Khamis, 29 Oktober 2026

Takut dipecat selepas kejadian curi, pengawal keselamatan reka cerita disamun

Takut dipecat selepas kejadian curi, pengawal keselamatan reka cerita disamun


TAWAU - Gara-gara bimbang kehilangan pekerjaan susulan kejadian kecurian di tempat kerja, seorang pengawal keselamatan sanggup mereka cerita kononnya dirinya menjadi mangsa samun sehingga membuat laporan polis palsu.


Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 45 tahun itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati kejadian samun yang dilaporkannya pada 7 September lalu sebenarnya tidak pernah berlaku.


Tertuduh, Liman Ismail, mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 9.44 malam pada hari kejadian.


Ketika ditanya Majistret Don Stiwin Malanjum mengenai motif perbuatannya, tertuduh mengakui bertindak demikian kerana takut dibuang kerja selepas berlaku kecurian di tempat kerjanya. Dia juga mendakwa tidak mengetahui kejadian itu kerana sedang tidur ketika insiden berlaku.


Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani Perintah Kehadiran Wajib selama enam bulan di Pusat Kehadiran Wajib Tawau, selama empat jam sehari.


Selain itu, tertuduh turut dikenakan bon RM1,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin tempatan.


Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhasserry P Kang, memaklumkan anak guamnya menyesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.


Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran agar masyarakat tidak menyalahgunakan laporan polis.

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Ibu tunggal dipenjara 11 bulan, miliki RM347,800 wang hasil penipuan

Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki wang RM347,800 yang diperoleh daripada kegiatan penipuan sembilan tahun lalu.


Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman terhadap Rosnani Shaikh Mahmud, 56, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh. Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta.


Mengikut pertuduhan, Rosnani didapati memiliki wang RM347,800 milik Lim Chwee Hoon, 61, yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank miliknya antara 24 hingga 31 Oktober 2017.


Kesalahan itu dilakukan selepas tertuduh gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai sumber wang berkenaan.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Siasatan mendapati mangsa sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki warga Korea menggunakan nama Kenny Wang menerusi Facebook sebelum berhubung melalui WhatsApp.


Lelaki terbabit mendakwa menghantar bungkusan mengandungi wang tunai AS$100,000, iPad, beg tangan dan cincin kepada mangsa. Bagaimanapun, seorang individu yang mengaku sebagai ejen penghantaran meminta mangsa membuat bayaran bagi melancarkan penghantaran bungkusan itu.


Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza, namun bungkusan yang dijanjikan tidak pernah diterima. Siasatan polis akhirnya mengesan RM347,800 daripada wang mangsa masuk ke akaun tertuduh.


Rosnani yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan berstatus ibu tunggal serta menghidap diabetes dan darah tinggi.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar memohon hukuman setimpal dengan menegaskan kepentingan awam perlu diutamakan, lebih-lebih lagi wang berkenaan masih belum dikembalikan kepada mangsa.

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000

Promosi judi dalam talian tidak wujud, dua beradik masing-masing didenda RM4,000


KUCHING - Helah dua beradik menjalankan kegiatan penipuan menerusi promosi permainan judi dalam talian tidak wujud membawa padah apabila masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam.


Kedua-dua tertuduh berusia 26 dan 22 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi jenayah selepas dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.


Mengikut pertuduhan, mereka bersubahat memperdaya mangsa supaya menyerahkan wang bagi menyertai aktiviti perjudian dalam talian yang sebenarnya tidak wujud.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kalien, Padawan, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 23 Oktober lalu.


Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda.


Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan kedua-dua wanita itu yang disyaki menjadikan kediaman tersebut sebagai pusat panggilan bagi menjalankan penipuan promosi judi dalam talian.


Sindiket terbabit dipercayai menawarkan ganjaran lumayan menerusi laman web perjudian palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Filipina dan China.


Dalam serbuan itu, polis merampas tiga telefon pintar dan dua komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Hasil analisis peranti turut menemukan petunjuk kewujudan aktiviti pengehosan laman web penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa dari kedua-dua negara berkenaan.


Kes dikendalikan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama.

Rabu, 28 Oktober 2026

Alasan 'berehat' di kondominium mewah terbongkar, tiga lelaki dan dua remaja perempuan ditahan berkhalwat

Alasan 'berehat' di kondominium mewah terbongkar, tiga lelaki dan dua remaja perempuan ditahan berkhalwat

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Kononnya mahu mencari ketenangan dan berehat selepas penat bekerja, namun tindakan tiga lelaki bersama dua remaja perempuan menyewa sebuah kondominium mewah di bandar raya ini akhirnya terbongkar apabila diserbu penguat kuasa agama, pagi tadi.


Lebih mengejutkan, kumpulan berkenaan dipercayai bukan pertama kali menyewa penginapan seumpama itu, malah mengakui pernah berbuat demikian beberapa kali di lokasi berbeza sekitar daerah ini.


