Isnin, 13 November 2023

Penduduk terkejut kolam tiba-tiba bertukar warna merah jambu


Sebuah kolam di Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kealia, salah satu daripada beberapa paya garam pantai di pulau Maui, Hawaii kelihatan aneh selepas warna airnya berubah menjadi merah jambu.


Menerusi lapor stesen penyiaran CNN pada 10 November 2023, Air Kolam Kealia itu bertukar merah jambu sejak 30 Oktober lalu selepas kandungan garamnya melonjak di tengah-tengah fenomena kemarau yang melampau.


Sampel air yang dihantar ke Universiti Hawaii menunjukkan bahawa halobakteria menyebabkan warna air kolam itu berubah, demikian menurut Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS).


Halobakteria ialah organisma bersel tunggal yang hidup subur dalam air yang sangat masin seperti Great Salt Lake dan Laut Mati.



Kolam Kealia berada dalam kawasan dianggap sebagai kemarau melampau iaitu kedua terburuk pada skala Monitor Kemarau.


Situasi itu mendorong kepekatan garam meningkat dan menjadi lokasi pembiakan halobakteria yang berwarna terang.


Kira-kira 90 peratus daripada daerah Maui mengalami kemarau dan menjadi lebih teruk sejak kebakaran hutan yang melanda Lahaina pada Ogos lalu.


Para saintis masih mengkaji bagaimana krisis iklim akan menjejaskan Hawaii, tetapi secara keseluruhan terdapat keyakinan bahawa kemarau akan menjadi lebih teruk apabila suhu global meningkat walaupun di kawasan tropika seperti ini. - Sumber CNN


Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Kebangsaan Kolam Kelia bertukar merah jambu. - Foto @Traviskeahi_photo/Instagram.


EmoticonEmoticon