Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Ahad, 17 Disember 2023

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di kawasan pergunungan

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di kawasan pergunungan


Kanak-kanak United Kingdom (UK) yang hilang di Sepanyol, enam tahun lalu, ketika dia berusia 11 tahun, ditemukan di kawasan pergunungan di Perancis, lapor laman berita BBC News pada 15 Disember 2023.


Pendakwa raya Toulouse mengesahkan, Alex Batty, kini 17 tahun, ditemukan berhampiran bandar Revel di tenggara bandar Toulouse.


"Kami mengesahkan identitinya dan dia kini akan kembali ke Britain," katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.


Polis Manchester berkata, remaja lelaki itu yang berasal dari bandar Oldham, meninggalkan UK pada September 2017 untuk pergi bercuti bersama ibu dan datuknya di Sepanyol.


Neneknya, Susan Caruana yang berpisah dengan datuk remaja itu, memberitahu dia sangat gembira cucunya akhirnya ditemukan.



"Ia sangat mengejutkan tetapi saya sangat gembira. Saya juga sudah bercakap dengannya dan dia sihat, dia kini bersama pihak berkuasa di Perancis," katanya kepada akhbar The Sun.


Dalam pada itu, akhbar serantau La Depeche du Midi melaporkan, remaja itu ditemukan seorang pelajar, Fabien Accidini selepas dia dilihat berjalan dalam hujan berhampiran Toulouse di kawasan pergunungan itu.


Accidini, yang menghantar ubat ke farmasi di kawasan itu berkata, Alex Batty, menceritakan kisahnya.


"Dia menjelaskan bahawa dia telah berjalan selama empat hari, dia bertolak dari sebuah tempat di pergunungan, walaupun dia tidak menyatakan di mana.


"Dia berkata, ibunya menculiknya dan sejak itu, dia tinggal di Sepanyol iaitu di sebuah rumah mewah dengan kira-kira 10 penghuni. Dia kemudian tinggal bersama ibunya di Perancis pada 2021," kata Accidini.


Alex menggunakan telefon Accidini untuk menghantar mesej kepada neneknya di UK, mengatakan "Saya sayang awak, saya mahu pulang".


La Depeche melaporkan, remaja itu pernah tinggal di Perancis bersama ibu dan datuknya dalam komuniti nomad di Aude dan Ariege.


Ibu dan datuk Alex tidak mempunyai hak penjagaan terhadapanya. Setakat ini, tiada maklumat mengenai keberadaan mereka serta prosiding undang-undang yang bakal mereka hadapi. - Sumber BBC News.


Alex Batty, tengah, hilang bersama ibunya, Melanie Batty, dan datuk, David Batty. - Foto BBC News yang disiarkan pada 2018 lalu.

Rabu, 13 Disember 2023

Petani bunuh 10 pembunuh upahan kartel dadah kerana menaikkan cukai pemerasan

Petani bunuh 10 pembunuh upahan kartel dadah kerana menaikkan cukai pemerasan


Pertempuran antara orang awam dan salah satu kartel dadah kejam di Mexico meragut 14 nyawa termasuk 10 pembunuh upahan kumpulan penjenayah tersebut, lapor laman berita Daily Star pada 12 Disember 2023.


Empat yang lain cedera akibat terkena tembakan dan dua orang hilang dalam keganasan yang berlaku di padang bola sepak di Negeri Mexico, Jumaat lalu (8 Disember).


Menurut media tempatan, kartel dadah La Familia Michoacana mengumumkan baru-baru ini bahawa ia menaikkan cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani di bandar Texcaltitlán.


Cukai tersebut adalah perkara biasa di seluruh Mexico, dengan pemilik-pemilik perniagaan membayar kartel dadah supaya mereka dapat beroperasi tanpa gangguan.


Kumpulan petani Texcaltitlán bertemu dengan anggota-anggota La Familia Michoacana untuk berunding. Bagaimanapun, keganasan tercetus selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah cukai yang perlu dibayar.


Rakaman video dari padang bola sepak menunjukkan orang ramai berlari sambil bunyi tembakan kedengaran. Klip video itu turut memaparkan kenderaan terbakar dan mayat bergelimpangan di tempat kejadian.


Media tempatan melaporkan, empat daripada mangsa yang maut ialah petani tempatan, dan 10 yang lain merupakan anggota kartel. Beberapa penjenayah juga telah ditetak dengan parang.


Ketua tempatan La Familia Michoacana, Rigoberto de la Sancha Santillan yang juga dikenali sebagai 'El Payaso' terbunuh dalam pertempuran itu.


Ketua Pejabat Peguam Negara Mexico, José Luis Cervantes Martínez berkata, El Payaso bertanggungjawab ke atas kematian 13 anggota pasukan keselamatan Mexico pada 2021.


Beliau juga mengesahkan bahawa El Payaso dibunuh oleh orang awam pada Jumaat lalu, bersama-sama dua pembunuh upahan kanan La Familia Michoacana.


Gabenor Negeri Mexico, Delfina Gómezpula mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku. 


"Kejadian ini tidak melumpuhkan kami, sebaliknya, ia mengukuhkan keazaman kami untuk meningkatkan keadaan keselamatan di negeri tercinta kami. Yakinlah bahawa kami akan terus berusaha supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya. - Sumber Daily Star.


Petani dan anggota kartel berkumpul di sebuah padang bola di Negeri Mexico untuk membincangkan isu cukai pemerasan pada Jumaat lalu. - Foto Daily Star.

Rabu, 29 November 2023

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi


Seekor ikan dayung atau 'oarfish' ditemui terdampar di pesisir pantai Los Coquitos, Republik Dominika pada Isnin lalu sebelum mati tidak lama kemudian, lapor akhbar The Sun, semalam.


Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk kerana terdapat kepercayaan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu.


Spesies itu dilaporkan hidup berdekatan Zon Septentrional-Oriente yang mencetuskan gempa bumi dan tsunami Cap-Haitien di Haiti pada 1842 sehingga mengorbankan kira-kira 5,300 orang.


Oarfish adalah salah satu ikan paling panjang di lautan dengan saiznya boleh mencecah sehingga 17 meter panjang dan berat lebih 200 kilogram.


Sesetengah penyelidik membuat spekulasi bahawa mereka bergerak ke perairan yang lebih cetek disebabkan oleh perubahan elektromagnet yang berlaku apabila terdapat aktiviti tektonik yang dikaitkan dengan sesar.


"Ia adalah ikan laut dalam, amat luar biasa untuk menemuinya di permukaan. 


"Namun, ia tidak menimbulkan sebarang ancaman, ia hanya hidup di kawasan paling dalam," kata Timbalan Menteri Sumber Pantai dan Laut Republik Dominika, Jose Ramon Reyes.


Menurut cerita rakyat Jepun, kemunculan ikan oarfish di permukaan adalah isyarat bahawa gempa bumi akan berlaku dalam masa terdekat.


Ia dikaitkan dengan mitos Namazu, seekor ikan keli gergasi yang tinggal di bawah kepulauan negara itu dan kononnya menyebabkan gempa bumi apabila ekornya merotan-rotan dasar lautan.


Kepercayaan itu dipertingkatkan lagi selepas 10 ekor oarfish dihanyutkan di sepanjang pantai utara Jepun pada tahun 2010.


Beberapa bulan kemudian, gempa bumi besar melanda negara itu, mencetuskan tsunami yang membunuh hampir 19,000 orang dan memusnahkan loji nuklear Fukushima. - Sumber The Sun.


Seekor ikan dayung ditemui terdampar di pantai Los Coquitos, Republik Dominika. - Foto Jam Press Vid.

Sabtu, 25 November 2023

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri

Enggan bawa bercuti ke Dubai, suami mati ditumbuk isteri


Seorang lelaki di India maut akibat ditumbuk pada hidung oleh isterinya kerana enggan membawa wanita itu bercuti ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya, lapor stesen penyiaran NDTV, hari ini.


Kejadian berlaku di apartmen pasangan itu, yang terletak di kawasan perumahan mewah di kawasan Pune Wanwadi, pada Jumaat, 24 November.


Mangsa yang dikenali sebagai Nikhil Khanna, 36, bekerja sebagai seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. Dia dilaporkan berkahwin dengan isterinya, Renuka, 38, enam tahun lalu.


Menurut anggota balai polis Wanavdi, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil tidak membawa Renuka ke Dubai bagi menyambut hari lahirnya selain tidak memberikan hadiah yang mahal.


Renuka juga kecewa dengan Nikhil kerana tidak memberikan maklum balas yang baik terhadap hasratnya untuk pergi ke Delhi untuk meraikan hari lahir bersama saudara-maranya.


Semasa pergaduhan mereka, Renuka menumbuk muka Nikhil. Tumbukan itu dikatakan sangat kuat sehingga hidung dan beberapa gigi Nikhil patah.


Akibat mengalami pendarahan yang berterusan, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. - Sumber NDTV.


Mangsa dikenali sebagai Nikhil Khanna merupakan seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan. - Foto NDTV.

Khamis, 23 November 2023

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan

Wanita mabuk cendawan berbogel di lapangan terbang cetus kekecohan


Seorang wanita mencetuskan kekecohan di sebuah lapangan terbang di Santiago, Chile kerana berjalan dalam keadaan tidak berpakaian, lapor akhbar Daily Star pada 21 November 2023.


Berdasarkan video yang dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez, wanita itu dilihat berlari di sekeliling lapangan terbang di hadapan penumpang tanpa seurat benang.


