Seorang wanita tergamak curang dengan membawa pulang kekasih gelap ketika suaminya sedang menjalani hukuman di penjara sebelum kedua-dua dicekup pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semalam.
Tangkapan ke atas wanita berusia 26 tahun bersama teman lelaki, 27 tahun dilakukan pada jam 12.40 tengah malam di sebuah rumah dalam daerah Kluang selepas JAINJ menerima aduan orang awam.
Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, penguatkuasa menyerbu ke rumah teres dua tingkat yang didiami wanita itu dengan pagarnya tertutup namun tidak berkunci.
"Sebaik membuka pagar, penguatkuasa menemukan kereta milik wanita serta motosikal disyaki kepunyaan kekasihnya.
"Dua penguatkuasa ditugaskan untuk menjaga pintu belakang rumah untuk mengelak mereka meloloskan diri. Penguatkuasa mengetuk pintu hadapan rumah sambil memberi salam.
"Kira-kira lima minit kemudian, seorang wanita memakai baju T berlengan pendek serta seluar panjang membukanya. Setelah memperkenalkan diri, penguatkuasa masuk ke dalam rumah untuk pemeriksaan lanjut.
"Keadaan ruang tamu agak samar hingga memaksa penguatkuasa membuka semua suis lampu. Ketika itu, tiada kelibat individu ditemukan sama ada di ruang tamu mahu pun di dapur," katanya dalam kenyataan.
Katanya, penguatkuasa kemudian memeriksa tingkat atas sambil diiringi wanita terbabit. Sebaik membuka semua lampu, kelihatan seorang lelaki berdiri di hadapan pintu sebuah bilik dengan memakai baju T dan berseluar panjang dalam keadaan ketakutan.
"Hasil soal siasat, pasangan ini mengaku bukan suami isteri dan mereka hanya pasangan kekasih. Lelaki itu masih bujang dan tinggal bersama keluarganya di Kluang.
"Wanita ini pula bekerja di daerah ini dan tinggal berseorangan sejak suaminya dipenjara beberapa bulan lalu dan mereka tidak mempunyai anak.
"Pemeriksaan di ketiga-tiga bilik mendapati hanya satu bilik digunakan manakala dua bilik lagi dijadikan stor.
"Pasangan ini mengaku mereka berkenalan beberapa tahun lalu dan hubungannya semakin intim sejak wanita itu keseorangan. Lelaki itu datang ke rumah wanita terbabit pada jam 10 malam selepas mendapat lampu hijau daripada pasangannya.
"Mereka kemudiannya hanyut dalam gelora nafsu di rumah terbabit yang dijadikan sebagai tempat melakukan maksiat. Wanita ini pendek akal tak memikir kesannya walaupun bersuami.
"Mereka kemudiannya ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.












