Selasa, 16 Disember 2025

Dendam tak restu perkahwinan, anak bunuh ayah kandung

Dendam tak restu perkahwinan, anak bunuh ayah kandung


Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun maut selepas dipercayai dibunuh oleh anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian tragis yang berlaku pada Ahad malam, 7 Disember lalu di Bagan Batu, Rokan Hilir, Riau.


Mangsa, dikenali sebagai KH, diserang oleh anak lelakinya ZH atau dikenali sebagai Fredi, berusia 35 tahun, di sebuah kedai makan milik keluarga di Kilometer 10 Bagan Batu, Desa Pelita, Kecamatan Bagan Sinembah


Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Bagan Sinembah, Inspektor Ridho Alfian Syahputra berkata, siasatan awal mendapati pembunuhan itu bermotifkan dendam lama, dipercayai berpunca daripada ketidaksetujuan mangsa terhadap rancangan perkahwinan suspek.


"Siasatan mendapati suspek tidak pernah berkahwin, kekecewaan suspek bertambah apabila beliau merasakan dirinya dipinggirkan, termasuk tidak diziarahi ketika menjalani rawatan pemulihan sebelum ini," katanya.


Menurut beliau, suspek sebelum ini pernah cuba menyerang mangsa menggunakan parang beberapa bulan sebelum kejadian, namun cubaan tersebut berjaya digagalkan dan suspek sempat ditahan polis.


"Pada ketika itu, keluarga memohon agar proses undang-undang dihentikan kerana mendakwa suspek mengalami masalah mental dan berjanji menghantarnya menjalani rawatan pemulihan di pusat rehabilitasi," katanya.


Bagaimanapun, selepas dibawa pulang, suspek dipercayai masih menyimpan dendam dan merancang serangan ke atas bapanya.


Pada malam kejadian, mangsa baru pulang dari gereja dan memasuki premis melalui pintu sisi. Ketika mangsa menuju ke bilik air, suspek secara tiba-tiba memukul wajah mangsa menggunakan tukul besi.


Mangsa terjatuh dan sempat merayu agar serangan dihentikan, namun suspek terus menghentam kepala dan wajah mangsa sebanyak 21 kali, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketika insiden berlaku, ahli keluarga lain tidak menyedari kejadian tersebut kerana sedang melayani pelanggan di kedai makan berkenaan.


Suspek melarikan diri sebelum diberkas polis tidak lama kemudian di kawasan Kilometer 12 Bagan Batu.


Kes kini disiasat oleh Balai Polis Bagan Sinembah, dan pihak penyiasat turut merancang untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan mental terhadap suspek bagi melengkapkan siasatan.


Pemuda MIC balas Akmal: 'Kalau MIC mabuk todi, Umno mabuk air ketum?'

Pemuda MIC balas Akmal: 'Kalau MIC mabuk todi, Umno mabuk air ketum?'


Ketua Pemuda MIC K Arvind tidak menunggu masa yang lama untuk membalas kecaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dalam pergeseran dua sekutu dalam BN itu yang dilihat kian meruncing.


Dalam kenyataan terbarunya, Arvind mengingatkan Akmal bahawa pertikaman lidah mereka berpunca daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 


"Dei macha Akmal, sedarlah polemik Umno-MIC hari ini berpunca daripada kenyataan presiden Umno sendiri semasa merasmikan perhimpunan agung IPF (Barisan Kemajuan India Se-Malaysia) semalam. Dia melontarkan kata-kata tidak senonoh terhadap MIC.


"Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sama juga bagaimana presiden Umno, begitulah ketua pemudanya (Akmal). 


Dei macha, jika Pemuda MIC mabuk todi, awak mabuk air ketum ke. Rakyat tahu siapa mabuk kuasa dan siapa yang jadi pelacur politik," kata Arvind.


Terdahulu, Akmal membidas Arvind selepas dia mengkritik kenyataan Zahid supaya MIC "jangan mabuk kuasa" susulan parti itu yang sedang menimbang untuk keluar BN.


Dalam kenyataan pada Ahad, Arvind berkata Zahid sebenarnya yang mabuk kuasa, dengan membangkitkan kerjasama BN dengan PH selepas PRU15 dan juga GRS selepas PRN bulan lalu. Kenyataan itu jelas tidak diterima Akmal.


