Isnin, 29 Disember 2025

Dua beranak lepaskan anjing pitbull serang jiran

Dua beranak lepaskan anjing pitbull serang jiran


Seorang lelaki bersama bapanya ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas didakwa melepaskan seekor anjing jenis pitbull untuk menyerang seorang jiran dalam satu pertengkaran di ibu negara itu.


Polis Hanoi pada Sabtu memaklumkan, Tran Quoc Luong, 37, dan bapanya, Tran Nhat Hoa, 66, kini disiasat bagi menentukan sama ada tindakan mereka boleh diklasifikasikan sebagai mengganggu ketenteraman awam.


Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada petang 25 Disember lalu di Komun Hong Van, apabila Luong terlibat dalam pertengkaran mulut dengan seorang jiran lelaki berusia 39 tahun.


Keadaan pada awalnya berjaya dileraikan oleh Hoa, namun ketegangan kembali memuncak tidak lama kemudian.



Menurut polis, pertengkaran kedua tercetus apabila Luong melepaskan anjing peliharaannya keluar dari rumah dan sekali lagi bertembung dengan jiran berkenaan bersama isterinya.


Dalam kekecohan itu, Luong didakwa menumbuk muka jiran terbabit beberapa kali. Pada masa sama, Luong dipercayai mengarahkan anjingnya menyerang, menyebabkan mangsa serta beberapa orang awam lain cedera.


Walaupun orang ramai cuba menghalang, anjing berkenaan terus bertindak agresif sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan kejiranan tersebut.


Seorang saksi memaklumkan anjing itu merupakan jenis pitbull seberat lebih 30 kilogram dan bersifat sangat agresif apabila dilepaskan, malah turut menggigit seorang wanita yang berada berhampiran lokasi kejadian. Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis.

Ahad, 28 Disember 2025

13 ditahan merusuh guna kerusi, pisau pemotong daging punca sebab hutang

13 ditahan merusuh guna kerusi, pisau pemotong daging punca sebab hutang


Seramai 12 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata tajam di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru, awal pagi Sabtu.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.50 pagi.


Menurutnya, hasil siasatan kejadian itu mendapati sekumpulan lelaki telah menyerang mangsa dan rakannya menggunakan kerusi besi serta pisau pemotong daging.


"Akibat serangan tersebut mangsa mengalami kecederaan di kepala, lengan dan betis, selain calar di beberapa bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.


"Kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hutang peribadi antara dua individu sehingga mencetuskan pergaduhan melibatkan beberapa suspek lain," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raub berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan melancarkan operasi dan berjaya menahan kesemua suspek di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru.


Katanya, tangkapan dilakukan dalam tempoh antara pukul 3 pagi Sabtu hingga 12.40 tengah malam, hari ini (Ahad) melibatkan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.


"Polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan lanjut.


"Hasil semakan rekod lampau mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan kes dadah," katanya.


Selain itu, ujarnya, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati enam individu positif dadah jenis ketamin.


Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat.


Beliau berkata, kesemua 12 suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 3 Januari 2026, manakala wanita warga Vietnam direman tiga hari sehingga 30 Disember ini, dan polis masih giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.


Tangkap layar video kejadian pergaduhan dipercayai berlaku di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru malam tadi.
Tunjuk samseng guna kayu hoki, 2 lelaki direman angkara bertengkar buat pusingan-U

Tunjuk samseng guna kayu hoki, 2 lelaki direman angkara bertengkar buat pusingan-U


Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah susulan video pertengkaran antara mereka yang tular di media sosial.


Insiden itu membabitkan salah seorang lelaki memegang kayu hoki yang berlaku di Jalan Permatang Nibong, Bukit Mertajam.


Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman membenarkan perintah reman untuk kedua-dua suspek sehingga 31 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, kedua-dua lelaki tiba di premis mahkamah pada jam 9.40 pagi hari ini dengan tangan mereka digari dan diiringi oleh polis.


Klip video berdurasi 37 saat tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki memegang kayu hoki dan memarahi pemandu kereta.


Video itu mendapat kecaman daripada netizen, yang mendakwa ia adalah tindakan buli jalan raya dan menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.


Difahamkan kejadian itu berlaku jam 1.30 petang pada 25 Disember lalu membabitkan kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing memandu Proton Exora dan Perodua Myvi.


