Selasa, 21 Mei 2024

Misteri kepala paip keluar suara puntianak mengilai apabila ditutup

Misteri kepala paip keluar suara puntianak mengilai apabila ditutup


Kepala paip pada dinding bilik mandi di sebuah rumah di Semarang, wilayah Jawa Tengah mengeluarkan bunyi mirip puntianak mengilai, lapor portal berita Banjarmasin Post pada 20 Mei 2024.


Bunyi menakutkan itu membuatkan pemilik rumah terkejut dan panik.


Klip video tentang kepala paip mengeluarkan bunyi seram itu boleh ditonton di platform TikTok menggunakan akaun @alynn20. Rakaman itu menjadi tular pada Sabtu lalu (18/5/2024).


Pada permulaan rakaman, tidak ada yang aneh ketika kepala paip itu dibuka.


Namun, ketika hendak ditutup, ia mengeluarkan bunyi seperti puntianak sedang ketawa.


Pelbagai cara dilakukan pemilik rumah seperti memukul dan menekan kepala paip supaya suara unik tersebut hilang.


Walaupun pelbagai cara sudah dilakukan, suara mirip ketawa puntianak itu kembali bergema sehingga netizen menyarankan supaya kepala paip itu diganti dengan segera. - Sumber Banjarmasin Post.


Tangkap layar kepada paip yang mengeluarkan suara mirip puntianak di Semarang. - Foto TikTok.

Isnin, 20 Mei 2024

Polis kesan lelaki pegang, tayang kemaluan pada pekerja wanita

Polis kesan lelaki pegang, tayang kemaluan pada pekerja wanita


Polis sedang mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit di Manggatal, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima satu laporan yang menyatakan seorang pelanggan lelaki tidak dikenali telah memegang alat sulitnya sambil bertelefon.


Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 8.30 malam.


"Pengadu menyatakan tidak pernah melihat suspek sebelum ini dan suspek bukanlah pelanggan tetap di premis tersebut.


"Hasil semakan rakaman pada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati seorang lelaki berbaju putih dengan zip seluarnya terbuka dan mengeluarkan serta memegang kemaluan sambil berlegar di kawasan belakang kedai tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kasim berkata, susulan daripada laporan itu, pihaknya sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mengenali suspek supaya berhubung dengan balai polis yang berdekatan.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.


Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh di kedai menjual aksesori telefon bimbit di Manggatal, Kota Kinabalu. - Foto Tular.

Ahad, 19 Mei 2024

Remaja hilang selama 26 tahun ditemui di rumah jiran dalam kandang biri-biri

Remaja hilang selama 26 tahun ditemui di rumah jiran dalam kandang biri-biri


Seorang remaja yang hilang selama 26 tahun semasa perang saudara di Algeria dalam tahun 1990-an kini ditemui semula, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC News) pada 16 Mei 2024.


Remaja dikenali sebagai Omar bin Omran itu didapati hilang di Djelfa ketika berusia lewat belasan tahun.


Bagaimanapun, mangsa yang kini berumur 45 tahun, ditemui pada jarak hanya 200 meter dari kediaman dia dibesarkan.


Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki berusia 61 tahun yang disyaki mengurung mangsa di rumahnya.



Ketika kehilangannya, keluarga Omar bimbang dia menjadi antara 200,000 orang yang dianggarkan terbunuh atau menjadi salah seorang daripada 20,000 mangsa culik dalam perang saudara tersebut.


Bagaimanapun, dia ditemui berada di dalam kandang biri-biri di sebalik timbunan jerami di rumah penculiknya pada 12 Mei lalu.


Pejabat pendakwa raya menerima aduan daripada seorang yang tidak dikenali bahawa Omar berada di rumah salah seorang jirannya, kata seorang pegawai mahkamah.


"Susulan laporan ini, pendakwa raya mengarahkan siasatan dibuka dan pasukan polis menyerbu kediaman suspek. Mereka kemudian menemui Omar," tambahnya.


Suspek dilaporkan cuba melarikan diri dari tempat kejadian, tetapi dihalang dan ditahan, kata pegawai mahkamah.


Kementerian berkata siasatan masih dijalankan dan mangsa dalam proses menerima rawatan perubatan dan psikologi.


Seorang jurucakap menyifatkan jenayah itu sebagai "keji".


Mangsa mendakwa bahawa dia tidak dapat menjerit atau melarikan diri kerana disihir oleh penculiknya.


