Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan

Ahad, 5 Februari 2023

Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China

Penduduk bersorak lihat pesawat pejuang F-22 tembak jatuh 'belon pengintip' China


Tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon udara panas China disyaki digunakan untuk mengintip di luar pantai Carolina Selatan. Ia susulan arahan Presiden Joe Biden selepas belon itu melalui tapak sensitif tentera di Amerika Utara, lapor akhbar Arab News hari ini.


Biden mahu belon itu ditembak jatuh pada Rabu tetapi menasihatkan bahawa waktu terbaik untuk melakukannya adalah apabila ia berada di atas lautan, kata pegawai AS.


Pegawai tentera mendapati bahawa jika belon itu ditembak jatuh dari altitud kira-kira 18,000 meter di darat, ia akan memberikan risiko kepada penduduk.


Belon itu yang melintasi ruang udara AS minggu lalu kembali mencetuskan ketegangan antara AS dan China. Ia menyebabkan Setiausaha Negara AS Antony Blinken segera membatalkan kunjungannya ke Beijing yang dijadualkan sebelum ini.


"Mereka berjaya menembak jatuh (belon itu) dan saya mahu memuji juruterbang kita yang melakukannya," kata Biden selepas mendarat dengan pesawat rasmi Air Force One ke Kem David.


Belon gergasi itu dilihat pada pagi Sabtu melintasi Carolina Selatan dan menghampiri pantai Lautan Atlantik. Kehadiran belon itu di ruang udara AS menarik perhatian penduduk negara itu sepanjang minggu lalu.


Pesawat pejuang F-22 kemudian menembak peluru berpandu ke arah belon itu dan menyebabkan ia jatuh di luar pantai berhampiran Pantai Myrtle, Carolina Selatan, menurut pegawai kanan pertahanan.


Di Pantai Myrtle, Carolina Selatan, orang ramai yang memenuhi laluan pantai bersorak ketika peluru berpandu dari pesawat pejuang F-22, menembak belon itu. Belon itu kemudian mengempis dan menjunam ke lautan.


"Itu Tentera Udara kita!" jerit seseorang sejurus selepas belon pengintip terkena tembakan peluru berpandu, dalam video yang diambil oleh pelancong Angela Mosley.


Dalam pada itu, AP melaporkan serpihan belon yang dianggarkan bersaiz tiga buah bas sekolah itu jatuh di kawasan perairan sedalam kira-kira 14 meter, iaitu kawasan yang lebih cetek daripada jangkaan.


Rakaman televisyen menunjukkan berlakunya letupan kuat sebelum belon itu meluncur jatuh ke arah laut. Jet-jet tentera AS turut dilihat terbang di kawasan sekitar selain kapal-kapal dikerahkan ke perairan tersebut bagi melancarkan operasi.


Para pegawai menyasarkan untuk mengatur masa operasi supaya mereka dapat mengumpul sebanyak mungkin serpihan belon yang bertaburan di kawasan seluas kira-kira 11 kilometer sebelum ia tenggelam ke dalam lautan.


Pentagon sebelum ini menganggarkan bahawa mana-mana medan serpihan yang ditemui adalah akan menjadi sesuatu yang amat penting.


Sabtu lalu, pegawai pertahanan dan tentera AS berkata, belon itu memasuki ruang pertahanan udara utara AS di Kepulauan Aleut, Alaska, pada 28 Januari sebelum bergerak melintasi daratan di Alaska.


Ia kemudian melintasi ruang udara Kanada di Wilayah Barat Laut pada Isnin sebelum memasuki semula AS menerusi utara Idaho, pada Selasa.


Belon itu kemudian dilihat di Montana, yang menempatkan Pangkalan Tentera Udara Malmstrom dan tapak itu mempunyai simpanan senjata nuklear.


China bertegas bahawa belon itu adalah untuk kaji cuaca, bukannya untuk mengintip, dan ia terbang ke AS kerana dibawa angin, namun kenyataan itu ditolak Pentagon.