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, serbuan kira-kira jam 9.35 pagi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 16 dan 23 tahun serta dua remaja perempuan berusia 16 dan 18 tahun.


Menurut kenyataan itu, sebaik tiba di unit kediaman di tingkat 11, penguat kuasa mengetuk pintu selama kira-kira lima minit sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian kasual.


Bagaimanapun, lelaki berkenaan tiba-tiba cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, namun tindakannya berjaya dihalang.


Pemeriksaan lanjut mendapati individu terbabit bukan adik-beradik dan tidak mempunyai hubungan mahram.


Hasil soal siasat mendapati, ketiga-tiga lelaki berkenaan berkongsi wang untuk menyewa kondominium itu dan memasuki unit berkenaan pada petang sebelumnya selepas membuat bayaran secara dalam talian.


Mereka turut menggunakan kata laluan yang diberikan untuk mendapatkan kad akses di dalam peti surat tanpa perlu berurusan dengan kakitangan kaunter.


JAINJ berkata, kumpulan itu memberi alasan hanya mahu berseronok dan mencari ketenangan selepas penat bekerja.


Kesemua mereka ditahan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Kediaman mewah disyaki jadi sarang penipuan pelaburan, 20 warga asing dicekup

Kediaman mewah disyaki jadi sarang penipuan pelaburan, 20 warga asing dicekup


KUALA LUMPUR - Di sebalik kemewahan empat unit kediaman di kawasan Pudu, tersembunyi kegiatan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa di beberapa negara.


Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen menyerbu kediaman berkenaan di sekitar Jalan San Peng, semalam, sebelum menahan 20 warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula kira-kira jam 11.45 pagi itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.


Menurutnya, individu yang ditahan terdiri daripada warga Taiwan, China, India dan Thailand yang dipercayai mengendalikan kegiatan penipuan mengikut kumpulan sasaran negara masing-masing, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun.


"Sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah bagi dijadikan pusat operasi untuk mengaburi pihak berkuasa.


"Siasatan mendapati pekerja warga asing di premis berkenaan tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan.


Sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu dengan waktu operasi antara jam 8 pagi hingga 8 malam.


Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa turut menemukan skrip penipuan dalam bahasa Thailand serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.


Antara yang dirampas ialah 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet, empat walkie-talkie, 11 pasport, kad akses dan wang tunai RM5,370.


Turut disita beberapa mata wang asing, termasuk 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.


Pemeriksaan di sebuah unit kediaman turut menemukan pelbagai jenis ubat yang dipercayai dibawa dari luar negara.


Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Zakaria menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Menyamar pegawai pengiring Raja Muda Selangor, lelaki tipu mangsa RM1.42 juta

Menyamar pegawai pengiring Raja Muda Selangor, lelaki tipu mangsa RM1.42 juta


SHAH ALAM - Tindakan licik seorang lelaki menyamar sebagai pegawai pengiring Raja Muda Selangor sejak 2023 bagi memperdaya orang ramai menggunakan nama dan imej institusi diraja akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis di Johor Bahru, Selasa lalu.


Lebih mengejutkan, kegiatan penipuan suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengakibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM1.42 juta melibatkan 26 laporan polis di seluruh negara.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditahan di sebuah kondominium dipercayai milik kenalannya di Johor Bahru kira-kira jam 5 petang selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober lalu.


Menurutnya, siasatan mendapati suspek menggunakan gambar Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa sebelum menawarkan urusan penjualan kenderaan dan hartanah pada harga tertentu.


"Sebanyak 26 laporan polis diterima di seluruh negara, termasuk 15 laporan di Selangor dengan jumlah kerugian RM960,020," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.


Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2023 dan turut melibatkan mangsa dari beberapa negeri lain.


Dalam perkembangan sama, polis turut menahan dua beradik yang dipercayai membantu menyembunyikan suspek utama.


Kedua-duanya terdiri daripada seorang wanita berusia 26 tahun dan abangnya berusia 27 tahun yang diberkas di lokasi berasingan, masing-masing di Shah Alam dan Johor Bahru.


"Hasil perkongsian maklumat orang ramai membantu polis mengesan serta menahan suspek utama dalam operasi yang dijalankan," katanya.


Menurut Shazeli, siasatan turut melibatkan beberapa kontinjen polis lain termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.


Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu disahkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kakitangan istana atau mana-mana institusi diraja Selangor.


Antara hartanah yang ditawarkan kepada mangsa termasuk rumah atas tanah dan kondominium, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan modus operandi kegiatan berkenaan.


Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.


Pentadbiran Istana Selangor sebelum ini turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.


Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan nama atau imej kerabat diraja untuk menawarkan urusan jual beli, selain memastikan setiap transaksi kewangan dibuat selepas pengesahan menerusi saluran rasmi.

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing


JOHOR BAHRU - Dua pegawai agensi penguat kuasa persekutuan antara lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM1 juta sebagai balasan melindungi pekerja asing daripada dikenakan tindakan.


