Isnin, 29 Julai 2024

Jadi mimpi ngeri lepas kena gigit nyamuk, kuku tercabut, rambut gugur, kulit menggelupas

Jadi mimpi ngeri lepas kena gigit nyamuk, kuku tercabut, rambut gugur, kulit menggelupas


Percutian seorang wanita berakhir dengan mimpi ngeri apabila mengalami masalah kulit selain gugur rambut dan kukunya tercabut selepas digigit nyamuk ketika bercuti.


Memetik laporan Metro UK pada 28 Julai 2024, Amy Wells, 37, mengalami masalah itu ketika bercuti di Republik Dominican dekat Caribbean bersama suaminya, Charlie pada 22 Januari 2023.


Selepas sehari berenang bersama ikan lumba-lumba, Amy pada 28 Januari menyedari ada ruam di lehernya selepas bangun tidur, yang dengan cepat merebak ke seluruh badannya.


Amy pergi ke hospital pulau itu di mana dia diberi antibiotik yang dipanggil ceftriaxone, yang tidak biasa digunakan di United Kingdom (UK), katanya.


Amy berakhir di unit kecemasan di mana doktor menemui luka yang menunjukkan ruam pertama disebabkan oleh gigitan nyamuk.



Pekerja kawalan kualiti berkata kulitnya mula menggelupas, dengan sebahagian daripadanya melekat pada kakinya, menyebabkan luka terdedah dan parut.


"Ruam itu menutupi seluruh badan termasuk mata dan bibir saya. Ia amat menyakitkan. Pengalaman ini ibarat neraka di dunia.


"Ia sangat ganjil. Saya tidak pernah mengalami sebarang reaksi alahan terhadap apa-apa," katanya.


Menurutnya lagi, pasukan perubatan ada memaklumkan bahawa keadaannya adalah disebabkan reaksi terhadap antibiotik dan dia juga terkena gigitan nyamuk Zika.


Amy yang ditahan di hospital dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Februari kerana penanda jangkitan menurun, tetapi dia mempunyai sedikit ruam muncul di badannya.


Katanya, antibiotik yang diberikan di hospital pulau itu bertindak balas dengan ubat lain yang dimakannya sebelum kulitnya dipenuhi dengan ruam yang menyakitkan beberapa hari selepas kembali ke United Kingdom (UK).


Pehanya membengkak kepada dua kali ganda saiz biasa semasa penerbangan sepuluh jam, dan ia berasa seperti terbakar, katanya.


Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital William Harvey di Ashford.


Kakinya mengambil masa tiga minggu untuk sembuh dan dia kini mempunyai parut yang menutupi separuh daripada setiap kaki di bawah lutut. Amy terpaksa mengambil cuti kerja selama sepuluh minggu.


Kuku jari dan kakinya tercabut pada April, manakala rambutnya mula menipis, dan menjelang Mei dia botak sepenuhnya. - Sumber Metro UK.


Amy mendapat alahan teruk selepas reaksi jarang berlaku akibat antibiotik dan gigitan nyamuk. - Foto Amy Wells/SWNS.
Polis trafik parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus

Polis trafik parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus


Seorang anggota polis trafik dan remaja lelaki parah selepas kedua-dua motosikal ditunggang dipercayai bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, awal pagi Ahad.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.


"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.


"Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain," kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.


Menurutnya, ketika kejadian, remaja itu menunggang motosikal secara lawan arus sebelum didakwa merempuh anggota yang juga sedang menunggang motosikal.


Ujarnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur.


"Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram," katanya.


Polis trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal bertembung di KM36 (S) Lekas. - Foto ihsan polis.

Keadaan motosikal salah seorang mangsa sebaik kejadian. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 28 Julai 2024

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh


Kenderaan Rover Perseverance Mars NASA menemukan batu berbentuk anak panah dengan ciri-ciri yang mungkin menunjukkan kehidupan mikrob berbilion tahun yang lampau di Planet Marikh, lapor Xinhua.


