu bapa mereka di Jalan Harahap Pasti, Medan Denai, pada hari Khamis (4 Jun 2026) kira-kira jam 11:00 malam WIB.


"Di tempat kejadian, mangsa berkata dia mahu bermalam di situ kerana elektrik di rumah mereka terputus dan tidur di dalam kereta, di tempat letak kereta di hadapan rumah ibu bapa mangsa," kata Ketua Polis Kawasan Medan.



Kemudian, sekitar jam 6:00 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB), saksi menghampiri kereta mangsa dan terus bercakap dengan pasangan itu untuk masuk ke dalam, tetapi mereka enggan.


"Mangsa berkata, 'Mari kita duduk di dalam kereta, kita masuk nanti,'" katanya.


Sambung Yaqin, menjelaskan bahawa mangsa wanita itu lumpuh dan mangsa lelaki itu sihat.


"Pada jam 1:00 tengah hari Waktu Indonesia Barat (WIB), saksi kembali kepada kedua-dua mangsa di dalam kereta dan melihat mangsa (suami) tidak lagi bertindak balas. Sementara itu, mangsa (isteri) sudah lembik dan kereta dikunci dengan pengelap cermin depan dihidupkan," jelas Yaqin.


Oleh itu, saksi menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan membuka kereta, tetapi pihak bomba tidak datang. Saksi dan rakannya kemudian memecahkan tingkap kereta menggunakan palam pencucuh dan membuka pintu. Suhu di dalam kereta mangsa sangat panas.


Kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Madani, tetapi disahkan meninggal dunia.


"Berdasarkan siasatan tempat kejadian jenayah ke atas kereta dan kedua-dua mangsa, tiada tanda-tanda keganasan," kata AKP M Ainul Yaqin. Mayat kedua-dua mangsa kini telah diterima oleh keluarga mereka.


Ahad, 31 Mei 2026

Dakwa daging korban diagih tidak adil, lelaki bertindak agresif pukul rakan, bakar bangunan

Dakwa daging korban diagih tidak adil, lelaki bertindak agresif pukul rakan, bakar bangunan


Pertikaian dalam kalangan pekerja projek pembinaan di Kalimantan Timur bertukar kecoh apabila seorang lelaki bertindak agresif terhadap rakannya, sebelum membakar sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan ketika kejadian di Samarinda pada malam Khamis lalu.


Insiden itu dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan pembahagian daging korban serta wang sumbangan (amplop) dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan berkenaan, yang didakwa tidak diagihkan secara adil.


Menurut pihak berkuasa, pertengkaran yang bermula dalam skala kecil bertukar menjadi tegang apabila suspek dikatakan berang sehingga bertindak di luar kawalan, sekali gus mencetuskan kekecohan besar di kawasan tapak pembinaan.


Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila berlaku insiden penganiayaan terhadap seorang pekerja lain. Suspek menyerang dengan sebatang besi, terkena bahagian kiri kepala mangsa. Dia juga memukul mangsa dengan penyapu, sebelum suspek bertindak membakar bangunan yang sedang dalam pembinaan berkenaan.


Tindakan itu menyebabkan suasana di tapak berkenaan bertukar panik apabila beberapa pekerja lain serta penduduk sekitar mula berkumpul dan bertindak mengejar suspek yang cuba melarikan diri.


Suspek dilaporkan cuba menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah berhampiran sebelum melarikan diri ke kawasan padang rumput di belakang lokasi kejadian.


Bagaimanapun, persembunyian suspek berjaya dikesan orang awam yang kemudiannya mengepung kawasan berkenaan hingga suspek berjaya ditahan lantas dia dibelasah.


Situasi tersebut hampir menjadi lebih buruk apabila keadaan tidak terkawal di lokasi kejadian, sebelum pihak polis tiba untuk campur tangan.


Polis yang tiba di lokasi terpaksa melepaskan enam tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan orang ramai serta mengawal keadaan daripada terus tidak terkawal, selain menyelamatkan suspek daripada terus dipukul.


Selepas keadaan kembali reda, suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.


Pihak polis tempatan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk elemen penganiayaan, pembakaran, serta peranan individu lain yang terlibat dalam kekecohan tersebut.


Polis bersama sukarelawan di Kota Samarinda semasa menjalankan operasi memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian penganiayaan dan pembakaran sebuah bangunan di kawasan Jalan Batu Cermin, Sempaja. - Foto Siko/Kaltimetam.id.

