Selasa, 11 Ogos 2026

Taktik penipuan 'ibu kutu' terbongkar, babitkan kerugian RM1.7 juta.

Taktik penipuan 'ibu kutu' terbongkar, babitkan kerugian RM1.7 juta.


Taktik penipuan seorang 'ibu kutu' yang direman baru-baru ini akhirnya terbongkar selepas salah seorang mangsa mendakwa kehidupannya kini terjejas akibat kerugian kira-kira RM185,000 terjebak penipuan dilakukan suspek.


Menurut Mohamad, 33, iste­ri­nya yang berusia 32 tahun merupakan antara 35 mangsa yang kerugian RM1.7 juta terperdaya penipuan itu dan kini mengalami tekanan emosi selepas kehila­ngan wang simpanan mereka.


"Kami kerugian kira-kira RM185,000, habis wang simpanan kami suami isteri, malah barang kemas bernilai RM113,000 juga masih di premis pajak gadai.


"Isteri sekarang ini sangat tertekan, kerap termenung dan menangis," katanya ketika dihubu­ngi semalam.


Dakwanya, dia dan isteri yang merupakan pekerja swasta sudah lama mengenali suspek wanita terbabit kerana tinggal berhampiran sebelum mula membeli tawaran jualan trade-in kutu sejak April lalu.


"Skim itu bukan permainan kutu bulanan seperti kebiasaannya, sebaliknya melibatkan jual beli giliran kutu antara peserta yang memerlukan wang segera.


"Suspek akan memuat naik status di WhatsApp memaklum­kan ada peserta yang mahu trade-in kutu, iaitu menjual giliran masing-masing kepada peserta lain yang memerlukan wang tunai segera.


"Sebagai contoh, jika tiga peserta menyertai kutu bernilai RM10,000 seorang, peserta yang mendapat giliran ketiga perlu membayar RM20,000 terlebih dahulu sebelum menerima RM30,000 pada bulan berikutnya.


"Namun, jika peserta itu memerlukan wang segera, dia boleh menjual giliran berkenaan, contohnya pada harga RM10,000 secara sekali gus. Pembeli pula akan menerima RM20,000 apabila tiba giliran berkenaan, sekali gus memperoleh keuntungan RM10,000," dakwanya.


Dakwanya, kerugian kira-kira RM185,000 yang dialami isteri melibatkan pembelian sebanyak 31 giliran trade-in kutu


"Kami tidak bermain kutu tetapi membeli giliran peserta yang mahu mendapatkan wang lebih cepat atau tidak mampu meneruskan permainan," dakwa­nya.


Dakwanya, suspek yang merupakan peniaga makanan segera dari rumah dipercayai turut menganjurkan beberapa jenis kutu lain termasuk kutu biasa secara bulanan serta kutu toto dan kutu emas.


"Saya dan isteri tidak mengenali 34 mangsa lain sebelum ini dan hanya mengetahui ramai individu turut terperdaya selepas kes berkenaan terbongkar.


"Suspek mungkin berdepan masalah kewangan selepas tiada lagi peserta baharu yang mahu menyertai kutu yang dianjurkannya," dakwanya.


Tambahnya, dia difahamkan ramai mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.


"Saya difahamkan, ada yang menggunakan wang simpanan termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), wang simpanan anak, membuat pinjaman peri­badi dan pinjaman Shopee, malah ada yang meminjam along.


"Bila jadi macam ini, ada yang terpaksa jual kereta dan bergaduh suami isteri," katanya.


Sebanyak 35 laporan polis dibuat terhadap seorang wanita berhubung kes penipuan permainan kutu membabitkan kerugian RM1.7 juta.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim dipetik berkata, laporan tersebut dibuat oleh mangsa-mangsa yang berusia 23 hingga 53 tahun dan polis mela­kukan siasatan mengikut Sek­syen 420 Kanun Keseksaan. - Kosmo Online.


