Ahad, 8 September 2024

Anak gadis bekas presiden Afrika Selatan jadi isteri ke-16 Raja Mswati III

Anak gadis bekas presiden Afrika Selatan jadi isteri ke-16 Raja Mswati III


Anak perempuan bekas Presiden Afrika Selatan menjadi isteri ke-16 kepada raja memerintah Eswatini, dahulunya dikenali sebagai Swaziland, lapor portal berita Business Insider Africa pada 4 September 2024.


Nomcebo Zuma, 21, yang merupakan anak kepada Jacob Zuma menjadi isteri Raja Mswati III, 56, dalam satu majlis tradisional, malam Isnin lalu.


Majlis tradisional itu diadakan di kampung diraja Ludzidzini di Lobamba, ketika lebih 5,000 orang berkumpul untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.


Isteri baharu itu dilihat menari tarian buluh, upacara tradisional kewanitaan di mana wanita muda berkumpul untuk menyanyi dan menari untuk raja dengan payu dara yang terdedah.


Dalam satu laporan oleh Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), pada 2005, Mswati III mengambil Phindile Nkambule yang berusia 17 tahun sebagai tunangnya yang ke-13 dalam satu tarian buluh selepas dia dilaporkan menarik perhatiannya pada tarian bulan sebelumnya.


Sesetengah wanita yang menari untuk Raja dikenali sebagai liphovela yang bermaksud tunangan atau gundik diraja. Mereka memakai pakaian tradisional yang termasuk gelang kaki dan jumbai tebal berwarna-warni sambil membawa pedang dan perisai tiruan.


Tarian buluh selama beberapa hari, juga dikenali sebagai Umhlanga, disambut sebagai contoh budaya "anggun" Eswatini.


Negara berpenduduk 1.2 juta itu telah diperintah sejak 1986 oleh Raja Mswati III yang tidak asing lagi memilih wanita-wanita lebih muda untuk menjadi isterinya. - Sumber  Business Insider Africa.


Nomcebo Zuma (Kanan ke-3) dan salah seorang puteri raja, Puteri Sakhizwe (Kanan ke-2), menyanyi dan menari bersama wanita muda lain semasa tarian buluh Umhlanga. - Foto Emmanuel Croset/AFP/Getty Images.

Nomcebo Zuma (kiri) dan Raja Mswati III. - Foto X.
Penumpang diarah bayar lebih RM2 juta kerana buka pintu kecemasan pesawat

Penumpang diarah bayar lebih RM2 juta kerana buka pintu kecemasan pesawat


Seorang lelaki diperintahkan membayar ganti rugi lebih 700 juta won (RM2.26 juta) kepada syarikat penerbangan Asiana Airlines kerana membuka pintu kecemasan pesawat pada pertengahan tahun lalu, lapor portal berita VnExpress pada 5 September 2024.


Mahkamah Daerah Daegu, Korea Selatan memutuskan bahawa penumpang berusia 32 tahun yang hanya dikenali dengan nama keluarga Lee perlu membayar jumlah ganti rugi itu.


Ini adalah kerana dia telah melakukan kemusnahan dan kerosakan harta benda, demikian menurut akhbar Korea, Joongang Daily.


Mahkamah sama turut memutuskan bahawa tindakan Lee menyebabkan para penumpang terpaksa turun daripada pesawat tersebut dengan menggunakan gelongsor kecemasan.


Pada Mei tahun lalu, semasa penerbangan dari Jeju ke Daegu dengan 194 penumpang berada di dalam pesawat tersebut, Lee membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang itu bersiap sedia untuk mendarat pada ketinggian antara 213 hingga 243 meter.


Insiden itu menyebabkan sembilan penumpang dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas.


Lee kemudiannya ditangkap oleh polis kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan dan menyebabkan kerosakan pada pesawat.


Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan menganggarkan kos pembaikan untuk pintu kecemasan yang rosak dan gelongsor adalah sekitar 640 juta won (RM2.07 juta), lapor Korea Bizwire. - Sumber VN Express.


Gambar fail pintu pesawat yang dibuka oleh Lee. - Foto News 1.

Jumaat, 6 September 2024

Warga emas maut selepas cabut 23 gigi, tanam 12 implan serentak

Warga emas maut selepas cabut 23 gigi, tanam 12 implan serentak


Malang bagi seorang warga emas lelaki di China apabila maut selepas menjalani prosedur 12 implan gigi dan cabutan 23 batang gigi serentak pada hari sama.