Lelaki berusia 44 tahun itu, yang bekerja di sektor swasta, dilaporkan memandu Proton Exora bersama keluarganya, manakala lelaki berusia 28 tahun itu, seorang juruteknik, memandu Perodua Myvi, juga bersama keluarganya.


Difahamkan pemandu Perodua Myvi itu membuat pusingan U secara tiba-tiba, yang menyebabkan rasa tidak puas hati di pemandu Proton Exora.


Kedua-duanya kemudian memberhentikan kenderaan mereka dan dipercayai sudah menyelesaikan masalah tersebut.


Bagaimanapun, selepas meneruskan perjalanan mereka, juruteknik itu didakwa meminta pemandu Exora itu berhenti buat kali kedua.


Pertemuan kedua dilaporkan membawa kepada pertengkaran lisan antara kedua-dua lelaki itu, dan pemandu Exora didakwa mengeluarkan kayu hoki.


Susulan itu, kedua-dua lelaki itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum ditangkap semalam untuk membantu siasatan.

Hadi Awang dedah dua punca utama krisis DUN Perlis

Hadi Awang dedah dua punca utama krisis DUN Perlis


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa krisis politik Perlis berpunca daripada dua faktor utama yang disifatkannya sukar diterima sehingga memaksa parti itu mengambil sikap tegas.


Jelasnya, punca pertama didorong sikap segelintir pihak yang menuntut jawatan, sedangkan dalam PAS dan ajaran Islam, jawatan tidak wajar diberikan kepada individu yang memintanya walaupun memiliki kelayakan.


"Jawatan adalah amanah. Dalam Islam, orang yang meminta jawatan tidak boleh diberi dan bukan semua boleh diberi jawatan. Ini prinsip yang jelas dan kita berpegang dengannya," katanya.


Mendedahkan demikian dalam siaran Youtube Presiden PAS, Abdul Hadi mendakwa, situasi itu dialami PAS setiap kali mahu memerintah negeri.


Keadaan itu, katanya, dihadapi ketika PAS menang pilihan raya di Terengganu pada 1959 dan bertahan selama dua tahun setengah selepas berlaku undi tidak percaya, 'membeli' wakil rakyat dan pelbagai perkara lagi.


"Di Kelantan kita juga menghadapinya pada 1978, kerajaan jatuh sebab undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dan di Kedah pun sama, rombongan orang PAS berarak sebab ada cucuk dan mendesak supaya Ustaz Azizan (Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak) dipecat.


"Kini terjadi di Perlis. Cikgu Shukri (bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan) itu sebenarnya memang ada masalah kesihatan dari sebelum pilihan raya, beliau pernah rebah masalah jantung hingga dimasukkan ke hospital.


"Kita lantik sebab beliau masih layak jadi Menteri Besar dan pentadbiran tiga tahun berlangsung molek (baik), tiba-tiba akhir ini berlaku apa seperti sekarang," katanya.


Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata perebutan jawatan sentiasa menjadi pencetus perpecahan dan pengkhianatan, sekali gus melemahkan kestabilan pentadbiran dan keutuhan parti.


Mengulas punca kedua, beliau menjelaskan krisis itu turut didorong oleh desakan supaya projek-projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan, malah disertai unsur penyelewengan dan rasuah.


"Ada tekanan berkaitan projek yang tidak ikut peraturan. Menteri Besar kita tidak boleh ikut perkara yang salah," katanya menegaskan keengganan Mohd Shukri tunduk kepada tekanan menyebabkan beliau dizalimi, bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.


Mengulas langkah seterusnya, Abdul Hadi berkata, PAS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), sambil menegaskan sokongan rakyat terhadap PAS kekal kukuh dan tidak terjejas.


"Tiga ADUN sudah gugur, Perlis ini mempunyai 15 kerusi, kita (PAS) ada enam (kerusi), BERSATU (lima) kerusi, mahu tubuhkan kerajaan bagaimana?


"Jika mahu terus memerintah pun boleh, Selangor pernah jadi ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, empat orang EXCO, kita pun boleh, namun kita bersedia untuk PRK mahupun PRN," katanya.


Ditanya mengenai nasib tiga ADUN PAS yang digugurkan keahlian parti, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada parti sama ada mahu menerima mereka atau sebaliknya.


"Itu satu kesalahan besar, kerana setiap rakyat ada bai'ah (bersumpah), mereka tidak boleh melawan arahan parti kecuali arahan bercanggah dengan hukum Islam," katanya.