Tiga lagi individu yang turut direman ialah ejen pekerja asing yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan.


Perintah reman selama lima hari sehingga 1 November ini dikeluarkan Majistret Dhilip Nair A/l R.N. Atchuthan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.


Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 60-an. Mereka ditahan dalam operasi SPRM Johor di sekitar Selangor dan Johor, antara jam 10 pagi hingga 4 petang semalam.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga 2025, membabitkan 44 transaksi pindahan wang dalam talian berjumlah kira-kira RM1 juta.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) serta Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.


Siasatan bermula hasil operasi yang dibangunkan Bahagian Perisikan SPRM.

Terbabit kegiatan penipuan Love Scam, empat lelaki didenda RM3,000 setiap seorang

Terbabit kegiatan penipuan Love Scam, empat lelaki didenda RM3,000 setiap seorang


BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki tempatan masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berpakat melakukan penipuan dalam talian membabitkan sindiket Love Scam.


Tertuduh, Ho Kui Ming, 33; Edmund Yii Kan Xi, 26; Choo Xin Thuan, 33; dan Tiong Weng Chiong, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berpakat menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di sebuah premis di Taman Alma Indah, Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 11.15 malam pada 19 Oktober lalu.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.


Dalam rayuan, peguam yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guam mereka mengaku bersalah pada peringkat awal, sekali gus menjimatkan masa dan kos perbicaraan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun.

Selasa, 27 Oktober 2026

Mengaku pandu berbahaya hingga rakan maut, wanita didenda RM5,000 dan dipenjara

Mengaku pandu berbahaya hingga rakan maut, wanita didenda RM5,000 dan dipenjara


TAWAU - Seorang suri rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa rakannya, bulan lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Risna, 26, selepas pengakuan bersalah direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala hukuman penjara 30 bulan berkuat kuasa serta-merta.


Mengikut pertuduhan, Risna didakwa memandu sebuah Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam di Batu 16, Jalan Apas, kira-kira jam 3 petang pada 26 September lalu.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dalam rayuan, peguam Jhassery P Kang memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai dua anak.


Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam serta akibat serius perbuatan tertuduh.


Pendakwaan menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan mengenai bahaya pemanduan berbahaya yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.


Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Risna sebelum ini didenda RM4,000 pada 9 September lalu selepas mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Penduduk dakwa pengusaha ladang sirih Rohingya miliki pelbagai kenderaan dan puluhan pekerja

Penduduk dakwa pengusaha ladang sirih Rohingya miliki pelbagai kenderaan dan puluhan pekerja


TANAH MERAH - Kehidupan seorang penduduk Rohingya yang mengusahakan ladang sirih seluas lebih dua hektar di Kampung Bechah Laut, di sini, didakwa berubah sehingga mampu memiliki pelbagai kenderaan termasuk lori, van, kereta dan motosikal.


Penduduk mendakwa, individu berkenaan mula menetap di kampung itu kira-kira 20 tahun lalu dengan bekerja di kebun sayur milik penduduk tempatan sebelum mengusahakan ladang sirih sejak tiga tahun lalu.


Seorang penduduk, Hussin, 65, berkata, individu itu yang pada awalnya hanya berjalan kaki dan menumpang kenderaan penduduk, kini mempunyai puluhan pekerja terdiri daripada etnik Rohingya serta penduduk tempatan yang bertugas sebagai pemandu lori dan van.


Menurutnya, pengusaha berkenaan pernah memberitahu bahawa hasil jualan sirih setiap kali dihantar ke luar Kelantan boleh mencecah RM10,000.


"Selain mengusahakan ladang sirih, lori yang dibeli turut digunakan untuk mengangkut pasir. Dia sangat rajin dan mampu mengubah kawasan hutan menjadi ladang yang tersusun," katanya ketika ditemui.


Hussin turut mendakwa pembelian kenderaan berkenaan dipercayai menggunakan nama penduduk tempatan.



Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Yazid, 45, berkata kenderaan yang digunakan pengusaha itu sering berubah mengikut urusan, termasuk Perodua Myvi, motosikal dan van.


Bagaimanapun, katanya, komuniti berkenaan setakat ini tidak mengganggu penduduk kampung kerana hanya menyewa tanah di kawasan itu, manakala tempat tinggal mereka dipercayai di daerah lain.


Sebelum ini, NSTP melaporkan kewujudan ladang sirih seluas lebih dua hektar di Kampung Bechah Laut yang dipercayai diusahakan komuniti Rohingya sejak tiga tahun lalu.


Ladang yang terletak di kawasan terpencil dan berbukit itu dibina menggunakan para kayu secara tersusun. Tanah berkenaan dipercayai disewa daripada penduduk tempatan dengan bayaran ribuan ringgit, manakala hasil sirih dipasarkan ke luar Kelantan termasuk Pulau Pinang dan Lembah Klang.


Tinjauan di lokasi turut menemukan dua bangsal yang dipercayai digunakan untuk menyimpan baja.