Sebanyak 35 laporan polis dibuat berhubung kes penipuan permainan kutu membabitkan kerugian RM1.7 juta.
'Warga asing selalu mabuk, buat kacau', Pangsapuri Seri Nipah diserbu

'Warga asing selalu mabuk, buat kacau', Pangsapuri Seri Nipah diserbu


Kejadian pecah rumah, mabuk dan pergaduhan yang sering berlaku menjadi antara masalah yang menghantui penduduk Pangsapuri Seri Nipah, Subang Jaya, susulan kehadiran koloni warga asing yang semakin ramai di kawasan itu.


Situasi itu turut mendapat perhatian Jabatan Imigresen Selangor yang menjalankan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di pangsapuri itu awal pagi tadi.


Tinjauan media yang mengikuti operasi bermula jam 1 pagi hingga 3 pagi itu, dengan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan dari satu unit ke satu unit.


Bagaimanapun, terdapat penghuni enggan membuka pintu walaupun beberapa kali diketuk anggota penguat kuasa, malah ada yang dipercayai berpura-pura tidak mendengar kehadiran pihak berkuasa, manakala sebahagian yang lain cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan.


Penghuni pangsapuri yang mahu dikenali sebagai Mikail, 29, berkata dia yang menetap di situ sejak empat tahun lalu mengesahkan jumlah warga asing khususnya dari Myanmar dan India semakin ramai.


Katanya, kebanyakan warga asing terbabit dipercayai bekerja di kilang sekitar kawasan itu. Mereka selalu buat kacau, mabuk dan bergaduh, malah ada kes pecah rumah yang dilakukan warga asing terbabit.


"Saya sekeluarga yang tinggal di sini memang rasa tidak selesa, malah keselamatan terjejas apabila terlalu ramai warga asing di sini," katanya.


Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Munirah, 28, berkata jumlah warga asing di kawasan itu lebih ramai berbanding penduduk tempatan.


Katanya, keadaan itu menyebabkan gangguan awam berlaku dan penduduk sudah beberapa kali menegur warga asing terbabit, namun mereka tidak mengendahkannya.


"Mereka selalu mabuk dan buat kecoh. Disebabkan jumlah mereka ramai, mereka semakin berani bertindak kasar," katanya.


Munirah berkata, terdapat juga pasar warga asing yang beroperasi setiap Ahad berhampiran kawasan berkenaan dan menjual pelbagai produk dari negara asal mereka.


Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan pangsapuri itu menjadi tumpuan warga asing terbabit terutama pada waktu pagi dan petang ketika mereka pergi dan pulang bekerja.


Sementara itu, Jabatan Imigresen Selangor dalam kenyataan berkata, operasi yang bermula jam 11 malam itu menyasarkan kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.


Katanya, pada operasi berkenaan, 280 individu diperiksa sebelum 34 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.


"Warganegara asing yang ditahan dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Thailand dan lain-lain negara.


"Daripada keseluruhan 34 tahanan, seramai 23 lelaki dan 11 perempuan dengan semua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya.


Katanya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan memiliki kad tidak diiktiraf.


"Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan," katanya.

Tawar khidmat seks RM130 hingga RM250 di MiChat, wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan

Tawar khidmat seks RM130 hingga RM250 di MiChat, wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan


Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, semalam atas kesalahan mempromosikan pelacuran melalui aplikasi media sosial MiChat, bulan lalu.


Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurlela, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah dan mensabitkannya seperti pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Julai lalu.


Mengikut pertuduhan, Nurlela berasal dari Batam, Indonesia didapati mempromosikan pelacuran melalui Michat menggunakan akaun bernama 'Wawa' dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada orang awam bagi maksud eksploitasi seksual.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Pengkalan Rama Tengah pada 29 Julai lalu, kira-kira jam 8.35 malam.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan Ops E-Noda di hotel itu susulan risikan aktiviti pelacuran melalui aplikasi MiChat.