Beliau juga berkata, PAS tidak boleh terus menghukum BERSATU kerana ahlinya ada pelbagai golongan dan pandangan, sebaliknya PAS berharap ada tindakan daripada kepimpinan BERSATU.


"Kita tidak tergugat kepercayaan, lihat di internet ramai orang simpati dan kita ada dua nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, kita telah kemukakan," katanya.


Untuk rekod, polemik di Perlis tercetus selepas wujud gerakan lima ADUN BERSATU dan tiga PAS menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.


Susulan itu, tiga ADUN PAS terbabit terhenti keahlian serta-merta, namun tiada sebarang tindakan di pihak BERSATU.

Berang ditegur kerana memotong barisan, pensyarah ludah juruwang

Berang ditegur kerana memotong barisan, pensyarah ludah juruwang


Seorang lelaki didakwa bertindak biadab apabila meludah seorang juruwang wanita di sebuah pasar raya di Makassar, Sulawesi Selatan selepas tidak berpuas hati ditegur kerana memotong barisan pembayaran.


Insiden itu yang berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Perintis Kemerdekaan, Kecamatan Tamalanrea pada Rabu tular di media sosial selepas rakaman video kejadian berkenaan dikongsi orang ramai.


Rakaman tersebut menunjukkan lelaki berkenaan dalam keadaan marah sebelum meludah ke arah juruwang wanita, yang bagaimanapun kekal tenang dan meneruskan tugasnya secara profesional.


Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Makassar (UIM) yang dikenal pasti sebagai AS.


Rektor UIM Makassar, Muammar Bakry mengesahkan, individu dalam video berkenaan adalah pensyarah Fakulti Pertanian dan memaklumkan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya.


"Kami belum boleh mengulas secara terperinci kerana individu terbabit masih belum dipanggil memberi keterangan. Namun, kes ini pasti akan dibawa ke peringkat siasatan dalaman," katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.


Beliau menegaskan perbuatan tersebut disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh menjejaskan imej institusi pendidikan.


"Perbuatan dalam video itu jelas tidak wajar. Pihak universiti akan mengenakan tindakan tatatertib akademik mengikut peraturan sedia ada," katanya.


Menurut Muammar, AS merupakan seorang pegawai Aparatur Sipil Negara (ASN) yang dipinjamkan perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar di UIM, dan prosedur lanjut akan ditentukan bersama pihak berkaitan.


Sementara itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai N, berusia 21 tahun, telah membuat laporan polis di Balai Polis Tamalanrea berhubung kejadian tersebut.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polsek Tamalanrea, Iptu Sangkala, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan sedang melengkapkan dokumentasi siasatan.


"Laporan dibuat atas kesalahan berkaitan penghinaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.


Kes berkenaan mencetuskan kecaman masyarakat yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau serta mencerminkan sikap tidak beretika, khususnya melibatkan individu berstatus pendidik.

Sabtu, 27 Disember 2025

Lelaki ditahan, guna MyKad orang lain tebus subsidi BUD195

Lelaki ditahan, guna MyKad orang lain tebus subsidi BUD195


Tindakan seorang lelaki menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus subsidi BUDI95 mengundang padah apabila pemilik dokumen berkenaan menyedari namanya digunakan tanpa pengetahuan semalam.


Individu warga tempatan berusia 42 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.


Suspek menggunakannya untuk menebus subsidi bahan api di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, dengan menyamar sebagai pemilik sah dokumen berkenaan.


Perbuatan itu bagaimanapun terbongkar apabila pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian, sebelum tampil membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata susulan aduan berkenaan, siasatan dan risikan dijalankan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan disyaki memiliki serta menggunakan MyKad bukan miliknya bagi tujuan penebusan subsidi.


"Hasil siasatan mendapati MyKad milik pengadu digunakan untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik sebenar.


"Suspek ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru, Sungai Lerek, Negeri Sembilan," katanya .


Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.


Katanya, permohonan perintah reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Tampin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, manakala proses pendakwaan dijangka dilaksanakan selepas siasatan dilengkapkan.


Dalam pada itu, Hisham menegaskan bahawa perbuatan memiliki atau menggunakan MyKad orang lain, termasuk bagi tujuan penebusan bantuan atau subsidi kerajaan, adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas.