"Dei machaa. Yang mabuk ini bila ada orang cakap mahu keluar, tapi tak keluar walaupun AGM sudah setuju keluar.


"Yang mabuk ini bila mahu sertai PN tapi mahu kekal sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).


"Ini tahap mabuk todi level tinggi," sindirnya.


Dalam kenyataan semalam (Isnin), Arvind mencabar Zahid untuk menarik balik bon kesetiaan berjumlah RM100 juta yang ditandatangani semua calon BN dalam PRU15, yang perlu dibayar antaranya jika mereka lompat parti selepas menang.


"Awak tahu tak berapa ramai wakil rakyat BN, termasuk Umno sendiri yang makin meluat terhadap kepimpinan Zahid? Yang sokong dan mengampu pun bukanlah sebab setia kepada Zahid, tetapi demi jawatan dan kerakusan kuasa.


"Dei macha, nasihatkan presiden awak supaya beradab dalam percakapannya.


"Perkataan mabuk dan mabuk todi sesungguhnya mencerminkan sikap angkuh dan bukan saja memperlekehkan MIC, tetapi masyarakat India. 


"Keghairahan dan kemabukan kuasa mengaburi adab dan adat, yang turut merebak kepada awak. Sedarlah diri wahai macha," katanya lagi.


MIC kini sedang menilai kemungkinan untuk keluar daripada BN, antaranya ekoran rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik mereka, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan PH.


Selain MIC, MCA juga bimbang isu pembahagian kerusi pilihan raya, yang mereka anggap lebih memihak kepada parti-parti penyandang.


Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Hubungan erat Anwar, Hajiji pemangkin penyelesaian segera tuntutan 40 peratus Sabah

Hubungan erat Anwar, Hajiji pemangkin penyelesaian segera tuntutan 40 peratus Sabah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yakin isu tuntutan 40 peratus hasil negeri mampu diselesaikan dengan lebih cepat susulan hubungan erat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membuka ruang kerjasama lebih lancar antara kerajaan negeri dan Persekutuan.


Datuk Seri Ghulamhaidar @Yusof Khan Bahadar (GRS-Kawang) berkata, keyakinan itu turut diperkukuh dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas berkenaan, seperti dinyatakan Menteri Kewangan Sabah ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2026 baru-baru ini.


"Saya juga ingin berkongsi suara tentang harapan dan keyakinan kepimpinan luar biasa Yang Amat Berhormat Sulaman (Hajiji) serta hubungan baik beliau dengan Putrajaya, khususnya dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, memberi keyakinan kepada kita semua bahawa isu hak 40 peratus hasil negeri akan lebih mudah dileraikan.


"Apatah lagi, undang-undang telah memberikan petunjuk jelas sebagai jalan penyelesaian," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kinabalu pada Isnin.


"Apabila tuntutan ini direalisasikan sepenuhnya, ia akan memberikan impak besar kepada kedudukan fiskal negeri dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan rakyat, infrastruktur dan perkhidmatan awam," katanya.


Beliau berkata, pelaksanaan hak itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri secara signifikan, sekali gus membolehkan Sabah merancang pembangunan jangka panjang secara lebih mampan dan berkesan.


Dalam pada itu, Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) berkata, perjuangan mendapatkan semula hak 40 peratus hasil Sabah tidak boleh lagi dilihat daripada lensa persaingan politik, sebaliknya memerlukan pendekatan bersama yang lebih matang dan bersepadu.


Beliau menegaskan pentingnya pendekatan bipartisan untuk mempercepat penyelesaian isu berkenaan, memandangkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sependapat bahawa agenda itu mesti diperjuangkan secara kolektif demi kepentingan negeri.


"Apabila melibatkan kepentingan Sabah, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira impak besar yang bakal dibawa oleh perolehan 40 peratus ini kepada Sabah, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya kita menghapuskan mentaliti persaingan kepartian," katanya.


Justin berkata, keputusan pilihan raya negeri serta pola undi popular menunjukkan bahawa pemulihan hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan isu kepartian, sebaliknya tuntutan rakyat Sabah secara keseluruhan.


ADUN Sabah yakin isu tuntutan 40 peratus hasil negeri dapat diselesaikan dengan kerjasama Perdana Menteri dan Ketua Menteri. - Foto Bernama.

