Isnin, 28 November 2022

Pesawat tentera AS 'mengaku kalah' terpaksa mendarat cemas selepas langgar burung


Sebuah pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas melanggar kawanan burung sejurus berlepas, lapor laman berita Wion News pada 24 November 2022.


Wakil Pentadbiran Aviasi Persekutuan memaklumkan bahawa pelanggaran tersebut berlaku pada Isnin lalu (21 November) melibatkan pesawat C-37 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago Midway.


Rakaman video memaparkan percikan api muncul pada enjin kiri selepas pesawat itu merempuh kawanan burung di udara. Kru penerbangan kemudian keluar dari pesawat dengan pantas selepas ia mendarat.


Ketua Biro Pengawal Kebangsaan Ketua Staf Bersama, Jeneral Daniel Hokanson ialah antara pegawai yang berada di dalam pesawat tersebut ketika kejadian.


Beliau merupakan anggota tertinggi Pengawal Kebangsaan, pasukan simpanan tentera yang terutamanya menangani tindak balas terhadap kecemasan domestik, operasi ketenteraan luar negara, operasi melawan dadah, lapor akhbar Mirror UK.


Sejurus mendarat, kakitangan lapangan terbang dan kru penerbangan menyangka kerosakan enjin menjadi penyebab kepada insiden itu. Namun, mereka kemudian menemui bangkai burung yang besar di landasan.


"Keputusan untuk berpatah balik ke lapangan terbang diambil atas dasar berwaspada," kata seorang pegawai Tentera Udara AS.


Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu setakat ini, dan siasatan kini sedang dijalankan bagi insiden tersebut.


Serangan burung dianggap sebagai risiko yang besar dalam operasi pesawat, walaupun risiko kepada nyawa manusia pada pesawat awam daripada satu kejadian dianggarkan serendah satu dalam satu bilion jam penerbangan. - Sumber Wion News.


Penumpang dalam penerbangan itu termasuk pegawai tertinggi Jeneral Daniel Hokanson, ketua Pengawal Kebangsaan AS. - Foto @KrisHabermehl/Twitter.

Rakaman menunjukkan pesawat C-37 melanggar kawanan burung sejurus berlepas. - Foto CNN.


EmoticonEmoticon