Tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town, hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas teman wanita bekas suaminya, Sabtu lalu.
Tertuduh, Ooi Lee Ming, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita yang berusia 33 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif tingkat empat sebuah kondominium di Sungai Nibong dalam Daerah Timur Laut, kira-kira jam 10.20 pagi pada 13 Jun lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin yang mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam mewakili tertuduh, Willie Ong bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah berikutan ibu tunggal itu bekerja sambilan dengan pendapat kira-kira RM1,000 sebulan dan mempunyai tiga anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Difahamkan kejadian itu berlaku kerana tertuduh tidak berpuas hati dengan bekas suami yang meninggalkan anak mereka yang sedang sakit di hospital dan keluar bersama teman wanitanya.