Isnin, 15 Disember 2025

ADUN Warisan nafi tak fasih bahasa Melayu, akui gugup angkat sumpah kali pertama

ADUN Warisan nafi tak fasih bahasa Melayu, akui gugup angkat sumpah kali pertama


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting atas tiket parti Warisan (WARISAN), Wong Tshun Khee mengambil pendekatan bersikap positif susulan video tular beliau tidak bertutur lancar dalam bahasa Melayu ketika majlis mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu.


Video itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai sehingga ada yang mendakwa beliau tidak fasih dalam bahasa Melayu.


Susulan itu, beliau menafikan dakwaan terbabit dan menjelaskan amat akrab dan mempunyai ramai kawan dalam komuniti orang Melayu di daerah kelahirannya, Sandakan.


Menjelaskan insiden yang terjadi semasa membaca teks pada majlis mengangkat sumpah sebagai ADUN, Tshun Khee berkata, ketika itu beliau berasa gugup disamping mempunyai masalah penglihatan.


"Masa itu saya berasa gugup dan cermin mata (untuk kegunaan membaca) saya juga tidak boleh lihat dengan jelas (tulisan dalam teks angkat sumpah dalam jarak tertentu).


"Lagipun ini adalah kali pertama (mengangkat sumpah sebagai ADUN). Lagipun tuan Speaker (Speaker DUN Sabah) juga bantu (bimbing menerusi sebutan betul) saya.


"Saya pun baik-baik, positif sahaja dan saya tidak marah. Cuma saya belajar daripada (insiden) itu jugalah sebab saya baru pertama kali masuk DUN masa itu," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.


Dalam pada itu, Tshun Khee juga turut berterima kasih kepada pihak yang menyebarkan video itu sehingga tular walaupun terdapat orang awam yang mengecam beliau.


"Saya berterima kasih kepada mereka... sekarang satu Malaysia kenal saya.


"Walau bagaimanapun, ia bukan satu perkara bagus kerana ini hanya perkara kecil tapi diperbesarkan," katanya.

Kerajaan perlu tegas tolak UEC - Kok Seong

Kerajaan perlu tegas tolak UEC - Kok Seong


Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Malaysia seperti didesak pihak tertentu ketika ini.


Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ini kerana pengiktirafan tersebut tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum nasional.


Malah katanya, tindakan tersebut juga dilihat sebagai penghinaan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


"Semua pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik perlu bersatu untuk menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC kerana ia bukan sahaja menjadi ancaman kepada sistem pendidikan atau hala tuju pendidikan nasional tetapi juga boleh mewujudkan jurang perkauman yang lebih besar.


"Sepatutnya sejak dahulu lagi kerajaan atau mana-mana pemimpin perlu bertegas untuk tidak memberi ruang kepada UEC diiktiraf di negara kita. Orang Melayu tidak kisah pun adanya UEC ini melalui sekolah persendirian Cina tapi apa yang mereka marah apabila ada ugutan yang boleh mengganggu sistem pendidikan nasional.


"Pada saya, kontroversi yang kembali dicetuskan ini hanya permainan politik untuk mendapatkan kembali sokongan penyokong masyarakat Cina tapi hakikatnya ia berisiko mencetuskan huru-hara kepada negara," katanya.


Menurut Kok Seong, kerajaan pada dasarnya telah memberi pengiktirafan separuh kepada UEC apabila membenarkan ia diambil melalui sekolah persendirian Cina.


Namun katanya, tindakan pihak yang mahu perkara itu berada dalam sistem pendidikan nasional dilihat keterlaluan dan perlu disekat segera.


Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan segelintir pemimpin Melayu yang mengeluarkan kenyataan tidak jelas mengenai isu berkenaan seakan-akan menyokong usaha untuk memberi pengiktirafan terhadap sijil tersebut juga amat dikesali.


"Seharusnya sebagai pemimpin Melayu, kumpulan itu harus menentang habis-habisan desakan tersebut kerana ia boleh melemahkan sistem kebangsaan dan menyumbang kepada pemisahan aliran pendidikan mengikut kaum atau komuniti tertentu.


"Kita harus pertahankan identiti nasional negara ini, maknanya tidak boleh seorang pun dalam kalangan pemimpin Melayu yang menyokong usaha untuk mengiktiraf UEC ini," ujarnya.