BACA: Pentagon jejaki belon pengintip China, terbang berdekatan pangkalan udara di mana terdapat peluru berpandu nuklear bawah tanah.


Lelaki menggunakan teropong untuk melihat belon udara panas China yang melintasi Carolina Selatan. - Foto Reuters.

Belon udara itu kempis sebelum jatuh di lautan berhampiran Carolina Selatan. - Foto Reuters.
Pentagon jejaki belon pengintip China, terbang berdekatan pangkalan udara di mana terdapat peluru berpandu nuklear bawah tanah

Pentagon jejaki belon pengintip China, terbang berdekatan pangkalan udara di mana terdapat peluru berpandu nuklear bawah tanah


Pusat pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pentagon dilaporkan sedang menjejaki belon pengintip China yang terbang tinggi melintasi ruang udara negara berkenaan, lapor akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2023.


Kewujudan belon bersaiz sebesar tiga bas itu dikatakan berlaku hanya beberapa hari sebelum lawatan diplomat tertinggi AS ke Beijing.


Presiden AS, Joe Biden mencadangkan belon altitud tinggi itu harus ditembak jatuh, meminta Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dan pegawai tinggi tentera mempertimbangkan untuk berbuat demikian.


Namun, keputusan menembak belon itu mungkin membahayakan orang awam walaupun tidak menimbulkan ancaman kepada penerbangan awam.



"Jelas sekali, tujuan belon ini adalah untuk pengawasan," kata pegawai tentera itu yang tidak mahu namanya disiarkan.


Pegawai tentera itu menambah, belon itu terbang di barat laut AS di mana terdapat pangkalan udara dan peluru berpandu nuklear bawah tanah, tetapi Pentagon tidak percaya ia merupakan ancaman perisikan yang sangat berbahaya.


Kata pegawai itu lagi, pihaknya menilai belon berkenaan mempunyai nilai yang terhad dari perspektif pengumpulan perisikan.


Memetik lapor BBC semalam, Kementerian Luar China dalam satu kenyataan mengakui objek yang berlegar-legar di ruang udara sebuah negeri di AS merupakan 'belon udara' milik kerajaannya yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca.


Menurut kenyataan itu, China menyatakan kekesalan bahawa belon udara yang digunakan bagi tujuan meteorologi dan misi saintifik menyimpang keluar dari laluan perjalanan yang dirancang dan tersasar ke ruang udara AS.


"Belon udara itu menyimpang jauh daripada laluan dirancang disebabkan terjejas akibat angin barat dengan keupayaan pemanduan kendiri yang terhad.


"China kesal dengan kemasukan belon udara yang tidak disengajakan ke ruang udara AS disebabkan force majeure," jelas kenyataan itu.


Force majeure bermakna sesuatu keadaan luar jangka yang berlaku di luar kawalan munasabah pihak yang terbabit dan pihak yang terkesan itu tidak dapat mencegah, mengelak atau menghilangkan.


Sementara itu, pegawai pertahanan AS memaklumkan pihaknya percaya belon itu yang berlegar di ruang udara kawasan sensitif sejak kebelakangan ini, merupakan 'peranti pengawasan beraltitud tinggi'.


Katanya, pihaknya kini sedang menjejaki belon itu di atas benua AS. Jelas pihak berkuasa, objek itu terbang di ruang udara Kepulauan Aleutian Alaska dan melalui Kanada sebelum muncul di Montana.


Penemuan belon itu hanya beberapa hari sebelum lawatan yang dijadualkan ke China oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bagi menguruskan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua kuasa itu.


Lawatan Blinken ke Beijing akan menjadi lawatan pertama ke negara Asia oleh diplomat tertinggi Amerika Syarikat sejak 2018.


Di samping pertikaian berterusan mengenai perdagangan dan harta intelek, hubungan antara kedua-dua negara sudah renggang terutamanya berhubung Taiwan yang ditadbir secara demokratik dan China berikrar untuk merampasnya semula.