Hasil serbuan, Nurlela ditahan di sebuah bilik hotel dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.


Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh mendapati akaun MiChat atas nama 'Wawa' digunakannya untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan bayaran antara RM130 hingga RM250.


Terdapat kandungan perbualan antara tertuduh dengan beberapa individu berlainan membabitkan rundingan harga, lokasi pertemuan, kaedah pembayaran tunai serta pertukaran gambar dan maklumat diri sebelum urusan diteruskan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda dan tidak dipenjarakan kerana itu kesalahan pertamanya dan turut menanggung ibu di kampung.


Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan menghujahkan penjara adalah mandatori di bawah Seksyen 372 (1) (e) KK.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan tertuduh kelihatan menangis sejurus prosiding kesnya selesai.

Isnin, 10 Ogos 2026

Janda sanggup naik bas empat jam demi jumpa duda, ditangkap khalwat di hotel

Janda sanggup naik bas empat jam demi jumpa duda, ditangkap khalwat di hotel


Seorang wanita sanggup menghabiskan masa kira-kira empat jam menaiki bas ekspres dari Melaka ke Kluang demi bertemu seorang duda, namun pertemuan itu berakhir apabila mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Kluang petang Ahad.


Wanita berusia 20-an berstatus janda itu dikatakan tiba di Kluang kira-kira jam 6 petang sebelum terus menuju ke hotel untuk bertemu lelaki berusia 30-an yang dikenalinya.


Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lelaki terbabit yang juga duda anak empat dan bekerja di Kluang sudah terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel berkenaan dengan menaiki motosikal.


"Penguat kuasa menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 6.40 petang dengan mengetuk pintu bilik sebelum lelaki terbabit membukanya kira-kira lima minit kemudian.


"Dia memakai baju-T dan seluar panjang sebelum pemeriksaan diteruskan di dalam bilik. Seorang wanita turut ditemukan sedang duduk di atas katil dan berpakaian lengkap," katanya dalam muat naik di Facebook.


Jelas JAINJ, kedua-duanya mengaku tidak mempunyai hubungan pernikahan dan memberi alasan hanya bertemu untuk berbual serta berbincang.


"Apabila ditanya tujuan wanita itu datang dari Melaka, dia memberitahu mahu bertemu lelaki terbabit untuk berbincang.


"Namun apabila ditanya apa yang dilakukan dalam bilik, kedua-duanya mendakwa hanya berbual dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang melibatkan sentuhan," katanya.


Pemeriksaan lanjut turut menemukan beg serta pakaian wanita berkenaan di dalam almari, dipercayai dibawa bersama selepas menempuh perjalanan jauh dari Melaka.


"Keadaan bilik ketika diperiksa juga agak kemas dengan katil masih tersusun, manakala penghawa dingin ditetapkan pada suhu 20 darjah Celsius dan televisyen sedang dipasang.


"Pasangan terbabit turut memaklumkan mereka mempunyai hasrat untuk berkahwin," katanya.


Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Wanita warga Filipina direman disyaki terbabit aktiviti persundalan

Wanita warga Filipina direman disyaki terbabit aktiviti persundalan


Serbuan polis ke sebuah spa di Sabindo Square di Tawau membawa kepada penahanan seorang wanita warga Filipina yang disyaki terbabit aktiviti persundalan bersama seorang lelaki tempatan, semalam.


Wanita berusia 36 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.


Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.


Suspek ditahan dalam serbuan 'Op Noda' yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah premis di Sabindo Square, kira-kira 5.15 petang, semalam.


Berdasarkan keterangan kes ketika permohonan reman di mahkamah pagi ini, operasi itu diketuai Inspektor Kasinam Kadri bersama beberapa anggota selepas polis menerima maklumat berkaitan disyaki berlaku aktiviti persundalan di premis berkenaan.