Ahad, 14 Disember 2025

Tembok misteri berusia 7,000 tahun ditemukan di bawah laut

Tembok misteri berusia 7,000 tahun ditemukan di bawah laut


Penyelam menemukan tembok tenggelam berusia kira-kira 7,000 tahun di bawah laut berhampiran barat Perancis, menurut saintis pada Khamis lalu.


Tembok sepanjang hampir 122 meter itu ditemukan di luar Ile de Sein, Brittany, negara itu, bersama lebih sedozen struktur buatan manusia yang lebih kecil dari tempoh sama.


Profesor arkeologi di Universiti Brittany Barat, Yvan Pailler berkata, penemuan ini membuka prospek baharu bagi arkeologi bawah laut dan membantu memahami organisasi masyarakat pesisir.


Beliau turut menulis kajian mengenai penemuan itu, yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Arkeologi Nautika.


Difahamkan, struktur itu pertama kali dikesan oleh geologi bersara Yves Fouquet pada 2017, melalui carta dasar laut yang dihasilkan menggunakan sistem laser.



Penemuan itu mengilhami mitos tempatan yang serupa dengan kisah Atlantis yang terkenal, menurut BBC.


Dengan panjang 120 meter, tembok ini binaan bawah laut terbesar yang pernah ditemukan di Perancis. Penyelam menjelajah tapak antara 2022 dan 2024 dan mengesahkan kehadiran struktur granit berkenaan.


Struktur berusia antara 5,800 hingga 5,300 Sebelum Masihi (SM), terletak sembilan meter di bawah laut dan dibina pada masa paras laut jauh lebih rendah berbanding sekarang.


Penyelidik percaya, struktur itu mungkin perangkap ikan di pesisiran atau tembok untuk melindungi daripada kenaikan air laut.


Sementara itu, kajian menyatakan, struktur ini menunjukkan kemahiran teknikal dan organisasi sosial yang mencukupi untuk mengekstrak, menggerakkan dan mendirikan blok seberat beberapa tan, serupa dengan batu prasejarah yang terkenal di Brittany (megalit Breton).


Kemahiran teknikal ini wujud beberapa abad sebelum binaan megalit pertama. Kajian turut menyebut, tapak ini mungkin menjadi asal usul legenda penduduk Brittany mengenai bandar tenggelam Ys di Teluk Douarnenez.


Penemuan berlaku enam bulan selepas ahli arkeologi menemui tinggalan kapal perdagangan abad ke-16 lebih 1.5 batu (2,414 meter) di bawah laut selatan Perancis.


Penyelam menemukan tembok di bawah laut di luar barat Perancis, kata saintis pada hari Khamis. - Foto Hal Open Science.
Parti komponen keluar BN, tidak akan diterima kembali - Ahmad Zahid

Parti komponen keluar BN, tidak akan diterima kembali - Ahmad Zahid


Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan itu, kerana parti terbabit tidak akan diterima kembali, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Walaupun tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, namun kenyataan Pengerusi BN itu dipercayai merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam gabungan berkenaan.


Menurut beliau, sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN seharusnya dihargai dan tidak diketepikan hanya kerana wujud rasa tidak puas hati atau 'kemabukan kuasa'.


"Jangan buat keputusan hanya kerana 'mabuk kuasa' dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill di Semenyih hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika marah, sedih atau terdesak.


Sebaliknya kata beliau, ia memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.


Dalam masa sama, beliau turut menyindir ada 'pihak' tertentu yang sebelum ini enggan mendekati Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun selepas kerajaan itu stabil, kemudian mendakwa kononnya mereka dipinggirkan serta dianaktirikan.


Sementara itu ketika sidang media, ketika ditanya sama ada MIC ada menghantar sebarang resolusi untuk meninggalkan BN, kata beliau:


"Saya tidak nampak apa-apa resolusi ataupun surat dan tentu kita tidak membuat sebarang keputusan tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita akan membuat keputusan."


Selain itu Ahmad Zahid memberitahu, kedua-dua pihak tidak mengadakan sebarang pertemuan pasca Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC yang lalu.


Dalam AGM pada bulan lalu itu, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).


Bagaimanapun, para perwakilan turut bersetuju keputusan muktamad berhubung perkara itu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang, bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh. - Sumber Astro Awani.


