Isnin, 8 Jun 2026

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800


Seorang pekerja kilang didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majestrit Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyebarkan video lucah membabitkan bekas suaminya dengan seorang wanita lain.


Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memiliki video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max. Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.


Video berkenaan memaparkan pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan dan persetujuan pengadu.


Siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai telah disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.


Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh yang didakwa menyebarkan rakaman berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri ketika memohon hukuman setimpal berkata, kesalahan itu melibatkan penyebaran bahan lucah individu yang dikenal pasti sehingga mencabuli maruah serta privasi mangsa.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tindakannya dilakukan ketika berada dalam keadaan emosi selepas mengalami keguguran selain perlu menanggung ibu bapanya.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru

Dua beradik jatuh bangunan pangsapuri selang beberapa minit di Tampoi, Johor Bahru


"Kami baharu buka paip tepi kolam mahu basahkan badan sebelum mandi, sekali terdengar bunyi kuat seakan benda jatuh," kata seorang wanita, antara saksi kejadian dua kanak-kanak jatuh bangunan pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru pada jam 8 pagi semalam.


Berkongsi berkaitan kejadian menyayatkan hati itu menerusi laman sosial Instagram, wanita dikenali sebagai Irainany berkata, kolam renang berkenaan berada di tingkat tujuh.


Katanya, ketika itu suasana sangat sunyi memandangkan hanya empat individu berada di lokasi iaitu dia, suami, bayi mereka serta seorang pekerja bahagian pembersihan.


"Tak boleh lupa betapa cemasnya kami ketika itu apabila nampak seorang kanak-kanak perempuan jatuh selepas dengar bunyi yang kuat.


"Selepas itu, ramai jiran yang ke lokasi. Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian. Ketika itu suami menyerahkan bayi kepada saya dan ke lokasi kanak-kanak itu terjatuh," katanya.


Beliau berkata, ketika itu dia, suami serta beberapa individu lain buntu melihat keadaan mangsa.


Menurutnya, selang beberapa minit mereka sekali lagi mendengar bunyi kuat, sebelum nampak seorang budak lelaki pula yang jatuh.


"Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran lain," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan berkenaan menerusi ruangan komen menyatakan, dia yang tinggal di tingkat 13 di blok berkenaan masih terkejut dengan kejadian.


"Kanak-kanak lelaki itu di kenali sebagai Irfan dan adiknya, Puteri. Selepas beberapa minit kejadian ibunya ke lokasi dan saya sempat memeluk ibu mereka bagi memastikan dia tenang," katanya.


Difahamkan kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala abangnya berusia 10 tahun masih di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan kejadian. Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan selepas siasatan dijalankan.


Gambar tular dan gambar internet. Pangsapuri lokasi kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari bangunan di Tampoi pagi semalam.
3 lelaki Myanmar ditahan di Tanah Merah, 2 daripadanya guna kad UNHCR palsu

3 lelaki Myanmar ditahan di Tanah Merah, 2 daripadanya guna kad UNHCR palsu


Tiga lelaki warga Myanmar ditahan selepas dua daripadanya dipercayai menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, dekat Tanah Merah, semalam.


Mereka berusia 21 hingga 28 tahun ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada jam 9 malam oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA).


Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas di SJR Lalang Pepuyu menahan sebuah kereta jenis Chevrolet Optra kelabu yang mencurigakan.


Katanya, pasukan bertugas mengarahkan kereta itu berhenti dan pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 28 tahun mempunyai kad UNHCR masih sah, namun dua penumpang memiliki kad UNHCR meragukan dan disyaki palsu.


"Pemandu ditahan kerana disyaki menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang asing tanpa izin mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.


"Dua penumpang pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana disyaki memalsukan dokumen perjalanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kereta Chevrolet Optra bernilai RM40,000, empat telefon bimbit bernilai RM4,000 dan tiga kad UNHCR dirampas.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu masuk ke Malaysia pada 2019 dengan menaiki kapal dari Sittwe Myanmar melalui Pulau Langkawi dan bekerja sebagai buruh binaan di Johor Bahru selama lima tahun sebelum berpindah ke Kajang Utama, Selangor bersama isteri dan anak yang juga warga Myanmar.


"Mereka yang bekerja sebagai buruh binaan di Kajang Utama mula kenal ketika membina rumah pemilik kereta di Johor pada 2019 dan hampir dua minggu pemandu menggunakan kenderaan dengan kebenaran.