Pemeriksaan awal mendapati beberapa pekerja di premis terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.


Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di tingkat satu premis membawa kepada penemuan sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti persundalan.


Polis kemudian menemui seorang pekerja wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan yang disyaki pelanggan berada di dalam bilik berkenaan.


Hasil pemeriksaan turut membawa kepada rampasan beberapa barang yang dipercayai berkaitan kes, antaranya kondom, pembungkus kondom, lesen, daftar kerja harian, telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai RM150.


Suspek wanita berkenaan kemudian ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan dan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.


Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, Sarjan Mohd Jafni Junat.

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU

Polis, JIM buru suspek warga asing disyaki terlibat kes rogol OKU


Polis menyerbu sebuah penempatan warga asing di Bakau Tinggi, Chukai, awal pagi tadi dalam operasi khas memburu suspek kes rogol membabitkan seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).


Operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bersepadu itu memfokuskan usaha mengesan dan menahan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


Beliau berkata, seramai 33 individu diperiksa membabitkan enam warga tempatan dan 27 warga asing.


"Daripada jumlah itu, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Operasi itu turut dipantau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu bersama Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.



Mohd Khairi berkata, polis bersama JIM akan terus mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing susulan kes berkenaan kerana perbuatan sedemikian boleh mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan siasatan.


Katanya, masyarakat juga diminta menggunakan media sosial secara berhemah serta tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan keresahan.


"Sebarang penyalahgunaan media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone (VSP)," katanya.

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali


Selepas 40 hari melarikan diri, seorang pengarah dan penerbit filem berusia 73 tahun akhirnya ditahan polis di sebuah rumah ladang di Mahabaleshwar pada Sabtu selepas didakwa merogol seorang pelakon berulang kali sejak empat tahun lalu.


Menurut laporan Times of India, pengarah dan penerbit filem India, Shakeel Noorani ditahan selepas polis mengesan lokasinya di Medha, daerah Satara.


Dia kemudian dibawa ke mahkamah oleh polis Malwani dan direman sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.


Polis menggunakan Seksyen 64(2)(M) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan rogol, Seksyen 123 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun, Seksyen 351(2) berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 88 kerana menyebabkan keguguran.


Berdasarkan laporan, wanita terbabit membuat laporan polis dengan mendakwa Noorani mengundangnya ke kediamannya di Malwani kira-kira empat tahun lalu atas alasan mahu membincangkan skrip filem.


Wanita itu mendakwa, minumannya kemudian dicampur bahan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum Noorani didakwa merogolnya.


Menurutnya, selepas sedar, Noorani didakwa menunjukkan rakaman serangan seksual itu menerusi telefon bimbit sebelum mengugut untuk menyebarkannya sekiranya dia membuat laporan polis atau memberitahu keluarganya.


Wanita berkenaan turut mendakwa, rakaman tersebut kemudiannya digunakan untuk mengugutnya dan memaksanya melakukan hubungan seksual berulang kali.


Dia juga mendakwa, Noorani beberapa kali memberikan pil perancang selepas kejadian terbabit dan mendakwa mengalami keguguran.


Menurut pegawai polis Malwani, pihaknya menjalankan siasatan sejak laporan dibuat dan mengesan Noorani selepas menggunakan bantuan teknikal.


"Pasukan polis turut melakukan pemeriksaan di rumah anaknya di Lokhandwala, Andheri namun dia tidak ditemui.


"Dengan bantuan teknikal, kami mengesan lokasinya di sebuah rumah ladang di Medha, daerah Satara. Pasukan polis Medha kemudian menahannya sebelum kami mengambil alih tahanan," katanya.


Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zon 2, Sandip Ghuge berkata, pihaknya mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan sejak laporan dibuat.


Bagaimanapun, peguam Noorani, Vikas Singh Goar menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa anak guamnya telah dikenakan tuduhan secara palsu.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada dalam prosiding mahkamah.