"Orang ramai yang menemui MyKad atau dokumen pengenalan diri hendaklah segera menyerahkannya kepada JPN atau balai polis berhampiran bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh merugikan pemilik serta kerajaan," katanya.

Ahli PAS Perlis jangan 'curah minyak ke dalam api' - Shahidan

Ahli PAS Perlis jangan 'curah minyak ke dalam api' - Shahidan


Ahli PAS Perlis diingatkan supaya tidak 'mencurah minyak ke dalam api' dengan mengeluarkan kenyataan yang menggugat kestabilan parti itu ketika kemelut politik melanda negeri itu.


Teguran itu susulan beberapa pimpinan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang dilihat begitu agresif mengeluarkan kenyataan berbaur menghasut, terutama kepada tiga pimpinan parti yang sudah ditamatkan keahlian, sekali gus pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli termasuk beberapa pimpinan PAS negeri di dalam media sosial sebagai cubaan mengganggu gugat kestabilan parti.


"Orang yang bercakap itu, kita pun tidak tahu sama ada menggunakan akaun sebenar atau 'fake account' dan sekiranya dia itu ahli PAS, maka tidak sepatutnya dia mengeluarkan kenyataan dan begitu juga difahamkan ada wakil rakyat PAS Perlis yang turut sama mengeluarkan kenyataan kerana itu saya sedang perhatikan anda.


"Kenyataan rasmi ini harus mendapat kebenaran daripada ibu pejabat dan ini bukanlah cara PAS mengeluarkan kenyataan secara melulu kerana kita berwala' dan bermusyawarah. pada waktu ini saya sedang menunggu 'lampu hijau' untuk menjalankan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) atau tidak," katanya ditemui pemberita di rumahnya di Jejawi, Arau hari ini.


Menurut Shahidan, PN Perlis bertindak sebagai penenang keadaan di sebalik kemelut yang melanda dan selaku Pengerusi PN Perlis, beliau menegaskan hubungan PAS negeri dan BERSATU negeri masih baik.


"Yang ini (hubungan) tidak ada masalah, sebab itu saya sering memanggil kedua-dua parti ini untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PN.


"Malah, ketika ini sudah lima kali mesyuarat PN dilakukan dalam masa dua bulan, (dan) pelbagai aspek diperbincangkan... segala keputusan tidak dibuat sendiri, sebaliknya dicapai secara bersama.


"(Cuma ketika ini) Kita tidak dapat maklumat sama ada berlakunya mesyuarat PN terutama di Pusat, namun Mesyuarat PAS sudah pun dilakukan tempoh hari, tetapi saya ingin tegaskan... di Perlis, PAS dan Bersatu tiada masalah," katanya.


Kemelut politik di Perlis berlaku apabila lapan ADUN PN termasuk tiga daripada PAS didapati menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyatakan penarikan sokongan mereka terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam pentadbiran kerajaan negeri.


Ekoran tindakan itu, PAS Pusat yang bermesyuarat serta-merta memberhentikan keahlian ketiga-tiga ADUN, iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), sekali gus menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan tiga kerusi dan memohon PRK diadakan.


Rentetan itu juga, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan pada Khamis lalu, atas alasan masalah kesihatan dan mahu memberi tumpuan terhadap kawasan Sanglang, selaku ADUN yang disandang sejak 2013.

Kes 1MDB: Najib bebas tahun 2043 andai semua rayuan gagal

Kes 1MDB: Najib bebas tahun 2043 andai semua rayuan gagal


Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan hanya akan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2043 sekiranya gagal dalam semua peringkat rayuan termasuk di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.


Berdasarkan pengiraan semasa, bekas Perdana Menteri yang dilahirkan pada 23 Julai 1953 akan berusia kira-kira 90 tahun pada tahun berkenaan sekiranya perlu menjalani keseluruhan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.


Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, namun pelaksanaannya hanya bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd.


Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan.


Bagi kes tersebut, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.


Sekiranya sabitan dalam kes 1MDB dikekalkan di semua peringkat dan tiada pengurangan hukuman diberikan, tempoh pemenjaraan yang perlu dilalui bekas Presiden UMNO itu boleh mencecah lebih dua dekad, sekali gus membawa kepada jangkaan pembebasan sekitar tahun 2043.


Dalam kes 1MDB, Najib didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion, serta melakukan pengubahan wang haram antara tahun 2011 hingga 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon.


Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Makhluk asing akan muncul pada Piala Dunia 2026 - Penyelidik UFO

Makhluk asing akan muncul pada Piala Dunia 2026 - Penyelidik UFO

 

Seorang penyelidik UFO mendakwa makhluk asing akan menampakkan diri kepada manusia semasa Piala Dunia FIFA tahun depan.


Pembuat filem dokumentari, Mark Christopher Lee, membuat dakwaan itu selepas menjalankan penyelidikan meluas berkaitan UFO, ramalan purba dan t

okoh peramal legenda.


Beliau memberi amaran kemunculan makhluk asing itu mungkin menandakan 'permulaan perubahan global berskala apokalips', sambil menggesa pemimpin dunia dan orang ramai supaya bersedia menghadapi peristiwa yang boleh mengubah cara manusia melihat dunia.


Menurut Lee: "Dalam penyelidikan mendalam saya mengenai fenomena UFO dan ramalan purba, saya menemui persamaan ketara yang menunjukkan tahun 2026 sebagai tahun pendedahan.


"Baba Vanga, peramal buta dari Bulgaria, secara jelas meramalkan hubungan pertama manusia dengan makhluk asing pada November 2026, ketika berlangsungnya satu perhimpunan global besar yang sepadan dengan jadual perlawanan akhir Piala Dunia.


"Ini bukan kebetulan semata-mata; ia pertemuan ramalan yang boleh membawa kepada era kekacauan, termasuk peningkatan konflik, bencana alam dan pergolakan teknologi seperti yang digambarkan oleh Vanga dan Nostradamus."


Lee pernah mengarahkan beberapa dokumentari termasuk The Rendlesham UFO: The British Roswell dan The King of UFOs, yang boleh ditonton di Amazon. Beliau juga penulis beberapa buku berkaitan pertemuan makhluk luar angkasa.


Menurut ramalan Baba Vanga, sebuah kapal angkasa gergasi akan menghampiri Bumi ketika dunia sedang bergolak, sekali gus berpotensi mencetuskan panik dan keruntuhan sosial.


Sementara itu, Nostradamus pula dikatakan meramalkan pencerobohan dari angkasa, peperangan dahsyat yang berlarutan selama 27 tahun, serta bencana besar seperti banjir dan kejatuhan kepimpinan, tafsiran yang dikaitkan dengan ketegangan geopolitik dan fenomena udara misteri menjelang 2026.


"Piala Dunia ini mungkin menjadi pentas kepada kemunculan makhluk asing, sekali gus memenuhi ramalan Vanga mengenai hubungan pertama ketika acara sukan besar," kata Lee lagi.


"Kita menyaksikan peningkatan laporan penampakan UFO dan taklimat kerajaan mengenai fenomena udara tidak dikenal pasti. Jika pendedahan berlaku secara langsung di hadapan berbilion penonton, ia boleh mempercepatkan senario kemusnahan seperti digambarkan peramal peperangan global dari Eropah hingga Asia, gempa bumi besar, tsunami yang memusnahkan daratan, penyalahgunaan kecerdasan buatan dan keruntuhan ekonomi."

Jumaat, 26 Disember 2025

Bertenang, serah kepada kebijaksanaan Raja Perlis - Hamzah

Bertenang, serah kepada kebijaksanaan Raja Perlis - Hamzah


Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menggesa semua pihak bertenang berhubung perkembangan politik di Perlis dan menyerahkan keputusan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Beliau berkata, segala keputusan dan pendirian politik di negeri terbabit juga harus berpaksikan kepentingan rakyat, negeri dan demi kestabilan jangka panjang.


Katanya, rakyat ketika ini menaruh keyakinan penuh terhadap keputusan dan kebijaksanaan Raja Perlis.


"Baginda akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri bagi menentukan pelantikan Menteri Besar baharu.


"Keutamaan adalah bagi memastikan Kerajaan Negeri Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kebajikan serta keperluan rakyat, selaras dengan mandat dan harapan yang diberikan kepada Perikatan Nasional pada PRU15 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa hari ini.


Beliau mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari semalam.


Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.


Perkembangan itu menyusul selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.


Berikutan itu, satu mesyuarat khas diadakan di Ibu Pejabat PAS dan hasilnya, keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu dilucutkan berkuat kuasa serta-merta.