Sabtu, 30 Mei 2026

AS puji kepimpinan Malaysia, ASEAN kongsi beban pelihara kestabilan serantau

AS puji kepimpinan Malaysia, ASEAN kongsi beban pelihara kestabilan serantau


Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Malaysia yang segera bertindak mengerah pasukan pemerhati ASEAN ke sempadan Thailand-Kemboja, menyifatkan misi itu sebagai sumbangan penting kepada keamanan serantau dan usaha perkongsian beban di Asia Tenggara.


Bercakap pada Dialog Shangri-La (SLD) IISS ke-23, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memuji Malaysia dan blok serantau kerana mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan ketegangan dan menyokong diplomasi.


Beliau berkata, penempatan pasukan pemerhati itu mencerminkan komitmen rantau ini dalam mengekalkan keselamatan menerusi tindakan kolektif.


"Negara-negara di rantau ini melangkah ke hadapan untuk memelihara keamanan, mengurangkan ketegangan dan menyokong diplomasi dengan keupayaan yang boleh dipercayai.


"Saya memuji Malaysia dan ASEAN atas usaha mereka menyokong perjanjian damai bersejarah Presiden Donald Trump," katanya semasa berucap pada sesi 'Strategi Keamanan Amerika Syarikat di Indo-Pasifik', Singapura hari ini.


Pada Oktober 2025, Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.


Perjanjian itu yang ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet disaksikan oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN.


Sementara itu, Hegseth berkata, AS memerhati rakan kerjasamanya, khususnya di Asia Tenggara, meningkatkan usaha untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan serantau.


Beliau menyatakan, Singapura secara konsisten menjangkaui jangkaan dengan banyak melabur dalam ketenteraannya dan berfungsi sebagai hab penting untuk aktiviti logistik AS dan penempatan bergilir.


"Indonesia juga sedang mengorak langkah besar dalam memodenkan angkatan tenteranya dan meluaskan skala latihan ketenteraan dengan AS, mengukuhkan kesalingoperasian dan memperkukuh kestabilan serantau.


"Thailand terus memperdalam kerjasama ketenteraan dengan AS untuk meningkatkan kesalingoperasian dan membangunkan kesediaan yang diperlukan. Kami juga melihat keseriusan tujuan yang sama daripada Vietnam," tambahnya.

Rabu, 27 Mei 2026

Dua gadis nyaris 'dijual' sindiket pemerdagangan pengantin ke China

Dua gadis nyaris 'dijual' sindiket pemerdagangan pengantin ke China


Satu sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penghantaran pengantin perempuan ke China terbongkar selepas penduduk curiga dengan kehadiran dua wanita muda di sebuah rumah di sebuah perumahan, Bandar Pontianak, Kalimantan Barat.


Portal Kompas melaporkan rasa curiga itu timbul hasil maklumat diterima oleh Mawardi iaitu seorang penduduk tempatan ketika dia bekerja di sebuah kedai buah.


Dia mengaku mendengar cerita daripada rakannya mengenai dua wanita yang didakwa meminta bantuan.


"Saya bekerja di sebuah kedai buah. Seorang rakan memberitahu mengenai dua gadis yang perlu diselamatkan," kata Mawardi pada Selasa.


Menurut maklumat diterimanya, kedua-dua wanita itu berasal dari Medan dan pada awalnya dijanjikan pekerjaan. Namun selepas tiba di Pontianak, mereka dipercayai akan dihantar ke China.


"Mereka kata akan ditawarkan pekerjaan di Medan. Tetapi apabila sampai di sini, mereka memberitahu akan dihantar ke China," kata Mawardi.


Simpati dengan keadaan mangsa, Mawardi kemudian melaporkan perkara itu supaya tindakan lanjut dapat diambil segera.


"Saya menghubungi ketua kampung dan meminta bantuan kerana saya kasihan melihat mereka," katanya.


Keesokan harinya, beberapa pihak berkaitan pergi ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat perlindungan sementara mangsa.


Pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah sehingga akhirnya pihak berkuasa menemui lokasi dua wanita itu.


Menurut Mawardi, salah seorang mangsa kelihatan ketakutan dan dipercayai sangat tertekan sehingga tidak berani bercakap banyak.


"Dia kelihatan takut dan seperti diugut. Dia juga tergesa-gesa ketika keluar dari rumah," kata Mawardi yang turut memaklumkan salah seorang wanita itu dipercayai masih muda.