Noorani pernah mengarahkan beberapa filem Bollywood termasuk Vishnu Devaa (1991), Shreeman Aashique (1993), Bade Dilwala (1999) dan Joru Ka Ghulam (2000).


Shakeel Noorani didakwa merogol seorang pelakon wanita berulang kali. - Foto kredit Times Of India.
Kenderaan guna logo JIM dipandu warga asing bukan aset jabatan

Kenderaan guna logo JIM dipandu warga asing bukan aset jabatan


Kenderaan didakwa milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dipandu seorang individu warga asing seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, disahkan bukan aset rasmi jabatan berkenaan.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular memaparkan kenderaan berkenaan menggunakan logo JIM.


"Hasil semakan awal mendapati kenderaan berkenaan bukan milik atau aset rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.


"JIM memandang serius penggunaan logo jabatan pada kenderaan tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan semalam.


Sebelum ini, tular hantaran menerusi platform Threads yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM dan didakwa dipandu oleh seorang individu warga asing.


Hantaran itu mendapat perhatian ramai apabila pengguna media sosial mempersoalkan penggunaan logo serta identiti jabatan tersebut oleh individu terbabit.


Zakaria berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan.


Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.


"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan.


"JIM menghargai keprihatinan orang ramai berhubung perkara ini dan akan memastikan siasatan dilaksanakan dengan sewajarnya," katanya.

Ahad, 9 Ogos 2026

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU

Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU


Polis menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, Kemaman.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tangkapan itu dibuat pada Sabtu susulan aduan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat.


Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan telah direman bagi tindakan lanjut.


"Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah dibenarkan bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Siasatan masih lagi terbuka untuk mengenalpasti suspek lain yang mungkin sebenarnya terlibat.


"Pihak polis juga perlu memperhalusi kes ini dan mangsa juga mesti diberi ruang masa secukupnya sebelum siasatan dilengkapkan memandangkan mangsa adalah seorang wanita OKU (Intelektual) berumur 23 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Mengulas mengenai gambar dan video tular di media sosial melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat berkenaan pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.


Jelas beliau, orang ramai diminta berhati-hati ketika menggunakan platform media sosial supaya tidak mencetuskan situasi panik, tidak harmoni, atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.


"Segala maklumat yang diperoleh mestilah disahkan dahulu dan diyakini kebenarannya.


"Polis juga menasihati orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang terburu-buru ke atas mereka yang berketurunan Rohingya dan secara tidak langsung menjuruskan diri mereka dalam jenayah," katanya.


Tambah beliau, pihak polis sentiasa bersedia memberikan penjelasan berhubung kes berkenaan pada bila-bila masa. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.


Tangkap layar video tular menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan sebuah hadapan flat di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, pada Sabtu.
Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah

Berang selalu ditegur tandas kotor, lelaki Bangladesh tetak rakan serumah


Tidak puas hati dan gagal mengawal kemarahan kerana ditegur tandas rumah sewa kotor menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh menetak rakan senegaranya di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur, semalam.


Difahamkan suspek dan mangsa yang sudah tinggal bersama sejak lima tahun lalu, bertengkar apabila rakannya itu selalu menegurnya kerana tandas selalu kotor selepas suspek menggunakannya.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, susulan kejadian itu, pihak polis mengesan dan menahan suspek kes mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, Kuala Lumpur.


Beliau berkata, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor.


"Mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Ampang dalam keadaan stabil.


"Bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek di hadapan sebuah poliklinik di Jalan 16, Kampung Cheras Baru," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, suspek seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja dan rakan serumah mangsa.


"Pihak Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


"Hasil siasatan awal mendedahkan motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan kegagalan mengawal kemarahan berikutan perselisihan faham berturut-turut antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama selama lima tahun," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata yang boleh mendatangkan maut.


"Permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di hadapan majistret pada hari ini untuk membantu siasatan," katanya.