Selasa, 9 Disember 2025

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi


Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kejadian rasuah projek penternakan lembu milik kerajaan negeri yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.


Kata Muhammad Sanusi, ia kerana semasa kejadian tersebut berlaku, beliau belum lagi dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.


"Saya tak tahu kerana kejadian itu zaman sebelum saya jadi MB, sebelum saya masuk sini iaitu sebelum tahun 2020.


"Saya tak tahu apa, saya baru tengok surat khabar tetapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain yang kena orang lain. Itu pelik juga no..," katanya selepas Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 di Alor Setar hari ini.


Menurutnya, Azman turut mengadakan sidang akhbar semalam selepas dituduh di mahkamah dengan mendakwa pendakwaan tersebut bermotifkan politik.


"Semua orang tahu, siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelas. Kita pun tak mahu cakap apalah pasal (sudah jadi) kes mahkamah dah kan," ujarnya.


Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan terhadap Azman, beliau menjawab tiada kerana Ahli Parlimen tersebut belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.


Berhubung status projek penternakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa Kedah Agro telah ditutup.


"Saya tiada maklumat, Kedah Agro pun tutup dah dan bila tutup, maknanya dah tiada aktivitilah. Ini kes lama sebelum 2020, masa itu MB orang lain, Exco-exco pun orang lain dan beliau (Azman) pun salah seorang Exco waktu itu," ujarnya.


Media semalam melaporkan Azman, 53, dan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan bersubahat dan rasuah projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.


Amar Assuat didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan tunai RM400,000 daripada seorang lelaki bagi membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu.


Ia sebagai dorongan bagi membantu individu tersebut mendapatkan projek itu daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).


Azman pula didakwa bersubahat dengan Amar Assuat bagi menerima suapan tunai RM400,000 bagi dirinya daripada lelaki sama sebagai upah membantu individu berkenaan mendapatkan projek tersebut.


Untuk rekod, Azman ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani Kedah sebelum keluar parti pada Mei 2020 dan meneruskan portfolio itu selepas Muhammad Sanusi dilantik sebagai MB Kedah.

Datuk ditahan, cek mas kahwin RM740,000 rupanya palsu

Datuk ditahan, cek mas kahwin RM740,000 rupanya palsu


Seorang datuk berusia 73 tahun diberkas selepas dua bulan berkahwin setelah cek mas kahwin yang diserahkan bernilai 3 bilion rupiah (RM740,000) didapati palsu, lapor laman berita iNews kelmarin.


Lelaki dikenali sebagai Tarman dari Pacitan, wilayah Jawa Timur itu mengahwini gadis berusia 24 tahun, Sheila Arika pada 8 Oktober lalu.


Perkahwinan mereka tular di media sosial bukan sekadar disebabkan jarak usia yang jauh, malah kerana mas kahwin yang diserahkan berjumlah 3 bilion rupiah.


Bagaimanapun, keluarga isterinya kemudian mendedahkan bahawa cek itu adalah palsu dan tidak mempunyai wang yang dinyatakan.


Setelah dua bulan berkahwin, Tarman akhirnya ditangkap dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.


"Dengan bahan bukti yang mencukupi daripada pihak polis, anak guam kami kini ditahan dan dinamakan sebagai suspek. Kami menghormati proses undang-undang yang dikuatkuasakan Polis Pacitan," kata peguam Tarman, Imam Bajuri.


Perkahwinan Tarman dan isterinya sebelum ini tular di media sosial. - Foto TikTok.

Isnin, 8 Disember 2025

Hampir 1,000 orang maut, sejuta hilang tempat tinggal akibat banjir di Indonesia

Hampir 1,000 orang maut, sejuta hilang tempat tinggal akibat banjir di Indonesia


Hampir 1,000 orang terkorban dan hampir satu juta lagi terpaksa meninggalkan rumah selepas beberapa minggu banjir dan tanah runtuh melanda Sumatera Utara, menurut angka yang dikeluarkan pada Isnin oleh agensi bencana Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) melaporkan 961 kematian, 234 orang hilang dan kira-kira 5,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat setakat Khamis.


Agensi itu turut merekodkan kerosakan ke atas lebih 156,000 rumah. Sebanyak 52 daerah dan bandar masih terjejas teruk.


Ketua BNPB, Suharyanto memaklumkan kepada Presiden Prabowo Subianto pada malam Ahad bahawa 975,075 orang telah berlindung di pusat pemindahan sementara di tiga wilayah berkenaan.



Aceh merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 900,000 penduduk dipindahkan, menurut BNPB.


Paras banjir mula surut di beberapa daerah pesisir pantai, walaupun kawasan luas di banjaran tengah masih terputus hubungan, kata BNPB.