Ibunya meninggal dunia pada 2013. - Sumber BBC News.


Omar ditemui di sebalik timbunan jerami di sebuah rumah di Algeria baru-baru ini. - Foto X.

Sabtu, 18 Mei 2024

Gadis pakai bikini jual durian, strategi unik untuk tarik pelanggan

Gadis pakai bikini jual durian, strategi unik untuk tarik pelanggan


Seorang gadis menggunakan strategi perniagaan yang unik apabila dia menjual durian dengan memakai bikini di sebuah pekan di Thailand, lapor portal berita VnExpress pada 17 Mei 2024.


Menurut laman berita Thaiger, Aum, 22, sebelum ini pernah tular dua tahun lalu apabila dia berkongsi imej dan video dirinya memakai bikini semasa menjual durian dalam talian.


Pengkritik berpendapat bahawa dia memanfaatkan penampilannya daripada kualiti buah yang dijualnya untuk mendapatkan populariti.


Tidak berputus asa, Aum terus mengusahakan gerai duriannya di pekan Kamphaeng Phet dengan memakai pakaian renang tahun ini.


Aum turut menjemput rakan-rakan untuk membantu dia berniaga walaupun mereka memilih untuk tidak memakai pakaian provokatif sepertinya.


Dalam wawancara bersama portal berita ThaiRath, Aum menafikan dia menjadi daya tarikan pelanggan untuk mengunjungi kedainya.


Gadis itu berkata, antara produk kualiti unggul di kedainya adalah durian Monthong dari ladang terkenal di wilayah Rayong, timur Thailand.


Dia menolak kritikan mengenai pakaian bikininya. Aum berkata, gaya pakaiannya yang provokatif adalah pilihan peribadi.


Selain menjual durian, Aum juga bekerja sebagai model glamor dan fotonya banyak terdapat dalam akaun Facebooknya. - Sumber VN Express.


Aum memakai pakaian renang ketika jual durian di gerainya. - Foto Thai Rath.
Kucing terima Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' di sebuah universiti

Kucing terima Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' di sebuah universiti


Sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan Ijazah Kehormat 'Doctor of Litter-ature' kepada seekor kucing yang menjadi kesayangan warga kampus berkenaan.


Vermont State University Castleton Campus mengumumkan 'anugerah khas' kepada kucing digelar Max itu, menjelang pengijazahan pelajar pada hari Sabtu kerana kemesraan luar biasa si comel tersebut.


"Max telah menjadi sebahagian daripada warga Castleton selama bertahun-tahun," ujar pihak universiti itu.



Kucing belang popular itu tinggal bersama sebuah keluarga di jalan menghala ke pintu masuk kampus berkenaan dan bersosial bersama penuntut di sana sejak empat tahun lalu.


"Ia sering ke universiti itu. Mereka sangat menyayanginya," kata pemiliknya, Ashley Dow pada Khamis yang turut dirujuk sebagai 'ibu' kepada Max.


Difahamkan, Max tidak akan menyertai majlis penyampaian ijazah tersebut, sebaliknya Ijazahnya akan dihantar kepada Dow selepas upacara tamat pengajian penuntut selesai pada Sabtu. - Sumber AP News.


Max menerima 'anugerah khas' itu kerana kemesraannya bersama penuntut kampus berkenaan sejak empat tahun lalu. - Foto AF News.

Jumaat, 17 Mei 2024

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai


Satu lembaga putih yang merenung seorang kanak-kanak sedang tidur dirakam oleh sebuah kamera keselamatan di sebuah rumah lama berusia 100 tahun, lapor laman berita Daily Star pada 13 Mei 2024.


Imej ngeri itu dikongsikan di laman Facebook pada Sabtu lalu, 11 Mei 2024 oleh Jon Kipke dari Michigan, Amerika Syarikat (AS).


Jon sebelum itu menemui pemandangan menyeramkan tersebut pada Ogos 2022, hanya sebulan selepas bapanya meninggal dunia.


Jon menulis: "Saya tidak pasti apakah ini (lembaga putih). Namun, salah satu kamera saya merakamnya.


"Saya tidak pernah dihubungi dari alam lain (alam ghaib) atau apa-apa perkara pelik berlaku di rumah. Bagaimanapun, saya tinggal di rumah ladang berusia 100 tahun itu. Itu adalah anak bongsu saya yang tidur di atas lantai."


