"Nak gerak ke lapangan terbang, tengok kereta terangkat, rim dan tayar semua hilang".
Demikian luahan seorang individu apabila kereta milik abangnya hilang keempat-empat tayar akibat dicuri dalam kejadian di sebuah kawasan kediaman di Southville City di Bangi.
Berdasarkan perkongsian di aplikasi Threads oleh Siddiqhakimie, kereta milik abangnya itu telah kehilangan keempat-empat tayar dan rim.
"Abang aku nak gerak ke airport (lapangan terbang) semalam, tengok kereta dah terangkat atas 'jack'. Rim dan tayar semua hilang. Tempat kejadian: parking Block D, Southville City, Bangi," tulisnya.
Mengulas lanjut, individu itu berkata, kejadian tersebut merupakan kali ketiga berlaku di kawasan perumahan tersebut.
"Laporan polis dah buat di Sepang. Yang lagi risau, ini kes ketiga dalam masa yang singkat.
"Blok yang sama, modus yang sama. Kalau parking ni ada CCTV (televisyen litar tertutup), kenapa boleh berulang sampai tiga kali? Tolong share. Jangan tunggu kereta korang pula jadi mangsa," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mahu pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut kerana sudah beberapa kali kejadian sama berlaku.
"JMB ni memang pilih guard tak jalankan tugas ke macam mana? Asal motor hilang mesti Southville, asal kereta hilang pun Southville gak," katanya.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Luvvpijaa.
"Dua bulan lepas parking aku pun kena, dah la kawan aku nak g keje tengok, tayar dan rim dah hilang," katanya.










