Dua lori mencurigakan yang berhenti di Taman Perindustrian Shah Alam rupa-rupanya terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel sebelum ditahan pada Isnin.
Kegiatan itu ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama strategik Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi itu mendapati dua lori terbabit membawa tangki IBC berkapasiti 1,000 liter.
Menurutnya, terdapat lapan tangki IBC yang ditemui berisi disyaki bahan api jenis diesel dengan anggaran jumlah keseluruhan 2,300 liter..
"Dua lelaki tempatan dipercayai pemandu lori ditahan untuk diambil rakaman percakapan di bawah bidang kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Hasil pemeriksaan, dua lelaki tersebut didapati tidak mempunyai dokumen sah memiliki dan membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan mencecah RM60,000.
Tambahnya, maklumat awal mendapati aktiviti ini dipercayai melibatkan transaksi diesel mencurigakan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jelas beliau lagi, KPDN Selangor konsisten mempergiat pemantauan serta penguatkuasaan dengan kerjasama merentasi badan penguat kuasa dan agensi kerajaan berkaitan dalam memastikan pelaksanaan Op Tiris 4.0 dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
"Keperluan kerjasama strategik dan bersepadu ini adalah untuk memastikan aktiviti melibatkan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus dan teratur serta sampai kepada golongan sasar, sekali gus menggagalkan cubaan penyelewengan atau manipulasi subsidi negara," ujarnya.