Pengguna Facebook pantas berkongsi teori mereka tentang lembaga itu.


"Ia kelihatan seperti seorang lelaki budiman. Anda boleh melihat badan besar, kepala, bahu, lengan. Ia juga memakai topi."


Seorang lagi menambah: "Ia sedang merenung anak anda." - Sumber Daily Star.


Satu lembaga putih misteri 'merenung' anak kecil di rumah berusia 100 tahun di AS. - Foto Kamera Keselamatan/JonKipke/Facebook.

Khamis, 16 Mei 2024

Aneh, pelbagai jenis serangga merayap keluar daripada badan lelaki

Aneh, pelbagai jenis serangga merayap keluar daripada badan lelaki


Seorang lelaki di wilayah Udon Thani, Thailand mendakwa bahawa dia terkena perbuatan sihir sehingga menyebabkan banyak serangga keluar daripada kulit badannya, lapor laman berita Thaiger hari ini.


Lelaki berusia 43 tahun dan hanya dikenali sebagai Ad itu berkata, sepanjang tempoh dua bulan lalu, dia mendakwa hidup menderita kerana serangga merayap keluar daripada kulitnya. Dia percaya kejadian aneh itu berpunca daripada ilmu sihir.


Masalah itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja atau melakukan aktiviti harian seperti biasa.


Selepas berita mengenainya tular, sekumpulan wartawan pergi ke rumah Ad di daerah Mueng, wilayah Udon Thani untuk mendengar ceritanya dan melihat sendiri keadaan lelaki itu.


Di sana, wartawan disambut oleh Ad, yang menceritakan permulaan penderitaannya dengan serangga, bermula dengan apa yang disifatkannya sebagai telur di kepalanya.


Dia pada awalnya menggunakan limau purut di kawasan itu untuk mengusir serangga, tetapi kelegaan itu tidak lama kerana lebih banyak serangga terus muncul.


Katanya, pelbagai jenis serangga daripada kutu hinggalah kepada pepijat penghisap darah terus keluar dari dalam kulitnya, memaksa dia menggunakan ubat topikal secara berkala untuk mengurangkan gejala.


Wartawan kemudian ditunjukkan bagaimana Ad mengekstrak serangga daripada kulitnya menggunakan ubat topika dalam prosedur yang menyerlahkan keadaannya yang teruk.


Sementara itu, bapa saudara Ad, Kamphiw membuat spekulasi bahawa masalah anak saudaranya itu mungkin berkaitan isu psikologi berpunca daripada tekanan akibat masalah keluarga dan pekerjaan.


Menurut Kamphiw, Ad sebelum ini merupakan seorang pekerja rajin yang terlibat dalam sektor pembinaan dan pinjaman wang.


Namun, lelaki itu sangat terkesan sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu. Ia menyebabkan Ad murung dan terjerumus ke dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.


Ad bagaimanapun menafikan bahawa dia berhalusinasi, sebaliknya berkata, dia sudah lama tidak mengambil bahan terlarang itu.


Makcik Ad yang berusia 67 tahun, Ratchanee, juga menyatakan keraguan tentang kehadiran serangga, menunjukkan bahawa kepercayaannya boleh menjadi manifestasi gangguan kesihatan mental dan bukannya serangan sebenar atau ilmu sihir. - Sumber The Thaiger.


Sekumpulan wartawan melihat sendiri keadaan Ad. - Foto Khaosod.

Rabu, 15 Mei 2024

Lelaki bakar rumah, berang tak dapat wang beli dadah

Lelaki bakar rumah, berang tak dapat wang beli dadah


Seorang lelaki di Kota Medan, Indonesia tergamak membakar rumah orang tuanya selepas gagal mendapatkan wang daripada mereka untuk membeli dadah dalam kejadian Ahad lalu, lapor laman berita Kompas.com pada 13 Mei 2024.


Sebuah video tular yang dikongsi di akaun Instagram @medanku, memaparkan seorang lelaki tanpa pakaian keluar dari sebuah rumah dengan santai. Sementara itu, api sedang marak di dalam rumah tersebut.


"Orang gila, rumahnya hangus terbakar. Tengok tu, saya tidak boleh membantu tetapi hanya melihat orang ini," kata perakam video itu.