Dia juga dilihat terus-menerus menjerit serta menyerang orang ramai yang lalu lalang dan turut didakwa telah memukul seorang pegawai polis semasa ditahan.


Pada satu ketika dia dilihat berpaut pada lengan seorang lelaki tidak dikenali yang sedang menolak troli. Lelaki itu dilihat menolaknya sebelum melarikan diri.


Wanita berkenaan kemudian ditahan polis dan dibawa pergi dari tempat kejadian. Dia dilaporkan mengambil alkohol dan dadah tetapi siasatan terhadapnya masih diteruskan.


Menurut agensi Emol, wanita itu didakwa telah memakan cendawan halusinogen di sebuah pesta di Barrio Republica di Chile. Laporan tambahan mencadangkan dia tiba di lapangan terbang di bawah pengaruh alkohol dan bahan psikoaktif, termasuk cendawan.


Bahan sedemikian boleh menyebabkan halusinasi visual dan pendengaran yang sengit, yang berpotensi menyebabkan tingkah lakunya tidak menentu. Komen rasmi mengenai situasi itu masih belum dikeluarkan. - Sumber Daily Star.


Wanita itu ditahan polis selepas membuat kekacauan di lapangan terbang. - Foto Jam Press.

Selasa, 21 November 2023

Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Suami bakar isteri hidup-hidup selepas 'kantoi' berasmara di atas timbunan jerami

Gambar hiasan.

Seorang wanita di Bareilly, negeri Uttar Pradesh, India dibakar hidup-hidup oleh suaminya selepas ditangkap sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas timbunan jerami, lapor akhbar Deccan Herald pada 19 November 2023.


Mayat mangsa yang hangus dikenali sebagai Anjali, 35, ditemui lewat kelmarin di sebuah kawasan padang berhampiran kampung Gotiya.


Polis kemudian menahan suami mangsa, Nepal Singh atas dakwaan membunuh selepas keluarga mangsa membuat laporan.


Semasa disoal siasat, Nepal mengaku membunuh isterinya kerana wanita itu menjalin hubungan luar nikah bersama lelaki lain.


Menurut polis, ketika kejadian pada malam Sabtu, suspek melihat mangsa sedang berbaring di atas timbunan jerami bersama teman lelakinya.


Dia kemudian membakar jerami tersebut lalu melarikan diri.


Mayat mangsa dihantar untuk menjalani bedah siasat, manakala nasib teman lelakinya tidak dinyatakan. - Sumber Deccan Herald.


Suspek menemui isterinya sedang bermadu kasih dengan teman lelakinya di atas jerami. - Foto Snappy Goat.

Sabtu, 11 November 2023

Nelayan tangkap ikan Sowa berjaya jual pada harga lebih RM1 juta

Nelayan tangkap ikan Sowa berjaya jual pada harga lebih RM1 juta


Seorang nelayan di bandar Karachi, Pakistan menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas menangkap beberapa ekor ikan yang jarang ditemui dan mempunyai banyak khasiat dalam perubatan.


Portal NDTV pada 10 November 2023 melaporkan, Haji Baloch yang tinggal di perkampungan nelayan miskin, Ibrahim Hyderi telah menangkap ikan yang jarang ditemui bersama pekerjanya di Laut Arab pada Isnin lalu.


Ikan yang ditangkap oleh Baloch dikenali sebagai ikan emas atau 'Sowa' dalam dialek tempatan.


"Kami sedang memancing di perairan Karachi apabila kami terjumpa 'ikan emas' yang besar ini, dan ia adalah rezeki yang tidak terkira bagi kami," katanya.


Baloch berkata, dia akan berkongsi wang yang dikumpul daripada jualan itu dengan tujuh anak kapalnya.


"Keseluruhan hasil tangkapan ini dijual pada harga kira-kira 70 juta rupee (RM1.16 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat ketika nelayan itu melelong hasil tangkapan mereka," kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.


Sowa adalah sejenis ikan jarang ditemui dan dianggap mahal. Purata beratnya adalah antara 20 hingga 40 kilogram dan boleh membesar sepanjang 1.5 meter. Ia sangat popular di negara Asia Timur.


"Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan," kata Baloch.


Bahan yang terdapat dalam perut ikan Sowa mempunyai khasiat perubatan dan penyembuhan yang hebat. Doktor juga menggunakan bahan seperti benang yang terdapat dalam badan ikan Sowa dalam beberapa prosedur pembedahan.


Lebih penting lagi, ikan Sowa juga mempunyai kepentingan budaya dan tradisional selain penggunaannya dalam ubat-ubatan tradisional dan masakan tempatan.


Ikan Sowa hanya datang berhampiran pantai semasa musim pembiakan. - Sumber NDTV.


Nelayan itu menjual hasil tangkapan mereka di pelabuhan kelmarin. - Foto Facebook.