Anak kepada legenda bola sepak England, Jack Charlton mendakwa dia terpaksa melepaskan pingat juara Piala Dunia milik bapanya bagi mengelakkan dikenakan cukai pusaka sebanyak £200,000 (RM1.10 juta).
Jack Charlton, abang kepada seorang lagi legenda England, Bobby Charlton, beraksi di posisi pertahanan tengah ketika England menewaskan Jerman Barat 4-2 pada final Piala Dunia FIFA 1966.
Jack meninggal dunia pada usia 85 tahun 2020 selepas menghidap limfoma dan demensia.
Anaknya, John Charlton menerima pingat juara Piala Dunia 1966 itu menerusi wasiat bapanya tetapi dia menyerahkan semula pingat berkenaan kepada ibunya yang kini berusia 91 tahun, Pat Charlton bagi mengelakkan cukai pusaka yang tinggi.
"Lucunya, saya dan Eddie (Howe) baru-baru ini berbual mengenai pingat ayah," kata John dalam temu bual bersama talk SPORT.
"Saya rasa hanya ayah saya dan pak cik Bobby yang masih menyimpan pingat mereka. Yang lain semuanya sudah tidak memilikinya."
Apabila ditanya di mana pingat milik bapanya berada, John berkata: "Saya ada pingat itu. Tetapi ada sedikit masalah. Ia memang diwasiatkan kepada saya, namun pihak cukai mahu saya membayar £200,000 sebagai Cukai Pusaka."
Ditanya sama ada dia terpaksa menjual pingat itu, John menjawab:
"Tidak. Saya serahkan semula kepada ibu saya kerana selagi beliau menyimpannya, saya tidak perlu membayar cukai itu.
"Ada seorang wartawan dari Daily Mirror yang sedang membantu kami menyelesaikan perkara ini. Isu yang sama turut dihadapi keluarga atlet Olimpik dan sebagainya.
"Jika keluarga mereka mahu mewariskan pingat emas itu kepada generasi seterusnya, mereka juga perlu membayar Cukai Pusaka. Perkara ini sedang cuba diperbetulkan."
John turut mendedahkan bahawa jersi final, pingat serta topi rasmi England milik bapanya disimpan dengan selamat.
"Saya juga memiliki jersinya. Jersi dan pingat itu disimpan di tempat yang sangat selamat.
"Begitu juga topi England yang diterimanya. Untuk kejohanan itu, dia hanya menerima satu topi rasmi, dan itulah satu-satunya yang masih disimpan. Topi-topi lain semuanya telah dihadiahkan kepada orang lain."