Ahmad Zahid ketika sidang media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill Semenyih pada Ahad. - Foto Bernama.
Abang kandung buntingkan dua adik sekali gus

Abang kandung buntingkan dua adik sekali gus


Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai melakukan jenayah seksual sehingga menghamilkan dua adik kandungnya sendiri dalam kejadian yang dipercayai berlaku secara berulang sejak 2016 hingga 2024 di Nagari Air Bangis, Kecamatan Sungai Beremas, Kabupaten Pasaman Barat, Sumatera Barat.


Suspek dikenali sebagai SF, dilaporkan menghamilkan dua mangsa, masing-masing SB, 20, dan SN,15. Kes itu terbongkar dan mencetuskan kekecohan awam pada Rabu, 10 Disember 2025, sebelum menjadi tular di media sosial.


Timbalan Ketua Polis Pasaman Barat, Kompol Cairul Amri, mengesahkan suspek ditahan pada malam hari yang sama (Rabu), kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, di kawasan Simpang Air Balam, Kecamatan Koto Balingka, selepas polis menerima pengakuan langsung daripada mangsa.


Sebelum itu, sekitar jam 3 petang waktu tempatan, penduduk setempat hadir ke Balai Polis Sungai Beremas susulan salah faham yang menimbulkan ketegangan apabila bapa mangsa disyaki sebagai pelaku. Demi keselamatan, polis memindahkan keluarga berkenaan ke lokasi selamat.


Namun, pada sekitar jam 7 malam waktu tempatan hari yang sama, kedua-dua mangsa tampil bersama ibu bapa mereka dan menjelaskan bahawa pelaku sebenar ialah abang kandung mereka sendiri.


Susulan pengakuan tersebut, polis segera melancarkan operasi memburu sebelum menahan suspek tanpa sebarang tentangan. Kes kini disiasat secara menyeluruh, termasuk tempoh penderaan dan motif kejadian.


Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara profesional dan telus, manakala mangsa serta keluarga diberikan perlindungan keselamatan dan sokongan psikologi.


Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya proses keadilan kepada pihak berkuasa.


Suspek (lima dari kanan) kini sudah ditahan. - Foto Agensi.

Sabtu, 13 Disember 2025

80 peratus pelajar Cina masih dalam sistem kebangsaan, usah jadikan UEC isu politik

80 peratus pelajar Cina masih dalam sistem kebangsaan, usah jadikan UEC isu politik


Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, tampil mempertahankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa apabila menyentuh isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peranan bahasa Mandarin dalam sistem pendidikan negara.


Menurut Rafizi, Malaysia perlu bersiap sedia menjadi sebuah masyarakat tiga bahasa agar tidak ketinggalan dalam perubahan global yang semakin memberi keutamaan kepada Mandarin.


"Dunia sedang bergerak ke arah penguasaan bahasa Mandarin sebagai bahasa ilmu dan perdagangan, dan generasi muda Malaysia perlu bersedia menghadapi perubahan ini. Kita tidak boleh berpura-pura bahawa Mandarin tidak penting. Kepimpinan negara perlu mengakui bahawa kita sedang memasuki era masyarakat tiga bahasa.


"Generasi muda Malaysia yang lahir hari ini perlu menguasai ketiga-tiga bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam era globalisasi.


"Dalam 20 tahun lagi, jika tidak menguasai Mandarin, generasi kita akan menghadapi kesukaran kerana bahasa itu akan mengatasi bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tanpa penguasaan Mandarin, kita akan ketinggalan dalam 20 tahun akan datang. Inilah realiti yang perlu diterima," katanya melalui siaran Yang Berhenti Menteri.


Kenyataan Rafizi hadir beberapa jam selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu sensitif seperti UEC mesti mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. Anwar turut mengingatkan bahawa bahasa Melayu tetap perlu dipertahankan dalam sebarang proses reformasi pendidikan.


Namun, pendirian itu mencetuskan perbandingan dengan kenyataan Anwar pada 2018 apabila dia berkata bahawa pengiktirafan UEC tidak akan menjejaskan bahasa kebangsaan.


Mengulas lebih lanjut, Rafizi menyifatkan isu UEC sering digunakan sebagai "dopamin politik" oleh pelbagai parti termasuk DAP, Umno dan PAS.