Semasa penerokaannya pada 21 Julai di Neretva Vallis, sebuah lembah sungai purba di Marikh, rover Perseverance menemui batu menarik yang dikenali sebagai "Cheyava Falls."


Pasukan sains Perseverance menganalisis batu berkenaan menggunakan sinar-X dan laser. Analisis mereka mendedahkan kehadiran urat kalsium sulfat putih, kawasan tengah berwarna kemerahan, dan tompok-tompok kecil berwarna putih di atas batu itu.


"Di Bumi, ciri-ciri seperti ini dalam batu sering dikaitkan dengan rekod fosil mikrob yang hidup di bawah permukaan," kata David Flannery, seorang ahli "astrobiologist" di Universiti Queensland Australia dan ahli pasukan sains itu.


Walaupun ciri-ciri yang diperhatikan pada batu itu mencadangkan kemungkinan kehidupan mikrob di Marikh semasa tempoh yang lebih panas dan lembap, penjelasan alternatif seperti suhu tinggi yang menjadikan persekitaran tidak boleh didiami tidak boleh diketepikan.


Untuk mengesahkan sama ada batu itu memang mengandungi bukti kehidupan mikrob, pemeriksaan lanjut di Bumi diperlukan.


Bagaimanapun, misi membawa pulang sampel Marikh NASA menghadapi cabaran, termasuk belanjawan terkurang dan kelewatan yang ketara, menyebabkan jangkaan penyelesaiannya ditolak ke tahun 2040-an.


Berikutan kekangan ini, NASA sedang giat meneroka pendekatan alternatif untuk mempercepatkan usaha membawa pulang sampel Marikh, dengan matlamat untuk mencapai tujuan ini lebih awal dan pada kos yang lebih rendah.


Versi beranotasi imej "Cheyava Falls" menunjukkan tanda bintik harimau bintang, yang telah menarik perhatian saintis dan olivin (sejenis mineral) di dalam batu. Imej itu ditangkap oleh instrumen WATSON pada rover Perseverance Mars NASA pada 18 Julai lalu. - Foto NASA/JPL-Caltech/MSSS.
Dua pekerja bunuh bos, sakit hati disindir ketika mahu pinjam wang

Dua pekerja bunuh bos, sakit hati disindir ketika mahu pinjam wang


Dua orang pekerja nekad membunuh majikannya selepas mereka tersinggung dengan kata-kata mangsa ketika mereka mahu meminjam wang daripadanya, lapor laman berita Tribun News pada 25 Julai 2024.


Mangsa dikenali Abdullah, 54, penjual mi Aceh di Jalan Makmur, Pasar VII Tembung, Daerah Percut Seituan, Deli Serdang, maut dibunuh dua pekerjanya pada hari Ahad awal bulan lalu (2/6/2024).


Kes pembunuhan itu terbongkar selepas ahli keluarga mangsa berasa curiga kerana gagal menghubunginya sebelum mereka menemui mayat lelaki terbabit di rumahnya. Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis Deli Serdang.


Pelaku bernama, Reza Adrian Siregar alias Reza, 34, penduduk Jalan Letda Sujono, Kampung Bandar Selamat, Daerah Medan Tembung berjaya ditangkap. Dia terpaksa menahan sakit di kedua-dua kaki, selepas ditembak polis kerana melawan ketika ditahan.


Sambil duduk di atas kerusi roda dan menahan kesakitan di kedua-dua belah kaki, dia mengakui nekad membunuh mangsa kerana berasa sakit hati dengan kata-kata peniaga mi Aceh itu.


"Saya sakit hati, sebab saya bekerja dengan dia kemudian minta IDR 100 ribu dan diberi IDR 50 ribu 'kerja belum siap, awak tak ada otak'," kata Reza kepada Tribun-medan, Khamis (25/7/2024).


Video amatur menunjukkan bagaimana ahli keluarga mangsa menemui mayat lelaki itu yang dijumpai sudah mereput di dalam bilik rumahnya di Jalan Makmur, Desa Sumber Jaya Timur, Deli Serdang, Sumatera Utara, beberapa hari selepas gagal menghubunginya.


