Seorang pekerja kilang didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majestrit Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyebarkan video lucah membabitkan bekas suaminya dengan seorang wanita lain.
Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memiliki video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max. Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.
Video berkenaan memaparkan pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan dan persetujuan pengadu.
Siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai telah disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh yang didakwa menyebarkan rakaman berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri ketika memohon hukuman setimpal berkata, kesalahan itu melibatkan penyebaran bahan lucah individu yang dikenal pasti sehingga mencabuli maruah serta privasi mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tindakannya dilakukan ketika berada dalam keadaan emosi selepas mengalami keguguran selain perlu menanggung ibu bapanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.