Sebelum ini, polis membongkar kegiatan disyaki pemerdagangan manusia menggunakan modus operandi perkahwinan kontrak atau tempahan pengantin perempuan untuk lelaki dari China di Pontianak.


Ketua Polis Pontianak, Endang Tri Purwanto berkata, kes itu masih dalam siasatan dan proses pengumpulan bukti.


Menurut maklumat diperolehi, dua mangsa dari Medan masing-masing berusia 15 dan 25 tahun didakwa direkrut oleh seorang wanita berusia 49 tahun dari Deli Serdang, Sumatera Utara.


Kedua-duanya dijanjikan puluhan juta rupiah sekiranya bersedia berkahwin dengan lelaki dari China di Wilayah Hunan.


Mangsa berusia 25 tahun dijanjikan wang sebanyak 50 juta rupiah (RM11,000), manakala remaja perempuan berusia 15 tahun dijanjikan 40 juta rupiah (RM8,894).


Bagi meyakinkan mangsa, individu itu didakwa menunjukkan gambar wanita yang dikatakan berjaya menjalani kehidupan mewah selepas berkahwin dengan lelaki dari China.


Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Jalan H Kadir yang dipercayai digunakan sebagai tempat perlindungan sementara sebelum mangsa dihantar ke luar negara.


Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menyelamatkan dua wanita dan menahan suspek yang merekrut mangsa.


Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk pasport, dokumen perjalanan dan dokumen perjanjian.


Ketika ini, kedua-dua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan, manakala suspek yang merekrut mangsa masih menjalani soal siasat di Ibu Pejabat Polis Pontianak.


Polis menyerbu sebuah rumah di Jalan H Kadir, Pontianak, Kalimantan Barat, yang dipercayai digunakan sebagai tempat perlindungan sementara sebelum mangsa dihantar ke luar negara. - Foto Kompas.

Rabu, 13 Mei 2026

Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay arah tutup 717 kedai arak

Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay arah tutup 717 kedai arak


Dalam satu tindakan besar-besaran, Ketua Menteri Tamil Nadu yang baharu mengangkat sumpah, C Joseph Vijay, telah mengarahkan penutupan lebih 700 kedai arak di negeri itu, dengan arahan supaya pelaksanaan dilakukan dalam tempoh dua minggu, menurut satu notis kerajaan.


Langkah tegas Vijay muncul selepas beberapa hari beliau memegang jawatan dengan mengarah petutupan 717 kedai arak di bawah kendalian Tamil Nadu State Marketing Corporation (TASMAC).


Arahan tersebut merupakan antara tindakan pertama yang dibuat Vijay, bekas pelakon yang kini bergelar ahli politik, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Ahad lalu.


Partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya Tamil Nadu yang baru selesai dan berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan beberapa parti lain sehingga mencapai majoriti 118 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi.


Kerajaan Tamil Nadu semalam memaklumkan bahawa Vijay telah mengeluarkan arahan untuk menutup 717 kedai arak yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas.


Menurut kenyataan rasmi, tindakan ini diambil demi menjaga kebajikan rakyat. Daripada jumlah itu, 276 kedai berhampiran rumah ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan dan 255 kedai berhampiran stesen bas yang akan ditutup dalam tempoh dua minggu akan datang.


Ketua Menteri turut mengarahkan supaya arahan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam masa dua minggu demi kepentingan orang ramai.


"Ketika ini, sebanyak 4,765 kedai runcit arak dikendalikan oleh TASMAC. Antara jumlah itu, Ketua Menteri, S Joseph Vijay, telah mengarahkan satu audit bagi mengenal pasti kedai yang terletak dalam lingkungan 500 meter dari rumah ibadat, institusi pendidikan dan stesen bas," menurut kenyataan rasmi pada Selasa.


Manifesto pilihan raya TVK sebelum ini turut menjanjikan usaha untuk menjadikan Tamil Nadu negeri bebas dadah. - SumberHindustan Times.

Selasa, 12 Mei 2026

Jual rumah demi biaya perkahwinan anak, ibu kini tinggal di pondok daif

Jual rumah demi biaya perkahwinan anak, ibu kini tinggal di pondok daif


Kisah seorang ibu tunggal di Jawa Tengah, Indonesia meraih perhatian ramai selepas dia terpaksa tinggal di sebuah pondok daif di tepi sungai setelah menjual rumahnya bagi melangsaikan hutang dan membantu pembiayaan kos perkahwinan anaknya.