Ketua Polis Medan Tembung Kompol Jhonsin Mangara Sitompul berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua orang pekerjanya sendiri.


Menurut pengakuan Reza, dia tidak membunuh mangsa seorang diri, tetapi bersama seorang lagi rakan.


"Saya pukul dia dengan botol sos tomato sekali di kepala, apabila dia meronta-ronta, saya tarik dia masuk ke dalam bilik. Kawan saya pun pukul dia dengan botol sirap," katanya.


Reza berkata, selepas kejadian rakannya yang kini menjadi buruan, mengambil motosikal mangsa dan menjualnya. Selepas itu, rakannya melarikan diri ke Kemboja. - Sumber Tribun News.


Polis menahan Reza Adrian Siregar yang membunuh seorang peniaga mi Aceh bernama Abdullah di Jalan Makmur, Daerah Percut Sei Tuan, Deli Serdang. - Foto Tribun News.

Sabtu, 27 Julai 2024

7 mak nyah berbaju kurung, tudung dan berpakaian seksi ditahan di Terengganu

7 mak nyah berbaju kurung, tudung dan berpakaian seksi ditahan di Terengganu


Gara-gara berpakaian seperti wanita termasuk berbaju kurung dan bertudung, tujuh lelaki ditahan atas kesalahan berpakaian wanita dalam operasi dijalankan di sebuah flat pada malam Jumaat.


Kesemua tujuh lelaki itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 54 tahun ditahan pada pukul 12 tengah malam oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).


Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, serbuan tersebut dijalankan di tiga buah rumah di sebuah flat dekat bandar Kuala Terengganu kira-kira jam 12.15 tengah malam (Sabtu).


Menurutnya, ketika serbuan terdapat antara lelaki berkenaan memakai baju kurung serta berpakaian menjolok mata. Serbuan itu dilakukan berikutan aduan daripada penduduk setempat.


"Mereka mendakwa kurang selesa dengan perlakuan lelaki berpakaian wanita terbabit yang sering berkumpul di beranda rumah masing-masing terutama pada waktu malam.


"Perbuatan itu didakwa menarik ramai lelaki 'berhidung belang' memasuki kawasan flat berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.


Aizi Saidi berkata, serbuan yang dilakukan di tiga buah rumah di kawasan flat berkenaan dijalankan hasil pemantauan beberapa kali oleh pegawai penguat kuasa syariah sebelum ini.


Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 iaitu lelaki yang berlagak seperti perempuan.


"Mereka telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah," katanya.


Sebahagian lelaki berpakaian wanita yang ditahan JHEAT di sebuah flat di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Sinar Harian.
Wanita yang digelar penunggang motosikal paling cantik maut dalam kemalangan

Wanita yang digelar penunggang motosikal paling cantik maut dalam kemalangan


Seorang YouTuber yang digelar sebagai 'penunggang motosikal paling cantik' di internet, maut dalam kemalangan motosikal ketika bercuti di Turkiye, lapor Mirror UK pada 26 Julai 2024.


Tatyana Ozolina atau lebih dikenali sebagai MotoTanya, 38, meninggal dunia ketika dalam perjalanan antara Mugla dan Bodrum.


Wanita itu dilaporkan menunggang BMW S1000RR berwarna merah apabila motosikalnya dilanggar oleh motosikal rakannya daripada konvoi yang sama.


Dia membrek secara mengejut dan hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori dekat Milas. Tatyana mengalami kecederaan parah termasuk luka di leher.


Dia sedar selepas nahas berlaku tetapi tidak dapat bertahan lama dan meninggal dunia sebelum ambulans tiba.


Seorang penunggang motosikal Turkiye, Onur Obut yang bersamanya parah manakala seorang lagi penunggang tidak cedera.


Tatyana dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 13 tahun. Dia berada di Turkiye selepas tidak dapat memasuki Eropah di sempadan Greece kerana halangan peperangan.


