Sabtu, 6 Disember 2025

Pelaku rasuah perlu dibankrapkan - Azam Baki

Pelaku rasuah perlu dibankrapkan - Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki memberi amaran tegas perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka menikmati harta curi.


Beliau menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat.


Katanya, pendekatan pemulihan aset akan terus diperhebatkan sepanjang tahun depan, selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan pada tahap maksimum dan memastikan perasuah tidak dapat menikmati hasil rompakan mereka.


Menurutnya, SPRM akan memfokuskan siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar pada tahun depan bagi memastikan individu mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.


"Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat.


"Pendekatan lama yang lapuk perlu ditransformasikan, walaupun ada pendekatan baharu berusia setahun atau dua, ia mungkin tidak lagi relevan pada tahun mendatang," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Azam berkata, keupayaan dan kemahiran pegawai SPRM akan terus dipertingkatkan melalui penggunaan teknik siasatan moden, selain kerjasama strategik dengan agensi di dalam dan luar negara bagi mengesan aset hilang atau dicuri.


Di bawah strategi antirasuah nasional, katanya, pelbagai pembaharuan undang-undang sedang digerakkan termasuk undang-undang perolehan, Rang Undang-undang Freedom of Information serta pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


Beliau turut menyentuh pelaksanaan Default Protection Agreement serta pemberian insentif potongan cukai kepada syarikat melaksanakan program pencegahan rasuah sebagai antara pembaharuan penting yang akan diteruskan tahun depan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan komitmen agensi itu memulangkan semula setiap sen aset negara yang diseleweng kepada rakyat. - Foto Free Malaysia Today.

Jumaat, 5 Disember 2025

Kekalahan DAP di Sabah isyarat penolakan kaum Cina, peniaga - Azmin

Kekalahan DAP di Sabah isyarat penolakan kaum Cina, peniaga - Azmin


Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, menganggap kekalahan besar DAP dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini sebagai satu penolakan daripada golongan peniaga dan masyarakat Cina.


Ia susulan keputusan yang menyaksikan DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi, kebanyakannya di kawasan bandar dengan bilangan pengundi Cina yang besar, manakala PH hanya menang satu kerusi secara keseluruhan.


"Keputusan yang dibuat oleh masyarakat perniagaan, khususnya pengundi Cina yang menolak DAP dan PH, adalah isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan yang signifikan bagi menjamin masa depan Malaysia," kata Azmin dalam satu kenyataan malam tadi.


Bagaimanapun, Azmin tidak menyebut bahawa gabungannya, PN turut mengalami keputusan yang buruk dalam pilihan raya tersebut.


PN hanya memenangi satu daripada 42 kerusi yang ditandingi, dengan kemenangan tunggal datang daripada PAS. Sementara itu, daripada 42 calon PN, 36 calon hilang wang deposit mereka.


Susulan kekalahan tersebut, sekurang-kurangnya 20 daripada 24 bahagian Bersatu Sabah dilaporkan menuntut peletakan jawatan Presiden parti, Muhyiddin Yassin.


Kenyataan Azmin itu dikeluarkan selepas selesai mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.


Mesyuarat itu membincangkan keputusan pilihan raya negeri Sabah serta kebimbangan mengenai implikasi ekonomi susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat pada 26 Oktober.


Dalam pada itu Azmin berkata IPR akan menganjurkan konvensyen Rakyat 'Selamatkan Malaysia' pada awal tahun depan, yang akan melibatkan semua anggota gabungannya.


Dia berkata konvensyen itu akan membincangkan dasar ekonomi termasuk kos sara hidup, pendidikan, keselamatan negara, dan perpaduan rakyat.


Azmin berkata IPR bersedia menawarkan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. - Sumber Malaysia Kini.

Albert Tei nafi jumpa Tun M untuk kepentingan politik cuma mendapatkan nasihat

Albert Tei nafi jumpa Tun M untuk kepentingan politik cuma mendapatkan nasihat


Ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa atas lima kes memberi rasuah lebih RM180,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan bahawa pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan semata-mata untuk kepentingan politik.