Shu, yang menetap di Bandar Yongkang, Zhejiang, baru-baru ini memfailkan aduan dengan Biro Kesihatan Perbandaran terhadap sebuah klinik pergigian tempatan selepas kematian bapanya itu.


Shu memberitahu pihak berkuasa, bapanya mengalami kesakitan perit sepanjang 13 hari terakhir hidupnya, sebelum mengalami serangan jantung yang membawa maut pada 28 Ogos lalu.


Kini wanita itu mahu mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.


Menurut borang persetujuan pesakit, bapa Shu sebenarnya telah mencabut 23 gigi aslinya sebelum 12 lubang digerudi ke dalam tengkorak dan rahang bawahnya untuk ditanamkan gigi baharu.


Semua prosedur ini dilakukan dalam satu hari sehingga dia terpaksa menanggung kesakitan yang tidak dapat dibayangkan selepas bius hilang.


Walaupun bilangan cabutan kelihatan agak berlebihan untuk satu sesi, jurucakap klinik tempat prosedur itu dijalankan berkata, bilangan gigi yang boleh dicabut pada satu-satu masa perlu ditentukan doktor secara konsultasi bersemuka berdasarkan keadaan fizikal pesakit.


Menurut rekod Hospital Pergigian Dewei, 23 pengekstrakan itu dijalankan seorang doktor bernama Yuan, yang kepakarannya termasuk rawatan saluran akar, penanggalan gigi bongsu terjejas dan gigi palsu penuh.


Walaupun pada masa ini tiada peraturan khusus mengenai bilangan gigi yang perlu dicabut dalam satu sesi, pihak klinik dan doktor mesti mengambil kira toleransi kesakitan pesakit dan risiko jangkitan.


"Semakin banyak gigi yang anda cabut, semakin besar tindak balas kesakitan pesakit dan semakin besar kebarangkalian jangkitan selepas pembedahan," kata Pengarah Pusat Perubatan Mulut Hospital Keempat Wuhan, Xiang Guolin kepada The Paper.


Susulan aduan itu, pihak berkuasa China sedang menyiasat kes terbabit, namun wakil Biro Kesihatan Perbandaran memberitahu wartawan, membuktikan punca mungkin sukar, memandangkan kematian lelaki itu berlaku 13 hari selepas prosedur kontroversial itu. - Sumber Oddity Central.


Sinar X gigi warga emas yang maut selepas menjalani 23 cabutan gigi dan 12 implan gigi baharu. - Foto Oddity Central.

Khamis, 5 September 2024

Nafas berbau, rupanya lipas tersangkut dalam saluran pernafasan

Nafas berbau, rupanya lipas tersangkut dalam saluran pernafasan


Seorang lelaki di China mengalami pengalaman menakutkan apabila lipas tersangkut di saluran pernafasannya selama tiga hari.


Oddity Central melaporkan, lelaki berusia 58 tahun dari Haikou dekat wilayah Hainan, menyedari ada yang tidak kena dengannya selepas berasa sesuatu merayap dalam hidung dan kerongkongnya pada satu malam.


Keadaan itu menyebabkan lelaki itu terjaga hingga terbatuk sebelum dia tidur semula.


Keesokannya, dia meneruskan kerja dengan menjalankan perniagaannya seperti biasa sebelum menyedari nafasnya berbau.


Selepas tiga hari, nafas lelaki itu masih berbau dan dia batuk dengan kahak kuning, jadi individu itu pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


Lelaki yang tidak dinamakan itu pada awalnya pergi ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di Hospital Hainan, tetapi pemeriksaan pada saluran pernafasan atas mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan.


Dr Lin Ling iaitu pakar perubatan pernafasan dan rawatan kritikal di hospital itu kemudian menjalankan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), sebelum mendapati ada bayang yang menunjukkan objek asing.


Berikutan itu, lelaki berkenaan disyorkan menjalani prosedur bronkoskopi invasif minimum iaitu memasukkan alat khas melalui rongga mulut.


"Ketika prosedur, saya dengan jelas melihat sesuatu dengan sayap di saluran pernafasan.


"Benda asing itu dibalut dengan banyak kahak. Selepas menyedut kahak di sekeliling, bendasing terdedah. Ia adalah lipas," kata Dr Lin.