Presiden Prabowo melawat kawasan terjejas banjir di Aceh pada Ahad. Beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat kecemasan yang dihadiri menteri Kabinet, panglima tentera dan pegawai wilayah.


Musim hujan Indonesia, yang biasanya memuncak antara November dan April, sering membawa banjir besar.


Kumpulan alam sekitar dan pakar bencana telah lama memberi amaran bahawa pembalakan berlebihan, pembangunan tidak terkawal dan lembangan sungai yang semakin terjejas telah meningkatkan risiko terhadap komuniti di Sumatera.


Hujan lebat tambahan diramal di beberapa bahagian pulau itu dalam beberapa hari akan datang, menimbulkan kebimbangan terhadap keluarga yang terpaksa berpindah.

'Ada pihak mengagung-agungkan pemberi rasuah, ia menggusarkan kita' - PM

'Ada pihak mengagung-agungkan pemberi rasuah, ia menggusarkan kita' - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud trend masa kini yang mengagung-agungkan pemberi rasuah dan keadaan itu sangat menggusarkan dalam usaha kerajaan mahu membanteras rasuah.


"Ada pihak yang terlalu mendewa-dewakan dan mengagung-agungkan sesetengah susuk hingga menghakis nilai kemanusiaan.


"Mereka mengagung-agungkan pemberi suapan dan keadaan itu menggusarkan. Kita kata benci rasuah, tetapi apabila tindakan diambil dan kalau kena pada kawan, kita akan marah.


"Disebabkan (trend) ini kita tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita," katanya berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.


Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata, nilai kemanusiaan, ihsan dan saling menghormati sesama makhluk sangat penting untuk ditekankan semua pihak demi kelangsungan negara.


"Kasih pertamanya kepada manusia, seterusnya haiwan, pohon, bukit-bukau dan bumi yang kita pijak. Jika ini dimaknai dan diamalkan, nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat serta kasih sayang-Nya kepada kita.


"Bayangkan, setiap hari kita kerja, setiap design (rekaan) dilakar dan kaedah baharu diperkenalkan, setiap usaha ini mempercepat untuk menyiapkan (projek). Yang di langit akan curahkan rahmat kepada kita.


"Bayangkan, kita buat jambatan dengan niat ikhlas dan bersih tanpa mengira komisen, rasuah serta penyelewengan. Ia dilaksanakan secara terbaik dengan kos yang ada, untuk faedah manusia, dengan harapan dan niat kasih sayang pada manusia.


"Ini bukan saya kata, ini hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.


Anwar bersama Nanta Linggi (kiri) dan Ahmad (kanan) hadir majlis perjumpaan bersama warga KKR sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. - Foto Bernama.
Pelajar Tingkatan Dua maut ditembak rakan dengan bakakuk

Pelajar Tingkatan Dua maut ditembak rakan dengan bakakuk


Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau semalam.


Dalam kejadian 8 pagi, mangsa berusia 14 tahun dikatakan bermain bersama seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan.


Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Keningau.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.


"Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.


"Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital," katanya.


Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.


Menurutnya, siasatan mendapati senjata tersebut disorokkan seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, yang juga adik kepada suspek, sementara pemilik bakakuk berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.


"Ketiga-tiga beranak ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Suspek menunjukkan lokasi kejadian di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau. - Foto PDRM.
Derita penyelam, sudah sedekad badan jadi kembung

Derita penyelam, sudah sedekad badan jadi kembung


Selama lebih sedekad, seorang penyelam makanan laut dari Peru berusaha untuk menghilangkan poket nitrogen yang terbentuk di bawah kulitnya akibat tindakannya naik ke permukaan terlalu cepat.


Memetik laporan Oddity Central, Alejandro 'Willy' Ramos Martínez menghidap keadaan dikenali sebagai penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan persekitaran.


Penyakit itu lazimnya berlaku dalam kalangan penyelam yang melakukan selaman dalam dan tidak mengikut prosedur penyahmampatan dengan betul.


Pada 2013, Willy sedang menyelam pada kedalaman lebih 30 meter (m) di pesisir pantai Pisco, Peru untuk mencari hasil laut sebelum sebuah bot yang lalu memutuskan hos oksigennya sekali gus memaksanya naik ke permukaan dengan cepat.


Kenaikan mendadak itu menyebabkan gelembung nitrogen terbentuk di dada dan lengannya mengakibatkan masalah perubatan yang mendorong bahagian toraks dan lengannya berubah bentuk.


Kes kali pertama Willy ini dilaporkan pada 2017 dan kisahnya menjadi tular. Ketika itu, doktor hanya mampu membantunya dengan memberikan oksigen tekanan tinggi untuk menghapuskan gelembung nitrogen itu.


