Jumaat, 18 November 2022

Tidak sedar peluru tertanam di leher selama 77 tahun sejak Perang Dunia ke-2


Seorang veteran perang China baru-baru ini mendapati dia hidup selama hampir lapan dekad dengan peluru tertanam di lehernya. Dia hanya menyedari peluru itu selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di Shandong, China, lapor Portal oddity Central.


Lelaki itu, Zhao He, 95, tidak berasa sakit tetapi selepas beberapa ketika, veteran Perang Dunia ke-2 itu mula mengalami sedikit ketidakselesaan di lehernya, jadi anaknya memutuskan untuk membawanya ke hospital untuk pemeriksaan.


Selepas mendengar mengenai dia jatuh balkoni, doktor mengesyorkan imbasan sinar X untuk memastikan dia tidak mengalami kerosakan serius pada lehernya. Imbasan sinar X mendedahkan objek asing di leher lelaki itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai peluru lama.


Lelaki berusia 95 tahun itu berkata, dia menyertai tentera China ketika remaja dan berjuang melalui dua peperangan, menentang penceroboh Jepun semasa Perang Dunia ke-2 (1931-1945), dan Perang Korea pada tahun (1950-1953).


Ketika Perang Korea, dia berada di pihak Korea Utara untuk menentang Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan. Zhao kemudian bersara dan menjadi pekerja di beberapa kilang tempatan.


Dia mengalami beberapa kecederaan semasa berada dalam tentera, tetapi dia tidak ingat apa-apa mengenai tembakan di leher. 


"Dia cedera ketika membawa rakan seperjuangan yang cedera menyeberangi sungai ketika salah satu pertempuran. Terdapat serpihan di bahagian lain badannya juga," kata menantu lelaki itu, Wang.


Zhao sendiri menganggarkan peluru itu berada di lehernya sejak 1944, apabila dia terkena peluru ketika menyeberangi sungai. Peluru itu didakwa masuk melalui bahagian kiri hidung, menembusi rahang atas sebelum bersarang di lehernya.


Selepas pemeriksaan imbasan sinar X, doktor memberitahu Zhao He dan keluarganya, peluru itu berada berhampiran dengan beberapa saluran darah utama dan memandangkan ia tidak menyebabkan sebarang masalah kepadanya, adalah lebih baik untuk membiarkannya.


"Saya bersetuju dan sihat selama ini jadi tiada sebab untuk mengubah keadaan sekarang," kata Zhao.


Zhao tidak menyedari ada sebutir peluru tertanam pada lehernya. - Foto Viral Press.


EmoticonEmoticon