Siti Sumanah, 57, dari Kabupaten Kudus dilaporkan menetap di pondok kecil berukuran kira-kira 3 x 4 meter bersama seorang anak lelakinya sejak enam bulan lalu.


Kediaman itu hanya beratapkan kepingan bumbung lama, berdindingkan kanvas plastik dan berlantaikan tanah, selain berisiko bocor serta lembap ketika hujan.


Ketua Daerah Bae, Moh Syafii berkata, Siti sebelum ini menetap di Desa Gribig, namun terpaksa menjual rumahnya.


Siti berkata, kehidupannya menjadi semakin sukar selepas kematian suami, menyebabkan dia perlu menanggung keluarga dalam keadaan serba kekurangan.


"Wang itu digunakan untuk bayar hutang dan bantu perkahwinan anak kerana keadaan sudah mendesak. Hidup susah sejak suami meninggal dunia," katanya.


Menurutnya, rumah itu dijual pada harga 60 juta rupiah (RM13,520), dengan sebahagian wang digunakan untuk membayar hutang dan membantu urusan perkahwinan anak sulungnya.


"Beliau seorang janda susah dan hanya bekerja membantu orang menjual sosej," katanya.


Anak sulung Siti sudah berkahwin dan tinggal di luar kota, manakala seorang lagi anaknya masih tinggal bersamanya di pondok tersebut.


Kisah kehidupan Siti mula mendapat perhatian selepas keadaan tempat tinggalnya tular dan dilaporkan kepada kerajaan daerah.


Susulan itu, kerajaan Kabupaten Kudus menyerahkan bantuan bahan binaan bagi membina kediaman lebih selesa untuk Siti.


Bantuan makanan dan alas tidur turut diberikan bagi meringankan beban harian keluarga berkenaan. Pembinaan rumah itu akan dilakukan secara gotong-royong bersama penduduk setempat.


Ketua Dinas Sosial Kudus, Putut Winarno berkata, Bupati Kudus, Sam’ani Intakoris bersama timbalannya, Bellinda Putri turut melawat Siti selepas menerima laporan masyarakat.


Menurutnya, kerajaan daerah juga berusaha memasukkan nama Siti dalam program Rumah Sederhana Layak Huni, selain mengupayakan bantuan susulan melalui agensi kebajikan dan pihak swasta.


Dalam perkembangan sama, anak Siti yang dilaporkan berhenti sekolah sejak setahun lalu akan dibantu untuk menyambung semula pelajaran di sekolah menengah berhampiran. Siti menzahirkan rasa syukur atas perhatian dan bantuan yang diterima.

Rabu, 6 Mei 2026

Hakim ditemui maut jatuh bangunan 8 hari selepas jatuhkan hukuman bekas wanita pertama Korea Selatan

Hakim ditemui maut jatuh bangunan 8 hari selepas jatuhkan hukuman bekas wanita pertama Korea Selatan


Hakim Mahkamah Rayuan, Shin Jong-o yang mengetuai perbicaraan rayuan membabitkan bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, ditemui meninggal dunia, hari ini.


Mayat Shin ditemukan berhampiran Mahkamah Tinggi Seoul kira-kira jam 1 pagi, iaitu lapan hari selepas beliau menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Kim.


Menurut Balai Polis Seoul Seocho, Shin dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan. Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.


Polis juga menemui surat dipercayai nota yang ditinggalkan Shin. Namun surat itu tidak menyebut mengenai keputusan rayuan membabitkan kes Kim.


Menurut laporan media tempatan, nota berkenaan hanya menyatakan, "Saya minta maaf. Saya pergi atas pilihan sendiri".


Setakat ini polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.


Dalam keputusan 28 April lalu, Shin membatalkan sebahagian keputusan mahkamah rendah yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Kim.


Mahkamah rayuan mendapati Kim bersalah melanggar Akta Pasaran Modal berkaitan kes manipulasi saham Deutsche Motors.


Mahkamah itu turut mendapati Kim bersalah atas semua pertuduhan salah guna pengaruh membabitkan penerimaan barangan berharga daripada Gereja Unifikasi.


Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda 50 juta won (kira-kira RM135,594), selain mengarahkan rantai leher Graff bernilai 62.2 juta won (kira-kira RM168,679) disita dan pelucuthakan tambahan 20.94 juta won (kira-kira RM 56,786).


Shin dilahirkan di Seoul dan memulakan kerjaya kehakiman pada 2011 di Mahkamah Daerah Seoul cawangan Uijeongbu.