Selepas mengeluarkan pepijat dari trakea lelaki terbabit, doktor membersihkan kawasan itu berulang kali daripada kahak sebelum bau busuk hilang sepenuhnya tidak lama kemudian.


Lelaki itu pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang keesokan harinya. - Sumber Oddity Central.


Lipas yang ditemukan dalam trakea pesakit berkenaan. - Foto Oddity Central.

Rabu, 4 September 2024

Guna taktik letak lipas dalam pinggan restoran demi makan secara percuma

Guna taktik letak lipas dalam pinggan restoran demi makan secara percuma


Sebuah keluarga di Mexico dikenal pasti sebagai penipu kerana meletakkan lipas di atas pinggan restoran untuk makan secara percuma, lapor laman berita Oddity Central pada 2 September 2024.


Perbuatan empat sekeluarga itu terbongkar selepas pengurusan sebuah restoran di Puerto Chale, Guadalajara melihat semula rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.


Dalam rakaman itu, seorang wanita berambut perang dalam keluarga tersebut mengeluarkan bekas kecil dari dompetnya lalu cuba mengalihkan 'objek' di dalam bekas ke atas pinggan.


Apa yang kelihatan seperti lipas itu enggan keluar dari bekas tersebut, menyebabkan wanita berkenaan mengambil garpu dan cuba memaksa ia keluar.


Selepas serangga itu keluar, keluarga tersebut memanggil pelayan lalu berpura-pura marah dengan kehadiran lipas tersebut.


Selepas mengadu tentang kejadian itu, keluarga tersebut meninggalkan restoran dengan semua makanan yang mereka pesan, dibungkus tanpa membuat sebarang bayaran.


Pihak pengurusan restoran itu kemudian memuat naik klip video itu di internet sebagai peringatan kepada pemilik perniagaan lain.


Selepas video itu menjadi tular, sebilangan pengguna platform X tampil menuduh keluarga tersebut sebagai menipu beberapa restoran lain di Guadalajara dengan menggunakan taktik serupa. - Sumber Oddity Central.


Klip video menunjukkan sebuah keluarga makan di sebuah restoran menjadi tular di internet. - Foto X (Twitter).
Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang

Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang


Suhu pecah rekod dan kemarau berpanjangan di Greece, menjadikan sebuah perkampungan yang tenggelam di empangan utama Athens, kembali dilihat buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.


Kampung Kallio ditenggelami air pada akhir 1970-an apabila Empangan Mornos dibina, 200 kilometer (km) di barat ibu negara. Ia membentuk tasik buatan daripada sumber air Sungai Mornos dan Sungai Evinos.


Paras air di tasik itu merosot 30 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pengendali air negara, EYDAP. Ia menyebabkan sebuah runtuhan sekolah dan rumah di Kampung Kallio, kelihatan.



"Paras Tasik Mornos menurun sebanyak 40 meter," kata Yorgos Iosifidis, seorang pesara berusia 60 tahun yang terpaksa meninggalkan rumahnya ketika masih muda, bersama penduduk lain di Kampung Kallio, apabila kawasan itu dinaiki air.


"Kamu lihat tingkat satu yang tinggal di rumah dua tingkat (milik) bapa mentua saya... dan di sebelahnya, kamu boleh melihat apa yang tinggal di rumah sepupu saya," kata Iosifidis, yang kini tinggal di kawasan lebih tinggi di atas bukit, kepada AFP.


Kemarau bertambah buruk tahun ini di negara Mediterranean itu yang sudah terbiasa dengan gelombang musim panas.


Selepas musim sejuk paling sederhana, Greece mencatatkan suhu paling panas pada Julai menurut data cuaca awal dari Balai Cerap Negara.


Hampir 80 rumah di Kallio, sebagai tambahan kepada gereja dan sekolah itu terpaksa 'dikorbankan' untuk pembinaan empangan berkenaan.


Ia adalah kali kedua Kampung Kallio kembali dilihat, selepas satu tempoh kemarau pada awal 1990-an, kata Iosifidis.


"Sekiranya hujan tidak turun dalam masa terdekat, paras tasik akan menurun lagi dan masalahnya akan menjadi lebih meruncing daripada sebelum ini," katanya.


Anastasis Papageorgiou, 26, seorang doktor yang tinggal di Amygdalia, sebuah kampung berhampiran Mornos, berkata kawasan itu mengalami sedikit hujan dalam tempoh dua tahun lepas.


"Keadaan sukar pada masa ini, jadi kami perlu berhati-hati (tidak membazir) dengan air," katanya. - Sumber Daily Mail.