"Ketiga-tiga suspek mendakwa dalam perjalanan dari Kajang Utama ke Batu Karang, Pasir Mas untuk melawat ibu saudara yang sakit. Namun pemeriksaan di lokasi mendapati rumah yang dimaksudkan tidak wujud.


"Barang kes dan tiga lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

Ahad, 7 Jun 2026

Suami dipenjara, isteri dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda pada malam Jumaat

Suami dipenjara, isteri dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda pada malam Jumaat

(Foto dijana AI)

Seorang wanita yang suaminya sedang menjalani hukuman penjara dicekup berkhalwat dengan seorang pemuda oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah rumah di Batu Berendam, Melaka pada malam Jumaat lalu.


Dalam operasi kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, penguat kuasa memeriksa sebuah rumah selepas menerima aduan awam mengenai kes berkenaan.


Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, pemeriksaan anggota penguat kuasa JAIM kemudian menemukan wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani di dalam rumah.


"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja di sebuah kafe sedang bersembunyi di dalam almari di tingkat atas rumah tersebut bagi mengelak dikesan.


"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit masih bujang manakala wanita berkenaan sudah berkahwin, namun suaminya sedang menjalani hukuman penjara," katanya hari ini.


Tambahnya semakan lanjut mendapati, kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen atau hubungan mahram sebelum dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.


Md Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana disyaki berkhalwat apabila berdua-duaan sehingga mendatangkan syak di dalam rumah berkenaan.


"Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan JAIM dari semasa ke semasa sebenarnya bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.


"Ia sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan bertentangan dengan hukum syarak," katanya.

Tiada etnik Rohingya kerja punggah ikan di kompleks LKIM Pulau Kambing

Tiada etnik Rohingya kerja punggah ikan di kompleks LKIM Pulau Kambing


Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan pembabitan warga Rohingya memunggah ikan di dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, Kuala Terengganu.


Pengerusi PNKKTS, Mohd Razif Embong berkata, pihaknya tidak membenarkan warga asing memasuki kawasan kompleks untuk menjalankan aktiviti pemunggahan hasil laut.


Katanya, PNKKTS dengan kerjasama pengurusan LKIM turut melarang kemasukan warga asing membeli belah hasil laut di Pasar Nelayan di dalam kompleks LKIM Pulau Kambing.


"Saya menafikan sekerasnya pembabitan warga asing terutama etnik Rohingya di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing seperti diviralkan melalui laman sosial.


"Kita sudah melakukan siasatan dan mendapati gambar sekumpulan etnik Rohingya yang didakwa siap menangkap ikan untuk disimpan stok untuk mereka bukan berlaku di dalam dan di luar kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing," katanya.


Beliau mengulas isu tular sekumpulan warga asing didakwa sedang menangkap ikan untuk simpanan stok bagi kegunaan mereka berhampiran tiga lori di kompleks LKIM Pulau Kambing.


Mengulas lanjut, Mohd Razif menegaskan gambar yang dimuatnaik itu bukan di kawasan kompleks LKIM Pulau Kambing, sebaliknya di lokasi lain.


"Kita menegaskan semua warga asing termasuk etnik Rohingya tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks LKIM.


"Kita akan memberi kerjasama termasuk melaporkan kepada agensi penguat kuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri jika terdapat warga asing memasuki kawasan kompleks," katanya.

BERSAMA kekal pendirian tanding solo PRN Johor, tidak bimbang hilang deposit - Rafizi

BERSAMA kekal pendirian tanding solo PRN Johor, tidak bimbang hilang deposit - Rafizi


Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) kekal pendirian untuk bertanding solo meskipun berdepan risiko kehilangan deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.


Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata meskipun BERSAMA baru berusia tiga minggu, namun parti itu menetapkan pendirian bagi menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi.


Justeru, beliau menegaskan BERSAMA tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan parti politik lain dan kekal dengan keputusan untuk bertanding secara solo.


"Parti yang dah lama pun ada bertanding dan hilang deposit, apatah lagi parti BERSAMA yang baharu ini.


"Jika tidak hilang deposit, maknanya benih yang kita tanam sudah mula tumbuh. Kalau hilang deposit pula, kita perlu bekerja lebih keras dan menilai semula kelemahan yang ada," katanya pada sidang media siri pertama Jelajah Kancil di Johor bertempat di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru malam tadi.


Rafizi berkata, sasaran jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu lagi selepas parti itu meneliti sambutan akar umbi serta tahap kesiapsiagaan jentera di setiap kawasan.