"Realitinya hanya sebahagian kecil pelajar Cina di Malaysia yang mengambil peperiksaan ini. Daripada 400,000 pelajar Cina di sekolah menengah, hanya kira-kira 90,000 mengikuti UEC. Itu pun sekitar 20 peratus sahaja.


"Sebanyak 80 peratus pelajar Cina masih melalui sistem kebangsaan, manakala UEC hanyalah satu aliran kecil yang memberi peluang pendidikan tambahan dalam bahasa Mandarin.


"Isu UEC sering disensasikan oleh politikus sebagai isu besar, sedangkan realitinya ia hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar. Perkara ini perlu dijernihkan supaya UEC tidak terus menjadi isu politik yang memecahbelahkan masyarakat," katanya.


Sejak kekalahan besar DAP dalam pilihan raya negeri Sabah, parti itu menjadikan pengiktirafan UEC sebagai sebahagian agenda reformasi.


Namun, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh dengan pantas menyekat usaha DAP, apabila mengecam Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming kerana menyatakan hasrat membawa isu itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Akmal juga menuntut Anwar supaya jangan mengiktiraf UEC. Dia juga menegaskan bahawa sebagai menteri, Nga sepatutnya maklum tentang dasar pendidikan negara.


Sebelum ini, BN juga pernah menggunakan isu UEC untuk meraih sokongan pengundi Cina, termasuk janji pengiktirafan ketika era Najib Razak.


Walaupun mempertahankan nilai UEC, Rafizi menekankan kerajaan tidak boleh mengetepikan kedudukan bahasa Melayu.


Namun, bekas timbalan presiden itu bertegas bahawa kerajaan pada masa yang sama tidak boleh mengabaikan kepentingan bahasa Melayu.


"Integrasi elemen bahasa Melayu dan sejarah Malaysia dalam kurikulum UEC boleh menjadi titik pertemuan antara kerajaan dan komuniti Cina. Ini boleh memastikan generasi muda memahami jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia sambil menguasai bahasa kedua dan ketiga.


"Kalau kita mulakan dengan memahami kepentingan bahasa Mandarin, isu UEC boleh dilihat dari perspektif pembangunan negara, bukan semata-mata isu politik.


"Pengiktirafan UEC dan penguasaan bahasa Mandarin bukan ancaman kepada perpaduan nasional jika diurus dengan bijak. Ini adalah peluang untuk membina masyarakat yang lebih kompetitif dan masyarakat tiga bahasa," katanya.

Wanita dakwa suami ditembak polis rupanya hanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

Wanita dakwa suami ditembak polis rupanya hanya kekasih, ada 10 rekod jenayah


Polis Melaka mendedahkan wanita yang mendakwa lelaki ditembak mati polis di Durian Tunggal baru-baru ini adalah suaminya, sebenarnya hanya kekasih suspek berkenaan.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata wanita berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu bukan isteri sah kepada individu terbabit.


Menurut beliau, sebaliknya, suspek yang terbabit dalam insiden itu mempunyai isteri yang menetap di Johor, namun tinggal bersama kekasihnya itu di Durian Tunggal sejak tiga tahun lalu.


Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012, termasuk kes curi kenderaan, samun, dan cubaan bunuh.


"Wanita itu juga pernah ditangkap di Jasin berkaitan kes samun pada Julai lalu. Bapa wanita itu juga mempunyai 24 rekod jenayah lampau sejak 2022, dan beberapa kes telah dijatuhi hukuman," katanya.


Dzulkhairi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh, malam tadi.


Beliau turut mengesahkan, bapa wanita itu berusia 55 tahun masih dikehendaki polis untuk siasatan kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan.


Sebelum ini, tular di media sosial mengenai status dua beranak terbabit yang didakwa mempunyai rekod jenayah.


Pada 3 Disember lalu, media melaporkan bahawa ahli keluarga tiga penjenayah terbabit menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek yang mati itu bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.


Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.


Kejadian tembak menembak berlaku sekitar jam 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.


Akibat serangan tersebut, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.


Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM1.35 juta.


Dzulkhairi bersama sebahagian orang awam yang menyokong tindakan polis membanteras jenayah termasuk insiden polis menembak mati penjenayah di Durian Tunggal. - Foto NSTP.