Gambar menunjukkan sisa-sisa rumah yang kelihatan apabila paras tasik buatan Mornos menurun berikutan kemarau, berhampiran perkampungan Lidoriki, kira-kira 240 km barat laut Athens, pada 1 September 2024. - Foto AFP.

Sisa-sisa bangunan perkampungan Kallio yang tenggelam kelihatan kerana paras air tasik buatan Mornos yang surut, berhampiran perkampungan Lidoriki di wilayah Fokida, kira-kira 240 km barat laut Athens, Greece, 29 Ogos 2024. - Foto EPA.

Yiorgos Iosifidis, pesara, 67, yang tinggal di rumah yang baru dibina semula di Kallio, berjalan melepasi tasik buatan Mornos. - Foto AFP.

Selasa, 3 September 2024

'Pintu ke neraka' di Siberia membesar 3 kali ganda boleh dilihat dari angkasa lepas

'Pintu ke neraka' di Siberia membesar 3 kali ganda boleh dilihat dari angkasa lepas


Sebuah lubang gergasi dikenali sebagai 'pintu ke neraka' membesar sebanyak tiga kali ganda saiz asalnya dalam tempoh 30 tahun di Siberia, Russia, lapor portal berita Daily Star pada 2 September 2024.


Lubang itu menjadi tiga kali ganda lebih besar sejak 1991 dan kini boleh dilihat dari angkasa lepas.


Ia pertama kali dikesan oleh penduduk tempatan di Yauktia.


Mereka mendakwa mendengar bunyi ngeri seperti letupan kuat atau jeritan dari lubang itu.



Bunyi menyeramkan menjadi punca mereka menggelarnya sebagai 'pintu ke neraka' atau Batagay.


Tanah di lokasi itu membeku secara kekal sejak zaman ais, kira-kira 2.58 juta tahun lalu.


Apabila kawasan hutan itu mula dibersihkan pada tahun 1960-an, cahaya matahari mula menyinari tanah, menyebabkan ia menjadi semakin panas.


Ahli geofizik Universiti Washington, Roger Michaelides memberitahu Business Insider: "Saya rasa banyak yang boleh kita pelajari daripada Batagay, tentang bagaimana ciri serupa mungkin berkembang di Artik." - Sumber Daily Star.


Gambar lubang 'pintu ke Neraka' membesar sebanyak tiga kali ganda sejak 1991. - Foto VoL News.

Isnin, 2 September 2024

Lelaki saman hotel selepas alat sulit disengat kala jengking, mangsa kini mati pucuk

Lelaki saman hotel selepas alat sulit disengat kala jengking, mangsa kini mati pucuk

 

Seorang lelaki menyaman sebuah hotel di Las Vegas kerana mendakwa bahawa kehidupannya 'musnah' selepas alat sulitnya disengat seekor kala jengking ketika menginap di situ, lapor akhbar Metro UK pada 31 Ogos 2024.


Kejadian berlaku apabila Michael Farchi, 62, bersama isterinya menginap di The Venetian Resort pada 25 Disember tahun lalu.


Menurut Farchi, dia bangun dalam kesakitan dan menyedari bahawa tangan serta celah pahanya disengat oleh serangga itu.


Gambar-gambar yang dimuat naik oleh peguam pasangan tersebut menunjukkan bangkai kala jengking yang masih melekat pada seluar dalam Farchi.


"Rasanya seperti pisau tajam atau kaca menikam diri saya," katanya.


Pasangan itu memfailkan tuntutan pada Selasa lalu, di mana Farchi mendakwa kejadian ngeri tersebut menyebabkan dia mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan mati pucuk.


Isterinya juga berkata bahawa hubungan intim mereka semakin terjejas.


"Kakitangan hotel tidak mengambil serius tentang sengatan itu. Mereka hanya memegang paha saya dan ketawa mengenainya. Ia benar-benar memalukan," kata Farchi. - Sumber Metro UK.


Gambar fail menunjukkan bangkai kala jengking yang melekat pada seluar dalam Farchi. - Foto Brian Virag.

Ahad, 1 September 2024

Lelaki bertuah umurnya masih panjang walau disengat 240 tebuan

Lelaki bertuah umurnya masih panjang walau disengat 240 tebuan

 

Seorang lelaki di United Kingdom bertuah kerana umurnya masih panjang walaupun menanggung 240 sengatan tebuan, lapor laman berita Oddity Central pada 27 Ogos 2024.