Sebaliknya, Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, berkata, pertemuan mereka di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya lebih seminggu lalu, tidak lebih kepada mahu mendapatkan nasihat berhubung dakwaan rasuah yang dihadapinya.


Menurutnya, tiada hubungan rapat antara tokoh politik tersebut memandangkan mereka hanya bertemu buat kali pertama.


Katanya, ketika perjumpaan selama satu jam itu, Dr Mahathir yang berusia 100 tahun tidak menunjukkan sebarang masalah pendengaran sebaliknya tekun mendengar penjelasan yang diberi.


"Ada pihak mendakwa saya mempunyai kaitan dengan Dr Mahathir malah kata saya telah menjadi anak angkatnya.


"Walaupun itu yang saya impikan tetapi hakikatnya tidak jadi, saya harap nama kami dapat dibersihkan daripada spekulasi sedemikian," katanya.


Usahawan itu berkata, dalam pertemuan tersebut Dr Mahathir memintanya meneruskan pendedahan berkenaan.


Pada Khamis, Albert mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan memberi rasuah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 2023 dan tahun lalu.


Pada Jumaat (hari ini), dia didakwa lagi atas satu kes memberi rasuah sebanyak RM64,924 untuk bayaran penyewaan rumah.


Sebelum ini, timbul dakwaan seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.


Berikutan itu, Shamsul Iskandar dan Albert direman enam hari sehingga 4 Disember, sementara seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong selama empat hari bagi membantu siasatan.

Pemilik sauna songsang hiidup HIV antara tujuh yang didakwa

Pemilik sauna songsang hiidup HIV antara tujuh yang didakwa


Seorang pemilik sauna bersama enam individu lain yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti songsang di sebuah premis di Perai minggu lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kesalahan seksual.


Pemilik sauna tersebut, Khor Yik Keian, 57, yang juga seorang penghidap HIV didenda sebanyak RM8,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu berisiko menularkan jangkitan tersebut kepada orang lain serta memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya.


Tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Roshayati Radellah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa dirinya menghidap penyakit berjangkit iaitu HIV dan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan melalui perbuatannya di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 4, Perai pada pukul 7 malam, 29 November lalu.


Atas kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama.


Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki bahan lucah iaitu gambar dan video dalam telefon bimbit Oppo Reno 11, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah yang sama, tiga lelaki iaitu Syed Al Aisy Syed Alfarley, 19; Teoh Wan Seong, 37; dan Ahmad Safwan Razali, 33, didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap Mohamad Azuddin Sabran, 58, dan Yik Keian di pusat sauna terbabit.


Ketiga-tiga mereka yang didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Pada masa yang sama, ketiga-tiga tertuduh juga didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit masing-masing di lokasi, tarikh dan masa yang sama bersama tiga lagi tertuduh yang lain iaitu seorang warga China, Luo Yun, 41; A. A Mathiyalagan, 31, dan Mohd Redduwan Zairukaperi, 48.


Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan berkenaan, ketiga-tiga tertuduh yang pertama mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang, manakala tiga lagi tertuduh iaitu Yun, Mathiyalagan dan Mohd Redduwan pula didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli.


Untuk rekod, kesemua tujuh individu yang didakwa merupakan sebahagian daripada 13 suspek yang ditahan polis dalam satu operasi di pusat sauna terbabit yang disyaki dijadikan lokasi aktiviti persundalan luar tabii susulan penemuan kondom, minyak pelincir serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral itu.


Tujuh individu termasuk seorang pemilik sauna yang dipercayai menjalankan aktiviti songsang dibawa bersama beberapa tahanan lain ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Foto Utusan Malaysia.
Shamsul Iskandar didakwa lagi, kes rasuah RM64,924 berkaitan kelulusan lesen mineral Sabah

Shamsul Iskandar didakwa lagi, kes rasuah RM64,924 berkaitan kelulusan lesen mineral Sabah


Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas satu pertuduhan rasuah berjumlah RM64,924 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.


Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


"Faham (pertuduhan), tidak (mengaku bersalah dan mohon dibicarakan)," katanya dengan nada tenang.


Shamsul Iskandar, ketika itu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.


Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur, dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat milik Tei yang berkepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.


Seksyen itu menetapkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Hakim Mohd Nasir kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggunakan terma dan syarat jaminan yang sama seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, dan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Joshua Tay.


Terdahulu, Farah Ezlin memohon mahkamah agar terma dan syarat jaminan yang sama digunakan terhadap Shamsul Iskandar berhubung empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


"Semalam, Shamsul Iskandar telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak kami mencadangkan jaminan, yang telah dibenarkan sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia. Syarat tambahan termasuk melaporkan diri sekali sebulan di Pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.


"Kami turut memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 14 Kuala Lumpur dan tarikh sebutan ditetapkan pada 8 Jan 2026," katanya.


Hakim Datuk Mohd Nasir kemudiannya membenarkan penggunaan terma dan syarat jaminan sama seperti di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, serta memerintahkan kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan secara bersekali di mahkamah tersebut.


Semalam, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.


Dia mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Khamis, 4 Disember 2025

Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak

Singapura akan buka konsulat di Sabah, Sarawak


Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyambut baik keputusan Malaysia untuk meluluskan secara rasmi cadangan Singapura membuka konsulat di Sabah dan Sarawak, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.


"Gembira Malaysia telah bersetuju secara rasmi dengan cadangan Singapura untuk membuka konsulat di Sabah dan Sarawak.


"Ini akan membolehkan Singapura menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Singapura di sana, serta memperdalam hubungan erat yang sedia terjalin antara rakyat kita," kata Wong pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 yang diadakan di Singapura hari ini.


Perkara itu pertama kali dibangkitkan pada pemukiman pemimpin di Putrajaya pada Januari lalu.


Pada masa ini, Singapura mempunyai dua misi diplomatik di Malaysia, iaitu Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur dan konsulat di Johor Bahru yang memulakan operasi pada 2009.


Lawrence Wong ketika mengadakan mesyuarat bersama dengan delegasi Malaysia di Singapura hari ini. - Foto Pejabat Perdana Menteri.
'Skodeng' wanita dalam tandas pusat beli-belah, penganggur didenda RM4,000

'Skodeng' wanita dalam tandas pusat beli-belah, penganggur didenda RM4,000


Penganggur dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.


Tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit ketika mangsa berada di dalam tandas di tingkat satu Mayang Mall, 20 November lalu, jam 6.12 petang.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.


Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.


Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli.


Muhammad Syahmi ketika hadir di Mahkamah Majistret atas pertuduhan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat beli-belah. - Foto Harian Metro.
Jangan sambung kontrak Azam Baki - Rafizi

Jangan sambung kontrak Azam Baki - Rafizi


Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat berkaitan isu rasuah susulan kekalahan gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.


Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Salah satu faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi ialah rasa kecewa terhadap prestasi reformasi dan pembaharuan kerajaan, khususnya berkaitan usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah," katanya menerusi media sosial Facebook semalam.


Rafizi berkata, dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, isu berkaitan kontrak Azam turut dibangkitkan, sama ada ia akan disambung buat kali keempat atau sebaliknya.


"Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu adalah kabur," katanya.


Menurut Rafizi, apa jua keputusan Perdana Menteri akan memberi kesan langsung kepada penilaian rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.


"Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali. Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.


"Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau (Azam), sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi," tegasnya.


Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, desakan tersebut tidak akan berkesan sekiranya hanya datang daripadanya seorang diri.


Rafizi mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar serta kepimpinan DAP, termasuk Anthony Loke, turut mendesak secara terbuka bagi menunjukkan kesepaduan dalam usaha memperkukuh komitmen menentang rasuah.


"Lebih baik jika Nurul Izzah juga mendesak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga berbuat demikian," katanya.


Beliau berkata, kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas daripada rasuah.


"Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya daripada golongan kelas menengah," katanya.