AS menjual senjata kepada Taiwan untuk mempertahankan diri dan Biden berkata Washington akan membantu melindungi pulau itu jika China menyerang. - Sumber Daily Mail.


Pentagon berkata bahawa ia sedang menjejaki belon pengintip China terbang tinggi di atas Amerika Syarikat yang kelihatan sedang mengawasi tapak senjata nuklear yang sangat sensitif. - Foto Daily Mail.

Sabtu, 7 Januari 2023

UFO bercahaya di langit meletup ditembak peluru berpandu Russia

UFO bercahaya di langit meletup ditembak peluru berpandu Russia

Gambar hiasan.

Peluru berpandu anti pesawat Russia di bandar Rostov telah menembak jatuh sesuatu yang digambarkan dalam laporan berita tempatan sebagai objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Daily Star pada 5 Januari 2023.


Gabenor wilayah, Vasily Golubev menulis dalam aplikasi Telegram bahawa sebuah 'objek bersaiz kecil dalam bentuk bola' dikesan terbang di atas kampung Sultan Sala di daerah Myasnikovsky pada ketinggian kira-kira 2,400 meter, Selasa lalu.


Objek itu segera disasarkan oleh anggota pertahanan udara tempatan selepas ditemui.


Saluran berita tempatan, Pivyet Rostov melaporkan bahawa sebuah UFO dalam bentuk bola telah ditembak jatuh di langit.


Ketika menjelaskan bahawa keputusan telah diambil untuk menghapuskan objek itu, Golubev menggesa orang ramai untuk bertenang.


Beliau meyakinkan penduduk tempatan bahawa 'langit telah dilindungi dengan pertahanan anti-pesawat' dan tidak ada bahaya.


Saluran berita tempatan Ostorozhna, Novosti kemudian menyiarkan video sebuah objek bersinar berbentuk bola yang meletup di langit. - Sumber Daily Star.


Objek 'berbentuk bola' yang tidak dapat dijelaskan itu disasarkan oleh peluru berpandu anti pesawat. - Foto Telegram.

Isnin, 19 Disember 2022

Kejadian pelik muncung jet pejuang tentera AS terjunam di landasan

Kejadian pelik muncung jet pejuang tentera AS terjunam di landasan


Seorang juruterbang Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) berjaya menggunakan kerusi anjal untuk keluar dari sebuah jet pejuang kalis radar F-35B Lightning II bernilai £80 juta (RM429.85 juta) di Texas, lapor akhbar New York Post pada 15 Disember 2022.


Juruterbang itu menggunakan kerusi anjal selepas jet tersebut mendarat dalam keadaan yang pelik apabila muncungnya terjunam pada landasan ketika ia mendarat secara tegak di sebuah pangkalan tentera di Fort Worth pada 10:15 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu.


Rakaman video luar biasa menunjukkan jet itu turun secara menegak perlahan-lahan seperti pendaratan sebuah helikopter dan sebaik sahaja mendarat, ia melantun beberapa kali ke udara sebelum muncungnya menjunam di atas landasan.



Pada ketika itu, juruterbangnya menggunakan kerusi anjal untuk menyelamatkan diri, manakala syarikat Lockheed Martin iaitu pengeluar jet tersebut mengaku kejadian nahas itu dalam satu kenyataan.


Syarikat itu berkata: "Kami menyedari nahas F-35B di landasan Pangkalan Simpanan Bersama Stesen Udara Tentera Laut di Fort Worth dan memahami bahawa juruterbang itu berjaya menyelamatkan diri.


"Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami akan mengikut protokol siasatan yang sesuai."


Sejak tahun 2015, Tentera Udara AS telah mengalami masalah dengan pendaratan secara menegak jet tersebut. - Sumber New York Post.


Muncung jet pejuang kalis radar F-35B Lightning II terjunam pada landasan di sebuah pangkalan tentera di Fort Worth, Texas pada Khamis lalu. - Foto WFAA Twitter.