Polis masih menyiasat kemalangan itu, tetapi laporan mengatakan bahawa dia hilang kawalan selepas motosikalnya dipintas penunggang motosikal lain.


Ketua Persatuan MotoMoscow, Andrei Ivanov, memberi penghormatan kepada bintang media sosial itu.


"MotoTanya tidak bersama kami lagi. Dia mempunyai kehidupan yang cerah dan indah. Berjuta-juta orang mengikutinya. Mungkin tidak ada seorang penunggang motosikal di negara ini yang tidak peduli dengan Tatyana.


"Dia dipuja, dicemburui, dikagumi, ditiru, dianugerahkan sebagai blogger terkemuka dan, pada masa yang sama, dibincangkan dan difitnah. Kini yang tinggal hanyalah ingatannya. Tidurlah dengan lena," tulisnya.


Tatyana Ozolina mempunyai pengikut dalam talian dengan 5 juta peminat di TikTok, 2 juta di YouTube dan satu juta pengikut Instagram. - Sumber Mirror UK.


Tatyana Ozolina. - Foto Instagram MotoTanya.
Wanita memotong kemaluan suami kerana menikah satu lagi

Wanita memotong kemaluan suami kerana menikah satu lagi


Tindakan seorang lelaki yang mendedahkan bahawa dia berkahwin satu lagi kepada isterinya mengundang padah apabila wanita itu bertindak memotong kemaluannya. Kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah mereka di Kecamatan Bayung Lencir, Sumatera Selatan.


Insiden bermula apabila mangsa mendedahkan bahawa dia sudah berkahwin tanpa pengetahuan isterinya itu hingga membawa kepada pertelingkahan mulut yang agak panjang.


"Pada malam itu saya minta dia ceraikan saya atau dia ceraikan isteri mudanya, tetapi dia tidak mahu kerana madu saya itu sedang mengandung.


"Selepas itu, saya terima sahaja kerana memikirkan nasib tiga anak saya jika diceraikan, kemudian suami meminta saya menelefon wanita itu dan saya lakukan dan maklumkan kepadanya bahawa saya merestui hubungan mereka," katanya.


Bagaimanapun kata wanita itu, selepas bangun dan solat Subuh dia kemudiannya menangis dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa suaminya berkahwin lagi.


"Saya secara spontan mengambil alat pemotong, kemudian mengerat kemaluannya ketika dia sedang tidur," katanya.


Jelasnya, suaminya bagaimanapun masih selamat kerana telah mendapat pertolongan daripada orang tuanya.


Susulan itu pada 23 Julai, wanita yang dikenali sebagai Lisa Yani itu bakal dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan lima bulan jika disabit kesalahan.


Hakim Mahkamah Negeri Muba, Hakim Silvi Ariani berkata, wanita itu bakal dijatuhkan hukuman berkenaan kerana melanggar Seksyen 44 Ayat (2) Undang-Undang Indonesia Nombor 23 Tahun 2004 mengenai keganasan dalam rumah tangga.


Silvi berkata, hukuman berat dikenakan selepas mengambil kira keadaan mangsa, Rian Hidayat yang mengalami cacat kekal kerana tindakan suspek.


Bagaimanapun Silvi berkata, suspek mungkin dikenakan hukuman yang lebih ringan selepas mengambil kira pendamaian antara kedua-dua mereka selain status pelaku yang masih isteri kepada mangsa.


"Perbicaraan keempat yang diadakan semalam, defendan menyatakan bahawa mangsa yang merupakan suaminya telah memaafkannya dan dia mengatakan bahawa dia telah berbaik semula dengan suaminya," kata pendakwa raya Giovani. - Sumber Tribun News.


Lisa Yani, terdakwa, memotong kemaluan suaminya ketika menghadiri perbicaraan susulan di Mahkamah Daerah Muba, Selasa (23/7/2024). - Foto Tribun News.