"Kami sudah ada angka awal dan sudah mengenal pasti kerusi yang berpotensi ditandingi, tetapi perlu semak semula berdasarkan sambutan di bawah dan kesediaan jentera. Sama ada 10, 12 atau 20 kerusi, tunggu pengumuman rasmi nanti," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, pihaknya akan membuka sistem permohonan bagi mereka yang ingin menjadi calon parti itu bagi PRN Johor pada Isnin ini.


Katanya, parti itu tidak akan mengambil calon 'tangkap muat' sebaliknya setiap permohonan akan ditapis satu jawatankuasa khas.


"Calon kami akan terdiri daripada golongan tua dan muda bagi memenuhi aspirasi setiap golongan pengundi.


"Kita juga akan memberi tumpuan bagi calon daripada golongan muda seperti ahli-ahli ekonomi dan profesional kerana mereka inilah yang akan menerajui negara pada masa hadapan," katanya.


Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu turut memaklumkan parti itu sudah menerima hampir 24,000 ahli baharu setakat ini.


Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar PKR.


Rafizi dan Nik Nazmi kemudian mengumumkan mengambil alih BERSAMA, iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.


DUN Johor ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan PRN.

Lelaki bersanding dua isteri sekaligus, keluarga jelaskan cerita sebenar

Lelaki bersanding dua isteri sekaligus, keluarga jelaskan cerita sebenar


Seorang pengantin lelaki di Bali dilihat bersanding bersama dua pengantin wanita secara serentak di pelamin dalam sebuah majlis perkahwinan. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Banjar Dinas Baledana, Desa Titab, Daerah Busungbiu, Buleleng itu, kemudian menjadi tular di media sosial.


Dalam video berdurasi kira-kira 48 saat itu, lelaki berkenaan dilihat duduk di tengah dua wanita yang adalah isterinya.


Ketiga-tiga mereka kelihatan mesra dan harmoni serta saling menyuap minuman sambil tersenyum.


Perkara itu turut disambut gelak tawa dan sorakan daripada keluarga serta tetamu yang hadir.


Ketua Kampung Desa Titab, I Wayan Suastika mengesahkan, lelaki dalam video berkenaan adalah penduduk desa terbabit yang dikenali sebagai, Komang NP.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan lelaki berkenaan tidak berkahwin dengan dua wanita pada masa yang sama seperti yang tular di media sosial.


"Komang terlebih dahulu berkahwin dengan isteri pertamanya yang berasal dari Desa Lokapaksa.


"Selepas kira-kira empat bulan, dia kemudian berkahwin dengan wanita dari Desa Titab yang menjadi isteri keduanya. Bukan berkahwin serentak," katanya.


Beliau berkata, upacara adat untuk isteri pertama tertangguh kerana ketika itu di kawasan asal pengantin perempuan sedang berlangsung upacara ngaben (upacara pengebumian tradisional Bali).


Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan proses adat atau nunas (permohonan rasmi dalam upacara) bagi isteri pertama tidak dapat dilaksanakan pada waktu berkenaan.


Susulan itu, pada 31 Mei lalu, keluarga melaksanakan beberapa upacara serentak bersempena upacara adat tiga bulan bagi anak kepada isteri kedua.

Anggota Polis Bantuan KTMB tahan seorang lelaki curi kabel landasan di Klang

Anggota Polis Bantuan KTMB tahan seorang lelaki curi kabel landasan di Klang


Tindakan seorang lelaki mencuri kabel di kawasan landasan kilometer (km) 36.215 - Downline Klang mengundang padah apabila ditahan semalam.


Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekitar jam 1.15 tengah hari, anggota Polis Bantuan KTMB yang menjalankan rondaan bersama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat berhubung gangguan litar landasan (track occupied) di KM36.215 - Downline Klang.


Menurutnya, pasukan bertindak segera ke lokasi dan berjaya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap serta mencuri kabel di kawasan landasan.


"Suspek kemudiannya berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB dengan bantuan Pasukan Taskforce D4 JSJ IPD Klang Selatan.


"Hasil pemeriksaan menemui beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu.


"Pemeriksaan lanjut oleh pihak teknikal mengesahkan gangguan litar landasan berpunca daripada perbuatan mencuri kabel," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.


Katanya, suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.


