Taktik penipuan seorang 'ibu kutu' yang direman baru-baru ini akhirnya terbongkar selepas salah seorang mangsa mendakwa kehidupannya kini terjejas akibat kerugian kira-kira RM185,000 terjebak penipuan dilakukan suspek.
Menurut Mohamad, 33, isterinya yang berusia 32 tahun merupakan antara 35 mangsa yang kerugian RM1.7 juta terperdaya penipuan itu dan kini mengalami tekanan emosi selepas kehilangan wang simpanan mereka.
"Kami kerugian kira-kira RM185,000, habis wang simpanan kami suami isteri, malah barang kemas bernilai RM113,000 juga masih di premis pajak gadai.
"Isteri sekarang ini sangat tertekan, kerap termenung dan menangis," katanya ketika dihubungi semalam.
Dakwanya, dia dan isteri yang merupakan pekerja swasta sudah lama mengenali suspek wanita terbabit kerana tinggal berhampiran sebelum mula membeli tawaran jualan trade-in kutu sejak April lalu.
"Skim itu bukan permainan kutu bulanan seperti kebiasaannya, sebaliknya melibatkan jual beli giliran kutu antara peserta yang memerlukan wang segera.
"Suspek akan memuat naik status di WhatsApp memaklumkan ada peserta yang mahu trade-in kutu, iaitu menjual giliran masing-masing kepada peserta lain yang memerlukan wang tunai segera.
"Sebagai contoh, jika tiga peserta menyertai kutu bernilai RM10,000 seorang, peserta yang mendapat giliran ketiga perlu membayar RM20,000 terlebih dahulu sebelum menerima RM30,000 pada bulan berikutnya.
"Namun, jika peserta itu memerlukan wang segera, dia boleh menjual giliran berkenaan, contohnya pada harga RM10,000 secara sekali gus. Pembeli pula akan menerima RM20,000 apabila tiba giliran berkenaan, sekali gus memperoleh keuntungan RM10,000," dakwanya.
Dakwanya, kerugian kira-kira RM185,000 yang dialami isteri melibatkan pembelian sebanyak 31 giliran trade-in kutu
"Kami tidak bermain kutu tetapi membeli giliran peserta yang mahu mendapatkan wang lebih cepat atau tidak mampu meneruskan permainan," dakwanya.
Dakwanya, suspek yang merupakan peniaga makanan segera dari rumah dipercayai turut menganjurkan beberapa jenis kutu lain termasuk kutu biasa secara bulanan serta kutu toto dan kutu emas.
"Saya dan isteri tidak mengenali 34 mangsa lain sebelum ini dan hanya mengetahui ramai individu turut terperdaya selepas kes berkenaan terbongkar.
"Suspek mungkin berdepan masalah kewangan selepas tiada lagi peserta baharu yang mahu menyertai kutu yang dianjurkannya," dakwanya.
Tambahnya, dia difahamkan ramai mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
"Saya difahamkan, ada yang menggunakan wang simpanan termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), wang simpanan anak, membuat pinjaman peribadi dan pinjaman Shopee, malah ada yang meminjam along.
"Bila jadi macam ini, ada yang terpaksa jual kereta dan bergaduh suami isteri," katanya.
Sebanyak 35 laporan polis dibuat terhadap seorang wanita berhubung kes penipuan permainan kutu membabitkan kerugian RM1.7 juta.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim dipetik berkata, laporan tersebut dibuat oleh mangsa-mangsa yang berusia 23 hingga 53 tahun dan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Kosmo Online.


EmoticonEmoticon