Lelaki yang dikenali sebagai Reza, 26, yang berasal dari perkampungan Sari Rejo, Daerah Medan Polonia nekad melakukan perbuatan itu selepas berang permintaannya tidak dipenuhi oleh ibu bapanya.


Menurut Ketua Polis Medan Baru, Kompol Yayang Rizki Pratama, bagaimanapun kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecelakaan susulan rumah berkenaan tidak berpenghuni ketika ia dibakar.


"Tiada orang di rumah ketika Reza melakukan perbuatan berkenaan dan suspek kini telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.


Dalam kejadian itu, rumah berkenaan berjaya diselamatkan apabila orang ramai yang melihat kejadian itu turut membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba.


Yayang menjelaskan, daripada siasatan, ternyata Reza mengalami gangguan mental dipercayai akibat ketagihan dadah.


"Ibu bapa Reza langsung tidak membuat laporan polis kerana mengetahui keadaan mental anak mereka.


"Rumah itu memang telah dikosongkan oleh keluarganya dan hanya diduduki oleh Reza," kata Yayang. - Sumber Kompas.com


Reza ketika dirakam melakukan perbuatan berkenaan. - Foto Kompas.com.
Polis buru lelaki curi baju dalam, seluar dalam wanita

Polis buru lelaki curi baju dalam, seluar dalam wanita


Polis mengesan lelaki dipercayai mencuri pakaian dalam wanita di sebuah rumah di Taman Titi Heights, Balik Pulau, Bayan Lepas, Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ia susulan laporan diterima daripada kerani berusia 32 tahun.


Menurutnya, pengadu mendakwa pakaian dalam miliknya yang dijemur berhampiran pagar belakang rumah disedari hilang kira-kira 10.30 pagi.


"Pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya mendapati lelaki tidak dikenali mengambil penyangkut baju jemuran pakaian dalam wanita itu pada 4.47 pagi.


"Suspek menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran tidak jelas dan mangsa kerugian RM100 kerana hilang baju dalam, seluar dalam serta stoking sekolah anaknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, ini adalah kejadian kedua berlaku selepas Mac tahun lalu menyebabkan wanita itu memasang CCTV di rumahnya.


"Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya atau balai polis berhampiran.


Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 59 saat memaparkan perbuatan suspek yang memakai topi keledar berhenti di pintu pagar rumah mangsa sebelum mengambil pakaian dalam terbabit. - Sumber Harian Metro.


Polis buru pencuri seluar dalam wanita (tangkap layar video tular).

Selasa, 14 Mei 2024

Suami gigit telinga lelaki skandal isterinya hingga putus

Suami gigit telinga lelaki skandal isterinya hingga putus


Seorang suami di Thailand menggigit telinga seorang lelaki lain selepas mendapat tahu mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya sehingga wanita berkenaan hamil lapor portal berita Thaiger pada 13 Mei 2024.


Anggota polis dari balai Chon Buri dan petugas penyelamat tempatan dimaklumkan mengenai pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki Thai di Pasar Hua Hin-Bang Sai, wilayah Chonburi pada Sabtu, 11 Mei.


Polis menemui lima lelaki yang cedera di lokasi kejadian termasuk seorang lelaki berusia 40 tahun bernama Sophon. Dia mengalami kecederaan paling serius antara mereka dengan sebahagian telinganya putus.


Sophon menerima rawatan kecemasan sebelum dimasukkan ke hospital tempatan, manakala keadaan terkininya belum diketahui.


Seperti dilaporkan oleh saluran televisyen Channel 7, pergaduhan itu melibatkan tiga lelaki Thai terhadap dua yang lain. Konfrontasi berpunca daripada hubungan sulit Sophon dan isteri salah seorang lelaki berkenaan.


Penyerang yang identitinya tidak didedahkan itu mendapat tahu bahawa Sophon meniduri isterinya sehingga mengandung. Dia mengaturkan pertemuan dengan Sophon di pasar berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun situasi segera bertukar ganas.


Penyerang mengaku dia ditikam berulang kali menggunakan serpihan kaca oleh Sophon. Dia yang tidak dapat mempertahankan diri, bertindak menggigit telinga Sophon.


Sementara itu, polis belum memfailkan pendakwaan kerana mahu menyoal siasat semua pihak terlibat termasuk wanita yang mengandung. - Sumber The Thaiger.


Mangsa mendapatkan rawatan selepas digigit telinga oleh penyerang. - Foto Channel 7.