Isnin, 28 November 2022

Pesawat tentera AS 'mengaku kalah' terpaksa mendarat cemas selepas langgar burung

Pesawat tentera AS 'mengaku kalah' terpaksa mendarat cemas selepas langgar burung


Sebuah pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas melanggar kawanan burung sejurus berlepas, lapor laman berita Wion News pada 24 November 2022.


Wakil Pentadbiran Aviasi Persekutuan memaklumkan bahawa pelanggaran tersebut berlaku pada Isnin lalu (21 November) melibatkan pesawat C-37 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago Midway.


Rakaman video memaparkan percikan api muncul pada enjin kiri selepas pesawat itu merempuh kawanan burung di udara. Kru penerbangan kemudian keluar dari pesawat dengan pantas selepas ia mendarat.


Ketua Biro Pengawal Kebangsaan Ketua Staf Bersama, Jeneral Daniel Hokanson ialah antara pegawai yang berada di dalam pesawat tersebut ketika kejadian.


Beliau merupakan anggota tertinggi Pengawal Kebangsaan, pasukan simpanan tentera yang terutamanya menangani tindak balas terhadap kecemasan domestik, operasi ketenteraan luar negara, operasi melawan dadah, lapor akhbar Mirror UK.


Sejurus mendarat, kakitangan lapangan terbang dan kru penerbangan menyangka kerosakan enjin menjadi penyebab kepada insiden itu. Namun, mereka kemudian menemui bangkai burung yang besar di landasan.


"Keputusan untuk berpatah balik ke lapangan terbang diambil atas dasar berwaspada," kata seorang pegawai Tentera Udara AS.


Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu setakat ini, dan siasatan kini sedang dijalankan bagi insiden tersebut.


Serangan burung dianggap sebagai risiko yang besar dalam operasi pesawat, walaupun risiko kepada nyawa manusia pada pesawat awam daripada satu kejadian dianggarkan serendah satu dalam satu bilion jam penerbangan. - Sumber Wion News.


Penumpang dalam penerbangan itu termasuk pegawai tertinggi Jeneral Daniel Hokanson, ketua Pengawal Kebangsaan AS. - Foto @KrisHabermehl/Twitter.

Rakaman menunjukkan pesawat C-37 melanggar kawanan burung sejurus berlepas. - Foto CNN.

Rabu, 23 November 2022

AS sedang bersiap sedia kerah 6 pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke utara Australia

AS sedang bersiap sedia kerah 6 pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke utara Australia


Amerika Syarikat (AS) merancang untuk mengerahkan sehingga enam buah pesawat pengebom B-52 berkeupayaan nuklear ke pangkalan udara di utara Australia, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 30 Oktober 2022 lalu.


Menurut ABC memetik dokumen AS, Washington sudah merangka pelan terperinci untuk membina kemudahan khusus bagi pesawat berkenaan di Pangkalan Udara Tindal, kira-kira 300 kilometer (km) di selatan Darwin, wilayah utara Australia.


Kementerian Pertahanan Australia tidak mengulas mengenai laporan tersebut, namun Tentera Udara AS memaklumkan keupayaan untuk mengerahkan pesawat pengebom ke Australia menghantar mesej kuat kepada musuh mengenai hasrat Washington untuk menggerakkan kuasa udara.


Penganalisis dari Center for New American Security, Becca Wasser berpandangan tindakan AS merupakan amaran kepada China di tengah-tengah kebimbangan republik itu mungkin boleh menceroboh pulau Taiwan.


"Mempunyai pesawat pengebom yang berupaya menjangkau dan berpotensi menyerang tanah besar China dilihat penting, dan menghantar isyarat kepada republik itu bahawa sebarang tindakan ke atas Taiwan mampu memberi kesan," katanya.