Rafizi turut berkata bahawa beliau sering mengingatkan Anwar berkenaan data-data kaji selidik sejak tahun lalu yang menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap prestasi pencegahan rasuah yang kekal menjadi kritikan utama terhadap kerajaan.


"Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman. Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan yang dibuka menurun daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus tahun lalu.


"Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan yang berakhir dengan sabitan pada 2021, kepada hanya 256 sabitan atau 22 peratus pada tahun 2024," katanya.


Beliau berkata, terdapat kes-kes berprofil tinggi yang berakhir dengan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun.

Rabu, 3 Disember 2025

Anwar tolak cadangan Bank Dunia RON95 RM2.65, kekal subsidi menerusi BUDI95 RM1.99

Anwar tolak cadangan Bank Dunia RON95 RM2.65, kekal subsidi menerusi BUDI95 RM1.99


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran.


Beliau berkata penyasaran subsidi RON95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.


"Cadangan (Bank Dunia) adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua (kategori) petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu. Justeru itu, saya dan rakan-rakan jemaah menteri menolak cadangan tersebut, dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.


"Ini menunjukkan, pendekatan (kerajaan) yang lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.


"Ketika kerajaan menghentikan (pemberian) subsidi ayam dan telur, dan mengapungkan harganya, kerajaan memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.


"Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun," kata Anwar.


Dalam pada itu, beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.


"Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi di Malaysia peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu kerana kita (melaksanakan) penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan dan mengelakkan ketirisan.


"Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat," katanya.

Muhyiddin didakwa punca kekalahan teruk Bersatu dalam PRN17, didesak lepas jawatan

Muhyiddin didakwa punca kekalahan teruk Bersatu dalam PRN17, didesak lepas jawatan


Kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi punca utama kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), Sabtu lalu.


Susulan kekalahan tersebut mendesak Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) supaya berundur dan meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden Bersatu.


Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Yunus Nurdin berkata, jentera Bersatu Sabah sebenarnya membuat persiapan rapi menghadapi PRN, namun usaha mereka terganggu oleh pergolakan dalaman yang tercetus sebelum dan semasa kempen berlangsung.


Menurutnya, beberapa pimpinan bahagian dan ahli telah dikenakan tindakan termasuk pemecatan, hanya kerana mengkritik kepimpinan Pengerusi PN itu.


Beliau juga mendakwa bahawa tiada peruntukan kewangan disalurkan oleh kepimpinan Pusat untuk membantu gerak kerja jentera di lapangan, meskipun parti bertanding di 33 kerusi.


"Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami, malah ada calon terpaksa gadaikan kereta, rumah, harta mereka sebagainya untuk kita berjuang pada PRN ini.


"Kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti kami. Bersatu Sabah ini mengalami kegagalan (pada PRN) saya kira memalukan.


"Kami mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan sebagai pemimpin dan mendesak presiden untuk berundur meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah hari ini.


Yunus yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Pusat mendakwa, desakan itu mendapat sokongan daripada 20 daripada 24 bahagian Bersatu di Sabah.


Beliau menegaskan, mereka bersedia meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya dikenakan tindakan tidak adil oleh parti.


"Tidak terfikir keluar (Bersatu) kerana parti ini di Sabah kami semua yang bina kembali dengan usaha serta sumber kewangan kami sendiri.


"Jadi kenapa mesti kami keluar, sepatutnya pemimpin yang lemah itu meletak jawatan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih bagus.


"Kami telah suarakan kepada pimpinan pusat sepatutnya benda ini tidak berlaku kepada kami terutamanya yang sedang berhadapan dengan kempen pilihan raya. Ini memberi kesan yang mendalam terutamanya keyakinan akar umbi ahli parti di peringkat negeri Sabah," katanya.


Yunus turut memaklumkan bahawa mereka masih gagal menghubungi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, untuk mengadakan perbincangan serta menyelesaikan kemelut berkenaan.


Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang disifatkan mengambil berat terhadap Bersatu Sabah dan sanggup mengeluarkan sumber kewangan sendiri untuk membantu jentera parti.