Isnin, 8 Jun 2026

Elak emosi selesaikan isu pelarian Rohingya, keselamatan tidak dikompromi


Kerajaan perlu menyeimbangkan aspek keselamatan dan kemanusiaan dalam pengurusan pelarian di negara ini, namun sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sedar mengenai sentimen yang semakin kuat berhubung pengurusan pelarian, termasuk dari Rohingya, namun kerajaan tidak boleh mengendalikan isu itu secara emosi.


"Kita ada konteks kita, perlu seimbangkan antara keselamatan dan kemanusiaan. Jika mereka ada pilihan, apakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita mereka dirogol, identiti diri tidak diberikan dan masjid dimusnahkan.


"Dalam keadaan itu, apa pilihan mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas. Dalam banyak-banyak negara, Malaysia turut menjadi destinasi mereka dan ini bukan berlaku dua tiga tahun lalu. Ini isu legasi.


"Ia perlu diuruskan dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa serta mengharap keadaan berubah, itu tidak akan berlaku.


"Dalam menguruskan permasalahan ini, ia harus ada pertimbangan yang jelas, namun kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan sama sekali," kata ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan, petisyen penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga meraih lebih 319,500 tandatangan, setakat Jumaat lalu.


Petisyen yang dilancarkan akaun 'Aku Anak Malaysia' pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik berkenaan.


Penganjur mendakwa, peningkatan jumlah etnik itu memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara.


Sementara itu, ketika sidang medianya, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen akan mempergiat penguatkuasaan terhadap warga asing yang didapati menyalahguna pas lawatan sosial.


Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.


"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen tapi jika membabitkan lesen perniagaan dan premis perniagaan, itu agensi kawal selia yang berkenaan.


"Sebab itu, Perdana Menteri arahkan supaya satu tindakan bersepadu dapat dibuat dan ia mahu tindakan itu sekarang, tanpa tangguh. Itu keputusan Kabinet," katanya.


EmoticonEmoticon