Ketegangan yang semakin memuncak antara Beijing dan AS ketika ini menjadikan Australia utara sebagai hab pertahanan penting bagi Washington. Malah, negara itu komited untuk membelanjakan AS$1 bilion (RM4.72 bilion) untuk menaik taraf aset ketenteraan di rantau itu.


Sementara itu, menurut laporan ABC, rancangan Washington itu termasuk pembinaan 'kemudahan operasi skuadron' untuk digunakan pada musim kemarau di Wilayah Utara, pusat penyelenggaraan bersebelahan dan kawasan tempat letak pesawat untuk B-52.


Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, terbabit dalam kerjasama dengan AS mengenai Pakatan Pertahanan dari masa ke semasa.


"Sudah tentu, ada lawatan ke Australia termasuk di Darwin yang mempunyai tentera AS, secara bergilir-gilir ditempatkan di sana," katanya pada sidang media.


Wilayah Utara Australia menjadi tuan rumah kepada kerjasama ketenteraan yang kerap diadakan dengan AS. Setiap tahun, ribuan tentera laut mengadakan latihan bersama, bermula di bawah Presiden AS terdahulu, Barack Obama.


Tahun lalu, AS, Britain dan Australia memeterai perjanjian keselamatan yang akan menyediakan Australia dengan teknologi menggunakan kapal selam berkuasa nuklear, sekali gus membimbangkan China. - Sumber ABS.


Pesawat pengebom B-52. - Foto Reuters.

Jumaat, 18 November 2022

Tidak sedar peluru tertanam di leher selama 77 tahun sejak Perang Dunia ke-2

Tidak sedar peluru tertanam di leher selama 77 tahun sejak Perang Dunia ke-2


Seorang veteran perang China baru-baru ini mendapati dia hidup selama hampir lapan dekad dengan peluru tertanam di lehernya. Dia hanya menyedari peluru itu selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di Shandong, China, lapor Portal oddity Central.


Lelaki itu, Zhao He, 95, tidak berasa sakit tetapi selepas beberapa ketika, veteran Perang Dunia ke-2 itu mula mengalami sedikit ketidakselesaan di lehernya, jadi anaknya memutuskan untuk membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.


Selepas mendengar mengenai dia jatuh balkoni, doktor mengesyorkan imbasan sinar X untuk memastikan dia tidak mengalami kerosakan serius pada lehernya. Imbasan sinar X mendedahkan objek asing di leher lelaki itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai peluru lama.


Lelaki berusia 95 tahun itu berkata, dia menyertai tentera China ketika remaja dan berjuang melalui dua peperangan, menentang penceroboh Jepun semasa Perang Dunia ke-2 (1931-1945), dan Perang Korea pada tahun (1950-1953).


Ketika Perang Korea, dia berada di pihak Korea Utara untuk menentang Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan. Zhao kemudian bersara dan menjadi pekerja di beberapa kilang tempatan.


Dia mengalami beberapa kecederaan semasa berada dalam tentera, tetapi dia tidak ingat apa-apa mengenai tembakan di leher. 


"Dia cedera ketika membawa rakan seperjuangan yang cedera menyeberangi sungai ketika salah satu pertempuran. Terdapat serpihan di bahagian lain badannya juga," kata menantu lelaki itu, Wang.


Zhao sendiri menganggarkan peluru itu berada di lehernya sejak 1944, apabila dia terkena peluru ketika menyeberangi sungai. Peluru itu didakwa masuk melalui bahagian kiri hidung, menembusi rahang atas sebelum bersarang di lehernya.


Selepas pemeriksaan imbasan sinar X, doktor memberitahu Zhao He dan keluarganya, peluru itu berada berhampiran dengan beberapa saluran darah utama dan memandangkan ia tidak menyebabkan sebarang masalah kepadanya, adalah lebih baik untuk membiarkannya.


"Saya bersetuju dan sihat selama ini jadi tiada sebab untuk mengubah keadaan sekarang," kata Zhao.


Zhao tidak menyedari ada sebutir peluru tertanam pada lehernya. - Foto Viral Press.