Pada masa itu, mereka berjaya menghapuskan kira-kira 30 peratus daripada gelembung nitrogen besar dalam tubuhnya dan optimis dia akan pulih, namun lapan tahun kemudian, Willy masih mencari penawar.


Kes Willy dianggap unik di dunia kerana penyakit penyahmampatan biasanya mempunyai simptom berbeza iaitu boleh menyebabkan sakit, kerosakan tulang dan sendi selain menjejaskan sistem saraf.


Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menyebabkan lumpuh atau kematian tetapi tiada siapa pernah mengalami kecacatan fizikal seperti dialami Willy dengan otot bisepnya kini masing-masing mempunyai lilitan sekitar 62 sentimeter (cm) dan 72cm.


Disebabkan gelembung nitrogen itu melekat pada otot dan organ dalamannya, pembedahan bukan pilihan yang selamat sekali gus menyebabkan dia terpaksa menjalani kehidupan seperti belon.


Dalam satu temu bual kepada BBC, Willy berkata, dia mengalami kemurungan apabila orang memandangnya dengan rasa simpati, namun akhirnya dia berjaya melalui fasa itu.


"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diselamatkan dalam satu keajaiban. Walaupun cacat, saya masih hidup. Saya mahu kembali menyelam jika boleh. Saya rindukan aktiviti menyelam kerana ia adalah hobi saya," katanya.


'Willy' Ramos Martínez menghidap keadaan dikenali sebagai penyakit penyahmampatan (decompression sickness) yang berlaku apabila seseorang mengalami penurunan mendadak dalam tekanan persekitaran.
SPRM sangkal Rafizi, nafi diperguna 'tekan' pemimpin lawan kem Nurul Izzah

SPRM sangkal Rafizi, nafi diperguna 'tekan' pemimpin lawan kem Nurul Izzah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei 2025.


SPRM menyifatkan tuduhan yang dibuat bekas timbalan presiden PKR itu sebagai "tidak berasas dan tidak benar".


"SPRM menegaskan bahawa siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.


"Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan," kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan pada Ahad.


Dalam audio siar terbarunya, Rafizi mendakwa beberapa anggota PKR telah menjadi sasaran siasatan SPRM selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.


Kata Rafizi lagi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut.


Rafizi yang kalah kepada Nurul Izzah dalam pemilihan tersebut merujuk kepada insiden seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM kerana membeli sebuah rumah lelong secara tunai.


Bagaimanapun, Rafizi tidak menamakan calon tersebut dan hanya menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak pernah tewas dalam pemilihan parti di Selangor.


Sementara itu, SPRM turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya "mengepung" rumah individu tertentu ketika siasatan dijalankan.


Jelasnya, semua tindakan agensi antirasuah itu selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.


"Ia merupakan satu kaedah siasatan yang biasa termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko pelupusan bukti. Selepas pengesahan bahawa individu tersebut tiada di rumah ketika itu, pegawai telah beredar seperti biasa.


"Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan.


SPRM juga menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan melalui saluran sah seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.


Langkah itu, menurutnya, penting bagi menilai dakwaan salah laku secara telus dan mengelakkan penyebaran tohmahan tanpa bukti di media sosial.

Ahad, 7 Disember 2025

MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan - Wee Ka Siong

MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan - Wee Ka Siong


MCA memberi bayangan bahawa parti itu tidak akan bersama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan ideologi parti komponennya iaitu Pas yang masih sukar diterima oleh majoriti masyarakat Cina.


Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kenyataan berbaur kontroversi yang dibuat oleh sebahagian pemimpin Pas merupakan antara faktor utama parti bukan Islam menjauhkan diri daripada PN.


Ujar Ka Siong, kenyataan tersebut mencerminkan pendekatan konservatif dan menyinggung perasaan penganut agama lain.


"Ada (pihak) mencadangkan supaya menyertai PN tetapi kami amat jelas bahawa masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.


"Melainkan, jika Pas membuat pembaharuan dalam parti, menjadi lebih moderat dan diterima oleh masyarakat majmuk.


"Jika tidak, faktor tersebut tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA, Wisma MCA, di Kuala Lumpur hari ini.


Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap hubungan akrab UMNO-DAP yang dilihat bercanggah dengan pendirian politik lama parti itu.


Kemudian, perwakilan MIC pada 16 November lalu pula memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.


Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima, diluluskan dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).


Menurut Ka Siong, sentimen penolakan masyarakat bukan Islam terhadap Pas semakin meningkat sejak parti itu memutuskan hubungan dengan DAP hampir satu dekad lalu.


Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan UMNO menjalinkan kerjasama politik di luar Barisan Nasional (BN), khususnya dengan DAP dan memberi amaran bahawa MCA tidak akan berdiam diri jika asas perjuangan gabungan tersebut terus terhakis.


"Pendirian MCA jelas iaitu tiada kerjasama dengan DAP. Jika UMNO terus meneroka kerjasama luar BN sehingga menjejaskan identiti gabungan ini, MCA akan menilai semula kedudukan kami.


"Kita akan membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan parti. Setiap isu yang berkaitan dasar dan hala tuju MCA akan dibincang dan diputuskan sewajarnya oleh Jawatankuasa Pusat pada masa yang tepat," ujarnya.

Pelajar kolej ditahan khalwat, kesan tompokan darah ditemui pada selimut di bilik mereka

Pelajar kolej ditahan khalwat, kesan tompokan darah ditemui pada selimut di bilik mereka


Pasangan muda yang baru saling mengenali melalui media sosial ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Segamat malam Sabtu, dengan penguat kuasa turut menemukan kesan tompokan darah pada selimut di bilik penginapan mereka.


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam selepas pasangan terbabit gagal membuka pintu dengan segera ketika diketuk.


"Pintu bilik hanya dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berpakaian t-shirt dan seluar panjang sambil memegang vape.


"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, wanita tersebut cuba menutup pintu namun tidak berjaya.


"Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk dan meminta wanita itu menyimpan vape berkenaan," katanya.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki duduk di atas karpet dalam keadaan gelisah. Kedua-duanya berusia lingkungan 20-an, tidak mempunyai hubungan mahram dan bukan berasal dari daerah ini.


Menurut JAINJ, wanita tersebut merupakan pelajar sebuah kolej di negeri lain dan datang ke Segamat untuk bertemu lelaki berkenaan yang bekerja di daerah ini.


"Dalam pemeriksaan, penguat kuasa menjumpai seluar dalam dan baju dalam wanita di atas kerusi. Keadaan katil dan selimut juga berkedut dan berkecah dipercayai digunakan sebelum ketibaan anggota.


"Turut ditemui satu tompokan darah yang telah kering pada selimut, kira-kira sebesar syiling 50 sen lama. Punca darah tersebut tidak dapat dipastikan," jelas kenyataan itu.


Selain itu, dua tuala basah serta beberapa barangan peribadi wanita ditemukan di dalam almari, namun tiada pakaian milik lelaki. Rekod hotel menunjukkan bilik berkenaan disewa atas nama wanita tersebut selama dua hari.


"Ini merupakan hari kedua. Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu berada bersama sejak semalam atau hanya hadir pada hari kejadian," menurut JAINJ.


Kedua-duanya akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.


Penguat kuasa JAINJ melakukan tangkapan ke atas pasangan yang disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Segamat. - Foto JAINJ.
Anwar kecewa usaha kerajaan tenggelam, 'sampah dan maki hamun' lebih menonjol

Anwar kecewa usaha kerajaan tenggelam, 'sampah dan maki hamun' lebih menonjol


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila sebahagian maklumat sebenar mengenai dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat seperti diharapkan.


Menurut beliau, usaha kerajaan sering kali tenggelam kerana kandungan bersifat negatif lebih mudah mendapat perhatian di media sosial.


"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kata ada 140 ikhtiar atau inisiatif baharu. Sebenarnya kalau kita kira 167 kesemuanya, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak.


"Apa yang sampai itu hanya 'sampah', sumpah dan maki hamun kerana ini negara demokrasi dan bebas... media sosial itu digunakan tidak untuk membina, tetapi untuk menghina," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di Putrajaya hari ini.


Perdana Menteri berkata, keadaan itu menyebabkan gambaran tidak tepat timbul seolah-olah kerajaan tidak melakukan sebarang pembaharuan.


Beliau menjelaskan, penyebaran maklumat yang tidak seimbang hanya memburukkan persepsi masyarakat terhadap usaha kerajaan.


Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam untuk memainkan peranan aktif dalam memberi penerangan dan memastikan maklumat tepat dapat disalurkan kepada orang ramai.


"Tugas kita menyampaikan apa yang dilakukan dan menegur atau mencadang apa yang perlu ditambah, yang perlu diperbaiki," ujarnya.


Beliau berkata, Kerajaan Madani tidak menolak kritikan, sebaliknya memerlukan teguran yang berasaskan fakta untuk memperkukuh pelaksanaan dasar.


Anwar turut mengakui terdapat rakyat yang tidak sabar menunggu hasil pelaksanaan projek tertentu dan memerlukan penjelasan yang konsisten daripada pihak kerajaan.


"Saya tak salahkan rakyat… kadang-kadang dia tak sabar menunggu, jadi kena jelaskan," katanya. - Sumber Awani.