Dia bagaimanapun terpaksa bergantung morfin untuk beberapa ketika bagi meredakan kesakitan, selain menanggung trauma akibat tragedi itu.


Kejadian malang berlaku 18 Ogos lalu ketika Andrew Powell, 57, mahu meninjau ladang keluarganya di Brecon, Wales.


Katanya, sebaik berjalan keluar rumah, dia melihat segerombolan tebuan terbang ke arahnya dan mengesyaki ada individu atau mungkin petani yang mengusik sarang tebuan itu.


"Tebuan itu meluru terus ke arah saya dan saya berlari ke arah rumah sepantas mungkin, tetapi dalam beberapa saat ia sudah mengepung dan menyengat saya.


"Saya dapat merasakannya hingga dalam seluar saya, ia ada di mana-mana.


"Ketika masuk ke dalam rumah, saya terlupa menutup pintu dan tebuan masuk ke dalam serta turut menyerang isteri," katanya kepada BBC yang dipetik Oddity Central.


Powell bernasib baik apabila jirannya segera datang membantu dan membawanya ke Hospital Memorial Perang Brecon untuk mendapatkan rawatan.


"Saya terpaksa diberi morfin kerana kesakitan yang melampau dan mengalami reaksi alahan pada badan. Kakitangan hospital beritahu, jika saya lewat lima minit, mungkin sengatan itu membunuh saya," katanya.


Lebih seminggu tragedi itu, Powell berkata, dia masih terasa perit bisa sengatan dan lemah kerana sebelum ini tidak boleh tidur disebabkan kesakitan yang melampau.


"Kesakitannya masih mencengkam. Setiap hari saya menemui banyak bekas sengatan. Ada 50 sengatan di sebelah punggung, 20 di belakang kepala dan 20 di leher saya, manakala isteri saya pula lebih 80 pada setiap lengannya.


"Sehingga kini saya tidak berani keluar rumah kerana takut diserang lagi," katanya. - Sumber Oddity Central.


Bekas sengatan tebuan pada belakang badan Andrew Powell. - Foto News In 60 Mins.
Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja

Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja


Seorang lelaki maut apabila ditikam dengan sebilah pisau dalam satu insiden perkelahian yang berlaku di pinggir jalan raya Pamulang, Banten, Indonesia pada Jumaat (30/08/2024).


Mengesahkan insiden itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, AKBP V Inkiriwang berkata, kejadian bermula dengan pergaduhan mulut antara kedua-dua mereka.


"Sebelum itu, mereka bergaduh mulut dan ada perkataan mangsa yang menggores hati suspek yang diungkapkan ketika mereka bersama kawan-kawan yang lain.


"Oleh kerana itu suspek naik berang lalu berniat mahu membunuh mangsa," katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.


Mangsa sebelum itu sempat dikejarkan ke hospital berdekatan, bagaimanapun dilaporkan sudah meninggal dunia.


Sementara itu, klip video yang memaparkan pergaduhan mereka tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.


Difahamkan kedua-dua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dan saling mengenali.


Menurut seorang pekerja kilang yang mengenali kedua-dua pengawal keselamatan itu berkata, kekecohan itu didakwa dicetuskan oleh pergaduhan yang telah berlaku di kilang tersebut. Bagaimanapun, dia mengakui tidak mengetahui secara pasti punca pergaduhan itu berlaku.


"Selalunya masalah kerja, semalam bergaduh. Saya tidak faham masalah yang jelas, setahu saya bergaduh semalam," jelasnya.


Menurutnya, Suspek disyaki menunggu mangsa pulang selepas bekerja syif malam di kilang. Mangsa telah dipintas dan ditikam oleh suspek sehingga dia terbaring berlumuran darah.


"Pada pukul 7 pagi itu saya melihat mangsa masih berada di kilang, bersiap-siap untuk pulang ke rumah," katanya.


Menurutnya, kekecohan itu telah menarik perhatian pengguna jalan raya. Suspek yang cuba melarikan diri segera dikejar penduduk dan berjaya ditahan. 


Suspek kini sudah ditahan polis berserta barang bukti iaitu sebilah pisau yang digunakan suspek ketika membunuh mangsa. - Sumber iNews.id.


Mangsa sempat dikerjakan di hospital berdekatan sebelum dilaporkan meninggal dunia. - Foto Istimewa.