"KTMB merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan KTMB dan IPD Klang Selatan atas tindakan pantas dalam memastikan keselamatan operasi kereta api serta melindungi aset dan infrastruktur perkhidmatan rel negara.


"KTMB melalui Pasukan Polis Bantuan akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan keselamatan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin," katanya.


Menurut KTMB, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta untuk segera menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya.

Sabtu, 6 Jun 2026

"Saya jatuh berkali-kali, bergelut pada waktu malam," Kongsi Jaslinda dalam video tular

"Saya jatuh berkali-kali, bergelut pada waktu malam," Kongsi Jaslinda dalam video tular


Pendaki Jaslinda Saludin berkata dia jatuh berkali-kali dan bergelut pada waktu malam sepanjang 14 hari hilang ketika pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah.


Wanita berusia 49 tahun itu berkata demikian dalam klip video pendek yang tular di media sosial.


Klip itu yang disiarkan dalam Facebook Rasmi Tapah Media menunjukkan Jaslinda di sebuah rumah kampung dipercayai Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dan sedang makan sambil berbual dengan beberapa orang.


"Akak jatuh berkali-kali, bergelut pada waktu malam," katanya dalam video itu.


Jaslinda juga berkata dia meneruskan pendakian seorang diri selepas mendakwa rakannya meminta bergerak terlebih dahulu bagi mendapatkan bantuan.


"Bila sampai di atas, akak tunggu kejap. Tapi nak tunggu lama pun takut yang tu (dipercayai merujuk kepada pendaki sakit) sampai malam sebab dia tak larat," katanya.


Difahamkan bahawa Kampung Lubuk Gaharu terletak sepanjang Jalan Tapah-Cameron Highlands.


Keterangan yang disertakan dalam video itu antaranya, "Alhamdulillah, pencarian Jaslinda Saludin akhirnya berakhir. Terima kasih atas semua doa anda."


Terdahulu, dilaporkan bahawa Jaslinda ditemui oleh penduduk kampung di penempatan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu kira-kira 3 petang hari ini.


Jaslinda adalah antara 14 pendaki dan dua malim gunung yang memulakan ekspedisi Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedong–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.


Dia dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.


Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi pada 24 Mei.

 Menangis, merayu ala sinetron, panjat tembok lebuh raya antara taktik PATI elak dicekup

Menangis, merayu ala sinetron, panjat tembok lebuh raya antara taktik PATI elak dicekup


Taktik menangis dan merayu ala drama sinetron digunakan sesetengah pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di kawasan setinggan sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur awal pagi tadi, gagal mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa dalam Op Sapu.


Ada juga yang bersembunyi di bawah kereta, selain sesetengahnya nekad memanjat tembok lebuh raya berhampiran bagi melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen.


Seorang wanita Indonesia berusia 20-an pula cuba membuat drama air mata sambil memberi alasan pasportnya hilang, namun selepas pemeriksaan lanjut, pegawai operasi menemukan dokumen perjalanan miliknya dan ternyata dia menetap di Malaysia secara haram.


Dalam pada itu, tukang cuci berusia 40-an hanya mampu termenung selepas beberapa saudara termasuk suaminya yang baru tiba dari Indonesia sebulan lalu menggunakan visa pelancong ditahan kerana tinggal lebih masa.


Wanita itu yang mempunyai dokumen lengkap cuba membela ahli keluarganya dan memberi alasan visa mereka baru tamat beberapa hari, namun pegawai bertugas tidak memberi muka kepada pihak yang melanggar undang-undang.


"Macam mana encik? Suami saya visa tamat beberapa hari sahaja takkan tak boleh beri muka. Macam mana saya mahu uruskan ini? Berapa lama dia kena tahan?" soalnya dalam keadaan resah kepada pegawai bertugas.


Dalam operasi sama, pihak Jabatan Imigresen Kuala Lumpur turut menemui dan menahan seorang remaja warga Myanmar berusia 19 tahun bersama kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) disyaki palsu.


Ketika disoal, remaja itu mengaku membayar RM200 kepada seorang rakan untuk mendapatkan kad pelarian itu kira-kira setahun lalu dan mendakwa baru berpindah ke kawasan setinggan itu untuk mencari pekerjaan di Lembah Klang.


"Saya masuk Malaysia dua tahun, naik kereta dari Thailand. Ketika itu naik kereta ramai-ramai. Tak ingat bayar berapa. Ibu bapa ada di kampung Myanmar," kata remaja itu yang kelihatan kurang fasih berbahasa Malaysia.