Jumaat, 24 Julai 2026

Warga Bangladesh didenda RM6,000 kerana miliki 5 pasport orang lain


Mahkamah Majistret Kulim, semalam menjatuhkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh selepas dia mengaku bersalah memiliki lima pasport milik individu lain tanpa kuasa sah.


Tertuduh Md Rajib, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.


Mengikut pertuduhan, Md Rajib bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa memiliki tiga pasport Myanmar dan dua pasport Bangladesh.


Perbuatan itu didakwa dilakukan pada, 27 Jun lalu di sebuah premis di Jalan Kota Kenari 3, Taman Kota Kenari di Kulim.


Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau atau kedua-duanya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa, manakala tertuduh diwakili peguam, Fieza Fazlin Fandi.


Peguam dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan berikutan anak guamnya perlu menyara isteri dan tiga anak kecil di Bangladesh.


Beliau berkata, tertuduh sudah lapan tahun menetap di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya itu pada masa depan. Tertuduh kemudian membayar denda di kaunter Kompleks Mahkamah Sungai Petani.


Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lagi warga Bangladesh, Rahman Abdur, 53, yang didakwa atas kesalahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki palsu atau dipinda secara menyalahi undang-undang tidak dapat direkodkan pengakuannya.


Ini kerana tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.


Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan khidmat penterjemah. Mahkamah turut memerintahkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.


Mengikut pertuduhan, Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Taman Senangin, Kulim pada jam 2 petang, 8 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 56(1)(aa) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon