Sabtu, 11 November 2023

Nelayan tangkap ikan Sowa berjaya jual pada harga lebih RM1 juta


Seorang nelayan di bandar Karachi, Pakistan menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas menangkap beberapa ekor ikan yang jarang ditemui dan mempunyai banyak khasiat dalam perubatan.


Portal NDTV pada 10 November 2023 melaporkan, Haji Baloch yang tinggal di perkampungan nelayan miskin, Ibrahim Hyderi telah menangkap ikan yang jarang ditemui bersama pekerjanya di Laut Arab pada Isnin lalu.


Ikan yang ditangkap oleh Baloch dikenali sebagai ikan emas atau 'Sowa' dalam dialek tempatan.


"Kami sedang memancing di perairan Karachi apabila kami terjumpa 'ikan emas' yang besar ini, dan ia adalah rezeki yang tidak terkira bagi kami," katanya.


Baloch berkata, dia akan berkongsi wang yang dikumpul daripada jualan itu dengan tujuh anak kapalnya.


"Keseluruhan hasil tangkapan ini dijual pada harga kira-kira 70 juta rupee (RM1.16 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat ketika nelayan itu melelong hasil tangkapan mereka," kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.


Sowa adalah sejenis ikan jarang ditemui dan dianggap mahal. Purata beratnya adalah antara 20 hingga 40 kilogram dan boleh membesar sepanjang 1.5 meter. Ia sangat popular di negara Asia Timur.


"Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan," kata Baloch.


Bahan yang terdapat dalam perut ikan Sowa mempunyai khasiat perubatan dan penyembuhan yang hebat. Doktor juga menggunakan bahan seperti benang yang terdapat dalam badan ikan Sowa dalam beberapa prosedur pembedahan.


Lebih penting lagi, ikan Sowa juga mempunyai kepentingan budaya dan tradisional selain penggunaannya dalam ubat-ubatan tradisional dan masakan tempatan.


Ikan Sowa hanya datang berhampiran pantai semasa musim pembiakan. - Sumber NDTV.


Nelayan itu menjual hasil tangkapan mereka di pelabuhan kelmarin. - Foto Facebook.


EmoticonEmoticon