Jumaat, 26 Julai 2024

Wanita terselamat jadi mangsa rogol kerana datang haid

Wanita terselamat jadi mangsa rogol kerana datang haid

 

Polis menahan seorang lelaki di wilayah Songkhla, selatan Thailand semalam kerana cuba memperkosa seorang tukang urut sebelum mengubah fikiran dan mencuri telefon bimbit mangsa. Dia berbuat demikian kerana wanita itu datang haid, lapor laman berita Thaiger pada 26 Julai 2024.


Tukang urut berusia 28 tahun itu melarikan diri dan meminta bantuan seorang pemandu di daerah Hat Yai, Songkhla. Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Tung Lung dan menceritakan butiran kejadian.


Tukang urut itu berkata, suspek yang kemudian dikenali sebagai Teeraphat, 20, menghubunginya melalui aplikasi LINE.


Dia mengupah mangsa untuk menyediakan perkhidmatan urut di sebuah resort berhampiran tempat kejadian dan menawarkan bayaran sebanyak 2,000 baht (RM258), baru-baru ini.


Ketika mangsa membonceng motosikal suspek menuju ke resort itu, Teeraphat mendakwa bahawa dia perlu ke tandas dan melencongkan motosikalnya ke sebuah ladang getah di tepi jalan.


Teerafat didakwa mencampakkan mangsa ke tanah dan cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap dirinya.


Teerafat menghentikan niat jahatnya apabila mendapati mangsa benar-benar datang haid. Dia kemudian melarikan telefon bimbit wanita berkenaan.


Polis menahan Teeraphat semalam di rumahnya di daerah Namom, Songkhla. Teeraphat mengaku perbuatannya dan memberi alasan bahawa ketika kejadian, isterinya sedang hamil.


Laman berita DailyNews melaporkan bahawa polis telah mengeluarkan pertuduhan terhadap Teerafat tanpa memberikan butiran lanjut. - Sumber The Thaiger.


Suspek (bulatan merah) ditahan kerana cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang tukang urut. - Foto Thaiger.
Mengamuk sebab bayi jatuh, lelaki kejar ancam isteri dengan gunting tak mengaku bersalah

Mengamuk sebab bayi jatuh, lelaki kejar ancam isteri dengan gunting tak mengaku bersalah


Seorang pekerja pengurusan jenazah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan cara mengejar mangsa sambil memegang gunting dalam kejadian pada Sabtu lalu.


Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.


Berdasarkan pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa dengan niat menakutkan isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejar sambil memegang gunting.


Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah pangsapuri dekat Kota Laksamana kira-kira jam 8.30 malam pada 20 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara selama tujuh tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.


Difahamkan tertuduh 'naik hantu' selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berlaku gara-gara mangsa cuai.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Wardah tidak menawarkan jaminan, namun memohon jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.


Peguam bela tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh berkerja membuat pengurusan jenazah dengan pendapatan RM1,800 dan mempunyai tanggungan dua anak.


"Tertuduh juga bersedia dengan syarat tambahan dan berjanji akan hadir di mahkamah pada tarikh akan datang," katanya.


Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.


Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Ogos depan untuk lantikan peguam bela dan serahan dokumen.


Tertuduh mengaku tidak bersalah mengejar isterinya sambil memegang gunting ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. - Foto Berita Harian.

Khamis, 25 Julai 2024

Anak tauke restoran yang hilang Ahad lalu, ditemukan mati akibat dibunuh

Anak tauke restoran yang hilang Ahad lalu, ditemukan mati akibat dibunuh


Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan, Sabah, hari ini.


Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, dipercayai anak kepada pemilik sebuah restoran terkenal di daerah ini ditemui kira-kira jam 11 pagi ketika sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.


Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy Kuppan, berkata pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.


Beliau berkata, susulan itu sepasukan polis dikejarkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


"Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar, namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.


"Anggota bertugas kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu sebelum menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu kes laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Ramasamy berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.


"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Sebelum ini tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.


Mayat lelaki dibawa ke Unit Forensik HDOK untuk tujuan bedah siasat. - Foto Sinar Harian.